RENCANA

PELIHARA 'LEGASI SUNGLO' AYAH DAN IBU

10/12/2021 07:17 AM

Oleh Siti Zulaikha Fahrol Raji

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Rahmesh Gomez, 45, memikul tanggungjawab besar untuk meneruskan perusahaan, Malaysian Yoghurt Company Sdn Bhd, iaitu legasi peninggalan ayah dan ibunya.

Sebagai generasi kedua menyandang jawatan Pengarah Urusan, beliau sudah tentunya mahu melihat produk yogurt yang dipasarkan dengan jenama Sunglo mampu bersaing sehingga ke peringkat global.

Syarikat yang diasaskan oleh ayahnya, George Gomez (anak kelahiran Kuala Lumpur) dan ibunya, Janice Mary Gomez (berasal dari Australia), sejak lebih 30 tahun lalu adalah yang pertama di Malaysia mengeluarkan pelbagai produk berasakan yogurt.


George Gomez dan Janice Mary Gomez.

Bermula dari sebuah dapur rumah di Petaling Jaya, ayah dan ibunya menerokai bidang pengeluaran yogurt pada tahun 1983.

“Masa itu saya berusia enam tahun dan memori awal saya tentang perniagaan ini ialah peti ais dapur kami sentiasa penuh dengan yogurt untuk dijual, tak ada benda lain, ” kata Rahmesh dalam wawancara dengan Bernama baru-baru ini.

Perniagaan keluarga ini kemudiannya berpindah ke sebuah kampung kecil di Nilai, Negeri Sembilan dan kilang yogurt mereka beroperasi di lokasi ini sejak 25 tahun lalu sehingga kini.

 

AMBIL ALIH TAMPUK PENGURUSAN


Rahmesh Gomez, Pengarah Urusan generasi kedua Malaysian Yoghurt Company.

Apabila ayahnya meninggal dunia pada tahun 2003, Rahmesh kembali ke Malaysia untuk membantu ibunya yang ketika itu menyandang jawatan Pengarah Urusan. Beliau diberi jawatan Pengarah Eksekutif.

Rahmesh yang berkelulusan Kejuruteraan Mekanikal dari University College London (UCL) adalah juga seorang saintis makanan bertauliah.

Sebelum kembali ke Malaysia untuk membantu ibunya yang berasal dari Australia menguruskan perniagaan keluarga, beliau berkecimpung dalam industri makanan di Thailand dan Australia.

Apabila ibu meninggal dunia pada tahun 2012, Rahmesh mengambil alih jawatan Pengarah Urusan, jawatan yang disandang sehingga kini.

“Meskipun syarikat kami sudah bertapak lebih 30 tahun dalam pasaran yogurt tempatan, kami masih berusaha keras untuk meningkatkan pertumbuhan perniagaan ini agar lebih mampan.


Malaysian Yoghurt Company menawarkan pelbagai jenis yogurt dengan pelbagai jenis perisa.

“Produk kami merangkumi keperluan pelbagai kumpulan demografik dan pada masa ini, kami menghasilkan kira-kira 88 jenis yogurt termasuk  yogurt biasa, yogurt buah-buahan, Greek yoghurt, yogurt organik, yogurt kelapa, yoghurt smoothie, dan lassi (minuman berasaskan yogurt,” katanya, sambil menambah, produk berkenaan boleh diperolehi dalam pek yang berlainan seperti  botol, botol kaca dan cawan.

Menurut beliau, buat masa ini, produk Sunglo belum memasuki pasaran eksport dan mungkin dilakukan untuk pelan perniagaan masa depan.

“Syarikat kami masih dalam peringkat pemulihan akibat pandemik COVID-19 dan pandemik ini memberi kesan besar kepada perniagaan kami untuk sektor B2B seperti hotel, pusat peranginan, syarikat penerbangan dan restoran.

“Buat masa ini, sasaran pasaran kami adalah untuk lingkungan Lembah Klang tetapi kami juga mengedar ke seluruh Malaysia. Kami nampak peningkatan dalam jualan di sektor B2C seperti pasaraya dan kedai runcit, ” jelasnya.

 

ANTARA CABARAN PALING BESAR


Kilang yogurt yang terletak di Nilai, Negeri Sembilan.

Menurut Rahmesh, salah satu cabaran paling besar untuk beliau ialah apabila kedua-dua orang tuanya yang juga pengasas syarikat, meninggal dunia.

Sebagai sebuah syarikat kecil, pasukan pengurusan melakukan pelbagai tugas.

“Mereka ini banyak membantu kami dan memberi sokongan padu ketika syarikat melalui tempoh penuh kesukaran. Keadaan ini membolehkan banyak isu dapat ditangani segera dan membolehkan syarikat berkembang.

“Satu lagi cabaran yang perlu kami hadapi ialah untuk bersaing dengan jenama yogurt lain dalam pasaran, sebagai contoh, jenama antarabangsa atau jenama tempatan yang terkenal.

“Kami perlu mendapatkan keyakinan pelanggan, dan untuk itu, kami memperolehi akreditasi dan pengiktirafan keselamatan makanan yang dikeluarkan oleh kerajaan. Sebagai contoh, Sijil Halal yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia JAKIM) dan Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). 

Menurut Rahmesh, pihaknya sentiasa berusaha untuk memastikan piawaian syarikat keluarganya setanding dengan yogurt import atau jenama yogurt terkenal Malaysia.

 

MENANGANI MASALAH SEMASA PANDEMIK


Antara produk organik dihasilkan oleh Malaysian Yoghurt Company. fb.com/sunglo.malaysia

Berikutan kelonggaran yang diberikan oleh kerajaan termasuk membenarkan rentas sempadan dan negara, Malaysian Yoghurt Company memberi fokus untuk membangunkan semula aspek perniagaan yang terkesan akibat langkah kawalan pergerakan.

“Syarikat kami masih dalam proses memperkukuhkan kedudukan. Pada masa ini kami sedang bekerjasama dengan sektor B2B untuk membantu mereka pulih daripada masalah yang berkait dengan pandemik, yang menyumbang besar kepada kemerosotan perniagaan.

“Pendapatan syarikat merosot sedikit memandangkan kami perlu berhadapan dengan kos operasi dan bahan mentah yang lebih tinggi semasa tempoh kawalan pergerakan.

“Dari segi produktiviti, kami sedang mengkaji beberapa projek menambah kecekapan dan automasi untuk meningkatkan pengeluaran serta kualiti. Untuk bahagian B2C perniagaan peruncitan syarikat, seperti pasar raya dan kedai runcit, ada peningkatan jualan,” katanya.

Menurut Rahmesh, untuk jangka masa panjang, pihaknya juga akan mengkaji kerjasama dan perkongsian dengan perniagaan lain.

“Semasa pandemik, kami juga beralih arah untuk memberi fokus kepada transformasi digital untuk operasi pengilangan, jualan serta pengedaran.

“Langkah ini diambil kerana syarikat perlu mengurangkan tenaga pekerja kerana ia akan terus menjadi isu, malahan selepas era selepas pandemik, ” jelasnya.

Beliau menambah, sebagai syarikat pengeluar barangan pengguna yang bergerak pantas, Malaysian Yoghurt Company sering berhadapan dengan isu pendapatan dan margin.

Bagaimanapun, memandangkan syarikat keluarga ini mendapat manfaat daripada skala ekonomi, pertumbuhan adalah penggerak utama untuk pendapatan dan keuntungan syarikat.

 

PROGRAM ELEVATE 


Salah satu produk dari 88 jenis yogurt keluaran Malaysian Yoghurt Company Sdn Bhd. fb.com/sunglo.malaysia

Malaysian Yoghurt Company menyertai Program Elevate iaitu program kepimpinan eksekutif selama 12 bulan yang ditadbir oleh Capital Markets Malaysia (CMM) bagi membantu syarikat Malaysia peringkat pertengahan.

Program ini sesuai untuk syarikat perniagaan keluarga generasi kedua untuk menyusun semula model perniagaan syarikat, meningkatkan strategi pertumbuhan serta inovasi minda.

“Saya memang mencari-cari program seperti ini sejak beberapa tahun lalu. Hampir semua program yang saya jumpa adalah untuk syarikat yang baru ditubuhkan atau perbadanan yang besar.

“Saya berasa amat gembira bila jumpa Elevate, yang mahu membantu syarikat bersaiz pertengahan seperti syarikat kami. Kami baru bermula beberapa bulan lalu dan program dijangka selesai pada suku ketiga tahun 2022, ” katanya.

Rahmesh menambah, langkah seterusnya adalah untuk mencari rakan kongsi yang sesuai, yang akan membolehkan pihaknya berkembang dan mencari dana.

“Kami jangka Elevate dapat membantu kami dalam hal ini. Sebagai pengeluar yogurt, kami perlu melabur untuk perkembangan pengeluaran dan kemampuan pemasaran. Wang yang diperolehi akan dilaburkan dalam kedua-dua bidang ini, ” katanya.

Beliau juga berharap pada penghujung program berkenaan, syarikatnya akan mempunyai strategi yang lebih jelas bagaimana untuk mencapai pertumbuhan syarikat menerusi percantuman dengan syarikat lain atau membeli syarikat lain.

 

Disunting dan diterjemah oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan