BERITA COVID–19   Penyelidik Taiwan temui kaedah rawat pembekuan darah pesakit COVID-19 | Pemilik premis dibenar tentukan pemakaian pelitup muka | Kementerian Kesihatan pertimbang beli vaksin COVID-19 lawan varian Omicron - Khairy | Kes baharu COVID-19 turun 16.9 peratus minggu lepas - Dr Noor Hisham | Jepun akan mudahkan prosedur kuarantin COVID-19 di lapangan terbang | 
RENCANA

Setahun Bergelar PM, Ismail Sabri Kekal Pemurah, Merendah Diri, Kata Rakan

19/08/2022 10:37 AM

Oleh Siti Salwa Shaari & Soon Li Wei

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Pemurah dan merendah diri, sikap yang menurut bekas rakan-rakan sekolahnya masih kekal pada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob walaupun sudah setahun bergelar pemimpin nombor satu negara.

“Ismail Sabri seorang yang mudah berkawan, berdisiplin dan paling diingati beliau tidak kedekut kerana sering berkongsi rezeki yang ada dengan rakan-rakan. Semasa itu, abang beliau yang belajar di Universiti Malaya, selalu datang ke asrama dengan membawa buku-buku baharu, dan setiap kali itu juga beliau tidak pernah tidak berkongsi buku tersebut dengan rakan-rakan.

"Begitu juga kalau ada kuih-muih yang dibeli atau dibawa dari rumah, ia juga akan dikongsi bersama walaupun sedikit. Beliau pasti mengajak sesiapa yang ada di asrama pada waktu itu untuk menjamah sama,” imbas Amiruslan Manaf, 63, rakan sekolah dan seasrama dengan Perdana Menteri kesembilan itu di Sekolah Menengah (SM) Air Putih, Kuantan pada 1973.


Amiruslan Manaf.

“Ismail Sabri seorang yang amat menghormati guru kerana daripada kumpulan WhatsApp alumni sekolah dan perbualan bersama rakan-rakan, (dikhabarkan) beliau masih meluangkan masa menziarahi bekas guru sekolah untuk bertanya khabar.

"Beliau masih orang yang sama… Malah beliau juga beberapa kali menghadiri sesi reunion kami walaupun sibuk dengan tugasan di Kabinet (sebagai menteri dan timbalan perdana menteri sebelum ini) atau sesekali bertanya khabar dalam kumpulan WhatsApp," kongsi  Fakhriyatie Mohd Lotfie, 63, seorang lagi rakan sekolah Ismail Sabri.


Fakhriyatie Mohd Lotfie.

 

RENDAH DIRI DALAM POLITIK


Ismail Sabri melambai ke arah orang ramai pada Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Bera 2022 di Laman Kerayong. --fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

Sikap merendah diri beliau bukan sekadar dalam pergaulan harian bersama orang-orang yang dikenali dan juga rakyat, tetapi turut terserlah dalam politik seperti yang diakui oleh pemimpin UMNO Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin.

Bercerita kepada Bernama baru-baru ini, Mohd Sharkar mengimbas tentang kesediaan Naib Presiden UMNO itu beralah dengannya apabila sanggup berpindah pangkalan politik dari Temerloh ke Bera, bahagian baharu parti yang ditubuhkan selepas persempadanan semula kawasan pilihan raya pada 2004.

“Kami merupakan timbalan ketua bahagian pada masa itu. Saya di (UMNO) Mentakab manakala Ismail Sabri di Temerloh. Apabila berlaku persempadanan semula, ia menuntut pengorbanan seorang daripada kami,” ujar Mohd Sharkar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Lanchang dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang.

Menurutnya, selepas persempadanan semula, Mentakab dikeluarkan daripada kawasan pilihan raya, menyebabkan Tun Abdullah Ahmad Badawi yang juga Presiden UMNO dan Perdana Menteri ketika itu, meminta seorang daripada mereka ke Bera, iaitu kawasan baharu pilihan raya.

“Menurutnya (Abdullah), beliau tidak boleh kehilangan dua anak muda (dalam kepimpinan UMNO) jika kami berada di bahagian yang sama (Temerloh). Ismail Sabri rela ke Bera walaupun pada waktu itu beliau sudah dikenali di Temerloh,” katanya. 

Di Bera, Ismail Sabri menjadi Timbalan Ketua Penaja UMNO Bera sebelum menang tanpa bertanding jawatan ketua bahagian itu pada pemilihan parti 2004. Beliau juga menjadi Ahli Parlimen Bera yang pertama selepas memenangi pilihan raya umum pada tahun sama. Ismail Sabri kekal mempertahankan kerusi itu hingga sekarang.

  

LATAR BELAKANG PUPUK EMPATI

Tidak sukar memahami asal-usul sifat empati Ismail Sabri itu kerana anak jati Temerloh berkenaan berasal daripada keluarga susah, dengan ibu bapanya bekerja sebagai penoreh getah. 

Beliau yang pernah berkhidmat sebagai pengamal undang-undang sebelum aktif sepenuhnya dalam politik, mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Bangau di daerah sama sebelum terpilih mengikuti rancangan khas di SM  Air Putih. 

Mengulas lanjut, Mohd Sharkar berkata hubungan baik yang terjalin di antara beliau dan Ismail Sabri bukan sahaja atas kapasiti politik, tetapi juga kerana kampung masing-masing berjiran, iaitu beliau tinggal di Kampung Bintang, sementara Ismail Sabri di Kampung Lubuk Kawah. 

Malah katanya, pemimpin nombor satu negara itu juga adalah senior beliau di Technical Institute of Kuantan yang kini dikenali sebagai Sekolah Menengah Teknik Kuantan pada 1976.

Dalam pada itu, keprihatinan Ismail Sabri terhadap golongan memerlukan bukanlah sekadar omongan untuk laporan berita. Sebaliknya, bagi penduduk di kawasan Parlimen Bera, wakil rakyat mereka itu benar-benar “menjiwai” kepayahan yang ditanggung mereka  

Penduduk Kampung Mengkarak, Md Ramzi Ariffin, 60, misalnya, mengimbas tindakan pantas Ismail Sabri menyalurkan bantuan selepas rumahnya dinaiki air hingga paras dada pada awal tahun ini.


Md Ramzi Ariffin

Malah katanya, Ismail Sabri sering berpesan kepada penduduk agar memaklumkan kepayahan mereka kepada beliau, terutama jika berhubung pendidikan anak-anak, kerana perdana menteri percaya pendidikan adalah tiket yang dapat membantu mengeluarkan keluarga daripada kemiskinan.  

"Kalau anak tiada komputer riba untuk belajar atau tiada wang untuk masuk ke universiti, beliau sering berpesan pintu pejabat beliau sentiasa terbuka... yang penting kita kena bercakap terus terang kerana yang betul-betul susah pasti dibantu," katanya yang bekerja sendiri.

 

CAKNA EKONOMI


Ismail Sabri menunjukkan harga ayam yang dijual pada harga RM5 seekor sempena Jualan Murah Semarak Ramadan pada Majlis Perasmian Pasaraya MG Coopmart-Kopbera baru-baru ini. --fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

Walaupun tidak mempunyai latar belakang ekonomi, Ismail Sabri cukup cakna dalam mengimbangi kebajikan rakyat dan ekonomi negara yang teruk terjejas dek penangan COVID-19.

Kini, seluruh dunia sedang berdepan inflasi yang dicetuskan, antara lain, oleh penularan COVID-19, dan Malaysia juga tidak terkecuali, khususnya inflasi makanan.

Jelas mendengar dan menghayati keluhan rakyat yang kini perlu menanggung peningkatan kos sara hidup, perdana menteri mengambil beberapa inisiatif termasuk menubuhkan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi bagi membantu rakyat menghadapi cabaran itu, merangka strategi serta mengkoordinasi tindakan mengatasi inflasi, khususnya dalam mengawal kenaikan harga barang dengan lebih berkesan. 

Kerajaan di bawah pimpinan Ismail Sabri juga memberi subsidi kepenggunaan merangkumi perkhidmatan air dan elektrik, minyak masak serta bantuan Keluarga Malaysia yang memperuntukkan hampir RM80 bilion untuk golongan sasaran, iaitu angka terbesar dalam sejarah negara. 

Berpendapat tindakan Ismail Sabri tersebut sebagai berani dan “cakap serupa bikin”, penganalisis ekonomi Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai menyamakan langkah yang diambil oleh perdana menteri itu dengan dasar ekonomi yang pernah dilaksanakan oleh bekas Presiden Amerika Syarikat Ronald Wilson Reagan pada era 80-an. 

(Reagan merupakan Presiden Amerika Syarikat ke-40 dari 1981 hingga 1989)

"Reagan pada asalnya bukan ahli politik ataupun pegawai kerajaan, sebaliknya seorang pelakon sebelum memasuki politik dan tiada pengalaman sebagai seorang ahli politik. 

"Namun, Reagan ada satu kemahiran penting iaitu 'execution', berani membuat keputusan untuk jangka masa panjang. Itulah yang dilakukan oleh Ismail Sabri yang melibatkan perbelanjaan besar seperti pemberian subsidi, bantuan Keluarga Malaysia sebanyak RM2,500 setahun untuk keluarga B40 dan sebagainya.

"Inilah sifat kepimpinan yang ada pada perdana menteri, walaupun beliau nampak lembut dan mesra rakyat, namun 'once he is convinced of certain things, he will execute it without fear or favour' (selepas beliau benar-benar percaya akan sesuatu perkara, beliau akan laksanakan secara saksama tanpa rasa gentar) dengan mengambil pendekatan yang pemimpin lain tidak berani melakukannya," kata Barjoyai.

 

TABUNG KHAS URUS SUBSIDI 


Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob disifatkan ramai pihak sebagai seorang pemimpin yang cukup berani dan “cakap serupa bikin”. --fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

Menyambut baik pemberian subsidi kerajaan dalam usaha mengurangkan beban rakyat, Barjoyai bagaimanapun mencadangkan agar satu tabung khusus untuk membiayai subsidi diwujudkan bagi pengurusan jangka panjang. 

"Kadar inflasi negara yang diukur menerusi Indeks Harga Pengguna (IHP) meningkat 3.4 peratus pada Jun lepas adalah dilindungi subsidi, sumbangan (subsidi) yang paling besar adalah dalam petrol dan diesel iaitu sebanyak RM35 bilion, diikuti oleh gula dan minyak.  

"Kita tidak boleh terus-menerus memberikan subsidi, malah ia akan menjejaskan belanjawan tahunan iaitu hampir RM300 bilion. Kalau RM80 bilion daripadanya digunakan untuk subsidi maka ia akan menjejaskan prestasi pembangunan negara.

"Oleh itu, perlu sebenarnya dalam jangka masa panjang diwujudkan satu tabung endowment khusus untuk membiayai segala subsidi dengan sasarannya antara RM200 bilion hingga RM500 bilion supaya hasil tahunan daripada pelaburan dalam tabung ini boleh cukup untuk membiayai program-program subsidi," katanya. 

Berhubung penetapan gaji minimum sebanyak RM1,500 yang berkuat kuasa pada 1 Mei lepas, Barjoyai berkata langkah itu bagus, namun masih tidak mencukupi dan perlu ditambah baik dari semasa ke semasa dengan mengambil kira kadar kemiskinan dan pendapatan keseluruhan rakyat.

“… ini kerana kadar kemiskinan di negara kita kini kira-kira RM2,208. Sekurang-kurangnya gaji minimum itu harus ditetapkan melebihi tahap (garis) kemiskinan iaitu lebih daripada RM2,500,” katanya yang mengusulkan kerajaan mencari kaedah bagi meningkatkan produktiviti pekerja agar selaras dengan peningkatan gaji minimum.

Peningkatan gaji minimum daripada RM1,100 dan RM1,200 kepada RM1,500 itu adalah antara langkah yang diambil oleh Ismail Sabri dalam membantu rakyat menangani kenaikan kos sara hidup.

BERNAMA 

 

 

 


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2022 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan