RENCANA

KENALI RISIKO, INTERVENSI AWAL MAMPU CEGAH MASALAH PENGLIHATAN

13/10/2021 12:49 PM

Oleh Erda Khursyiah Basir

Artikel ini bersempena Hari Penglihatan Sedunia yang disambut pada setiap Khamis minggu kedua bulan Oktober.

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Pandemik COVID-19 yang melanda negara dan hubungan komunikasi yang majoritinya beralih secara dalam talian turut menarik perhatian masyarakat terhadap isu kesihatan mata.

Ini berikutan kebergantungan masyarakat tidak kira di peringkat usia kanak-kanak mahupun dewasa pada skrin telefon pintar, komputer serta komputer riba untuk urusan seharian yang secara tidak langsung memberi kesan kepada organ yang penting itu. 

Lazim kita mendengar isu kanak-kanak yang menghadapi masalah mata seperti rabun kerana terlalu lama terdedah dengan gajet ataupun orang dewasa yang mengalami ketegangan mata kerana berjam-jam menghadap skrin komputer.

Namun begitu, selain gajet, hakikatnya masih terdapat beberapa faktor lain yang turut menyumbang kepada masalah penglihatan di semua peringkat usia, sama ada disedari ataupun tidak.

 

FAKTOR GENETIK

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), punca utama masalah penglihatan di peringkat global ialah rabun yang tidak dibetulkan, katarak, kemerosotan tisu makula disebabkan faktor umur, glaukoma, retinopati diabetis, kelegapan kornea dan trakoma yang disebabkan jangkitan bakteria. 

Pakar Perunding Oftalmologi Umum dan Kanak-Kanak, MSU Medical Centre Shah Alam, Dr Azlindarita @ Aisyah Mohd Abdullah berkata, terdapat pelbagai masalah penglihatan melibatkan bayi dan kanak-kanak disebabkan faktor genetik dan bukan genetik.


Pakar Perunding Oftalmologi Umum dan Kanak-Kanak, MSU Medical Centre Shah Alam yang juga Penasihat Media Sosial Malaysian Advocacy for Myopia Prevention (MAMP), Dr Azlindarita @ Aisyah Mohd Abdullah.

“Kebanyakan masalah penglihatan yang melibatkan faktor genetik akan kelihatan sejak lahir atau pada usia enam bulan ke bawah. Selain rabun, terdapat bayi yang mempunyai masalah katarak di mana refleks mata yang sepatutnya berwarna merah akan berwarna putih. Bagi bayi yang ada masalah glaukoma pula, kornea mata yang sepatutnya jernih akan kelihatan kabur,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Dr Azlindarita yang juga Penasihat Media Sosial Malaysian Advocacy for Myopia Prevention (MAMP) menambah, bagi faktor bukan genetik pula, ia lazimnya melibatkan bayi yang lahir pramatang iaitu yang lahir kurang daripada tempoh 32 minggu atau berat lahir kurang daripada 1.5 kilogram di mana mereka ini berisiko tinggi untuk mendapat masalah rabun jauh jika mengalami retinopati bayi pramatang (ROP).

“Bayi ini akan disaring sebelum dibenarkan pulang ke rumah lebih-lebih lagi bagi mereka yang dimasukkan ke Unit Penjagaan Rapi Neonatal (NICU) selepas lahir. 

“Jika selepas saringan mereka disahkan tiada ROP, mereka tetap akan dipanggil untuk saringan setiap tahun bagi memastikan memang tiada masalah rabun,” katanya, menambah lazimnya golongan itu akan disaring sehingga usia enam atau tujuh tahun. 

Satu kajian pada tahun 2005 mendapati kadar rabun kanak-kanak berusia tujuh tahun adalah 9.8 peratus manakala bagi kanak-kanak berusia 15 tahun pula adalah 34.4 peratus.

 

PANTAU TAHAP RABUN

Mengulas lanjut, Dr Azlindarita berkata, kebiasaannya bayi yang baru lahir mempunyai tahap kerabunan pada 800/+8.0 dan ia akan berkurang menjadi 0 pada usia tujuh tahun. 

“Bayi yang normal lahir dengan tahap kerabunan 800/+8.0. Pada usia setahun apabila mata semakin berkembang ia akan berkurangan kepada +2.5 dan menjelang usia tiga tahun ia akan turun menjadi +1.0. Pada usia tujuh tahun tahap kerabunan sepatutnya menjadi 0, namun jika mereka mengalami rabun jauh ia akan menjadi -1.0 atau -2.0 dan seterusnya. 

“Sebagai contoh seorang kanak-kanak pada usia lima tahun, tahap kerabunannya ialah -1.0, jadi kanak-kanak itu tidak normal (penglihatan) dan memerlukan pemantauan dengan lebih kerap dan mungkin memerlukan cermin mata (bergantung kepada nasihat pakar),” katanya.


Ibu bapa perlu memantau tempoh masa penggunaan gajet anak-anak mereka bagi mengelakkan risiko masalah penglihatan.

Beliau menjelaskan, rabun yang biasa berlaku terbahagi kepada tiga iaitu jauh, dekat dan silau dan mereka yang mempunyai genetik rabun lebih berisiko menghadapi masalah itu pada awal usia. 

Antara ciri-ciri yang boleh dikenal pasti pada bayi atau kanak-kanak yang rabun ialah mereka cenderung untuk mengecilkan mata apabila melihat sesuatu yang jauh, akan membawa objek seperti buku atau mainan dekat dengan mereka serta menonton televisyen pada jarak dekat. 

Selain itu, mereka yang mengalami rabun tahap teruk juga akan mudah terjatuh kerana tidak nampak benda-benda yang ada di persekitaran.

“Terdapat juga bayi dan kanak-kanak yang menghidap rabun jenis posisi kepala tidak normal . Apabila menonton televisyen mereka ini lebih selesa menelengkan kepala ataupun muka kerana pada posisi itu penglihatan mereka menjadi lebih jelas.

“Kanak-kanak berusia empat tahun ke atas mungkin lebih mudah memberitahu ibu bapa mereka masalah yang dihadapi di samping tingkah laku dan prestasi mereka di sekolah juga boleh memberi petunjuk kepada ibu bapa dan guru berbanding keadaan sebelum menghadapi masalah penglihatan,” jelasnya.  

 

GAJET KEKAL PENYUMBANG

Menekankan risiko gajet terhadap bayi dan kanak-kanak pada awal usia, Presiden Persatuan Optometris Malaysia (AMO) Ahmad Fadhullah Ahmad Fuzai berkata, ia sememangnya boleh membantutkan perkembangan emosi dan mental golongan itu di samping turut mendedahkan mereka kepada risiko rabun.


Presiden Persatuan Optometris Malaysia (AMO) Ahmad Fadhullah Ahmad Fuzai.

Beberapa kajian tempatan mendapati, pendedahan terhadap skrin gajet termasuk telefon dan televisyen sebelum usia dua tahun hanya memberi kesan negatif kepada bayi.

Di samping itu, American Optometric Association turut menyatakan bahawa pendedahan cahaya biru yang berlebihan boleh menyebabkan kerosakan retina.

“Kesan pendedahan skrin pada awal usia boleh menyebabkan gangguan penglihatan, kenaikan berat badan, perkembangan terbantut dan mengalami masalah konsentrasi.

“Bagi kanak-kanak yang berumur antara dua hingga tiga tahun, pendedahan kepada televisyen secara pasif dan berpanjangan serta tanpa interaksi ibu bapa amatlah tidak digalakkan kerana pada usia ini mereka perlu membina tahap sensori temporal (deria) dan spasial (ruang) mereka. Justeru, penglihatan yang baik sangat diperlukan.

“Pada usia tiga tahun, pendedahan terhadap skrin membantu kanak-kanak membezakan antara yang realiti dan maya dan pada tempoh ini mereka dapat menyalin dan meniru apa yang dilihat,” katanya, menambah ibu bapa dinasihatkan tidak mendedahkan anak-anak pada skrin lebih daripada tempoh satu jam pada usia ini.

 

DIET, UBAT-UBATAN

Diet yang tidak seimbang atau memilih makanan turut berisiko menyumbang kepada masalah penglihatan. 

Individu yang kekurangan zat makanan sebagai contoh mereka yang kecanduan alkohol, vegetarian tegar, menjalani pembedahan gastrointestinal (lazimnya pembedahan bariatrik) atau mengalami gangguan makan seperti anoreksia nervosa.


Melihat skrin telefon atau komputer untuk tempoh masa yang lama di dalam keadaan gelap atau kurang pencahayaan adalah tidak baik untuk kesihatan mata. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Ahmad Fadhullah menambah, diet yang tidak seimbang sebagai contoh boleh mengakibatkan seseorang kekurangan vitamin B12, vitamin D, selenium, mempunyai kadar zink yang tinggi, penurunan kepadatan tulang dan neuropati optik iaitu gangguan penglihatan yang disebabkan keracunan akibat zat tertentu.

“Seseorang individu bukan sahaja boleh menghadapi masalah penglihatan melalui pemakanan yang diambil sebaliknya kegagalan mengambil makanan yang diperlukan tubuh juga boleh membawa kepada masalah penglihatan. Keadaan itu yang disebut sebagai nutrional optic neuropathy menyebabkan kegagalan fungsi saraf optik kerana diet yang tidak sihat memberi kesan buruk kepada sel saraf.

“Ianya tidak memberikan rasa sakit namun secara perlahan-lahan boleh menyebabkan seseorang hilang penglihatan dengan cepat bermula dengan masalah penglihatan warna,” katanya.

Turut menyentuh mengenai pengambilan ubat-ubatan yang tidak mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan (KKM) terutama yang mudah diperoleh secara dalam talian, beliau berkata ia boleh membawa kepada masalah penglihatan yang lebih serius.

Ini kerana ubat yang tidak berdaftar kebiasaannya mengandungi kandungan steroid yang tinggi bagi tujuan memberi kesan kelegaan sementara.

“Apabila ubat ini digunakan tanpa nasihat pakar ia boleh menyebabkan berlakunya glaukoma akut dan boleh membawa kepada kebutaan kekal.

“Selain itu, ubat titis yang digunakan secara berleluasa yang kononnya sesuai untuk melegakan pelbagai jenis ketidakselesaan mata turut dibimbangi boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna. Justeru, pihak berkuasa perlu membendung penjualan ubat-ubatan yang tidak mendapat kelulusan KKM ini,” katanya.

 

KESAN SAMPINGAN LAIN

Sementara itu, Doktor Kesihatan Pekerjaan yang juga Presiden Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH), Dr Shawaludin Husin berkata, masalah keletihan atau ketegangan mata yang dihadapi oleh golongan pekerja boleh membawa kepada isu yang lebih besar termasuklah masalah postur badan atau ergonomik berikutan mata hanya tertumpu pada skrin untuk tempoh yang lama. 


Dr Shawaludin Husin, Doktor Kesihatan Pekerjaan yang juga Presiden Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH) .

“Walaupun puncanya adalah mata, namun ia boleh membawa kepada masalah kesihatan yang lain apabila badan seolah ‘terkunci’ apabila perlu fokus melakukan sesuatu kerja sehingga mengabaikan postur tubuh yang sesuai. 

“Antaranya termasuklah isu sakit belakang, pinggang, kepala dan sebagainya kerana banyak masa diperuntukkan di hadapan skrin. Ada juga yang mengalami gangguan tidur kerana kesan cahaya biru sebenarnya turut menganggu keseimbangan hormon pada tubuh seperti penurunan melatonin apabila  terdedah kepada cahaya.

“Tubuh manusia sepatutnya menjadi mengantuk atau letih ketika gelap dan terbangun apabila cahaya  terang namun pencahayaan buatan mengakibatkan perkara ini sebaliknya seterusnya menyebabkan gangguan hormon berlaku," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Fadhullah menambah amalan pemakan seimbang dengan nutrien serta vitamin secukupnya mampu membantu mencegah masalah penglihatan daripada berlaku. 

Selain itu memakai alat pelindung mata seperti cermin mata hitam atau cermin mata yang mengandungi alat penapis UV juga dapat mengelakkan risiko katarak sejak peringkat awal.


Seorang remaja perempuan sedang menjalani pemeriksaan tahap penglihatan di sebuah kedai cermin mata di Kuantan. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

“Penggunaan gajet yang berlebihan boleh mengakibatkan mata menjadi stres. Amalkan langkah 20-20-20 yang merujuk kepada selepas 20 minit buat kerja dekat (di hadapan skrin) ,rehatkan mata dengan melihat objek yang jauh sekitar enam meter, selama 20 saat.

“Lakukan pemeriksaan mata secara berkala, sekurang kurangnya setahun sekali bagi memastikan kesihatan mata berada di tahap optimum di samping membolehkan intervensi awal penyakit mata dikesan bagi mencegah gejala yang lebih serius,” katanya.

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA


 

 

 

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan