Ahad, 25 Oktober 2020
SUKAN
17/10/2020 04:46 PM

Oleh Buvesh Kumar

KUALA LUMPUR, 16 Okt -- Pengusaha kemudahan sukan di kawasan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor dan Kuala Lumpur amat terkesan selepas diarah menutup perniagaan untuk mematuhi perintah itu.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) walaupun memberi lampu hijau untuk sukan tidak bersentuhan dan di kawasan terbuka dengan penyertaan kurang daripada 10 orang, bagaimanapun melarang sebarang aktiviti untuk sukan akuatik (berenang dan menyelam), aktiviti yang dianjurkan dalam dewan tertutup dan sukan bersentuhan seperti futsal, bola sepak, badminton, gimnasium dan pusat rekreasi dari 14 hingga 27 Okt.

Tinjauan Bernama di beberapa kemudahan sukan di sekitar Gombak dan Kuala Lumpur mendapati pengendali mematuhi perintah kerajaan itu dengan menutup operasi mereka kepada pelanggan.

Notis pemberitahuan penutupan sehingga 27 Okt berwarna merah boleh dilihat di Kompleks Sukan Seri Siantan, yang menempatkan dua kolam renang yang dikendalikan Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

Timbalan Pengarah Jabatan Korporat MPS Fauzi Ishak berkata walaupun menghadapi kerugian sejak pelaksanaan PKPB bermula 18 Mac lepas, pihak majlis tetap mematuhi arahan itu demi kesejahteraan awam.

“Sebelum MCO, kami mengenakan bayaran sebanyak RM4 untuk dewasa dan RM2 untuk kanak-kanak, jadi kutipan sebulan boleh mencecah antara RM16,000-RM17,000. Tetapi sebelum ditutup Isnin lalu, kutipan hanya lebih kurang separuh daripada jumlah itu.

“Ini bukan lah teruk sangat, tapi masih ok…Kutipan itu tak seberapa kerana kami perlu patuh prosedur operasi standard (SOP) yang ketat seperti hanya membenarkan maksimum 16 orang pada satu-satu masa dan tidak melebihi sejam setiap seorang.

“Bagaimanapun, apa yang penting bagi kami ialah keselamatan pengunjung dan pematuhan kepada SOP dalam membanteras wabak COVID-19,” katanya ketika dihubungi Bernama selepas tinjauan itu.

Sementara itu, pemilik gim di Jalan Klang Lama, N. Rajaratnam yang terjejas akibat pandemik itu, berkongsi pandangan yang sama dengan berkata keselamatan orang ramai menjadi keutamaan bagaimanapun kemudahan itu sepatutnya dibenar dibuka semula dengan SOP yang ketat.

“Bagi pemilik gim kecil seperti kami, pendapatan yang diraih tidak berapa banyak, yang telah pun terjejas sejak Mac. Penutupan dua minggu ini akan menyebabkan kerugian tambahan RM2,000 kerana kami tidak dapat mengenakan bayaran kepada pelanggan sebab mereka tidak menggunakan kemudahan itu.

“Bagaimanapun, saya mematuhi keputusan kerajaan dengan menutup operasi. Bagaimanapun, saya berharap kerajaan dapat membenarkan kami meneruskan perniagaan kerana kami memang sentiasa melakukan sanitasi selepas digunakan setiap pelanggan,” kata Rajaratnam yang juga Presiden Persatuan Bina Badan India Malaysia (MIBBA).

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang membuat tinjauan di tiga pusat kemudahan sukan pada Jumaat - padang bola Radia Arena di Shah Alam, Sportizza Futsal Court dan Fitness First Gym di Subang Jaya, berkata beliau memahami nasib yang dihadapi pemain itu.

“Saya telah membawa suara keresahan ini ke peringkat tertinggi termasuklah menulis surat dan bercakap dengan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, agar pihak MKN dapat memberikan pertimbangan dan kewajaran supaya aktiviti berkaitan industri sukan dikategorikan di bawah sektor ekonomi dan membenarkan operasi fasiliti sukan dan rekreasi indoor.

“Ia termasuk padang bola sepak komersial, dewan badminton, gelanggang futsal dan gimnasium mengikut SOP yang ditetapkan. Saya berharap agar pihak MKN dapat memberi pertimbangan sewajarnya untuk membolehkan aktiviti ekonomi dalam industri sukan pulih secara beransur-ansur,” katanya dalam kenyataan.

-- BERNAMA

 

 

 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan