RENCANA

PERLU UNDANG-UNDANG LEBIH KETAT PERANGI SINDIKET PERHAMBAAN MODEN

26/09/2022 11:32 AM

Oleh Balkish Awang

Sindiket pemerdagangan manusia melibatkan penjualan pembantu rumah berterusan biarpun ketika negara berhadapan pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Ramai dilaporkan berputih mata akibat ditipu dan menanggung kerugian ribuan ringgit.

Dalam siri akhir daripada dua bahagian ini, wartawan Bernama Balkish Awang mendapatkan pandangan Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) dan Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) .

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Kos sehingga RM15,000 untuk pembantu rumah!

Sebanyak itulah yang perlu disediakan jika ada sesiapa di negara ini yang mahu mengambil pembantu rumah atau amah sehinggakan ramai yang terpaksa memilih ejen tidak berdaftar kerana harga yang ditawarkan jauh lebih murah.

Menurut Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim, faktor harga tinggi mendorong sindiket pemerdagangan orang bertindak liar dan rakus dengan kegiatan ‘menjual pembantu rumah’.

"Mereka ini (ejen tidak sah) bersekongkol dengan pembantu rumah untuk menipu majikan yang terdesak mahukan pembantu rumah dengan keuntungan dikongsi bersama. Kebiasaan kos yang diambil oleh agensi swasta tidak berdaftar ini sekitar RM7,000.

“Bayangkan jika dalam sebulan, pembantu rumah yang sama ini boleh menipu dan melarikan diri selepas berkhidmat beberapa hari di tiga rumah majikan yang berbeza, mereka sudah memperoleh RM21,000," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

 

TURUNKAN KOS


Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) Datuk Hishamuddin Hashim

Mengulas lanjut, Hishamuddin berkata atas faktor itu, kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia perlu menimbangkan langkah untuk penurunan kos dalam menangani isu ditipu ejen berhubung khidmat pembantu rumah.

"Keperluan terhadap pembantu rumah sangat mendesak ketika ini ditambah rata-rata pasangan suami isteri di Malaysia bekerja. Dengan kos yang mahal (RM15,000) mana ada yang mampu untuk bayar dan tiada jaminan pun pembantu rumah ini tidak lari walau setelah bayaran dibuat.

“Ada kes yang kerja tiga bulan, empat bulan,  kemudian lari juga. Atas sebab itu ramai orang memilih untuk tidak mengambil pembantu rumah menerusi agensi pekerja asing yang berlesen di bawah Kementerian Sumber Manusia dan kedutaan," katanya.

Beliau menambah, kementerian berkenaan perlu mengadakan perbincangan untuk mengurangkan kos pengambilan pembantu rumah dengan harga yang lebih sesuai bagi menggalakkan pemilihan serta pengambilan pembantu rumah daripada agensi yang berdaftar.

Dari aspek penguatkuasaan pula, beliau berpandangan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) boleh melaksanakan satu sistem penandaan bagi mengesan amah yang melarikan diri.


Ibu pejabat Jabatan Imigresen Malaysia (JIM). Kredit gambar JIM

"Apabila pembantu rumah lari, kita tidak tahu hendak cari di mana. Saya cadangkan perlu ada aplikasi seperti MySejahtera untuk mengesan pekerja asing ini di mana lokasi mereka. Jika dia lari ke mana-mana, perlu ada satu kaedah untuk mengesan di mana mereka lari supaya mereka yang lari daripada majikan (majikan yang tidak mempunyai apa-apa kesalahan menindas, menzalimi) ini dikenakan tindakan," katanya. 

Menurut beliau, kaedah senarai hitam tidak berapa berkesan kerana ada pekerja asing yang tidak mempedulikan perkara ini dan tetap menetap di negara ini, terus bekerja di sini sehingga tempoh enam tahun, kemudian pulang ke negara asal setelah membayar kompaun.

 

AMARAN KERAS PEKERJA ASING

Bagi mengatasi pekerja asing yang melarikan diri tanpa alasan yang munasabah, Hishamuddin berkata, kerajaan perlu menguatkuasakan undang-undang yang ketat di samping memberi amaran keras kepada mereka.

Masih isu pembantu rumah lari, beliau berkata, ianya berlaku kerana ada yang mengambil kesempatan masuk ke negara ini untuk bekerja sebagai pembantu rumah kerana ini cara paling mudah untuk mendapat permit kerja. 

"Pekerja asing ini masuk sebagai pembantu rumah kerana untuk memudahkan mereka memperoleh visa dan permit pekerjaan. Apabila sudah dapat permit kerja sebagai pembantu rumah, amah ini kemudian lari kerana tidak mahu duduk di rumah orang kerana mahukan kebebasan dengan bekerja di sektor lain seperti tukang cuci, pekerja salon dan restoran.

"Tetapi visa mereka bukan sebagai kerja yang sedang mereka lakukan. Mereka ini telah menyalahgunakan permit kerja kerana bidang paling mudah mendapat pas pekerjaan ialah menerusi kerja sebagai pembantu rumah," katanya dengan menambah, pekerja asing perlu diberi amaran keras bahawa mereka tidak boleh sewenang-wenangnya menukar kerjaya lain kerana ia melanggar peraturan di bawah Seksyen 39B Akta Imigresen iaitu menyalahgunakan permit. 

Hishamuddin menjelaskan, pembantu rumah yang mahu menukar pekerjaan mereka, contoh sebagai tukang cuci perlu pulang dan membatalkan dahulu pas atau permit dan kemudian membuat permohonan baharu untuk pekerjaan baharu.

“Majikan yang tertipu dengan pekerja melarikan diri ini membuat aduan dengan JIM untuk membatalkan pas pekerja dan disenaraihitamkan,” katanya.

 

PAKAI PENDATANG ASING TANPA IZIN


Ketua Pasukan Petugas Khas Pejabat Strategik Nasional (NSO), Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) DSP Alif Charles Belon.

Jenayah pemerdagangan orang tidak boleh dipandang ringan kerana ia adalah jenayah yang ketiga tertinggi di dunia selepas pengedaran dadah serta penyeludupan senjata api. 

Pemerdagangan orang meliputi pelbagai aspek dan cara tindakan termasuk dalam sindiket penjualan pembantu rumah, ia tergolong dalam kelompok dagang manusia.

Menjelaskan perihal trend berkenaan, DSP Alif Charles Belon, Ketua Pasukan Petugas Khas Pejabat Strategik Nasional (NSO), Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) berkata,  jenayah pemerdagangan orang dan penyeludupan migran adalah jenayah yang berbentuk “oportunis" dan boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja tidak mengira warganegara termasuk Malaysia.

Menurut beliau, permintaan untuk khidmat pembantu rumah kembali meningkat terutama pada peringkat awal pembukaan semula sektor ekonomi dan sosial di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN).  

"Bekalan pembantu rumah yang rendah mengundang individu yang tidak bertanggungjawab untuk mengambil kesempatan dan menawarkan pembantu rumah yang tidak diuruskan dengan teratur pengambilannya," katanya.

Memberikan contoh, Alif Charles berkata, ada pendatang asing tanpa izin yang terkandas di negara ini semasa pandemik COVID-19 ditawarkan oleh individu atau ejen untuk bekerja sebagai pembantu rumah tanpa menjalani latihan asas.

"Apabila pembantu rumah berkenaan tidak dapat melaksanakan tugas, agensi sepatutnya menggantikan dengan yang lain. Dalam masa sama, majikan sudah membuat bayaran tetapi pembantu rumah tidak diganti menyebabkan majikan berasa tertipu. Disebabkan permintaan tinggi, pihak agensi akan menjual pembantu rumah yang tidak dapat bekerja dengan baik itu kepada majikan lain," katanya.

 

PERHAMBAAN MODEN


Seorang pekerja warga asing yang mengadu tidak dibayar gaji serta tempat tinggal yang tidak selesa berjaya ditemukan anggota Jabatan tenaga Kerja (JTK) ketika Operasi Penguatkuasaan Bersepadu di Bawah Undang-Undang Pemburuhan di sebuah restoran di Bandaraya Seremban. --fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

Menyifatkan jenayah pemerdagangan orang sebagai satu bentuk perhambaan moden, Alif Charles berkata, apa yang berlaku di Malaysia ini juga berleluasa di peringkat global.

Menurut beliau, modus operandi yang digunakan dalam pemerdagangan manusia ini bersifat unik dan dinamik serta boleh berlaku kepada semua lapisan peringkat tidak kira jantina, umur, status kewarganegaraan sama ada dalam negara atau merentasi sempadan negara.

"Pemerdagangan orang merangkumi aspek eksploitasi seks, eksploitasi kerja atau perkhidmatan paksa, perhambaan, pengabdian, aktiviti yang menyalahi undang-undang termasuk pemindahan organ manusia," katanya.

Dalam konteks penjualan pembantu rumah, beliau berkata jenayah melibatkan pembantu rumah tertakluk di bawah ekskploitasi kerja atau perkhidmatan paksa.

Mengikut statistik MAPO, sebanyak 252 kes melibatkan eksploitasi kerja paksa dilaporkan dari tahun 2019 hingga Jun 2022 sementara untuk ekspoitasi seks dalam tempoh yang sama sebanyak 346 kes.

Alif Charles menegaskan, kegiatan ini dilihat akan berterusan kerana masih ramai yang tidak melaporkan kepada pihak berkuasa setelah menjadi mangsa atas alasan takut di samping masih terdapat masyarakat yang tidak mempunyai pengetahuan berkaitan jenayah pemerdagangan orang dan mereka (mangsa) telah dinafikan hak secara tidak langsung.

"Masih ada mangsa yang enggan tampil menyalurkan maklumat kerana kebanyakan daripada mereka tidak mempunyai permit/dokumen yang sah dan takut ditangkap oleh agensi penguatkuasaan, " katanya.

Dalam kes di Malaysia, beliau berkata, majoriti mangsa pemerdagangan manusia terdiri daripada warga asing yang bekerja dalam pelbagai sektor ekonomi dan dieksploitasi oleh majikan yang antaranya menahan pasport serta tidak membenarkan cuti rehat atau cuti sakit.

"Selain itu keterikatan hutang, penderaan fizikal, tempoh bekerja melebihi masa yang ditetapkan dan tidak dibayar elaun lebih masa serta tidak dibayar gaji juga dikira eksploitasi," katanya.

"Dalam hal ini, pihak berkuasa yang terlibat dengan pengambilan pembantu rumah perlu memastikan agar tiada elemen pemerdagangan orang yang berlaku sama ada di peringkat majikan sendiri mahupun di peringkat rantaian bekalan,” katanya.

 

GIAT TANGANI SINDIKET


Penguatkuasa Jabatan Tenaga Kerja Negeri Perak menjalankan pemeriksaan di tempat penginapan pekerja sebuah kilang membuat jubin dalam Operasi Banteras Buruh Paksa dan Pemerdagangan Orang, di Simpang Pulai. --fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

Dalam usaha memerangi jenayah pemerdagangan orang, kerajaan, menurut Alif Charles melakukan pelbagai usaha termasuk menerusi Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Akta berkenaan mula dikuatkuasa pada 2008 dan dipinda sebanyak tiga kali iaitu pada 2010, 2015 dan 2021 bagi memperkukuhkan kerangka perundangannya serta menerapkan pendekatan berpaksikan mangsa.

Pindaan dalam Akta ATIPSOM 2007 iaitu Akta A1644 (sebelum itu dikenali Akta 670) mendapat perkenan diraja pada 19 Jan 2022, diwartakan pada 25 Jan 2022 dan dikuatkuasakan pada 25 Feb 2022. Ia meliputi 17 peruntukan yang dipinda dengan penambahbaikan membabitkan pindaan kepada tafsiran pemerdagangan orang dan pemansuhan tafsiran paksaan, peningkatan hukuman penjara dan pengenaan hukuman sebatan dan peruntukan kesalahan yang lebih berat termasuk membabitkan penjawat awam.

"Selain itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) melancarkan Pelan Tindakan Kebangsaan mengenai Antipemerdagangan Orang 2021-2025 (NAPTIP 3.0) pada 31 Mac 2021. NAPTIP 3.0 pada asasnya kesinambungan NAPTIP 2010-2015 dan NAPTIP 2016-2020 yang dibangunkan bagi menentukan hala tuju strategik nasional dalam usaha membanteras jenayah pemerdagangan orang di Malaysia," jelasnya.

Selain itu, MAPO juga menjalinkan hubungan strategik bagi memastikan keberkesanan usaha yang dijalankan iaitu sesi libat urus dengan pelbagai pihak seperti NGO,perwakilan diplomatik asing, organisasi antarabangsa dan ahli akademik di peringkat domestik serta luar negara.

Dalam usaha menangani kegiatan sindiket dagang manusia melalui taktik jual amah yang dilihat semakin menjadi-jadi ketika ini, MAPO mengharapkan semua pihak termasuk NGO komited melaksanakan inisiatif yang signifikan serta praktikal.

"Semua pihak perlu giatkan usaha dan bersatu hati serta memberikan laporan negara yang pragmatik untuk membantu meningkatkan penarafan Malaysia pada masa akan datang.

"Pada peringkat global, Malaysia dinilai berada pada Tahap 3 dalam Laporan Jabatan Negara Amerika Syarikat (JNAS) mengenai pemerdagangan orang pada tahun ini.

"Penilaian ini berada pada tahap paling rendah dan secara tidak langsung memberi kesan kepada imej serta ekonomi negara, " katanya.

Menurut beliau, semua lapisan masyarakat di negara ini perlu memberi perhatian serius kepada isu pemerdagangan orang kerana ia akan memberi impak negatif kepada perjalanan usaha yang dirancang oleh kerajaan.

Beliau juga berharap agar majikan sama ada individu atau syarikat untuk lebih bertanggungjawab terhadap kebajikan pekerja mereka .

“Memastikan pekerja mereka didaftarkan dan memiliki pas lawatan kerja sementara (PLKS) yang sah serta dibayar gaji yang menepati perintah gaji minimum serta mematuhi undang-undang dan dasar perburuhan negara. Ini termasuklah kes melibatkan pembantu rumah asing," katanya. 

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA


 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan