RENCANA

BUTA, NAMUN CEKAP KILATKAN RIM, TAYAR KENDERAAN

25/01/2022 09:38 AM

Oleh Nur Natasha Aida Ismail

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Alah bisa tegal biasa. Dia kurang upaya penglihatan, namun dek sudah biasa Muhammed Rosli Asamari mampu mengilatkan tayar dan rim kereta - tugas yang memerlukan deria penglihatan - dengan sempurna.  

Malah kerana kemahirannya itu juga pemuda berusia 29 tahun ini kekal bekerja di pusat cuci kenderaan Mie Car Wash & Services di Taman Samudera, Gombak, Selangor, sejak 10 tahun lepas.

Perihal pekerja buta ini tular di laman media sosial selepas pelanggan yang berpuas hati dengan mutu kerjanya memuat naik klip video tentang hasil kerja Muhammed Rosli yang menurut mereka lebih baik berbanding sesetengah individu sempurna penglihatan. 

Berkongsi kisah hidupnya dengan Bernama baru-baru ini, Muhammed Rosli berkata walaupun mempunyai anggota badan lain yang sempurna di samping masih mampu melihat secara terhad pada ketika itu, usahanya untuk mendapatkan pekerjaan sentiasa bertemu kegagalan.  

 

DITOLAK KERANA STATUS


Mohammed Rosli. --fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

“Saya ada kaki, tangan serta deria pendengaran dan rasa yang sempurna untuk bekerja, namun permohonan kerja saya tidak diterima,” ceritanya, menambah dia pernah memohon kerja di sebuah kedai serbaneka tetapi ditolak atas alasan dia buta.

Muhammed Rosli dilahirkan sebagai pasangan kembar. Saudara kembarnya sempurna, namun dia dilahirkan buta mata kiri, sementara mata kanan pula berpenglihatan terhad. Bagaimanapun, sejak dua tahun lepas mata kanannya juga sudah buta sepenuhnya.

Bercerita lanjut, pemuda itu berkata sekalipun ditolak oleh kedai serbaneka berkenaan, dia tidak patah semangat dan kerana tidak mahu membebankan ibu bapa - Maina Sayadi, 62 dan Asamari Sainal, 69 - dia tetap memburu pekerjaan sehinggalah berjaya mendapat kerja di sebuah pusat cuci kenderaan.

“Bagaimanapun saya tidak lama bekerja di situ. Rakan sekerja mengambil kesempatan daripada kekurangan saya dengan meminjam wang daripada majikan menggunakan nama saya, menyebabkan gaji saya dipotong.

 “Masuk bulan ketiga dan keempat bekerja, gaji saya terus berkurangan, kadang-kadang RM200 atau RM300 sahaja yang dapat. Bila tanya bos baru tahu apa sebenarnya yang berlaku. Memang kecewa sangat, kerja penat-penat tetapi diperlakukan begini,” katanya.

 

MAJIKAN PRIHATIN


Majikan Muhammed Rosli memberi beliau masa untuk memahirkan diri kerana tugas itu sepatutnya hanya dilakukan oleh mereka yang sempurna penglihatan. --fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

Muhammed Rosli berkata ibunya kemudian membantunya mencari pekerjaan lain.

“… dan Alhamdulillah, saya diterima bekerja di pusat mencuci kenderaan ini oleh majikan yang terbuka untuk terima pekerja seperti saya. Kini sudah cecah 10 tahun saya bekerja di sini,” katanya.

Berkongsi pengalaman kerjanya, Muhammed Rosli mengakui dia mengambil masa yang agak lama untuk mahir, namun majikan serta rakan sekerja sentiasa membantu, sekali gus memudahkan dia untuk belajar dan menambah baik kemahiran.

“Awal-awal kerja saya kena meraba-raba bahagian tayar dan rim yang hendak dikilatkan… lebih kurang dua hingga tiga tahun juga sebelum saya dapat biasakan diri. Namun selepas itu saya semakin cekap. Kawan-kawan banyak tolong, mereka periksa semula kerja saya dan kalau ada yang salah mereka tolong betulkan.

“Bos pula memang bagi saya ruang untuk memahirkan diri. Pernah ketika bekerja saya terlanggar pelanggan, tapi kawan-kawan tolong jelaskan kepada pelanggan dan mereka biasanya faham,” ujarnya. 

Anak bongsu daripada lima beradik itu tidak menghadiri sekolah pendidikan khas, sebaliknya belajar di Sekolah Kebangsaan Usaha Ehsan di Taman Samudera sebelum menyambung pendidikan di  Sekolah Menengah Taman Sri Gombak hingga tamat Sijil Pelajaran Malaysia.

Bercerita lanjut, pemuda itu berkata dia berasa sangat gembira setiap kali dapat menghulurkan belanja bulanan kepada ibu bapanya dan berkongsi mengurangkan beban mereka yang sudah semakin berusia.

Mengulas mengenai klip videonya yang tular dan mendapat lebih 170,000 tontonan berserta pelbagai komen positif netizen, Muhammed Rosli berkata dia menganggap kesemua itu sebagai penghargaan.

“Saya tidak terfikir pun pasal perkara-perkara begini, saya cuma fikirkan pasal kerja,” ujarnya ketika ditanya tentang perasaannya dipuji pelanggan atas hasil kerja yang kemas dan memuaskan.

 

MAJIKAN PERLU TOLAK DISKRIMINASI OKU


Suhaimi Abdullah, Pemilik Mie Car Wash and Services. --fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

Sementara itu, pemilik Mie Car Wash & Services Suhaimi Abdullah, 50,  berkata insan istimewa seperti Muhammed Rosli perlu diberi peluang bekerja agar mereka dapat menyara hidup seperti individu sempurna fizikal yang lain.

“Muhammed Rosli bukan pekerja OKU (Orang Kurang Upaya) pertama yang saya gajikan, sebelum ini saya juga ada pekerja OKU berbangsa India yang cacat kaki,” katanya.

Jelasnya, beliau juga sedar Muhammed Rosli perlukan masa untuk memahirkan diri kerana tugas itu sepatutnya dilakukan oleh mereka yang sempurna penglihatan.

“(Jika tidak) Bagaimana untuk dia pastikan dia sudah betul-betul kilatkan dan bersihkan tayar kenderaan pelanggan? Kerana itulah saya bagi dia masa, tidak kira berapa lama yang dia perlukan untuk dia mahir. Inilah yang majikan kena faham dan beri peluang kerana jika tidak, mereka (OKU) akan terus dianggap tidak boleh bekerja.


Mohammed Rosli (kanan) dan rakan sekerja tekun membersihkan kenderaan pelanggan dengan segera tanpa mengabaikan kualiti kerja mereka. --fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

“Muhammed Rosli pekerja yang baik, tidak pernah timbulkan masalah… melihat pada kesungguhannya, saya tidak ada masalah untuk gajikan pekerja OKU lain pada masa akan datang,” kata Suhaimi yang turut menggesa majikan lain agar membuka peluang kepada OKU untuk berdikari.

“… bantulah golongan ini dengan beri peluang yang luas untuk mereka bekerja mencari rezeki dan berdikari. Berilah mereka kerja mengikut kemampuan mereka, itulah cara kita tolong golongan OKU ini,” katanya.

Sementara itu, pelanggan tetap pusat cuci kenderaan tersebut Wahidin Abdullah, 35, berkata pada mulaya dia tidak tahu Muhammed Rosli seorang OKU penglihatan.

“Saya perhatikan dia buat kerja, memang cekap dan teliti. Satu bahagian demi satu bahagian dia sentuh untuk pastikan bersih sepenuhnya.

“Walaupun dia berjalan dalam keadaan meraba-raba kereta dan dinding, dia kelihatan selesa ketika bekerja. Selepas itu baru saya tahu dia buta, tetapi bila tengok hasil kerjanya memang sangat puas hati,” kata Wahidin.

 

ABANG JADI TULANG BELAKANG


Pekerja Orang Kelainan Upaya (OKU) penglihatan Mohammed Rosli Asamari (kanan) tekun mengilatkan tayar dan sport rim kenderaan pelanggan di pusat mencuci kenderaan Mie Car Wash and Services. --fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

Tugas menghantar dan menjemput Muhammed Rosli dilakukan oleh abangnya Rofi Arisandi, 37.

“(Hantar dia) Pergi (kerja) 8.30 pagi, kemudian saya terus masuk kerja dan bila balik kerja pada 8 malam, saya akan singgah di tempat kerja dia untuk jemput dia,” katanya.

Menurutnya, menjadi tugas dia dan kembar Muhammed Rosli membantu adik mereka itu apabila dia berada di luar, khususnya di tempat yang dia tidak biasa.

Rofi berkata dia juga berbangga melihat adiknya mampu berdikari dan menyara diri sendiri.

“Harapan saya sebagai abang, walaupun dia macam ini,  saya harap sangat dia tidak cepat putus asa. Kekurangan bukan penghalang untuk berusaha lebih. Kalau ada rezeki lebih ingat orang tua yang penting solat dan doa,” katanya.

 

BERI PELUANG PEKERJA OKU


Muhammed Rosl sedang mengalas perut semasa waktu rehat sebelum kembali semula bekerja. --fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

Sementara itu, Presiden Persatuan  OKU Sentral yang juga Ahli Dewan Negara mewakili OKU, Senator Datuk Ras Adiba Radzi berharap majikan, baik sektor awam mahupun swasta, terus memberi peluang kepada golongan OKU untuk bekerja selain menyediakan infrastruktur mesra golongan tersebut. 

“Beri kami peluang agar dapat berdikari dan bersama-sama menjana ekonomi negara… kami akan bekerja 100 hingga 200 kali ganda lebih kuat berbanding orang bukan OKU kerana kami mempunyai semangat juang yang tinggi dan rajin. Namun begitu, peluang mestilah diberikan kepada kami.

“Berikanlah kami peluang, anda tidak tahu keupayaan kami sehinggalah kami bersama kalian,” ujar beliau.

Ras Adiba yang juga Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), berkata  berdasarkan statistik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), dianggarkan 15 peratus daripada populasi sesebuah negara adalah OKU.

Katanya ini bermakna di Malaysia terdapat  lebih kurang 4.9 juta OKU, namun yang berdaftar hanya sekitar 600,000 orang.

Tambahnya, di Jabatan Kebajikan Masyarakat, terdapat Latihan Kesaksamaan Kecacatan (DET) yang boleh diikuti oleh OKU dan bukan OKU, bertujuan meningkatkan kesedaran tentang golongan kurang upaya.

“Sebenarnya yang kurang upaya bukan kami, sebaliknya ketidakupayaan di sekeliling kami seperti persepsi dan stigma masyarakat, kemudahan. Sebagai contoh, hari ini laluan yang biasa digunakan sahabat saya yang buta tiada lubang, esoknya tiba-tiba ada lubang sehingga dia terjatuh dan hilang beberapa hari tidak ditemukan.

“Ada juga dalam kalangan sahabat saya yang dibuli oleh rakan sekerja, (dia) minta tolong (rakan sekerja) keluarkan duit (daripada ATM) kerana dia kerdil, tetapi duit tidak diberikan dengan alasan duitnya tiada, sedangkan duit itu telahpun diambil (rakan sekerja),” katanya.

Ras Adiba juga berterima kepada majikan yang berfikiran terbuka dan menggaji golongan OKU seperti Muhammed Rosli dan berharap lebih ramai lagi majikan dapat tampil memberikan pekerjaan bersesuaian dengan kemampuan, pendidikan serta pengalaman OKU yang berkenaan.

 

Disunting oleh Noor Hayati Muda

BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan