Khamis, 06 Ogos 2020
SUKAN
26/07/2020 05:20 PM

ALOR SETAR, 26 Julai  -- Kerajaan negeri Kedah tidak boleh sewenang-wenangnya menyalurkan dana atau peruntukan kepada Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), bagi menyelesaikan tunggakan gaji pemain dan pihak pengurusan Skuad Lang Merah, yang dikatakan sudah tertunggak selama lima bulan.

Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor berkata, walaupun ada pihak yang menyuarakan pandangan agar kerajaan negeri membantu KFA, perkara itu tidak boleh dilakukan, memandangkan keutamaan kerajaan negeri adalah bagi membantu rakyat negeri ini.

“Ada yang suruh ambil sahaja duit dari mana-mana untuk selesaikan masalah ini, tetapi saya tidak akan buat macam itu. Itu duit untuk golongan yang memerlukan dan saya tegas dengan pendirian saya.

“Saya tahu, peminat prihatin dengan nasib pemain, tetapi isu ini sudah lama berlaku. Masa itu, tiada siapa yang bersuara tetapi bila saya baharu sahaja memegang jawatan sebagai Presiden KFA, semua merungut dan hentam saya,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan produk pelancongan baharu Menara Alor Setar, ‘Star View’ di sini, hari ini.

Untuk rekod, Muhammad Sanusi dilantik sebagai Presiden KFA yang baharu menggantikan Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir, pada Kongres Luar Biasa (EGM) KFA 2020, 12 Julai lalu.

Menurut beliau lagi, masalah yang ditanggung KFA bukan hanya soal tunggakan gaji pemain tetapi juga melibatkan tunggakan dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), dan penyedia tiket pengangkutan pasukan.

Muhammad Sanusi mendakwa, masalah itu juga bermula di bawah pengurusan terdahulu dan ketika ini beban hutang yang ditanggung persatuan itu, telah mencecah RM10.6 juta.

“Kenapa buat kontrak gaji pemain sampai cecah RM120,000, semua ini buat tidak ukur baju di badan sendiri. Kesilapan telah pun berlaku, tetapi peminat duduk diam sahaja dan adakah sekarang peminat mahu saya ambil duit orang miskin, anak yatim dan ibu tunggal, untuk diberi kepada pemain,” soalnya.

Muhammad Sanusi bagaimana pun menjelaskan, KFA akan mengadakan mesyuarat pada 3 Ogos depan, bagi mencari penyelesaian berhubung kemelut yang dihadapinya, selain menilai semula pelaksanaan beberapa perkara di bawah pengurusan terdahulu.

“Kalau perlu ‘overhaul’ atau buat pemotongan gaji, saya akan lakukan. Kalau keupayaan sebenar adalah bayar gaji RM20,000, kita bayar itu sahaja, dan siapa yang sanggup bermain untuk negeri Kedah dengan bayaran gaji itu sila tunggu.

“Kalau siapa yang rasa mereka patut dapat bayaran gaji lagi tinggi, KFA buka pintu kepada mereka untuk cari tempat yang lebih baik dari aspek kewangan. Tetapi, saya rasa semua pemain Kedah mempunyai semangat cintakan negeri yang tinggi,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan