Rabu, 27 Mei 2020
SUKAN
13/05/2020 05:21 PM

KUALA LUMPUR, 13 Mei  -- Persekutuan Sukan Para ASEAN (APSF) akan mengadakan mesyuarat tergempar Lembaga Pengelola (BoG) untuk mengesahkan pembatalan temasya Sukan Para ASEAN 2020 di Filipina.

Presidennya, Mejar Jeneral Osoth Bhavilai, berkata APSF telah menerima pemberitahuan rasmi mengenai pembatalan temasya sukan berkenaan daripada Jawatankuasa Paralimpik Filipina pada 6 Mei berikutan pengumumannya mengenai status temasya dwitahunan di Manila, baru-baru ini.

"APSF ingin mengucapkan terima kasih kepada Filipina atas semua usaha yang telah dilakukan sebelum pembatalan Sukan Para ASEAN. Kami memahami sepenuhnya bahawa keputusan itu harus dibuat kerana pandemik COVID-19 dan ketidakpastian yang ada," katanya.

"APSF akan mengadakan mesyuarat tergempar Lembaga Pengelola untuk membahas, mengesahkan dan menyokong pembatalan Sukan Para ASEAN ke-10 dan terus menuju kepada penganjuran Sukan Para ASEAN ke-11 2021 yang dijadualkan di Vietnam," katanya dalam satu kenyataan, hari ini .

Filipina sepatutnya menjadi tuan rumah Sukan Para ASEAN pada Januari lepas, selepas menganjurkan Sukan SEA pada Disember lalu.

Bagaimanapun, temasya sukan berkenaan ditangguhkan hingga akhir Mac dan kemudiannya dipinda sekali lagi hingga Mei atau Jun, sebelum keputusan membatalkannya dibuat kerana keadaan yang tidak terkawal disebabkan oleh pandemik COVID-19.

Suruhanjaya Sukan Filipina (PSC) dilaporkan telah menarik balik sokongan kewangan untuk penganjuran sukan itu bagi memberi tumpuan kepada langkah untuk mengatasi pandemik itu, yang mengakibatkan pembatalan tersebut.

 

-- BERNAMA

 

 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan