Sabtu, 04 Julai 2020
SUKAN
30/06/2020 04:30 PM

KUALA LUMPUR, 30 Jun  -- Keputusan sama ada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia bakal diteruskan pada November ini atau tidak, dijangka akan diputuskan pada mesyuarat ahli majlis Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam tempoh terdekat.

Presiden BAM Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, badan induk itu perlu mengambil kira beberapa faktor sebelum meneruskan penganjuran kejohanan berkenaan yang menawarkan wang tunai berjumlah US$750,000 (RM3.212 juta).

Antaranya adalah perlu mengeluarkan perbelanjaan tambahan bagi membeli pensanitasi tangan, selain jangkaan kemerosotan kehadiran penyokong, kerana perlu mengamalkan jarakan sosial satu meter sebagai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Terbuka Malaysia juga bukan merupakan sebahagian daripada kejohanan yang menawarkan mata kelayakan ke Sukan Olimpik (Tokyo 2020). Selain itu, kita juga perlu melihat kesesuaian penganjuran kejohanan ini kerana kita sedang berdepan (pandemik) Covid-19,” katanya.

Mohamad  Norza yang merupakan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM ke-20 di Wisma OCM, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad Norza mendedahkan bintang ternama dunia juga tidak pasti bakal menyertai Terbuka Malaysia kerana kerajaan masih mengenakan sekatan perjalanan kepada pelawat asing.

Laporan media tempatan sebelum ini mendakwa BAM dikatakan tidak berhasrat meneruskan penganjuran Terbuka Malaysia yang merupakan Jelajah Dunia BWF 750, kerana dikatakan perlu menanggung kos yang agak tinggi.

 Berdasarkan perancangan awal, Terbuka Malaysia dijadualkan berlangsung dari 31 Mac hingga 5 April, namun Persekutuan Badminton Dunia (BWF) menyusun semula kalendar kejohanan 2020 akibat penularan COVID-19 yang menyaksikan ia diubah kepada November ini. 

Penyusunan kalendar kejohanan 2020 oleh BWF menyaksikan mata kelayakan ke Sukan Olimpik hanya akan dikira menerusi kalendar musim 2021.

-- BERNAMA

 

 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan