RENCANA

GABUNGAN TRADISIONAL DAN HIPSTER DI KWAI CHAI HONG UNTUK TAHUN ARNAB

19/01/2023 10:44 AM

Oleh Soon Li Wei

KUALA LUMPUR (Bernama) --  Meskipun cuaca agak panas, namun suasana petang di lorong 'Kwai Chai Hong' yang terletak antara Lorong Panggung dan Jalan Petaling (Petaling Street) di sini tampak lebih meriah daripada biasa. 

'Kwai Chai Hong' dalam bahasa Kantonis pasar bermaksud 'Lorong Hantu Kecil' dan menjelang sambutan Tahun Baharu Cina yang akan diraikan pada 22 dan 23 Januari 2023, ia semakin menjadi tumpuan orang ramai.

Penulis dan 19 pengamal media serta pempengaruh berpeluang mengunjungi ke lorong itu sempena dengan perasmian pameran seni Tahun Baharu Cina bertemakan 'Taman Musim Bunga Puitis' (Poetic Spring Garden) atas jemputan Bai Chuan Management Sdn Bhd, iaitu syarikat yang menguruskan projek mengindahkan semula 'Kwai Chai Hong'. 

Bai Chuan Management Sdn Bhd mula menguruskan projek mengindahkan semula Lorong Hantu Kecil sepanjang sekitar 36 meter itu pada tahun 2019.


Zeen Chang, Pengarah Urusan Bai Chuan Management Sdn Bhd memperkenalkan projek 'Poetic Spring Garden' di Kwai Chai Hong.

Sebaik sahaja melangkah masuk ke pintu gerbang yang menghubungkan lorong berkenaan, penulis 'disapa' sekuntum bunga raya besar berwarna merah jambu di sebelah kanan dinding, yang turut dimeriahkan dengan hiasan rama-rama dan pelbagai jenis bunga lain, berlatarbelakangkan lampu neon. 

"Selamat Datang ke Kwai Chai Hong, di sinilah Poetic Spring Garden anda sempena sambutan Tahun Arnab Air," kata Pengarah Urusan Bai Chuan Management Sdn Bhd, Zeen Chang, sambil tangannya menunjukkan hiasan bunga serta rama-rama yang terdapat di sepanjang lorong itu. 

Pameran bertemakan taman bunga yang dihiasi dengan tanglung mini berwarna merah itu, turut diserikan dengan elemen tradisional turun-temurun masyarakat Cina, antaranya tulisan kaligrafi Gong Xi Fa Chai ditulis dengan warna hitam di atas kain rentang merah. 

Gong Xi Fa Cai ialah ayat di dalam bahasa Mandarin yang membawa maksud “Tahniah Moga Mendapatkan Lebih Kekayaan”.

Lebih menarik lagi, kain rentang yang dihiasi dengan tulisan kaligrafi itu turut digantung dengan batang buluh di tengah-tengah lorong, membolehkan sesiapa sahaja duduk di atasnya seolah-olah seperti 'buaian' di dalam taman. 

 

GABUNGAN TRADISIONAL DAN 'HIPSTER'


Hasil karya artis dan pempengaruh seni jalanan Jaemy Choong, turut menceriakan lorong 'Kwai Chai Hong'.

Menurut Chang, pihaknya mahu menonjolkan sambutan Tahun Baharu Cina dengan menggabungkan elemen moden dan tradisional untuk menarik minat golongan muda menghayati kreativiti seni budaya itu.

"Perkara inilah yang sentiasa diterapkan dalam menarik minat golongan muda untuk 'pulang' ke Kwai Chai Hong bagi melihat sendiri sejarah kegemilangan masyarakat Cina di Jalan Petaling.

"Kita boleh berjalan seiringan dengan arus pemodenan tanpa perlu mengorbankan tradisi dengan mewujudkan titik persamaan antara masa silam dengan masa hadapan," tambahnya.

Di sudut kanan lorong dengan deretan beberapa buah kedai, kelihatan sebuah pelampung besar khas berbentuk seperti seekor arnab berwarna merah jambu, di samping tanglung mini dikelilingi dengan kain rentang bertulisan kaligrafi dengan perkataan 'chun' bermakna musim bunga. 

Hasil sentuhan artis dan pempengaruh seni jalanan Jaemy Choong, 37, turut menceriakan lorong 'Kwai Chai Hong' yang dahulunya tinggal suram, pasti menambat hati pengunjung seolah-olah mereka sedang menikmati percutian di tepi pantai ketika musim panas. 

Choong yang lebih dikenali dengan nama ‘Jaemy C’ memberitahu Bernama, sudut pameran hasil karyanya yang dinamakan 'Wet Hot Spring Thing' adalah inspirasi daripada percutian beliau di tepi pantai dan mahu berkongsi suasana ceria dengan mereka yang berkunjung ke Lorong berkenaan, agar menghargai warisan Tahun Baharu Cina secara turun-temurun. 

Beliau menjelaskan,  'Wet Hot Spring Thing' adalah komposisi semua elemen baik dan positif yang ‘mengalir’ dengan kemunculan Arnab Air pada musim bunga ini. Suasana kemeriahan dicetuskan daripada imaginasi semula ‘parti kolam renang’, hiasan pelampung dan gelongsor air.

 "Saya sering mempunyai idea untuk menggabungkan sesuatu yang tradisional tetapi pada masa yang sama, elemen hipster yang sangat dekat dengan generasi baharu juga harus dijadikan sebagai permulaan untuk menarik perhatian mereka. 

"Sejak kanak-kanak lagi, saya mula mempelajari kaligrafi Cina dan secara peribadi, saya berasa sangat menghargai warisan lebih ribuan tahun ini.  Bukan senang untuk mengekalkan tradisi itu dengan peredaran masa," kata Choong yang pernah bekerja sebagai pereka grafik. 

Buat julung kalinya juga beliau membuat penampilan sulung dengan mempersembahkan hasil karyanya menerusi pameran outdoor, berbanding dengan pameran sebelumnya yang hanya tertumpu di sekitar galeri dan seni rekaan dalaman sahaja. 

"Disebabkan ia dipamerkan di outdoor, maka saya lebih bebas meluahkan kreativiti dalam menggabungkan elemen tradisional dan hipster dalam hasil karya ini dan diharapkan 'Wet Hot Spring Thing' mendapat sambutan baik daripada pengunjung 'Kwai Chai Hong'," katanya.

Beliau menjelaskan, dengan bertemakan Taman Musim Bunga Puitis, alfabet Roman dipaparkan dengan sentuhan berus kaligrafi tradisional.

"Ini juga usaha untuk menyantuni masyarakat Malaysia yang mempunyai pelbagai budaya dan mengetengahkan juga warisan zaman saya semasa kecil.  Tajuk yang saya pilih juga menunjukkan cuaca Tahun Baharu Cina negara kita sama ada panas terik atau hujan, atau kedua-duanya sekali," katanya.

 

HARGAI WARISAN TURUN-TEMURUN


Antara sudut di Kwai Chai Hong yang mempamerkan buaian menggunakan kain rentang merah dengan kaligrafi Cina.

Sementara itu, Pengarah Urusan Bersama Bai Chuan Management Sdn Bhd Javier Chor berkata, pihaknya berbesar hati kerana projek Kwai Chai Hong mendapat kerjasama ramai artis tempatan bagi mengangkat seni warisan masyarakat Cina. 

"Selain itu, kami juga mahu lebih ramai generasi muda untuk berkunjung ke tempat bersejarah dan menghargai usaha nenek moyang dalam memartabatkan warisan dan budaya secara turun-temurun, lebih-lebih lagi di tengah-tengah ibu kota yang dikelilingi dengan bangunan pencakar langit.

"Bukan sahaja ketika sambutan Tahun Baharu Cina, malah perayaan Kuih Bulan yang menjadi sambutan kedua terbesar masyarakat Cina juga turut kami ketengahkan di Kwai Chai Hong dengan pelbagai aktiviti menarik dan kerjasama dengan artis serta pihak berkuasa tempatan.

“Golongan artis turut berkongsi minat mendalam kami untuk mengekalkan warisan serta budaya zaman silam sejak projek ini dilancarkan pada tahun 2019," katanya. 

Chor menambah, pihaknya berharap dapat menggunakan platform berkenaan untuk mengalu-alukan lebih ramai artis daripada berbilang kaum serta latar belakang untuk bekerjasama mengenengahkan hasil seni mereka.  Warisan serta kebudayaan Cina bukan sahaja untuk orang Cina tetapi untuk semua rakyat Malaysia.

"Melaksanakan projek ini adalah satu cabaran untuk kami semua daripada peringkat perancangan sehingga pelaksanaan. Semuanya perlu dibuat dengan cepat tetapi masing-masing komited untuk menjadikannya satu kenyataan dan melihat impak positif projek ini, " katanya.

Menurut Chor, projek yang mula dirancang sejak September 2022 ini diharapkan bukan sahaja menjadi pusat tumpuan artis, jurugambar dan instagrammers tetapi juga tarikan pelancong.

"Bagi kami, usaha untuk mengekalkan kewujudan serta sejarah tempat ini menampakkan kejayaan. Usaha ini akan kami teruskan dengan lebih banyak perayaan serta sejarah untuk orang ramai menikmatinya pada masa hadapan, " katanya.

Lorong Hantu Kecil (Kwai Chai Hong) kini dibuka kepada orang ramai setiap hari dari pukul 9 pagi hingga pukul 12 tengah malam, manakala pameran seni 'Poetic Spring Garden' berlangsung dari 6 Januari hingga 12 Februari ini. Masuk adalah percuma. 

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan