Selasa, 07 April 2020
26/03/2020 04:17 PM

Oleh Karina Imran

 

KUALA LUMPUR, 26 Mac  -- Sama seperti atlet lain, atlet olahraga para juga tidak terkecuali daripada menjalani latihan berpandukan modul latihan dalam talian yang dibekalkan jurulatih sepanjang menjalani tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan penularan wabak COVID-19.

Ketua jurulatih olahraga para negara, R. Jeganathan, berkata anak didiknya diberi masa dua hari untuk berehat selepas kerajaan mengumumkan PKP yang berkuat kuasa 18 Mac lalu hingga 14 April ini. 

“Kesemua 23 atlet di bawah jagaan saya setuju untuk ikuti program ini (latihan di rumah). Mereka sentiasa mengikut arahan dan bersemangat menjalani latihan yang disediakan.

“Setiap hari saya akan hantar pelan latihan melalui WhatsApp dan sebagai bukti mereka perlu hantar video atau gambar mereka berlatih,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini. 

Pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia memaksa Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) menangguhkan Sukan Paralimpik 2020 Tokyo kepada tahun 2021. Keputusan itu turut mendapat sokongan dan persetujuan bersama Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC).

Sebelum itu, beberapa kejohanan kelayakan ke Sukan Paralimpik 2020 di Itali dan Perancis dibatalkan termasuk penganjuran Sukan Para ASEAN Filipina. 

Mengulas lanjut, Jeganathan berkata antara isi kandungan program latihan berkenaan adalah latihan litar, aerobik serta senaman menguatkan otot. 

“Perancangan kita sudah berubah berikutan penundaan beberapa temasya sukan sebelum ini. Program kena bermula dari awal, bermula dari kosong. Kena buat latihan biasa dahulu sebelum kita tetapkan latihan intensif kepada mereka sehingga tarikh temasya ditetapkan. 

“Bila sudah ditetapkan tarikh temasya, tidak kira Sukan Para ASEAN atau Sukan Paralimpik, kita akan tingkatkan intensiti latihan mengikut keperluan,” katanya.

Jeganathan berkata sehingga kini atlet jagaannya sudah 85 peratus bersedia untuk beraksi namun ekoran beberapa temasya sukan ditunda, kadar intensiti akan dikurangkan sehingga ke tahap 50 peratus sahaja. 

Terkini, seramai empat atlet sudah layak ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020 berdasarkan merit.

Mereka ialah Muhammad Ziyad Zolkefli (lontar peluru), Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi (balapan) serta Abdul Latif Romly dan Jonathan Wong Kar Gee dalam acara lompat jauh.

-- BERNAMA

 

 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Lain-lain

Laman Korporat
Hubungi Kami
Sebutharga / Tender

Ikut Kami

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan