Sabtu, 05 Disember 2020
SUKAN
21/11/2020 08:45 PM

KUALA LUMPUR, 21 Nov -- Prestasi cemerlang beberapa pemain remaja kebangsaan pada pusingan akhir Kejohanan 100PLUS Cabaran Ranking Remaja Kebangsaan di Akademi Bukit Kiara dari 18-21 Nov di sini mendapat pujian daripada Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Wong Choong Hann. 

Beliau jelas berpuas hati dengan prestasi beberapa pemain remaja kebangsaan seperti perseorangan lelaki, Justin Hoh serta beregu lelaki, Wan Muhd Haikal Nazri dan Wan Muhd Arif Wan Junaidi yang mempamerkan prestasi terbaik pada kejohanan berkenaan.

Choong Hann, bagaimanapun, mengingatkan barisan pemain remaja dan pelapis kebangsaan supaya terus meningkatkan prestasi masing-masing dan tidak berada pada zon selesa.

“Kita tidak tahu potensi sehingga kita berdepan lawan yang lebih kuat. Tiada had untuk perkembangan potensi dan masih banyak yang boleh dipertingkatkan dan antaranya keadaan fizikal dan kekuatan otot yang memerlukan pelan jangka masa panjang,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan BAM hari ini.

Beliau menegaskan barisan kejurulatihan akan terus memberi ruang kepada pemain pelapis yang kurang menyerlah pada saingan kali ini untuk memperbaiki kelemahan masing-masing.

Berkongsi pandangan sama adalah Pengarah Pembangunan Remaja BAM Datuk Misbun Sidek yang berpuas hati dengan peningkatan prestasi yang ditampilkan barisan pemainnya pada pertandingan kali ini.

Misbun mengakui masih terdapat jurang ketara dari segi corak permainan antara perseorangan dan beregu wanita, berbanding beregu lelaki yang mempamerkan peningkatan positif.

“Ini petanda potensi ini memang boleh dibentuk dan dibawa ke peringkat seterusnya. Mungkin pada tahun hadapan kita akan lihat di mana tahap mereka selepas beberapa bulan menjalani latihan,” jelas Misbun.

Pada aksi hari terakhir kejohanan itu hari ini, pemain dalam proses percubaan, Lee Shun Yang mencipta kejutan dengan mengungguli kategori perseorangan lelaki selepas mengatasi pemain pelapis kebangsaan Wyman Goh Wai Yap menerusi kemenangan 21-13 dan 21-10.

Beliau berkongsi tiga mata dengan Goh dan Justin Hoh hasil tiga kemenangan daripada lima perlawanan, namun berada di tangga teratas menerusi kutipan mata yang lebih baik.

Beregu pelapis kebangsaan, Lwi Sheng Hao Lwi dan Yap Roy King dan pemain pelapis kebangsaan, Eoon Qi Xuan, pula muncul juara beregu lelaki dan perseorangan wanita selepas memenangi kesemua tiga perlawanan.

Gandingan Teoh Mei Xing dan Yap Ling pula mengungguli kategori beregu wanita menerusi tiga kemenangan.

Kejohanan berkenaan yang diadakan secara tertutup di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara sejak Khamis lalu, melibatkan penyertaan pemain remaja dan pelapis kebangsaan dalam empat kategori iaitu perseorangan lelaki dan wanita serta beregu lelaki dan wanita.

-- BERNAMA

 

 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan