RENCANA

COP15: TIDAK SEMUA PUAS HATI DENGAN KANDUNGAN KUNMING-MONTREAL GBF

29/12/2022 11:25 AM

Oleh Soon Li Wei

Artikel ini bersempena  2022 CBD COP15 Fellowship anjuran  Internews' Earth Journalism Network.

MONTREAL (Kanada) (Bernama) -- Selepas empat tahun berunding termasuk penangguhan disebabkan pandemik COVID-19, Rangka Kerja Biodiversiti Global (GBF) Kunming-Montreal akhirnya dipersetujui oleh negara peserta  mesyuarat ke-15 Persidangan Parti-Parti (COP15) Konvensyen Kepelbagaian Biologi (CBD) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di sini, awal pagi 19 Dis waktu tempatan.

 Perjanjian itu menyaksikan negara peserta bersetuju, antara lain, menerima guna 23 sasaran yang ditetapkan bagi memulihara alam semula jadi dan melindungi serta mencegah kepupusan spesies menjelang 2030.  

GBF yang bertunjangkan Matlamat 30x30, menuntut komitmen negara peserta untuk memulihara sekurang-kurangnya 30 peratus daripada daratan, perairan pedalaman, kawasan pantai dan lautan global, serta mengembalikan 30 peratus kawasan daratan dan persekitaran marin yang telah mengalami kemerosotan.  

Kira-kira 17,000  perwakilan, termasuk media dan aktivis, dari 196 negara berhimpun di sini selama dua minggu sejak 7 Dis lepas, sebelum China selaku Presiden COP15, mengumumkan keputusan muktamad tentang GBF itu.

 

PENANTIAN MALAM TERAKHIR 


Menteri Ekologi dan Alam Sekitar China Huang Runqiu (tiga dari kanan, depan). --Gambar ihsan UNCBD COP15

Menteri Ekologi dan Alam Sekitar China Huang Runqiu yang mempengerusikan sesi pleno terakhir bagi memuktamadkan draf GBF mengumumkan negara peserta mencapai kata sepakat pada 3.30 pagi waktu tempatan (4.40 petang waktu Malaysia) 19 Dis, iaitu kira-kira enam jam selepas ia sepatutnya diputuskan pada 9.30 malam.

 “Pakej perjanjian dipersetujui,” umum Huang sambil mengetuk penukul, isyarat sidang itu tamat, selepas menghabiskan kira-kira sejam membaca setiap sasaran di bawah GBF, membawa andaian semua negara peserta menerima perjanjian tersebut tanpa sebarang bantahan. 

Namun, menyusuli pengumuman China itu yang disambut tepukan gemuruh peserta di dalam dewan persidangan, berlegar cerita tentang Huang tidak mengendahkan bantahan yang dikemukakan oleh Congo beberapa minit sebelum beliau mengumumkan GBF disepakati.

Keesokan harinya Huang dilihat menghampiri Menteri Alam Sekitar Congo Eve Bazaiba dan bersalaman dengan wanita itu, tindakan yang boleh dianggap sebagai permohonan maaf oleh Huang.

Dalam responsnya kemudian, Bazaiba memuji rakan sejawatannya itu serta mengakui draf akhir perjanjian disepakati pada sidang pleno terakhir tersebut. 

 

IPLCs SOKONG GBF 


Menteri Alam Sekitar Congo Eve Bazaiba (tengah). --Gambar ihsan UNCBD COP15

Forum Orang Asli Antarabangsa mengenai Biodiversiti (IIFB) memuji teks perjanjian yang disifatkannya sebagai “tegas dari segi menghormati hak Orang Asli dan komuniti setempat”.

Pengerusi Bersama IIFB Lucy Mulenkei berkata pertubuhan itu gembira dengan pengiktirafan terhadap sumbangan, peranan, hak dan tanggungjawab Orang Asli dan komuniti setempat (IPLCs) kepada bumi yang diberikan oleh Kunming-Montreal GBF. 

"IPLCs puas hati kerana, akhirnya, kami diiktiraf. Kini, dengan hampir kesemua syor yang kami bentang dan runding dicerminkan (dalam GBF), kami pulang dengan rasa gembira dan bersedia untuk melaksanakannya. Kami gembira kerana tidak berputus asa walaupun ketika berdepan saat sukar.

“Kami akan mara dan pastikan kejayaan pelaksanaan GBF,” katanya dalam kenyataan.

Ahli Jawatankuasa Pemegang Amanah Rakan Kongsi Organisasi Masyarakat di Sabah (PACOS Trust) Gordon Thomas turut meraikan keterangkuman hak-hak Orang Asli dalam Sasaran 3, iaitu melindungi satu pertiga daripada daratan dan lautan dunia yang turut digelar sebagai Matlamat 30x30.

Bercakap kepada Bernama selepas perasmian penutupan sesi pleno, perwakilan berketurunan Dusun-Tatana itu berharap inti pati GBF akan disebar luas kepada seluruh penduduk Sabah.

“Kami akan bekerja dengan kerajaan negeri dan pusat bagi melaksanakan 30x30,” katanya yang juga ahli konsortium Wilayah Dipulihara Orang Asli dan Komuniti (ICCAs).

 

DETIK MEMERANJATKAN 


Ahli Jawatankuasa Pemegang Amanah Rakan Kongsi Organisasi Masyarakat di Sabah (PACOS Trust) Gordon Thomas. --Gambar oleh Soon Li Wei

Walaupun kebanyakan negara dan persatuan gembira dengan perjanjian itu, ada perwakilan dan pemerhati menyuarakan rasa hampa dengan sesetengah istilah dalam draf akhir yang dipersetujui hanya dalam tempoh semalaman tersebut.

Pemerhati dari Malaysia Syed Mohazri Syed Hazari yang juga Ketua Projek bagi DHI Water and Environment Sdn Bhd, berkata walaupun amnya beliau menyambut baik kata sepakat yang dicapai, ada beberapa sasaran yang dirasakannya tidak memenuhi harapan mereka.

Mengambil contoh Sasaran 15, beliau berkata perniagaan seharusnya diminta menilai dan mendedahkan bagaimana mereka memberi impak kepada kemerosotan alam sekitar serta bagaimana kemerosotan itu menjejaskan mereka.

Namun perjanjian tidak memperuntukkan hal itu sebagai mandatori.

“Kami telah, secara aktif selama ini, mendesak agar syarikat awam dan swasta diwajib mendedahkan risiko yang dibawa mereka dan impak serta kebergantungan mereka terhadap alam sekitar dalam semua perundingan dan mesyuarat kumpulan kerja yang saya hadiri sejak 2019. 

“Walaupun kecewa kerana angka yang kami sasarkan untuk mengurangkan impak negatif hingga separuh dikeluarkan daripada perjanjian akhir, Sasaran 15 masih dalam bentuk isyarat keras kepada komuniti perniagaan global.

“Justeru, kami akan terus mendesak agar hal ini dijadikan mandatori kepada semua perniagaan di Malaysia melalui perbincangan meja bulat bersama-sama sektor swasta dan awam,” kata Syed Mohazri yang juga Pengerusi Interim Platform Malaysia bagi Perniagaan dan Biodiversiti (MPPB) kepada Bernama.

 

MANFAATKAN ACRF UNTUK LAKSANA GBF DI ASEAN 


Pemerhati dari Malaysia Syed Mohazri Syed Hazari yang juga Ketua Projek bagi DHI Water and Environment Sdn Bhd (kiri). --Photo courtesy of Syed Mohazri

Pengarah Eksekutif Pusat ASEAN bagi Biodiversiti Dr Theresa Mundita Lim berkata hanya tiga daripada 10 negara ASEAN, iaitu Filipina, Kemboja dan Thailand, menyokong Matlamat 30x30 serta menyertai High Ambition Coalition (HAC) untuk Alam Semula Jadi dan Manusia bagi menerima guna GBF.

Menurutnya, pada peringkat awal perundingan, sesetengah negara yang kaya biodiversiti enggan memberi komitmen kepada Matlamat 30x30 disebabkan isu dana dan pelaksanaan.

 "Bagaimanapun, negara anggota ASEAN telah menerima guna pelan bagi memastikan kekayaan sumber biologi diuruskan secara lestari berpandukan Rangka Kerja Pemulihan Komprehensif ASEAN (ACRF) dalam usaha merealisasikan matlamat Kunming-Montreal GBF.

“Sekalipun hanya mewakili tiga peratus daripada keseluruhan daratan dunia, rantau ASEAN adalah hos kepada hampir 20 peratus spesies yang dikenal pasti di dunia dan boleh ditemukan di tiga daripada 17 negara dengan kepelbagaian biologi mega, iaitu Malaysia, Indonesia dan Filipina.

“Ia merangkumi hampir 30 peratus daripada spesies batu karang dunia, 60 peratus tanah gambut tropika dunia dan lebih 40 peratus kawasan paya bakau dunia,” jelasnya.

Malaysia, menerusi Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan (NPBD) 2016-2025 menyasarkan untuk memulihara hanya 20 peratus kawasan daratan dan perairan pedalaman serta 10 peratus kawasan pantai dan marin menjelang 2025.

Menurut Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim yang disampaikan oleh wakilnya selaku ketua delegasi Malaysia Dr Khairul Naim Adham semasa segmen peringkat atasan di COP15, usaha meminda NPBD 2016-2025 sedang dilakukan agar ia selaras dengan Kunming-Montreal GBF. 

BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan