Selasa, 07 April 2020
26/03/2020 06:16 PM

Oleh Vikneswaran Raman

KUALA LUMPUR, 26 Mac -- Edisi ke-10 Sukan Para ASEAN (APG) berpotensi dibahaskan sekali lagi berhubung bila ia boleh diadakan susulan penangguhan Olimpik Tokyo 2020 dan Sukan Paralimpik.

Setiausaha Agung Majlis Paralimpik Malaysia (PCM) Datuk R. Subramaniam berkata sebelum ini, 3-9 Okt ditetapkan selepas semua ahli Persekutuan Sukan Para ASEAN (APSF) bersetuju temasya itu diadakan selepas Olimpik, yang sebelumnya dijadualkan dari 24 Julai hingga 9 Ogos.

Oleh kerana Olimpik dan Paralimpik telah dianjak ke 2021 disebabkan pandemik COVID-19 global, Subramaniam meramalkan APG Filipina akan menerima nasib serupa.

“Akan diadakan satu lagi mesyuarat untuk membincangkan perkembangan terkini. Sesetengah negara tidak selesa dengan terlalu banyak penangguhan berikutan keterujaannya akan padam.

“APG tidak boleh dianjak lagi kerana ia akan menjadi terlalu hampir dengan Sukan SEA Vietnam dan APG akan datang pada 2021. Lagipun, sebaik sahaja krisis COVID-19 berakhir, kami perlu pastikan atlet bermula semula untuk menjalani latihan,” katanya kepada Bernama.

APG Filipina sepatutnya diadakan dari 18-24 Jan, tetapi ditangguhkan ke 20-28 Mac disebabkan isu bajet dan logistik di pihak penganjur, sebelum ditangguhkan sekali lagi akibat wabak COVID-19.

Sementara itu, Subramaniam berkata Paralimpik Tokyo menjadi keutamaan  PCM sebaik sahaja Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat pada 14 April, selepas Sukan Para Sukma dijadual dari 11-22 Ogos di Johor, juga telah ditangguhkan.

“Buat masa ini, kami hanya ada empat atlet yang telah melayakkan diri ke Tokyo, manakala ramai atlet lain sedang cuba menempah tempat. Oleh kerana  kebanyakan kejohanan kelayakan telah ditangguhkan akibat COVID-19, semuanya terhenti.

“Sebaik sahaja situasi kembali normal selepas PKP berakhir pada 14 April, kami akan perlukan kira-kira dua hingga tiga bulan untuk menilai semula situasi dan persiapkan atlet. Kami perlu memastikan prestasi atlet berada pada tahap terbaik dan mampu bersaing dengan atlet terbaik dari seluruh dunia untuk melayakkan diri,” katanya.

Subramaniam turut mengesahkan tiada atlet para negara dilaporkan mempunyai simptom  COVID-19 atau sebarang penyakit setakat ini, selepas semua atlet diminta mengosongkan asrama dan kembali ke kampung masing-masing selepas PKP dikuatkuasakan mulai 18 Mac lepas.

-- BERNAMA

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Lain-lain

Laman Korporat
Hubungi Kami
Sebutharga / Tender

Ikut Kami

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan