BERITA COVID–19   PKPD di Kampung Serumah, Padawan mulai esok - JPBN | 205 individu ditahan semalam ingkar SOP PKP - Ismail Sabri | COVID: 1,680 kes baharu, tujuh kematian direkodkan hari ini | MAIS salur wang fidyah RM545,500, bantu 5,455 keluarga terkesan COVID-19 | Aktiviti sukan, rekreasi individu dan berpasukan dibenarkan di kawasan PKPB, PKPP | 
SUKAN

KHM tubuh pusat latihan program akar umbi di Kuala Lumpur

23/02/2021 07:29 PM

KUALA LUMPUR, 23 Feb  -- Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) hari ini mengumumkan penubuhan Pusat Latihan Program Khas Akar Umbi yang akan berpusat di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, bermula awal Mac ini.

Presidennya Datuk Seri Subahan Kamal berkata program yang terbuka kepada kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah itu merupakan salah satu projek perintis Program Pembangunan Hoki Kebangsaan (NHDP) dan penyertaan adalah percuma.

Beliau turut mengumumkan pemilihan dua bekas pemain kebangsaan, Kevin Nunis selaku ketua jurulatih dan dibantu Nabil Fikri Mohd Noor sebagai penolong jurulatih bagi pusat itu.

“Program ini dijangka dijalankan pada awal Mac selepas mendapat kelulusan kerajaan. Keputusan KHM untuk menjayakan program khas di Kuala Lumpur ini selepas terdapat permintaan yang tinggi daripada kalangan ibu bapa di sini yang mahu menghantar anak mereka untuk berlatih bermain hoki.

"KHM mahu memberikan peluang kepada pemain muda ini untuk belajar daripada jurulatih terbaik, selain turut berpeluang mendapat bimbingan pemain dan jurulatih kebangsaan," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Selain pusat latihan di Bukit Jalil, KHM turut merancang mengembangkan program berkenaan di Stadium Hoki Tun Razak di Jalan Duta.

Mengulas mengenai pemilihan Kevin, Subahan berkata beliau mempunyai pengalaman cukup luas dalam bidang pembangunan dan pernah bekerjasama rapat dengan pemain muda sebelum ini.

“Nabil pula dipilih selepas menjalani beberapa proses pemilihan selain beliau juga seorang yang cukup komited, pemain yang cukup tegas di luar dan di padang, bersemangat tinggi serta minatnya dalam sukan hoki begitu tinggi,” tambahnya.

-- BERNAMA

 

 

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan