Ahad, 25 Oktober 2020
SUKAN
15/10/2020 08:16 PM

MELAKA, 15 Okt -- Senarai akhir atlet yang bakal mewakili kontinjen Melaka ke temasya Sukan Malaysia (SUKMA) di Johor, akan diketahui selewat-lewatnya 31 Dis depan.

Pengerusi Jawatankuasa Badan Bukan Kerajaan, Pembangunan Belia dan Sukan negeri Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata Melaka menyertai 30 daripada 31 jenis sukan yang dipertandingkan, kecuali sukan bola jaring.

“Persiapan kontinjen Melaka berjalan dengan baik dan semua atlet giat menjalani latihan walaupun masih di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) akibat pandemik COVID-19.

"Majlis Sukan Negeri Melaka (MSNM) juga komited dan memberi sokongan daripada pelbagai aspek termasuk kewangan selain turut menampung kos venue latihan atlet untuk memastikan persiapan di tahap terbaik dan berjalan lancar," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Kontinjen Melaka di bawah dua program, 'Projek Emas' dan 'Program Persediaan Sukma' (PPS) kembali menjalani latihan pada pertengahan Julai lepas, setelah hampir empat bulan tidak berlatih berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Mac lepas.

Dua program yang bermula pada pertengahan tahun lepas itu, membabitkan 577 atlet yang didaftarkan dalam senarai awal kontinjen Melaka.

Edisi ke-20 temasya dwitahunan tempatan itu sepatutnya diadakan pada 11 hingga 19 Julai lepas, namun ditunda susulan penularan COVID-19.

Dalam perkembangan lain, Mohd Rafiq berkata kemudahan sukan di bawah pengurusan Perbadanan Stadium Melaka (PSM) sebelum ini, diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan kebanyakannya diuruskan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), manakala Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) mengambil alih Kompleks Perahu Layar di Pengkalan Balak.

"Keputusan dibuat selepas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka beberapa bulan lepas, untuk menutup dan memindahkan kakitangan PSM berikutan kekangan dana berbanding PBT yang mempunyai sumber kewangan kukuh untuk menjalankan proses baik pulih dan penyelenggaraan," katanya.

-- BERNAMA

 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan