RENCANA

KEMBALI KE SEKOLAH: GURU PERLU PRIHATIN PSIKOLOGI KANAK-KANAK

29/09/2021 01:55 PM

Oleh Erda Khursyiah Basir

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Pembukaan semula sesi persekolahan bersemuka secara berperingkat bermula 3 Okt ini menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan ibu bapa dan guru, dengan masing-masing bebas mengeluarkan pandangan.

Namun, dalam berpolemik itu jangan sampai isu psikologi kanak-kanak yang bakal kembali bersua muka dengan guru dan rakan-rakan sekolah selepas sekian lama, dikesampingkan.

Umum menganggap golongan itu teruja dapat kembali belajar di dalam kelas fizikal, berinteraksi dengan guru dan rakan secara bersemuka, namun tidak boleh disangkal pasti ada antara mereka yang berasa resah dan bimbang apabila memikirkan perlu ke sekolah semula.

Antara faktor yang menyebabkan keadaan sedemikian ialah takut dengan ancaman COVID-19 serta kekok dan malu untuk bertemu semula rakan sekelas dan guru. Tidak kurang juga ada yang berasa bimbang gagal menjawab pertanyaan guru kerana tidak mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) secara konsisten selain tidak menyiapkan kerja sekolah yang diberikan.

 

WUJUD PERSEKITARAN SANTAI

Menurut Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak dan Akta Kanak-Kanak 2001, golongan itu ditakrifkan sebagai individu berusia bawah 18 tahun.

Pakar psikologi kanak-kanak yang juga pensyarah kanan di Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya (UM) Dr Noor Aishah Rosli berkata pihak sekolah wajar mengambil pendekatan lebih santai pada peringkat awal sekolah dibuka semula dengan guru-guru tidak terus mengajar.

Sebaliknya, pelajar diajak beriadah dan bersukan atau bermain terlebih dahulu asalkan aktiviti berkenaan dilakukan dalam lingkungan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).


Pakar psikologi kanak-kanak yang juga pensyarah kanan di Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya (UM) Dr Noor Aishah Rosli.

Katanya keadaan yang tidak terlalu terikat dengan sesi pengajaran normal dalam tempoh seminggu dua sesi persekolahan itu penting bagi membangkitkan semangat dan rasa seronok, selain mengurangkan rasa janggal serta stres yang mungkin wujud dalam kalangan kanak-kanak kerana sudah lama tidak ke sekolah.

“Kita nak kembalikan ‘mood’ di samping merangsang semula kemahiran sosial dan komunikasi mereka bersama rakan-rakan dan guru-guru. Kita mahu murid-murid, khususnya di tahun satu dan dua, mempunyai persepsi positif dan seronok untuk terus belajar di sekolah,” katanya kepada Bernama. 

Dr Noor Aishah turut menasihati guru agar tidak terus bertanyakan tentang kerja sekolah, kehadiran di kelas PdPR dan sebagainya yang boleh menjejaskan keterujaan murid dapat kembali ke sekolah.

“Untuk awal-awal ini cubalah elakkan. Bukan semua murid dapat mengikuti PdPR sepenuhnya dan menyiapkan semua kerja sekolah. Jika mereka ditekan dengan soalan-soalan begitu, tidak mustahil timbul rasa takut dan tidak seronok untuk ke sekolah, malah mungkin ada yang akan menangis jika ke sekolah,” katanya, menambah perkara itu dibimbangi akan membawa kepada permasalahan yang lebih besar, sekali gus mengganggu proses pembelajaran. 

 

ULANG KAJI RINGKAS

Pelajar yang tidak mengikuti  PdPR secara konsisten sedikit-sebanyak akan ketinggalan beberapa perkara dalam pelajaran.

Isu tercicir atau ketinggalan ini boleh berlaku bukan sahaja disebabkan oleh kekangan kemudahan seperti ketiadaan Internet, komputer riba dan sebagainya, tetapi juga kerana perbezaan suasana belajar di dalam kelas dan di rumah sehingga pelajar sukar memberi tumpuan kepada pembelajaran.


Pakar psikologi kanak-kanak yang juga pensyarah kanan di Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya (UM) Dr Noor Aishah Rosli menunjukkan antara alat terapi mainan yang boleh membantu kanak-kanak mengekspresi emosi mereka.

Dr Noor Aishah berpendapat perkara paling penting dalam persekolahan ketika era pandemik ialah kefahaman pelajar, bukan lagi peperiksaan dan menghabiskan silibus semata-mata.

“Kaedah pembelajaran secara maya tidak sama dan bukan 100 peratus berkesan kepada semua pelajar. Kadang-kadang apa yang berlaku di rumah boleh menyebabkan pelajar hilang fokus untuk belajar, keadaan sekeliling yang kurang selesa, contohnya, bukan semua orang ada meja belajar dan bilik sendiri.

“Bagi mendepani perkara ini (isu tercicir), guru-guru mungkin boleh menjalankan sesi ulang kaji secara ringkas untuk setiap topik bagi semua pelajar, agar mereka mengetahui dan mengingati kembali perkara yang diajar sebelum ini,” katanya, menambah kaedah video, gambar dan peta minda lebih mudah diingati oleh pelajar.

Kementerian Pendidikan (KPM) pada 20 Sept lepas, menyatakan tahap keberkesanan PdPR dalam kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah adalah sederhana.

Kajian Keberkesanan Pelaksanaan Home-based Learning yang dibuat secara dalam talian, dengan tumpuan kepada PdPR semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi tempoh Mac hingga Julai tahun lepas, menunjukkan penglibatan murid di bandar dalam PdPR adalah 59.3 peratus berbanding 51.4 peratus murid di luar bandar. 

Sebanyak 51.2 peratus murid berasa tertekan semasa pembelajaran di rumah, dan daripada jumlah itu,  48.9 peratus menyatakan tertekan kerana interaksi yang terhad dengan guru, 55 peratus murid tertekan disebabkan interaksi terhad dengan rakan-rakan manakala 53.4 peratus tertekan kerana kurang bimbingan dalam sesi pembelajaran.

KPM turut menyebut 56.6 peratus murid berjaya melibatkan diri secara aktif dalam sesi PdPR manakala 66 peratus ibu bapa atau penjaga bersetuju kaedah PdPR berkesan untuk pembelajaran anak mereka.

 

KUASAI 3M, COVID-19 BUKAN PUNCA 

Mengulas tentang pilihan yang diberikan kepada ibu bapa dan penjaga untuk tidak menghantar anak-anak mereka ke sekolah kerana bimbang dengan ancaman COVID-19, Dr Noor Aishah berkata mereka bertanggungjawab memastikan anak-anak mampu menguasai kemahiran asas 3M (membaca, menulis dan mengira). 

“Wajar untuk ibu bapa risau anak-anak terdedah kepada COVID-19. Tetapi pada masa sama, kita juga perlu sedar kepentingan anak-anak menguasai 3M. Jangan pula nanti bila hantar semula anak ke sekolah dan anak masih tidak boleh menguasai 3M, ibu bapa meletakkan kesalahan pada guru, itu tidak sepatutnya berlaku. 

“Ada kanak-kanak yang berumur tujuh dan lapan tahun sebenarnya boleh membaca, tetapi tidak dilatih. Ada pula kanak-kanak yang diajar dan dilatih tetapi masih tidak boleh membaca. Ini mungkin melibatkan masalah psikologi seperti disleksia, IQ rendah dan lain-lain masalah pembelajaran, jadi ibu bapa perlu bertindak segera, contohnya berjumpa pakar bagi mengatasi perkara ini,” katanya.

Beliau yang berpandangan COVID-19 bukan punca utama yang menyebabkan kanak-kanak kurang bersosial dan berinteraksi dengan ada antara mereka yang terganggu emosi, berkata hakikatnya dalam dunia psikologi, ramai anak-anak remaja yang mengalami masalah sosial emosi.

“Tanpa COVID-19 pun ada kanak-kanak yang jenis pendiam, ada rasa takut, bimbang dan tidak yakin untuk bergaul. Jangan terkejut jika saya katakan banyak kes remaja yang saya kendalikan... mereka ini lebih gemar mengikuti kelas secara dalam talian berbanding bersemuka kerana mempunyai karakter pendiam, pemalu dan rasa lebih yakin dan selesa belajar secara maya,” jelasnya.

 

SESI KAUNSELING, PERBINCANGAN PAKAR


Pensyarah di Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaaan Malaysia Prof Madya Dr Hasnah Toran.

Berkongsi pandangan, pensyarah di Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaaan Malaysia Prof Madya Dr Hasnah Toran berkata KPM perlu menyediakan pakej latihan berserta maklumat kepada guru untuk mengenal pasti sekiranya pelajar berhadapan masalah sosioemosi seperti bergaul dan berinteraksi dengan kawan-kawan dan guru.

Ujarnya sesi kaunseling boleh dijalankan ke atas pelajar terlibat bagi membantu mereka mengurangkan rasa resah, kurang selesa, bimbang dan sebagainya.

Tambah beliau lagi, lebih banyak perbincangan melibatkan pakar-pakar berkaitan perlu dijalankan bagi memastikan kesediaan kanak-kanak untuk kembali meneruskan sesi persekolahan secara bersemuka, manakala guru-guru dan ibu bapa pula harus mempunyai strategi masing-masing agar setiap proses berjalan lancar. 

“Ibu bapa dan guru-guru perlu lihat tahap kesediaan anak-anak, jangan terus memaksa apatah lagi marah-marah. Ini mungkin akan mengambil masa bagi sesetengah mereka.

“Soal emosi dan psikologi ini isu dalaman, tak nampak. Kaedah menangani emosi anak-anak di peringkat sekolah rendah dan menengah juga berbeza pendekatannya,” katanya, menambah tugas guru mungkin akan jadi lebih mencabar dalam mentaksir tahap pencapaian semasa pelajar.

 

MBK PERLU BERSEMUKA


Guru prasekolah Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Kebangsaan Dato’ Penghulu Luak Jempol, Negeri Sembilan, Nurhayati Zainudin membuat persediaan bagi pembukaan semula sesi persekolahan bersemuka secara berperingkat bermula 3 Okt ini. -- Gambar ihsan Nurhayati Zainuddin.

Sementara itu, bagi guru prasekolah Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Kebangsaan Dato’ Penghulu Luak Jempol, Negeri Sembilan, Nurhayati Zainudin, pengoperasian sekolah secara bersemuka melibatkan Murid Berkeperluan Khas (MBK) di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) dan PPKI, membantu MBK menjalani sesi Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) secara lebih berkesan berbanding secara dalam talian.

“MBK ada pelbagai kategori, dan setiap daripadanya memerlukan kemahiran dan kaedah pembelajaran yang berbeza di samping banyak melibatkan kemahiran interaksi sosial dan memerlukan ‘personal touch’ di antara guru dan murid.

“Harus diakui agak sukar sebenarnya belajar secara dalam talian, lebih-lebih lagi ia memerlukan kerjasama ibu bapa untuk bersama MBK sewaktu sesi kelas dijalankan.

“Belajar secara bersemuka membantu guru dan pembantu pengurusan murid mengendalikan emosi murid, di samping guru boleh menggunakan pelbagai kaedah dan teknik pengajaran mengikut tahap keupayaan setiap mereka,” katanya, menambah guru juga boleh memantau perkembangan murid, terutama dalam aspek pengurusan diri dan seterusnya akademik.

Selain pembukaan sekolah secara berperingkat mengikut fasa Pelan Pemulihan Negara mulai 3 Okt ini, penetapan kapasiti hanya 50 peratus di dalam kelas adalah demi memastikan pelajar dapat terus rapat dengan sekolah serta hadir di sekolah dalam keadaan yang selamat.

 

Disunting oleh Noor Hayati Muda

BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan