Isnin, 25 Mei 2020
SUKAN
22/05/2020 10:29 PM

KUALA LUMPUR, 22 Mei -- Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) kecewa dan menyelar tindakan Persekutuan Sukan Para Asean (APSF) membatalkan Mesyuarat Tergempar Lembaga Pengelola (BoG) badan induk itu yang dijadual berlangsung hari ini.

Presiden MPM, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata tindakan itu seolah-olah tidak profesional kerana APSF membatalkan mesyuarat berkenaan yang diadakan untuk membincangkan hala tuju Sukan Para Asean (APG) 2020, tanpa menyatakan alasan kukuh. 

Beliau berkata pada 20 Mei lepas, semua ahli lembaga APSF dijemput mengadakan mesyuarat tergempar secara maya yang dijadualkan pada tengah hari ini, namun menerima e-mel pembatalan daripada APSF pada pagi ini. 

"Menurut surat tersebut, keputusan untuk membatalkan mesyuarat itu dibuat selepas mendapat cadangan daripada Michael Barredo (Pengerusi BoG APSF) yang juga Presiden Jawatankuasa Paralimpik Filipina (PPC).

"Beliau bertindak demikian selepas mendapat surat daripada Majlis Paralimpik Thailand yang menyatakan hasrat sedia menganjurkan APG 2020 dengan syarat temasya itu dianjurkan dalam skala minima dan dijalankan pada bulan Disember 2020," katanya. 

Megat D Shahriman menegaskan tindakan itu seolah-olah membuktikan tuan rumah asal APG 2020 iaitu Filipina tidak matang selepas membuat ketetapan untuk membatalkan penganjuran temasya itu atas alasan krisis pandemik COVID-19.

Jelas beliau, Filipina khususnya Barredo banyak berdolak-dalik apabila hanya menggunakan surat kesediaan daripada Thailand yang menyebut nama Pesuruhjaya Sukan Filipina sebagai alasan untuk pihaknya terlebih dulu perlu bermesyuarat.

Dalam pada itu, Megat D Shahriman berkata MPM mahu mesyuarat tergempar itu diadakan segera bagi membolehkan isu penganjuran APG 2020 diselesaikan selain melihat kemungkinan untuk negara lain mengambil alih status tuan rumah temasya APG.

"Perbincangan secara lisan telah kami (Ahli Lembaga APSF) buat yang mana kami mahu pastikan Filipina tidak lagi menganjurkan dan jika ada mana-mana pihak berminat untuk menganjurkan kami bersedia membuka peluang kepada negara tersebut.

"Jika benar Thailand berminat, kami perlu mencapai keputusan bersama kerana temasya ini membabitkan skala yang besar jadi kita perlu mendapatkan kepastian yang jitu daripada pihak mereka," katanya.

Filipina sebelum ini membuat keputusan untuk membatalkan penganjuran APG 2020 dengan alasan penularan pandemik COVID-19 selepas beberapa kali menangguhkannya ekoran berdepan masalah kewangan.

-- BERNAMA

 

 


 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan