RENCANA

PERKUKUH PENGUATKUASAAN, AKTA DAN PEMANTAUAN TANGANI LAMBAKAN WARGA ASING - PAKAR

13/02/2024 10:12 AM

Oleh Muhammad Basir Roslan

Artikel ini adalah bahagian kedua daripada laporan khas tiga bahagian tentang lambakan warga asing di negara ini. 

 

Mutakhir ini, serbuan demi serbuan dilakukan oleh pihak berkuasa di kawasan tumpuan warga asing, dalam usaha menangani kegiatan golongan itu yang dilihat semakin berleluasa dan meresahkan warga tempatan.

Mereka yang tidak mempunyai dokumen sah ditangkap dan dibawa ke depoh tahanan bagi menjalani proses seterusnya. 

Namun ibarat patah tumbuh hilang berganti, di mata kasar masyarakat, bilangan warga asing di negara ini tidak nampak berkurangan di sebalik tindakan proaktif pihak berwajib tersebut.

Malah, tindak-tanduk sebahagian mereka yang bagaikan sengaja mencabar undang-undang negara, terus dikongsikan oleh warga maya dan aktivis, membuatkan ada yang menganggap operasi penguatkuasaan sekadar melepaskan batok di tangga.

 

BERSENDIRIAN 

Melihat operasi penguatkuasaan secara bersendirian sebagai antara kelemahan utama sistem semasa, Timbalan Ketua Pusat Penyelidikan Populasi dan Migrasi Universiti Malaya Prof Madya Dr Mashitah Hamidi berkata keadaan itu membuatkan rakyat menganggap langkah sedemikian sebagai tidak berkesan.  

“Setiap agensi penguat kuasa ada portfolio sendiri dan operasi yang dilakukan hanya untuk memenuhi sasaran masing-masing. Apatah lagi operasi sebegini (di lokasi tumpuan warga asing) hanya dapat dirasai belakangan ini sahaja.


Timbalan Ketua Pusat Penyelidikan Populasi dan Migrasi Universiti Malaya Prof Madya Dr Mashitah Hamidi

“Sebelum ini memang ada, tetapi hanya dapat dilihat pada masa-masa tertentu dan di tempat yang sama, contohnya di bar atau kelab malam atau premis perniagaan dan industri yang beroperasi secara haram,” katanya kepada Bernama. 

Justeru, bagi meningkatkan kecekapan operasi penguatkuasaan, Mashitah mengesyorkan kerajaan mewujudkan penguatkuasaan berpusat bersepadu yang akan meletakkan semua pihak penguat kuasa di bawah satu bumbung.

"Apabila adanya sifat integrasi antara penguat kuasa, maka tiada lagi percanggahan dalam aspek penahanan, birokrasi dapat dikurangkan serta mempercepat pemprosesan migran sekiranya terkait isu penghantaran pulang," kata beliau.

Beliau juga percaya jika pihak berkuasa melaksanakan langkah itu, pihak berkepentingan seperti majikan akan lebih bersedia memberikan kerjasama dalam pematuhan undang-undang terkait.  

 

SESAK

Senada, Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia Datuk Hishamuddin Hashim  berkata setiap pihak berkuasa hanya lakukan setakat yang termampu oleh mereka.

"Sememangnya isu pendatang asing tanpa izin ini adalah satu cabaran besar buat semua pihak berkuasa yang bertanggungjawab akan hal itu. Dari segi masuk secara haram, kita mempunyai sempadan negara yang luas, memang mustahil untuk kita pantau semua laluan ‘tikus’ yang ada.


Polis mengambil maklumat diri sebahagian daripada 88 pekerja PATI yang ditahan untuk pemeriksaan dalam satu operasi di Nilai, baru-baru ini.

“Begitu juga untuk memantau jutaan warga asing yang masuk secara sah namun kemudian bertindak tinggal secara haram selepas Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) atau Pas Lawatan Sosial  (PLS) tamat tempoh,” katanya kepada Bernama.

Justeru tegas beliau, adalah tidak adil untuk rakyat menyalahkan pihak berkuasa seperti Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam soal menangani warga asing kerana agensi itu diketahui mempunyai kemampuan yang terhad.

 “Bayangkan, pegawai JIM mungkin hanya ada ratusan atau ribuan sahaja di seluruh negara, tetapi perlu pantau jutaan warga asing,” katanya.

Menurut beliau, tambah memburukkan masalah adalah keadaan depoh tahanan imigresen yang sudah melebihi kapasiti. 

“Setiap kali ada operasi, pasti akan berlaku kesesakan di depoh kerana masih ramai tahanan terdahulu sedang menanti proses hukuman dan pengusiran,” jelas beliau.

Kejadian 132 pendatang asing tanpa izin meloloskan diri dari Depoh Tahanan Sementara Imigresen Bidor, Perak pada awal bulan ini, mengetengahkan situasi yang dihadapi oleh pihak berkuasa. 

Dalam kejadian itu, kumpulan etnik Rohingya terbabit dilaporkan telah melakukan rusuhan sebelum bertindak merobohkan pagar kawat duri depoh tersebut dan lari bertempiaran menghala Lebuhraya Utara-Selatan. Dilaporkan seorang daripada tahanan lolos tersebut maut dilanggar kenderaan di lebuh raya itu.

Mengulas lanjut, Hishamuddin berkata keadaan depoh yang melebihi kapasiti juga mengundang risiko krisis kemanusiaan seperti rusuhan dan pergaduhan serta jangkitan penyakit.

“Kepadatan yang tinggi di depoh tahanan ini berlaku kerana beberapa faktor, antaranya (tahanan) tidak mampu membayar kompaun atau denda yang dikenakan.


Kelihatan dua peniaga warga asing berniaga secara haram di tepi jalan berhampiran Pasar Selayang ketika tinjauan, baru-baru ini.

“Bagi warga asing yang tidak memiliki dokumen sah termasuk visa dan pas kerja, dia boleh ditahan reman 14 hari serta boleh dituduh di mahkamah di bawah Seksyen 6 (1c) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan hukuman penjara lima tahun, denda RM10,000 atau kedua-duanya, selain boleh dikenakan enam sebatan jika didapati bersalah,” kata beliau.

Bernama difahamkan dalam kebanyakan kes, mahkamah umumnya menjatuhkan hukuman denda bagi mengelakkan kesesakan di penjara. Namun, tidak semua mampu membayar denda terbabit menyebabkan mereka “tersadai” di depoh tahanan.

“Semakin lama mereka di depoh tahanan, semakin tinggi bebanan kos kewangan yang perlu ditanggung kerajaan,” tambah Hishamuddin yang turut memaklumkan kos makan minum seorang tahanan adalah sekitar RM30 sehari.

Menurut beliau, dalam keadaan biasa, iaitu warga asing terbabit mempunyai pasport dan tiket penerbangan balik, proses pengusiran ke negara asal hanya mengambil masa kira-kira dua minggu.

Menyokong penuh pelaksanaan  Program Repatriasi Migran yang dijadualkan bermula 1 Mac ini, Hishamuddin mengesyorkan agar kerajaan memperbanyak pintu keluar bagi warga asing terbabit. 

"Perbanyakkan lagi pintu keluar untuk mereka, jangan hanya buat di ibu pejabat JIM negeri. Kalau boleh, buat juga program ini di setiap pintu masuk negara termasuk lapangan terbang serta sempadan Malaysia-Thailand di lebuh raya Bukit Kayu Hitam bagi kita mempermudah urusan mereka keluar dari negara ini," katanya.

Program itu antara lain akan memudahkan pendatang tanpa izin dihantar pulang tanpa dikenakan sebarang tindakan susulan selepas mereka menyelesaikan kompaun antara RM300 hingga RM500 bagi pelbagai kesalahan imigresen, termasuk tinggal lebih masa dan memasuki Malaysia tanpa dokumen perjalanan yang sah. 

Kerajaan sebelum ini melaksanakan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) yang membolehkan pendatang tanpa izin diserap sebagai pekerja dalam sektor yang dibenarkan selepas mereka membayar kompaun.

 

TAMBAH BAIK UNDANG-UNDANG

Pada masa sama, Hishamuddin mengesyorkan kerajaan menambah baik akta berkaitan termasuk menaikkan jumlah denda dan hukuman penjara bagi kesalahan sengaja melanggar syarat permit PLKS atau PLS dengan cara menjalankan perniagaan haram sehingga mengganggu ekosistem bisnes warga tempatan.

"Pada masa ini, mereka boleh didenda tidak melebihi RM1,000, atau penjara tidak lebih enam bulan, atau kedua-duanya. Imigresen juga boleh lakukan tangkapan dan siasatan, membatalkan pas, mengenakan denda, serta boleh mengusir mereka kembali ke negara asal. Namun saya fikir kadar denda dan penjara tersebut terlalu rendah dan perlu disemak semula kepada kadar yang lebih tinggi sehingga mampu menggerunkan pesalah.

"Sudah tiba masanya kita banteras habis-habisan isu warga asing jalankan perniagaan haram ini, kerana peniaga tempatan kita alami kerugian ekonomi yang cukup dahsyat. Mereka ini ada yang cukup berani ceburi bidang peruncitan, tekstil, dobi dan sebagainya malahan sampai yang ada jadi bos dan pemilik syarikat. Ini amatlah tidak adil kepada peniaga kita khususnya," tegasnya.


Ramai warga asing sewenang-wenangnya menjalankan perniagaan walaupun tanpa lesen yang sah daripada pihak berkuasa.

Beliau seterusnya mencadangkan agar kerajaan mempertimbang kenaikan hukuman denda daripada RM1,000 kepada RM10,000 hingga RM15,000, ataupun kepada satu jumlah yang lebih tinggi, asal mampu menakutkan warga asing yang berniaga.

Media sebelum ini melaporkan buat masa ini, penguasaan warga asing dalam sektor pekerjaan dan peniagaan di negara ini adalah seorang warga asing bagi setiap 10 rakyat tempatan.

Keberleluasaan perniagaan yang dikendalikan oleh warga asing ini diakui oleh pihak berkuasa tempatan termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Amnya, tindakan yang dikenakan adalah kompaun kepada pesalah dan perniagaan ditutup serta-merta menurut Seksyen 101(1)(v), Akta Kerajaan Tempatan 1976.

 

MANTAPKAN DIGITALISASI, PEMANTAUAN

 

Bagi memantau pergerakan warga asing, Mashitah menyarankan kerajaan memantapkan sistem daftar/rekod keluar masuk warga asing sepertimana yang dilakukan oleh beberapa negara maju, antaranya  Australia.

Katanya, walaupun sistem digitalisasi  sedia ada sudah dilengkapi teknologi canggih, yang membezakan antara Australia dan Malaysia ialah pemantauan.

"(Di Australia) Selagi tidak diberi alamat lengkap, kita tidak dibenarkan untuk meneruskan perjalanan malah berisiko dihantar pulang. Jadi baik pelancong, pelajar mahupun mereka yang mahu bekerja secara kasual (mengikut musim) di sana, tidak sewenang-wenangnya mampu melepasi sempadan tanpa maklumat yang tepat, selain pemberian visa kepada warga asing,” kata beliau, menambah langkah yang dilaksanakan oleh negara kanggaru itu dilihat berjaya mengurangkan isu tinggal melebihi tempoh masa.

 Selain itu, Mashitah turut mengesyorkan kerajaan mewujudkan sistem pangkalan data seakan Pangkalan Data Utama (PADU) bagi menguruskan kehadiran warga asing di negara ini.

“Dengan adanya sistem digitalisasi seperti ini, kita dapat mengubah landskap masyarakat, dapat mengesan pergerakan warga asing bermula dari waktu mereka masuk hinggalah mereka keluar selepas tamat tempoh permit atau visa,” kata beliau.

 

TINGKATKAN MODAL INSAN   

 

Turut senada, Ketua Sosial, Undang-undang dan Hak Asasi Manusia EMIR Research Jason Loh berkata buat masa ini kerajaan tidak mampu untuk mengekang sepenuhnya kemasukan pekerja asing lantaran sumber manusia sedia ada tidak dapat memenuhi keperluan industri.

“Adalah  tidak begitu realistik untuk mengharapkan bahawa semua industri dan sektor ekonomi akan memutuskan talian kebergantungan pada pekerja asing secara langsung dan seratus peratus.

“Oleh itu, selain mengetatkan penguatkuasaan, kerajaan pada masa sama perlu memfokuskan usaha pada pengukuhan modal insan membabitkan warga tempatan,” katanya.

Untuk itu, kata Loh, kerajaan perlu meneliti semula sistem pendidikan negara, terutama Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) agar lebih memenuhi keperluan dan permintaan industri.

"Oleh itu, Usaha Academy in Industry (AiI) yang dipelopori Menteri Ekonomi Rafizi Ramli sangat tepat sekali dalam kita mengorak langkah dan memberi nafas baharu kepada kolaborasi dan kerjasama strategik di antara institusi pengajian dan pihak industri. 

"Adalah diharapkan  AiI akan dapat berkembang kepada Industry in Academy (IiA) pula, di mana pakar dan pengamal industri diberikan ruang dan tempat untuk bertapak dalam institusi pengajian tinggi awam dan swasta dalam memastikan hubungan simbiotik kedua-dua pihak terus terjalin dan diperkasa," kata beliau.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan