BERITA COVID–19   Canberra hadapi gelombang baharu COVID-19 - Kementerian Kesihatan | Singapura lapor kematian pertama bawah umur 12 tahun akibat COVID-19 | Tiada SOP tambahan laksana ibadah korban tahun ini - MAIK | COVID: Kes baharu meningkat, kematian menurun minggu lalu - Noor Hisham | Lebih 16 juta individu dewasa Malaysia terima dos penggalak | 
RENCANA

Malaysia Nikmati Kadar Tarif Elektrik Antara Terendah Di ASEAN

17/05/2022 05:20 PM

Oleh Muhammad Basir Roslan

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Penularan pandemik COVID-19 yang disusuli konflik Rusia-Ukraine mengakibatkan industri elektrik global terus berdepan krisis harga berikutan peningkatan mendadak harga bahan api fosil iaitu arang batu, gas asli dan petroleum.

Harga arang batu misalnya, kini mencecah lebih US$200 setan sementara harga minyak mentah dunia pula sudah melebihi paras US$113 setong - suatu keadaan yang akan terus mendorong kenaikan harga arang batu dunia berikutan peningkatan permintaan. 

Lonjakan harga bahan api fosil, khususnya arang batu, menyebabkan industri elektrik negara menerima tempias dengan kos penjanaan elektrik kini meningkat 4.5 kali ganda. Ini kerana arang batu dan gas asli digunakan untuk menjana hampir 93 peratus bekalan elektrik di Semenanjung Malaysia, dan kos penjanaan termasuk bahan api pula membentuk lebih 65 peratus daripada tarif asas elektrik.

Tekanan terhadap kos penjanaan disebabkan kenaikan harga bahan api ini dapat diuruskan secara lebih teratur dengan sistem tarif yang telus menerusi pelaksanaan mekanisme Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) yang membolehkan kos-kos berkenaan dikaji setiap enam bulan.


Suruhanjaya Tenaga Malaysia (ST). --fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

Menerusi ICPT,  kerajaan menetapkan jika berlaku penurunan harga bahan api dan kos penjanaan secara global, penjimatan akan dikembalikan kepada rakyat sebagai rebat ICPT. Namun jika berlaku kenaikan harga bahan api dan kos penjanaan, lebihan kos akan disalurkan kepada rakyat sebagai surcaj ICPT.

Pelarasan ICPT terkini untuk tempoh 1 Feb hingga 30 Jun 2022 membolehkan pengguna domestik di Semenanjung menikmati rebat dua sen bagi setiap kilowatt per jam  (kWj) manakala surcaj minimum 3.70 sen/kWj dikenakan terhadap pengguna industri dan komersial.

Untuk memastikan pengguna domestik terus menikmati  rebat dua sen bagi setiap kWj tersebut, kerajaan memanfaatkan dana berjumlah RM715 juta yang disediakan menerusi Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE).

Selain itu, pengguna domestik juga menerima subsidi lintang daripada sektor perindustrian serta komersial, menjadikan Malaysia antara negara ASEAN yang melaksanakan kaedah ini dalam usaha mengurangkan beban yang ditanggung oleh rakyatnya.

(Subsidi lintang dalam konteks ini merujuk kepada kadar tarif pengguna yang lebih tinggi dibayar oleh sektor bukan domestik bagi menampung kos elektrik pengguna domestik di bawah 300 kWj untuk keseimbangan ekuiti)

 

KADAR TARIF TERENDAH


Stesen Janakuasa Sultan Azlan Shah di Manjung, Perak yang berasaskan pembakaran arang batu berkapasiti 2,100MW yang juga dikenali sebagai Janamanjung. --fotoBERNAMA (2022) HAKCIPTA TERPELIHARA

Menurut Suruhanjaya Tenaga Malaysia (ST), antara faktor kadar tarif elektrik yang rendah di Malaysia ialah penggunaan campuran penjanaan dalam penghasilan tenaga elektrik.

Mengambil contoh Singapura, campuran penjanaan negara itu kebanyakannya melibatkan gas asli yang perlu diimport, manakala di Malaysia menyaksikan campuran penjanaan terdiri daripada pelbagai sumber bahan api seperti arang batu, gas asli, tenaga solar dan lain-lain. 

“Kepelbagaian dalam campuran penjanaan ini menyebabkan kos penjanaan elektrik di Malaysia lebih stabil dan seterusnya menjadikan kadar tarif elektrik di Malaysia munasabah serta berpatutan.


Seorang pengguna melayari laman web Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai pembayaran bil dalam talian. --fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

“Tambahan pula kadar tarif elektrik di Malaysia menggunakan elemen subsidi bersilang daripada pengguna-pengguna kategori komersial dan industri kepada pengguna domestik bagi tujuan keseimbangan ekuiti.

“Ini menyebabkan kadar tarif elektrik bagi pengguna domestik lebih rendah jika dibandingkan dengan pengguna domestik di negara ASEAN yang lain seperti Singapura, yang mana kadar tarif elektrik di negara itu direka berdasarkan kos sebenar atau kos reflektif pembekalan elektrik,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Mengulas lanjut, ST berkata ia mengawal selia sistem pengurusan elektrik di Semenanjung, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan melalui rangka kerja Peraturan Berasaskan Insentif (IBR).


Pemandangan udara sekitar kawasan bangunan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Terengganu yang dipasang panel solar bagi menjana kuasa elektrik. UiTM muncul Institut Pengajian Tinggi (IPT) pertama memiliki stesen janakuasa solar fotovolta di Terengganu. -- fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

(IBR merupakan sebahagian daripada pemodenan industri bekalan elektrik yang telah diperkenalkan bagi penetapan tarif elektrik ke atas Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada awal  2014, NUR Power (pembekal elektrik Taman Teknologi Tinggi Kulim) pada awal 2017, dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) pada awal 2022)

“Objektif utama mekanisme IBR adalah untuk melindungi pengguna dengan memastikan harga tarif yang munasabah kepada pengguna akhir. Ini membolehkan syarikat utiliti memperoleh pulangan yang berpatutan daripada pelaburan dalam menyediakan infrastruktur bekalan elektrik mengikut tempoh IBR yang sama.

“Pulangan tersebut juga dilaburkan semula bagi menambah baik dan meningkatkan lagi sistem pembekalan elektrik di negara ini,” jelas suruhanjaya itu. 

Dalam pada itu, rangka kerja IBR  membolehkan penetapan tarif secara berstruktur, telus dan efektif dengan  mengambil kira keperluan perbelanjaan pembangunan dan operasi yang efisien oleh pihak utiliti dalam menyediakan perkhidmatan bekalan elektrik kepada pengguna yang tertakluk kepada peraturan dan proses kawal selia yang sangat ketat oleh ST.

 

MEKANISME ICPT


Petugas Tenaga Nasional Berhad (TNB) melayan pelanggan ketika tinjauan di Kedai Tenaga Dua Sentral, Kuala Lumpur. --fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

Pelarasan tarif elektrik di Malaysia turut ditentukan oleh mekanisme ICPT yang merupakan antara cabang utama rangka kerja IBR.

Mekanisme ini diguna pakai bagi membolehkan syarikat utiliti seperti TNB, NUR Power dan SESB selaku penjana dan pembekal elektrik, menentukan tahap pelarasan (peningkatan atau pengurangan) terhadap kos bahan api yang tidak terkawal dalam sistem penjanaan elektrik menerusi pelarasan tarif bagi tempoh setiap enam bulan.  

“Kaedah ini  mempunyai kelebihan dari segi menyeimbangkan keperluan sistem utiliti elektrik dan pengguna elektrik di Semenanjung Malaysia. Pelarasan ICPT adalah berdasarkan konsep kos sebenar bahan api dan penjanaan elektrik sekiranya harga bahan api menyusut berbanding harga bahan api yang telah diunjurkan pada tempoh kawal selia. Ini secara tidak langsung memberi kelebihan kepada pengguna dengan menikmati rebat atau kadar elektrik yang lebih rendah.

“Sekiranya berlaku pengurangan dalam kos bahan api, pihak utiliti perlu memindahkan pengurangan itu kepada akaun pengguna melalui rebat, dan sekiranya berlaku pertambahan dalam kos bahan api, maka pihak utiliti perlu memindahkan pertambahan tersebut kepada akaun pengguna melalui surcaj tarif elektrik,” jelas ST.


Malaysia antara negara ASEAN paling kurang mengalami kejadian gangguan bekalan elektrik. Ianya disumbangkan oleh margin rizab penjanaan yang  tinggi dan sistem grid yang berdaya harap. --fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

Berhubung isu Malaysia sebagai antara negara ASEAN yang paling kurang mengalami kejadian gangguan bekalan elektrik (blackout), iaitu purata hanya 45.25 minit pada  2021 mengikut System Average Interruption  Duration Index (SAIDI), ST berkata situasi itu disumbangkan oleh margin rizab penjanaan yang  tinggi dan sistem grid yang berdaya harap. 

Selain itu, pengukuhan jaringan talian penghantaran 500 kV dan 275 kV telah meningkatkan daya harap sistem bekalan elektrik negara. Jaringan talian penghantaran ini juga membolehkan tenaga dibekalkan ke semua pusat beban (load centre) dengan lancar dan seterusnya mengurangkan risiko  kejadian blackout.

“Antara teknologi lain yang diguna pakai bagi mengurangkan gangguan bekalan elektrik ialah pemasangan SCADA (Distribution Automation), iaitu pengendalian operasi secara jarak jauh (remote) dari pusat kawalan yang mampu mempercepat pemulihan bekalan apabila berlaku kerosakan pada sistem TNB.

“Kaedah pemantauan talian bekalan TNB dengan menggunakan dron yang dilengkapi Infrared Detector serta Ultrasonic Detector juga diguna pakai bagi mengesan potensi-potensi kerosakan yang boleh menyebabkan gangguan bekalan elektrik,” tambah suruhanjaya itu.

 

 BERNAMA

 

 

 

 

 


 


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2022 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan