Selasa, 07 April 2020
SUKAN
26/03/2020 06:40 PM

KUALA LUMPUR, 26 Mac -- Kesemua pasukan dan kelab bersaing dalam Liga Malaysia (Liga-M) musim ini dinasihatkan segera berbincang dengan pemain untuk menangani kesan yang dihadapi akibat penularan COVID-19 yang turut menjejaskan perjalanan liga.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), dalam kenyataan media bersama, hari ini berkata saranan itu adalah sebagai satu langkah penyelesaian atau persetujuan untuk isu penting seperti pembayaran gaji, status kontrak dan kebajikan dapat dicapai dalam tempoh yang sukar ini.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, berkata saranan mengadakan perbincangan bersama pemain adalah langkah terbaik yang boleh diambil oleh semua pasukan ketika ini.

“Berbanding sekadar mengeluarkan kenyataan atau komen di media sahaja yang hanya akan menyulitkan lagi keadaan, lebih baik berhubung terus dengan pemain dan pegawai pasukan untuk berbincang secara terbuka berkaitan isu penting termasuk gaji, kontrak, kebajikan dan sebagainya.

“Memang semua pihak terbabit mempunyai kepentingan masing-masing untuk dijaga. Namun, dalam situasi ini, semua pihak perlu berkorban bagi mencapai satu penyelesaian terbaik dan sewajarnya untuk kepentingan industri bola sepak kita,” katanya.

Stuart menegaskan FAM dan MFL sentiasa terbuka untuk memberi pandangan dan nasihat kepada mana-mana pihak termasuk pasukan, pemain dan pegawai yang menghadapi sebarang kesukaran dalam tempoh sukar ini.

Beberapa pasukan menyuarakan kebimbangan terhadap masalah kewangan yang terjejas dengan desas-desus menyatakan gaji pemain bakal dipotong demi kelangsungan kantung pasukan sehingga liga bersambung kembali.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan, berkata saranan mengadakan perbincangan itu tidak bermakna semua pemain perlu akur dengan keputusan pemotongan gaji sepanjang tempoh saingan liga ditangguhkan.

“Apa berlaku ketika ini bukan salah mana-mana pihak termasuk pasukan yang turut kehilangan sumber pendapatan sepanjang tempoh penangguhan ini. Ia satu situasi berbeza yang belum pernah kita alami. Jadi saya rasa semua pihak termasuk pemain dan pegawai boleh memahaminya.

"Semua yang terlibat perlu mempunyai pandangan sama demi menjaga kepentingan bersama. Kita senang sama-sama, kita susah sama-sama," jelas Ab Ghani.

Sementara itu, FAM dan MFL akan terus memantau perkembangan terkini wabak COVID-19 dan mengikut arahan semasa daripada kerajaan sebelum mengeluarkan jadual baharu Liga-M.

Sementara itu, beberapa legenda bola sepak negara menjelaskan sikap bertolak ansur dan saling memahami antara pihak pengurusan dengan pemain serta pegawai pasukan penting dalam menghadapi saat sukar selepas penangguhan Liga-M terpaksa dilanjutkan.

Datuk Hassan Sani menjelaskan, beliau memahami keadaan sukar yang pasti dialami oleh semua pasukan termasuk pemain serta pegawai, dan mereka disaran membincangkan jalan penyelesaian terbaik bagi menghadapi situasi berkenaan.

“Semua pihak perlu duduk berbincang terutamanya mengenai gaji dan kebajikan pemain agar mereka dapat lebih memahami antara satu sama lain kerana apa yang berlaku bukan melibatkan saingan di Malaysia sahaja tetapi liga antarabangsa di seluruh dunia.

“Malah ada antara mereka di luar negara yang sedia dipotong gaji,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL)

Turut senada dengan beliau adalah Datuk Santokh Singh dan Datuk Soh Chin Aun, yang berharap persatuan bola sepak negeri dan kelab Liga-M supaya bergerak lebih proaktif mencari jalan keluar kepada setiap masalah yang dihadapi ketika ini.

MFL dan FAM sebelum ini mengambil keputusan menangguhkan segala aktiviti bola sepak di bawah kelolaan masing-masing sejak 16 Mac lalu bagi mematuhi PKP yang dikuatkuasakan kerajaan dalam mengekang penularan pandemik COVID-19.

-- BERNAMA

 

 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Lain-lain

Laman Korporat
Hubungi Kami
Sebutharga / Tender

Ikut Kami

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan