Sabtu, 28 November 2020
SUKAN
17/11/2020 03:22 PM

Oleh Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif

KUALA LUMPUR, 17 Nov  -- Bekas pengendali skuad Harimau Malaya Datuk K. Rajagobal dikatakan sebagai antara tiga calon jurulatih yang disenarai pendek sebagai ketua jurulatih baharu pasukan bola sepak kebangsaan Brunei.

Menurut sumber,  Rajagobal, 64, telah disenarai pendek selepas satu proses pemilihan teliti berdasarkan resume lengkap yang dihantar ke Persatuan Bola Sepak Kebangsaan Brunei Darussalam (NFABD).

Beliau berkata pengendali yang membawa Malaysia muncul juara Kejuaraan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2010 itu, bersama dua lagi calon telah melalui proses temu duga secara maya dikendalikan NFABD pada 28 Okt lalu, sebelum keputusan akhir akan diumumkan dalam tempoh terdekat.

“Ia pasti menjadi cabaran besar buat beliau (Rajagobal) sekiranya terpilih memandangkan bola sepak kini antara sukan yang terjejas disebabkan pandemik COVID-19, selain mengambil kira tugas menyuntik pembaharuan dalam usaha meningkatkan prestasi Brunei.

“Tetapi Rajagobal telah buktikan kewibawaan dan kemampuannya sebagai jurulatih baik di peringkat kelab mahupun pasukan kebangsaan dan beliau mampu menggalas tanggungjawab ini dengan sangat baik,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Pasukan Brunei kini menduduki ranking ke-191 dunia dan antara dua pasukan tercorot dalam kalangan negara ASEAN bersama Timor Leste, yang berada di kedudukan ke-197.

Kewibawaan Rajagobal yang diberi jolokan ‘King Gobal’ di pentas antarabangsa turut dibuktikan dengan kejayaan membimbing skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan, mengakhiri kemarau 20 tahun meraih pingat emas di temasya Sukan SEA 2009 di Laos.

Di peringkat kelab, beliau yang memiliki pengalaman 30 tahun selaku jurulatih telah menabur bakti bersama beberapa pasukan utama antaranya PKNS FC dari 1990-1998, Selangor (1999-2000), Kelantan (2001-2002), Sarawak (2015-2016) dan kembali membimbing PKNS FC pada musim 2017-2019.

Ketika bersama Selangor, Rajagobal bertanggungjawab membawa skuad Gergasi Merah muncul naib juara Liga Perdana 2 pada tahun pertamanya sebelum menjulang kejuaraan Liga Perdana 1 pada musim berikutnya.

Beliau turut memiliki pengalaman sebagai pemain apabila pernah menyarung jersi Selangor, Sabah, serta PKNS FC dan pernah beraksi bersama beberapa lagenda bola sepak tanah air antaranya Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari dan Datuk Santokh Singh

-- BERNAMA

 

 


 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan