RENCANA

RASA INGIN TAHU DORONG PESARA GURU JEJAKI SUSUR GALUR CINA PERANAKAN KELANTAN

30/01/2023 10:28 AM

Oleh Soon Li Wei

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Kunjungannya ke rumah sanak saudara di Kampung Pasir Parit, Pasir Mas, Kelantan bagi meraikan sambutan Tahun Baharu Cina pada 1994, mencetuskan rasa ingin tahu Wee Chong Joi tentang susur galur keluarganya dan sejarah Cina Peranakan di Negeri Cik Siti Wan Kembang itu.

Namun perasaan itu disimpan lebih 10 tahun sebelum beliau dan isteri, Tam Lye Peng, memulakan kajian pada 2005, iaitu selepas kedua-dua mereka bersara sebagai guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Chung Hwa, Kota Bharu.

"Kami sedar perjalanan ini (kerja penyelidikan) bukannya mudah. Segalanya memerlukan persediaan rapi seperti mengenal pasti kawasan petempatan masyarakat Cina Kelantan selain membuat senarai sumber termasuk warga emas menerusi kenalan dan saudara mara,” ujarnya kepada Bernama di sini.


Wee berhasrat menjadikan rumah pusakanya di Kampung Cina, Kota Bharu, Kelantan sebagai muzium sejarah Cina Kelantan untuk rujukan generasi akan datang. Foto Persatuan Sejarah dan kebudayaan Cina Kelantan.

Mengimbas detik yang membuka matanya tentang sejarah Cina Peranakan di Kelantan, Wee yang kini berusia 92 tahun, berkata ia bermula semasa beliau dan isteri serta anak perempuan mereka Alison, mengunjungi bapa saudaranya Koh Boon Chok yang juga ketua kampung itu.

"Meskipun beliau sudah mencecah umur 80 tahun (ketika itu), kisah salasilah keluarga yang diwarisi selama empat generasi masih segar dalam ingatannya dan beliau mampu mengingati setiap nama nenek moyangnya,” kongsi beliau.

 

ASIMILASI BUDAYA TEMPATAN


Pesara guru Wee Chong Joi.

Wee yang pada masa itu tinggal di Kampung Cina, Kota Bharu, berkata bapa saudaranya juga berkongsi kisah tentang pelayaran nenek moyang mereka dari selatan Tanah Besar China, iaitu Fujian dan Hainan, sebelum bertapak di Kelantan.

“Dari situ timbul rasa kagum saya dan isteri. Lebih-lebih lagi bila kita lihat cara hidup masyarakat Cina Kelantan yang sudah diasimilasikan dengan budaya tempatan, namun pada masa sama, tetap mengekalkan adat resam dan agama asal dari China.

"Justeru, kami bertekad untuk menjejaki sendiri kisah di sebalik penghijrahan awal orang Cina ke Kelantan supaya dapat diwarisi dan dihayati oleh generasi akan datang," tambah Wee. 

Menurutnya, sepanjang usaha itu, beliau dan isteri menempuh pelbagai cabaran, antaranya kesukaran mendapatkan maklumat.  

"Cabaran yang kami hadapi termasuklah orang-orang yang kami mahu jumpa sudah meninggal dunia, rumah ditinggalkan kosong apabila kami tiba untuk sesi temu ramah serta salasilah keluarga yang tidak lengkap akibat kekurangan maklumat," katanya.

Ujarnya, sekalipun kebanyakan maklumat boleh didapati daripada Internet, beliau memilih untuk bertemu sendiri dengan penduduk kampung bagi memastikan ketepatan maklumat.

 "Kami mengambil masa selama 15 tahun untuk mengumpul maklumat  serta menjelajah lebih 50 buah kampung orang Cina di sepanjang Sungai Kelantan, Sungai Pengkalan Datu dan Sungai Kemasin,” katanya.

Menurut Wee, selain maklumat yang dikongsikan oleh waris, mereka juga mengesan susur galur keluarga penduduk melalui plak kayu yang mencatatkan semua nama nenek moyang sesebuah keluarga.

“Kami juga mengkaji asal usul tokong kampung dan struktur bangunan kediaman mereka,” ujarnya lagi.

Menurutnya, memasuki tahun keenam penyelidikan mereka, isterinya didiagnosis menghidap kanser.

“…namun beliau masih lagi gigih menemani saya mengumpul maklumat, melawat kampung-kampung Cina serta mengumpul hasil arkeologi sumbangan penduduk kampung.

 “Malah, beliau lakukan semua itu sehingga ke penghujung hayat pada 12 Nov 2016,” ujar Wee, menambah selepas itu usaha mendiang isterinya diteruskan oleh anak perempuan mereka, Alison.

 

PENTINGNYA TOKONG


Wee (kiri) dan isterinya Tam Lye Peng (kanan) memulakan kajian tentang Sejarah Migrasi masyarakat Cina Kelantan pada 2005. Foto Persatuan Sejarah dan Kebudayaan Cina Kelantan.

Katanya, perkara pertama yang wajib dilakukan setiap kali beliau dan isterinya tiba di setiap perkampungan orang Cina ialah mengunjungi tokong kampung itu. 

"Setiap perkampungan Cina Kelantan pasti ada sebuah tokong yang melambangkan kepercayaan dan latar belakang penduduk kampung itu, yang mana kebanyakannya berusia lebih 200 tahun. 

"Masyarakat Cina percaya bahawa setiap kawasan mempunyai 'pemilik tanah', (justeru) sebelum pembukaan sesebuah petempatan, mereka haruslah meminta izin daripada pemilik tanah terlebih dahulu," katanya. 

Katanya sebagai contoh, di Kampung Pasir Parit, ada upacara 'koi hoi' iaitu tradisi kepercayaan Taoisme oleh penduduk-penduduknya berkaitan kewujudan dan pengaruh kuasa supernatural (alam ghaib) dalam kehidupan seharian seperti dewa-dewi dan keramat.

"Upacara koi hoi dijalankan sebagai satu usaha beramai-ramai oleh penduduk kampung untuk memohon kepada dewa penjaga kampung perlindungan daripada musibah duniawi mahupun gangguan kuasa ghaib, selain mendapatkan keberkatan demi kesejahteraan seluruh warga kampung. 

"Dari segi penganjurannya, persiapan dan proses kerja upacara koi hoi menerapkan elemen-elemen budaya tempatan dan melibatkan penyertaan warga kampung daripada  etnik berlainan," katanya. 

Selain tokong, menurut Wee, plak nenek moyang setiap keluarga masyarakat Cina Kelantan merupakan inti pati kepada sejarah dan salasilah migrasi mereka ke negeri itu. 

"Misalnya ketika kunjungan ke Kampung Balai di Bachok, kami dapati plak kubur milik sebuah keluarga campuran Cina dan Siam turut dipahat dengan bahasa Thai selain karakter Mandarin. 

"Hal ini menunjukkan bahawa ada pengaruh Siam dalam kalangan penduduk-penduduk Cina di sini apabila perkahwinan campuran di antara mereka berlaku menyebabkan wujudnya asimilasi budaya," katanya. 

 

KEUNIKAN MASYARAKAT CINA PERANAKAN KELANTAN 


Wee (dua dari kanan) bersama anak perempuannya Alison Wee (kanan) bertemu peminat mereka ketika pelancaran buku 'Jejak Penghijrahan Awal Orang Cina di Kelantan' di Kota Bharu. Foto Persatuan Sejarah dan kebudayaan Cina Kelantan.

Bagi Wee, meskipun masyarakat Cina Peranakan di Kelantan mengamalkan budaya Melayu, Cina dan Siam, mereka masih mengekalkan adat resam dan kepercayaan turun-temurun.

Menurutnya, keunikan Cina Peranakan Kelantan bukan sahaja pada pertuturan dalam dialek Kelantan tetapi juga makanan, pakaian dan aktiviti masa lapang yang begitu banyak dipengaruhi budaya Melayu.

Di Kelantan, Cina Peranakan tinggal di rumah bertiang seperti orang Melayu selain wanitanya berkain sarung batik dan lelaki pula memakai kain pelikat.

"Penghijrahan awal orang Cina dari selatan Tanah Besar China ke Kelantan sejak 300 tahun lalu diterima baik oleh masyarakat Melayu tempatan menerusi petempatan di sepanjang Sungai Kelantan dengan mereka. 

"Bak kata pepatah Melayu, biar mati anak, jangan mati adat. Masyarakat Cina Kelantan  amat menitikberatkan adat resam mereka seperti kepercayaan Taoisme, penyembahan nenek moyang setiap keluarga serta sambutan perayaan seperti Tahun Baharu Cina yang mana seluruh keluarga akan pulang ke kampung berkumpul beramai-ramai,” ujarnya.

Selain itu, mereka juga sangat mementingkan pendidikan kerana sekalipun pertuturan seharian adalah dalam bahasa Hokkien dan Melayu, mereka menghantar anak ke sekolah Cina bagi mempelajari bahasa Mandarin.

"Malah, ada perkampungan Cina yang berusaha mendirikan sekolah Cina bagi memastikan anak-anak mereka mendapat pendidikan awal Cina," katanya, menambah 98 peratus anak-anak Cina Kelantan mendapat pendidikan awal di sekolah jenis kebangsaan Cina. 

Pada masa ini, terdapat lebih 60 buah kampung Cina Peranakan di Kelantan dengan setiap kampung mempunyai 500 hingga 2,000 penduduk. Mereka mewakili kira-kira 3.01 peratus populasi negeri itu dengan rata-rata bekerja sebagai peniaga, nelayan dan petani.

 

HARGAI SEJARAH, ASAL USUL KELUARGA 

Tidak mahu penyelidikannya tersimpan begitu sahaja, Wee menggembleng semua maklumat yang dikumpul di dalam sebuah buku berbahasa Mandarin bertajuk ‘Jejak Penghijrahan Awal Orang Cina di Kelantan’ dan sudah berada di pasaran sejak 27 Sept lepas.

Selain itu, bagi melancarkan proses pendokumentasian dan penyimpanan artifak berkaitan penghijrahan kaum Cina ke Kelantan, Wee mewujudkan Persatuan Sejarah dan kebudayaan Cina Kelantan pada 2009.  

"Ia juga sebagai tanda penghargaan terhadap semua pihak yang membantu kami menjayakan proses penyelidikan, dari mengenal pasti lokasi, sumber, bahan-bahan arkeologi, pakar-pakar sejarah serta penterjemah daripada bahasa Melayu dan Thai kepada bahasa Mandarin," katanya. 

Pada masa sama, beliau turut meluahkan rasa kesal dan sedih apabila mendapati generasi masa kini sudah tidak begitu berminat untuk mengetahui tentang sejarah keluarga mereka.

“Anak-anak muda lebih gemar bermain dengan peranti daripada bersosial dengan sanak saudara meskipun ketika berkunjung ke rumah saudara yang sudah lama tidak jumpa.

"Keadaan begini tidak boleh dibiarkan. Salasilah adalah sebahagian daripada ilmu sains sosial yang ada hubungan dengan ilmu sejarah dan amat penting diketahui keturunan dalam masyarakat manusia bertamadun, selain merapatkan silaturahim antara ahli keluarga,” ujarnya.

Tegas beliau, sejarah keluarga bukan setakat mengetahui nama dan tarikh penting membabitkan nenek moyang tetapi juga cara hidup dan sumbangan mereka terhadap bangsa, agama dan negara.

Sementara itu, Alison berkata banyak yang dipelajarinya semasa menemani bapa mengumpul maklumat tentang salasilah keluarga penduduk sesebuah perkampungan Cina.

“Tidak semua penduduk mahu memberi kerjasama kepada kami,” kongsinya, menambah pada masa sama mereka perlu memastikan segala maklumat adalah sahih sebelum didokumentasikan untuk rujukan umum.

Beliau yang kini menetap di Seri Petaling bersama-sama bapanya, berkata mereka hanya pulang sekali-sekala ke kampung halaman ketika perayaan bagi menziarahi sanak saudara selain menguruskan rumah pusaka yang ditinggal kosong.

"Kami ingin menjadikan rumah pusaka kami di Kampung Cina itu sebagai sebuah muzium mini yang mempamerkan hasil-hasil arkeologi dan bahan-bahan rujukan sepanjang 15 tahun proses penyelidikan kami tentang sejarah Cina Kelantan," katanya, menambah proses ubah suai rumah itu sedang dilakukan. 

Menurut Alison, pihaknya juga dalam proses pembikinan buku versi bahasa Melayu untuk berkongsi ilmu kepada lebih ramai pembaca pelbagai kaum, khususnya masyarakat Melayu dalam mengenali lebih dekat budaya masyarakat Cina di Kelantan.

"Kami jangka ia dapat diterbitkan pada pertengahan 2023," katanya. 

BERNAMA 

 

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan