BERITA COVID–19   Penyelidik Taiwan temui kaedah rawat pembekuan darah pesakit COVID-19 | Pemilik premis dibenar tentukan pemakaian pelitup muka | Kementerian Kesihatan pertimbang beli vaksin COVID-19 lawan varian Omicron - Khairy | Kes baharu COVID-19 turun 16.9 peratus minggu lepas - Dr Noor Hisham | Jepun akan mudahkan¬†prosedur kuarantin COVID-19 di lapangan terbang | 
RENCANA

Dasar Sifar COVID: Pengalaman Lalui Prosedur Ketat Di China

03/08/2022 09:45 AM

Oleh Hasnah Jusid

Wartawan Bernama, Hasnah Jusid kini berada di Beijing, China untuk program China Asia Pacific Press Centre 2022 (CAPPC)  selama lima bulan atas jemputan China Public Diplomacy Association (CPDA).

NANCHANG (China) (Bernama) – Ketika negara lain sudah melonggarkan sekatan dalam pelbagai aspek, China negara pertama yang merekodkan kes COVID-19 di dunia, masih belum membuka sepenuhnya sempadan kepada pengembara antarabangsa.

Ketika ini, China menjadi antara negara yang mengamalkan peraturan berkaitan COVID-19 terketat di dunia dan masih lagi kekal dan bertegas dengan dasar sifar COVID-19.

Peraturan ketat ini penulis lalui sendiri sebaik menjejakkan kaki di Lapangan Terbang Antarabangsa Nanchang, Changbei pada 17 Julai lepas. Proses sebelum penulis dilepaskan ke pusat kuarantin mengambil masa kira-kira tiga jam.


Pengembara yang tiba di China perlu melalui pelbagai prosedur ketat sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Nanchang Changbei. Pengembara perlu sentiasa memastikan penjarakan fizikal dijaga dan menjalani pemeriksaan suhu terlebih dahulu. Kredit gambar Hasnah Jusid.

Malah, penulis berasa gerun melihat petugas di lapangan terbang termasuk kakitangan kesihatan, imigresen dan kastam di sana masih lengkap menyarung pakaian pelindung diri (PPE)

Situasi ini ini turut mengingatkan penulis ketika petugas barisan hadapan negara bergelut dengan pandemik COVID-19 terutama pada tahun pertama penularannya apabila kerajaan turut mengambil langkah yang sama.

Apa yang penulis lalui ini amat jauh berbeza berbanding ketika kali pertama penulis menjejakkan kaki ke China, tiga tahun lepas, sebelum menular COVID-19.

Ketika itu, penulis bersama 11 rakan orang pengamal media termasuk dari Indonesia, menyertai program ASEAN Elites China Tour 2019, atas jemputan China International Publishing Group (CIPG).

Kemasukan bagi pengembara asing sewaktu itu agak mudah, hanya pasport dan visa diperlukan, malah, tempoh masa bagi melepasi segala prosedur ditetapkan di lapangan terbang hanyalah kira-kira sejam.

 

PERSEDIAAN SEBELUM KE CHINA


Seorang pengembara melakukan pemeriksaan kesihatan COVID-19 di Lapangan Terbang Nanchang Changbei. Kredit gambar Hasnah Jusid.

Ibarat sudah ‘mengantuk disorongkan bantal’, peluang sekali lagi berkunjung ke negara ekonomi kedua terbesar dunia ini bagi mengikuti program China Asia Pacific Press Centre 2022 (CAPPC) untuk tempoh lima bulan cukup bermakna kepada penulis.

Undangan daripada China Public Diplomacy Association (CPDA) bersama dua lagi orang wartawan Malaysia membolehkan kami memasuki negara berpopulasi 1.4 bilion itu bermula 17 Julai lepas dan dijangka pulang ke tanah air, pada November depan.

Ketika ini hanya warganegara China dan warga asing yang mempunyai permit kediaman sah dan beberapa jenis visa khas sahaja dibenarkan masuk dan penerbangan kami dari Malaysia juga turut tertunda selama sebulan yang sepatutnya dijadualkan berlepas pada 17 Jun.

Penerbangan itu dibatalkan gara-gara terdapat lima kes positif COVID-19 yang melibatkan sebuah syarikat penerbangan, dua minggu sebelum tarikh penerbangan kami.

Menurut circuit breaker order yang ditetapkan Civil Aviation Administration China (CAAC), semua penumpang yang masuk ke China wajib menjalani ujian COVID-19 dan jika lima atau lebih penumpang pada penerbangan tersebut didapati positif, operasi syarikat penerbangan itu boleh digantung selama seminggu. 

Sekiranya lebih daripada 10 penumpang dalam satu penerbangan positif, penggantungan boleh dikenakan selama empat minggu. 


Wartawan dari luar negara yang menyertai program CAPPC 2022 di Nanchang, China telah dikuarantin di sebuah hotel di sini selama tujuh hari sebaik tiba di lapangan terbang selepas semua proses selesai. Kredit foto Hasnah Jusid.

Bagaimanapun ada hikmah di sebalik kejadian itu, memandangkan pada penghujung Jun 2022, China melonggarkan sedikit sekatannya dengan mengurangkan kuarantin mandatori 14 hari bagi sesiapa yang memasuki China kepada seminggu, manakala tempoh pemantauan kendiri berikutnya selama tujuh hari dikurangkan kepada tiga hari.

Sebelum tarikh penerbangan, kami perlu menjalani ujian COVID-19 RT-PCR 48 jam dan 24 jam sebelum berlepas serta memuat naik keputusan ujian tersebut dengan bukti vaksinasi lengkap, jadual perjalanan dan salinan pasport di dalam sebuah laman web sebelum disemak oleh Kedutaan China di Malaysia. Ini adalah untuk mendapatkan Health Declaration Certificate (HDC) dalam bentuk kod QR yang mempunyai tempoh tamat tertentu.

HDC amat penting kerana warna yang ditunjukkan di dalam kod QR berkenaan menjadi penentu sama ada seseorang penumpang itu dibenarkan menaiki pesawat ataupun tidak, dan dalam situasi ini, ia perlulah berwarna hijau yang bermaksud semua syarat dipenuhi.

Tiba hari berlepas, debaran bertukar kelegaan sebaik melangkah masuk ke dalam pesawat apabila penulis disambut mesra oleh pramugari dan pramugara yang lengkap dengan pakaian PPE, berbeza dengan kebanyakan kru kabin syarikat penerbangan lain yang sudah kembali ‘memperagakan’ pakaian rasmi mereka.  

Sepanjang penerbangan, dari semasa ke semasa, kru kabin memeriksa suhu badan kesemua penumpang.  Penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Nanchang Changbei (sejauh 3,269 kilometer) mengambil masa 4 jam 24 minit.

Tepat pukul 8:52 malam (waktu sama dengan Malaysia),  pesawat Shanghai Airlines yang kami naiki akhirnya sampai ke destinasi.

Nanchang adalah ibu kota wilayah Jiangxi dengan jarak kira-kira, 1,400 kilometer perjalanan darat ke Beijing, atau 2 jam 15 minit menerusi penerbangan udara.

 

PROSEDUR KETAT  DI LAPANGAN TERBANG


Antara wartawan yang menyertai program China Asia Pacific Press Center 2022 (CAPPC) di Nanchang, China sebaik tiba di lapangan terbang di sini. Bagasi mereka akan dibersihkan sebelum mereka menaiki bas yang akan membawa mereka ke pusat kuarantin. Kredit foto Hasnah Jusid.

Sebaik tiba di lapangan terbang, sekali lagi kami terpaksa melalui proses yang ketat. Kesemua penumpang yang baharu turun diberikan nombor giliran, sebelum diminta berbaris mengikut kumpulan berdasarkan nombor masing-masing bagi tujuan pengambilan suhu.

Proses itu diteruskan dengan kami diminta ke kaunter pemeriksaan Health Declaration Code dan di sinilah penulis berhadapan kesukaran kerana tersalah memasukkan nombor penerbangan pada borang digital. 

Ibarat seperti ayam dengan itik, hampir 10 minit juga penulis cuba memahami apa yang diisampaikan oleh pegawai bertugas kerana kekangan bahasa, namun akhirnya, dapat diselesaikan dengan bantuan seorang kakitangan yang boleh berbahasa Inggeris. 

Setelah selesai, penulis perlu sekali lagi menjalani ujian RT-PCR, walaupun ketika itu tempoh keputusan ujian RT-PCR terakhir penulis belum pun sampai 48 jam, ia merupakan satu prosedur yang wajib untuk semua pengembara yang baru tiba.  

Di kaunter pemeriksaan imigresen pula, segala dokumen termasuk kad perakuan media penulis dan surat berkaitan bagi urusan di China juga disemak pegawai imigresen yang bertugas di kaunter.

Sepanjang beratur bagi menunggu setiap satu-satu urusan, petugas sentiasa memantau penjarakan fizikal antara individu dan memastikan semua patuh kepada prosedur operasi standard yang ditetapkan.

Kesemua proses berkenaan memakan masa kira-kira tiga jam.

“Tiga jam. Geram juga dengan red tape, terutamanya perlu mengisi borang itu dan ini. Semua ni tak ada masa dua kali saya datang ke sini. Dalam tempoh sejam semua selesai. Tapi saya faham mengapa ia perlu dilakukan, ” kata Vincent Cheong Jia Wei , wartawan Sin Chew Daily yang turut serta dalam program ini. 

 

PENGALAMAN KUARANTIN DI CHINA


Makanan tiga kali sehari disediakan kepada setiap pengembara yang dikuarantin dan ia diletakkan di atas tempat khas. Kredit gambar Hasnah Jusid.

Setelah segala proses selesai, kami kemudiannya dibawa menaiki bas menuju ke pusat kuarantin yang terletak kira-kira 45 minit perjalanan dari lapangan terbang berkenaan. 

China menetapkan pengembara antarabangsa menjalani kuarantin berpusat di hotel yang ditetapkan kerajaan dengan kos perlu ditanggung individu.

Kami perlu menjalani kuarantin selama tujuh hari di sebuah hotel di Nanchang dan sejurus tiba di pusat kuarantin berkenaan, kesemua beg dan bagasi disanitasi. Kami juga diarahkan terus masuk ke bilik masing-masing.

Petugas di hotel akan datang ke bilik bagi melakukan ujian COVID-19 setiap hari pada pukul 8.30 pagi, manakala pemeriksaan suhu badan pula pada 3 petang, selain turut menghantar sarapan, makan tengahari dan makan malam. 

Individu yang positif akan dihantar terus menjalani kuarantin di fasiliti kesihatan yang ditetapkan kerajaan China. Syukur tiada yang positif sepanjang tempoh berkenaan.

Kami juga perlu mengisi borang pendaftaran perjalanan untuk pelepasan orang daripada pengasingan dengan memasukkan segala butiran destinasi seterusnya, maklumat diri serta maklumat perjalanan seperti nombor tiket penerbangan atau kereta api.

Pihak pengurusan hotel juga turut menguruskan kenderaan dari pusat kuarantin ke stesen kereta api, bas atau lapangan terbang berdasarkan kesemua maklumat tersebut setelah tempoh kuarantin berakhir.

Ketika ini, setiap individu perlulah menunjukkan kod hijau pada aplikasi seakan MySejahtera Malaysia, bagi membuktikan mereka bukan kes positif atau kontak rapat sebelum melakukan sebarang perjalanan atau berada di tempat awam.

Individu juga perlu membuat ujian COVID-19 setiap dua atau tiga hari sekali.

 

DASAR SIFAR COVID


Wakil media diberi makan tiga kali sehari di sebuah hotel yang berfungsi sebagai pusat kuarantin untuk pelancong ke Nanchang, China. Makanan halal turut disediakan untuk pelancong Islam. Kredit foto oleh Hasnah Jusid.

Dasar yang dikuatkuasakan China ini bertujuan memastikan kes positif di peringkat komuniti pada tahap paling minimum melalui langkah seperti perintah berkurung, sekatan perjalanan, ujian COVID-19 secara meluas dan kuarantin berpusat bagi mereka yang didapati positif. 

Walaupun Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan China untuk mempertimbangkan semula pelaksanaan dasar berkenaan, namun China tetap bertegas dengan pendiriannya dan menyatakan bahawa inisiatif itu berjaya mengurangkan angka kematian dan kes COVID-19 berbanding negara barat. 

Ia sama sekali berbeza dengan Malaysia dan kebanyakan negara di dunia yang ketika ini sudah pun memberikan banyak kelonggaran perjalanan, pembukaan sempadan antarabangsa berfasa, kuarantin di rumah, selain pembukaan sepenuhnya aktiviti ekonomi.

Ini selari dengan keputusan negara untuk memasuki fasa peralihan ke endemik bermula 1 April 2022, berikutan kejayaan program vaksinasi COVID-19 dan sistem perkhidmatan kesihatan yang berada pada tahap terkawal. Tiada juga lagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

“Malaysia dan China mengamalkan strategi yang sama untuk menangani pandemik COVID-19 ini pada peringkat awal dengan menguatkuasakan perintah berkurung, kuarantin dan rawatan sementara menunggu perolehan vaksin. Bagaimanapun kemudiannya, kita memilih jalan 'hidup dengan COVID’, sementara China bertegas dengan strategi sifar COVID.

“Kedua-duanya ada kebaikan dan keburukan, tetapi dasar sifar COVID hanya boleh dilaksanakan dengan sokongan rakyat. Jelas China tidak mempunyai masalah dengan perkara ini,” demikian pandangan Vincent. 

Semoga perjalanan program kami akan dipermudahkan sepanjang berada di sini dan kami juga kena bersedia dengan apa juga kemungkinan atau peraturan ketat lain yang ditetapkan kerajaan China dalam mencapai sasaran sifar COVID-19.

Sepanjang program ini, CIPCC antaranya akan menganjurkan syarahan mengenai pembangunan sosioekonomi, diplomasi, kebudayaan, sains dan teknologi, menganjurkan latihan kewartawanan dan latihan amali dengan media China dan juga lawatan ke wilayah-wilayah terpilih. Kami juga berpeluang membuat liputan acara utama domestik dan diplomatik di China.

 

Disunting dan diterjemah oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA

 

 

 

 


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2022 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan