RENCANA

ULAM RAJA BOLEH CEGAH DEMENSIA - PENYELIDIK UKM

26/02/2024 10:38 AM

Oleh Muhammad Basir Roslan

Demensia merupakan satu keadaan kesihatan yang menjejaskan daya ingatan, berfikir serta kemampuan melakukan kegiatan harian, dan lazimnya dialami oleh mereka yang sudah lanjut usia.

Justeru, unjuran Malaysia berstatus negara menua kira-kira enam tahun lagi pada 2030, iaitu apabila penduduk berumur 60 tahun ke atas merangkumi 15.3 peratus daripada populasi, risiko peningkatan kes individu mengalami demensia juga bertambah.

Setakat ini juga demensia tidak mempunyai penawar.


Sekumpulan penyelidik UKM berjaya memasarkan produk yang dinamakan MindLumina pada November 2023.

Bagaimanapun, kajian sekumpulan penyelidik daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mendapati demensia dapat dicegah dari awal dengan pengambilan ulam raja atau nama saintifiknya Cosmos caudatus.

“Kajian kami sebelum ini berkaitan jus buah tropika, menunjukkan kesan perlindungan terhadap demensia. Ini mendorong kami melihat pada kebaikan ulam-ulaman, dan kami dapati ulam raja adalah ulam terbaik kerana mengandungi kadar polifenol yang tinggi,” kata ketua penyelidik Prof Dr Suzana Shahar kepada Bernama.

 

PERTAMA DI DUNIA

Jelas Suzana yang juga Dekan Fakulti Sains Kesihatan UKM,  polifenol adalah agen pencegah kecelaruan fungsi kognitif (MCI) atau keadaan prademensia yang cukup berkesan kerana mampu meningkatkan tahap antioksidan dalam darah dan membina sel neuron yang baharu.

“Polifenol ini penting dari segi penjagaan kesihatan otak kerana pigmen dalam ulam raja ini mampu menembusi sistem peredaran darah dalam otak serta merangsang sel-sel di bahagian dorsolateral prefrontal cortex (bahagian otak yang dikaitkan dengan kawalan kognitif), sekali gus meningkatkan fungsi kognitif global,” jelasnya.


ketua penyelidik Prof Dr Suzana Shahar

Menurut beliau, polifenol sukar ditemukan dalam buah-buahan dan sayur-sayuran lain.

“Ada produk kesihatan lain yang memanfaatkan polifenol, namun biasanya untuk merawat penyakit kencing manis dan hipertensi. Kami adalah pasukan penyelidik pertama (di dunia) yang berjaya menghasilkan produk sebegini,” katanya.

Menurut beliau, menerusi kajian yang bermula pada 2017 dan menggunakan geran Kementerian Pendidikan Tinggi, pasukannya menghasilkan ekstrak ulam raja dalam bentuk cecair yang kemudian diadun dengan quercetin dan quercitrin serta ekstrak buah-buahan beri bagi dijadikan produk makanan kesihatan tambahan.

“Kami berjaya pasarkan produk yang dinamakan MindLumina ini pada November 2023 menerusi kerjasama dengan sebuah syarikat swasta, iaitu Aurora Health Sdn Bhd,” kata beliau.

 

UJIAN KLINIKAL DUA TAHUN

Mengulas lanjut, Suzana berkata penghasilan MindLumina menempuh proses yang ketat, termasuk ujian klinikal melibatkan sukarelawan selama dua tahun bermula 2018.

“Pada peringkat awal, pasukan penyelidik bekerjasama dengan Institut Pembangunan Bioproduk Universiti Teknologi Malaysia  bagi menghasilkan serbuk ulam raja yang kemudiannya dipatenkan dan dilesenkan di bawah Aurora Health.


Sukarelawan diuji dengan beberapa set ujian termasuk menjawab soalan POMS serta perlu melalui FMRI bagi mengesan rangsangan aktiviti dalam otak.

“Kemudian kami kumpulkan 48 orang warga emas berusia 60 ke atas di sekitar Lembah Klang bagi menjalani ujian klinikal ini. Kesemua mereka mengalami MCI namun berada dalam keadaan sihat dan tidak menghidap sebarang penyakit serius seperti buah pinggang atau hati,” jelasnya.

Beliau berkata sukarelawan terbabit dibahagikan kepada dua kumpulan, iaitu yang mengambil ekstrak serbuk ulam raja dalam bentuk kapsul dan satu lagi mengambil plasebo (kapsul tanpa ekstrak ulam raja).

”Mereka perlu mengambil dua kapsul setiap hari selama tiga bulan dan perlu menjalani beberapa ujian kognitif global, termasuk menjawab beberapa set soalan Profile of Mood States (POMS), selain perlu melalui Functional Magnetic Resonance Imaging (FMRI) bagi mengesan rangsangan aktiviti dalam otak,” katanya.

Menurut Suzana, mereka yang mengambil kapsul ekstrak ulam raja mengalami peningkatan rangsangan fungsi otak berkaitan daya ingatan berbanding kumpulan yang mengambil plasebo.

“Kami dapati berlaku peningkatan hampir 6.7 peratus fungsi kognitif global, pengurangan 36.7 peratus terhadap tekanan emosi, 20.9 peratus peningkatan memori dan fokus, serta pengurangan 7.2 peratus gangguan mood," katanya.

Ringkasnya kata beliau, hasil ujian menunjukkan sukarelawan yang mengamalkan pengambilan ekstrak ulam raja itu mengalami perubahan positif dari segi daya ingatan dan memori berbanding sebelum pengambilan makanan kesihatan tambahan tersebut.

 

JAGA PEMAKANAN

Suzana bagaimanapun berkata  wujud keperluan menjalankan kajian seumpama itu dengan melibatkan saiz sampel lebih besar serta tempoh kajian yang lebih lama bagi mengukuhkan dapatan penyelidikan.

Produk MindLumina yang menerima Anugerah Emas bagi kategori Perubatan dan Penjagaan Kesihatan pada Persidangan dan Ekspo Ciptaan Institusi Pengajian Tinggi Antarabangsa 2022  (PECIPTA 2022),  boleh didapati di farmasi sekitar Lembah Klang serta sesuai untuk mereka yang berusia 12 tahun dan ke atas.


Ulam Raja perlu diproses menjadi ekstrak serbuk menerusi mesin sembur kering.

Bagaimanapun beliau menasihati mereka yang mempunyai masalah kesihatan serius mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu.

Pada masa sama, Suzana mengesyorkan masyarakat mengamalkan pengambilan ulam-ulaman bagi mencegah demensia, selain mencontohi gaya hidup warga emas di Jepun yang banyak mengambil buah-buahan dan sayur-sayuran hijau serta aktif melakukan senaman fizikal dan mental.

.“Tidak dapat disangkal, ada warga emas di negara ini lebih gemar duduk sahaja serta kurang melakukan senaman fizikal dan mental. Tabiat ini tidak bagus dan perlu diubah.

"Kita perlu ubah gaya hidup memandangkan laporan Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan dalam kalangan warga emas di Malaysia mendapati kadar kelaziman demensia adalah 8.5 peratus pada 2018 dan dijangka meningkat pada masa akan datang seiring penuaan populasi.

“Keadaan ini tidak termasuk kadar kelaziman penyakit tidak berjangkit yang juga dijangka terus meningkat setiap tahun, menjadikan masalah ini  satu  'double killer' terhadap institusi kesihatan awam negara,” katanya dan menambah, semua pihak perlu bertindak secara proaktif bagi memastikan rakyat menua secara sihat dan terus produktif menyumbang kepada negara tanpa beban penjagaan kesihatan dan sosial yang tinggi.


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan