BERITA COVID–19   Kes COVID-19 meningkat, Itali perketat protokol kesihatan | Canberra hadapi gelombang baharu COVID-19 - Kementerian Kesihatan | Singapura lapor kematian pertama bawah umur 12 tahun akibat COVID-19 | Tiada SOP tambahan laksana ibadah korban tahun ini - MAIK | COVID: Kes baharu meningkat, kematian menurun minggu lalu - Noor Hisham | 
RENCANA

Capaian Internet Berkualiti Galak Kembang Ekonomi Digital

23/05/2022 03:57 PM

Oleh Mohamad Bakri Darus

KUALA LUMPUR (Bernama) --  Usaha kerajaan meningkatkan kualiti capaian Internet, terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman, membuka ruang kepada rakyat untuk memanfaatkan teknologi terkini dalam aktiviti harian mereka khususnya dalam sektor ekonomi digital, sosial dan pendidikan.

Diklasifikasikan sebagai keperluan asas rakyat, penyediaan perkhidmatan Internet berkualiti menjadi agenda utama kerajaan yang dilaksanakan menerusi  Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), merangkumi pembinaan menara komunikasi baharu di seluruh negara serta naik taraf kepada teknologi rangkaian 4G.

Perkhidmatan Internet jalur lebar talian tetap juga tidak lagi hanya bergantung pada Internet mudah alih, sebaliknya turut disediakan menerusi jalur lebar satelit termasuk di kawasan pedalaman seperti perkampungan Orang Asli.

 

PERKASA USAHAWAN KECIL

Antara yang menerima manfaat daripada usaha kerajaan ini ialah komuniti usahawan ekonomi digital yang bergantung pada kecekapan Internet untuk menjalankan perniagaan, dan mereka termasuk warga Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi).

Setakat 31 Mac lepas, terdapat 909 PEDi beroperasi di seluruh negara dan kerajaan akan terus menambah bilangannya dengan sasaran sebanyak 1,088 PEDi dapat diwujudkan menjelang akhir 2023.


Jiehada Ematullah Addul Kapoor, Ikon Usahawan PEDi Felda Pasak Kota Tinggi, Johor. --fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

Berkongsi pandangan, Ikon Usahawan PEDi Felda Pasak, Kota Tinggi, Johor, Jiehada Ematullah Abdul Kapoor, 32, yang menjalankan perniagaan kosmetik dan makanan, berkata capaian Internet yang stabil dan berkualiti amat penting untuk menjalankan perniagaan dalam talian.

Melalui bimbingan dan latihan di PEDi Felda Pasak, beliau kini mahir merakam dan menyunting gambar serta video untuk tujuan promosi melalui pelbagai aplikasi media sosial selain tahu menggunakan platform pemasaran dalam talian.


Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa (depan dua, kanan) melancarkan satelit jalur lebar (VSAT WiFi) pada Program Kembara Connectivity Sarawak di Rumah Panjang Baki Kampung Sebayang, Tanjung Manis. --fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

"Untuk memuat naik video ke media sosial memerlukan capaian Internet yang laju dan kami menyokong usaha kerajaan dan syarikat telekomunikasi untuk menaik taraf perkhidmatan Internet," katanya. 

Bagi Ikon Usahawan PEDi Felda Kahang Barat, Johor, Siti Muaizal Md Yassin, 44, pula, beliau teruja menunggu siap projek jalur lebar yang kini dalam pelaksanaan di kawasan berkenaan.

Menurut usahawan kerepek peria itu, beliau memanfaatkan sepenuhnya pelbagai aplikasi dalam talian, membolehkan produknya dipasarkan hingga ke luar Johor.

Sementara itu, Ketua Peneroka Felda Kahang Barat, Mohd Isa Yaaman berkata usaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) menaik taraf perkhidmatan Internet amat bertepatan dengan keperluan semasa, dan capaian Internet yang berkualiti dapat memberi manfaat kepada kira-kira 1,250 penduduk di felda tersebut. 

 

‘KEMBARA CONNECTIVITY’


Seorang jurutera telekomunikasi sedang melakukan pemeriksaan rutin pada peralatan di menara telekomunikasi yang baharu di Kampung Orang Asli Sunggala, Port Dickson. --fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

Bagi meninjau kualiti capaian Internet, infrastruktur komunikasi serta jaringan digital di setiap negeri, Menteri Komunikasi dan Multimedia (MenKOMM) Tan Sri Annuar Musa turun padang dari Sabah hingga ke Perlis melalui ‘Kembara Connectivity’.

Beliau turut melihat kemudahan yang disediakan di PEDi Felda Pasak dan Felda Kahang Barat serta beberapa lokasi di negeri lain dalam usaha menggalakkan penyertaan usahawan mikro, kecil dan sederhana dalam program ekonomi digital.

Pada lawatan itu, beliau juga memberi penerangan kepada pemimpin komuniti pelbagai peringkat mengenai usaha yang sedang dilakukan oleh kerajaan bagi meningkatkan kualiti capaian Internet serta peluang untuk rakyat meraih manfaat daripada ekonomi digital.

Antaranya berhubung JENDELA yang bertujuan menyediakan kesalinghubungan digital berkualiti kepada seluruh rakyat Malaysia yang dilaksanakan dalam dua fasa.

Fasa 1 (sedang berlangsung hingga akhir tahun ini) bertujuan meluaskan liputan 4G daripada 91.8 peratus kepada 96.9 peratus menjelang akhir tahun ini di kawasan berpenduduk, meningkatkan purata kelajuan jalur lebar mudah alih dari 25 megabait sesaat (Mbps) kepada 35 Mbps, memastikan 7.5 juta premis diliputi gentian optik dan perancangan serta pelaksanaan bagi menyediakan liputan 5G untuk komersial.

Fasa 2 (bermula 2023 dan seterusnya) pula melibatkan penggunaan Akses Jalur Lebar Tanpa Wayar Tetap (FWA) dan pelbagai teknologi yang bersesuaian bagi mengurangkan jurang digital.


Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa (tengah) tertarik melihat produk kraf buatan tangan ketika melawat Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Keluarga Malaysia Kampung Gedong, Simunjan. --fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

Kerajaan turut menyediakan infrastruktur jalur lebar menggunakan kaedah "Point of Presence" (PoP) (projek hab gentian optik titik kehadiran), iaitu pemasangan infrastruktur jalur lebar gentian optik untuk kegunaan sekolah, kawasan perindustrian, premis kerajaan dan masyarakat sekeliling.

Projek PoP ini melibatkan dua fasa iaitu Fasa 1 (sedang dilaksanakan hingga akhir tahun ini) menjadikan lokasi berhampiran sekolah luar bandar sebagai hab, melibatkan 630 buah sekolah dan 47 kawasan perindustrian. Keutamaan pelaksanaan ialah sekolah luar bandar yang mempunyai murid paling ramai dan fokus kepada negeri yang paling banyak mempunyai sekolah yang belum diliputi gentian optik sepenuhnya.

Fasa 2 pula bertujuan menambah baik perkhidmatan jalur lebar luar bandar melibatkan 3,693 lokasi di seluruh negara.

 

MERAKYATKAN KOMUNIKASI


JENDELA Map boleh dilayari di https://jendela.my atau melalui aplikasi mudah alih yang boleh dimuat turun daripada Google Playstore bagi pengguna Android atau Apple Store untuk pengguna iPhone. --fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

"Sekarang ini keperluan rakyat terhadap perkhidmatan komunikasi yang baik dan berkelas dunia itu menjadi satu kemestian yang amat besar, (dan)  kerajaan telah membuat komitmen untuk menaik taraf mutu komunikasi. Tetapi ramai dalam kalangan pemimpin masyarakat tidak tahu (kerana) kalau jalan raya, jambatan itu nampak tetapi Internet tidak nampak cuma kita tahu di telefon kita (capaian Internet) laju atau tidak laju, ada line (liputan Internet) atau tak ada line.

"Untuk jadi laju (capaian Internet) kerja di belakangnya sangat banyak, tetapi tak ada siapa faham apa perlu dibuat. Kurangnya penyertaan rakyat (termasuk pemimpin masyarakat) dalam hal-hal yang berkaitan telekomunikasi tentunya usaha kurang berkesan.

“Saya ambil pendekatan untuk merakyatkan telekomunikasi, meningkatkan kefahaman hal-hal yang berkaitan telekomunikasi, maka dari situlah saya mulakan siri-siri jelajah komunikasi dengan membawa alat untuk mengukur tahap kelajuan Internet di sesebuah lokasi," kata Annuar kepada pemimpin komuniti pada Majlis Taklimat JENDELA dan PoP di Kuala Terengganu baru-baru ini. 


Usaha kerajaan meningkatkan kualiti capaian Internet, terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman, membuka ruang kepada rakyat untuk memanfaatkan teknologi terkini dalam aktiviti harian terutama dalam sektor ekonomi digital, sosial dan pendidikan. --fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

Beliau pada masa sama menggesa syarikat telekomunikasi di negara ini agar lebih proaktif menaik taraf perkhidmatan Internet di menara komunikasi sedia ada, terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman, bagi membantu kerajaan memperluas kesalinghubungan dan meningkatkan liputan Internet, sekali gus memastikan setiap penduduk menikmati capaian Internet lebih efisien dan berkualiti.

Kerajaan telah melabur berbilion ringgit untuk menyediakan infrastruktur komunikasi antaranya untuk projek PoP.

Selain boleh melaporkan masalah capaian Internet yang tidak memuaskan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), rakyat juga boleh menggunakan portal JENDELA Map yang dibangunkan oleh badan itu untuk menyemak dan menyalurkan maklum balas berkaitan liputan perkhidmatan komunikasi di kawasan masing-masing.

Portal tersebut boleh dilayari di https://jendela.my atau melalui aplikasi mudah alih yang boleh dimuat turun daripada Google Playstore bagi pengguna android atau Apple Store untuk pengguna iPhone.

 

BERNAMA

 

 

 

 


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2022 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan