Rabu, 27 Mei 2020
SUKAN
14/05/2020 03:47 PM

KUALA LUMPUR, 14 Mei -- Penangguhan saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2020 bukan sahaja menyaksikan pemain menumpukan latihan sendiri di rumah atau mula berjinak-jinak dengan dunia perniagaan, malah ada juga pemain kembali melakukan pekerjaan lama di kampung halaman.

Tidak terkecuali, pemain tengah pasukan UKM FC, Syed Sobri Syed Mohamad yang bangga dapat kembali ‘beraksi’ di laut sebagai nelayan di Kemaman, Terengganu, dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuatkuasakan ini.

Menurut pemain berusia 26 tahun itu, aktiviti menangkap ikan bukan sesuatu yang asing buat dirinya memandangkan beliau sudah memiliki pengalaman turun ke laut bersama keluarga dan rakan-rakan sejak di bangku sekolah rendah.

“Saya ambil keputusan pulang ke kampung selepas merasakan saingan Liga-M akan ditangguhkan dalam tempoh yang tidak diketahui sampai bila. Menangkap ikan antara aktiviti saya akan buat kerana saya berasal dari keluarga nelayan.

“Saya akan turun (ke laut) pada waktu malam dan balik menjelang subuh. Jika cuaca tidak mengizinkan, saya akan berehat,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), hari ini.

Pada masa sama, Syed Sobri mengakui aktiviti menangkap ikan dilakukannya dapat membantu mengekalkan tahap kecergasannya kerana pekerjaan itu memerlukan kudrat yang kuat.

“Setakat ini selain melakukan latihan sendiri di rumah, saya rasa aktiviti menangkap ikan masih menjadikan saya kekal bertenaga sepanjang tempoh PKP kerana ia satu pekerjaan yang berat terutama ketika menarik pukat, tambah-tambah yang panjang," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut membantu ibunya menjual lauk-pauk serta kuih-muih di laman rumahnya sepanjang bulan Ramadan ini.

Syed Sobri memulakan kerjaya bersama Sime Darby FC selama dua musim dari 2015 hingga 2016 sebelum berhijrah ke Melaka pada musim berikutnya.

Beliau sempat menyarung jersi T-Team pada pertengahan musim 2017 sebelum pasukan itu dijenamakan semula kepada Terengganu FC II pada musim 2018 sebelum beralih arah menyertai UKM FC sejak musim 2019.

-- BERNAMA

 

 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan