RENCANA

PILIH PELITUP MUKA YANG TEPAT UNTUK PERLINDUNGAN LEBIH BAIK SEMASA PANDEMIK

18/08/2021 10:43 PM

Oleh Soon Li Wei

PETALING JAYA (Bernama) -- Jadikan pelitup muka sebagai aksesori terkini yang dapat menyelamatkan nyawa anda dan orang tersayang.

Namun, daripada memilih pelitup muka yang mempunyai corak, logo atau slogan menarik, sebaiknya pilih yang menawarkan perlindungan terbaik agar kita terhindar daripada dijangkiti virus maut COVID-19 walau dalam apa juga persekitaran.

Menurut pakar perubatan, pemilihan pelitup muka yang tepat amat penting memandangkan lebih banyak varian mudah berjangkit sedang menular, termasuk varian Delta yang boleh menjangkiti seseorang dalam tempoh 15 saat sahaja.

Dekan Fakulti Sains Farmasi USCI University Prof Madya Dr Mogana Sundari Rajagopal berkata pelbagai jenis pelitup muka dijual di pasaran termasuk yang diperbuat daripada fabrik dan boleh diguna semula serta pelitup muka perubatan atau pembedahan.

“Setiap negara ada piawaian pensijilan tersendiri bagi setiap pelitup muka. Contohnya, Eropah menggunakan piawaian EN 14683 atau ASTM F2100 bagi pelitup muka perubatan manakala China pula menggunakan piawaian YY 0469.

“Sekalipun piawaian sedikit berbeza, pelitup muka terbabit amnya sama sahaja. Untuk pelitup muka respirator, China menggunakan piawaian KN (contohnya KN95), sementara Amerika Syarikat menggunakan N (contohnya N95),” katanya kepada Bernama.

Bagi mengelakkan terbeli pelitup muka tiruan, Dr Mogana berkata ada beberapa cara untuk mengenal pasti kualiti pelitup muka.

Pelitup muka dengan penarafan ASTM (Persatuan Amerika untuk Pengujian dan Bahan) atau EN (Piawaian Eropah) memenuhi standard dan keperluan antarabangsa, jelasnya.

 

TAHAP KEPERLUAN ANTARABANGSA


Sebahagian dari proses penghasilan pelitup muka Careline dari sebuah mesin di Taman Perindustrian Puchong. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Penarafan ASTM merupakan piawaian untuk semakan semula kualiti pelitup muka perubatan. Terdapat tiga pengkelasan untuk piawaian ini dengan Tahap 1 merupakan peringkat minimum yang diperlukan untuk memenuhi piawaian ASTM dan Tahap 3 bagi pengilang yang mahu mengeluarkan pelitup muka.

"Jika piawaian pelitup muka perubatan, pelitup N95 dan lain-lain peralatan perlindungan diri (PPE) gred perubatan sudah lama diwujudkan, piawaian baharu bagi pelitup muka kegunaan harian ini adalah yang pertama dan bertujuan menyediakan penanda aras bagi pengilang dan juga masyarakat umum.

“Pengilang digalakkan mematuhi piawaian ini dan pengguna pula akan berkeyakinan terhadap produk apabila mengetahui pelitup muka tersebut diperakukan.

"Bagaimanapun, sesetengah pengilang pelitup muka mematuhi Piawaian Eropah iaitu EN14683 dan mengkategorikan pelitup muka mereka sebagai Jenis I, II dan Type IIR," katanya.

Beliau berkata pengguna boleh membaca pada bungkusan untuk mengetahui penarafan produk tersebut sama ada ASTM Tahap 1, 2 atau 3 sebelum membelinya. Bagaimanapun tidak semua pelitup muka bertaraf ASTM.

"Memang berbaloi membeli pelitup muka dengan penarafan ASTM selain memastikan anda menerima perlindungan pada tahap yang mencukupi,” katanya.

Beliau berkata orang ramai sering kali keliru tentang N95 dan pelitup muka bergred perubatan seperti pelitup muka pembedahan. Pelitup muka N95 atau KN95 dikategorikan sebagai respirator.

Dr Mogana memetik Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC) yang menyatakan sekurang-kurangnya 60 peratus daripada KN95 yang dinilai oleh agensi di bawahnya - Institut Kebangsaan bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (NIOSH AS) - tidak memenuhi syarat yang didakwa pengeluar telah dipatuhi.

“Sebahagian besar pelitup muka KN95 atau N95 yang dikhususkan untuk petugas kesihatan yang ada di pasaran adalah tiruan,” katanya.

Menurut beliau, bagi memastikan perlindungan secukupnya daripada virus COVID-19 yang bersaiz kira-kira 0.1 mikron, individu amat disaran menggunakan pelitup muka perubatan atau pembedahan yang mematuhi EN Jenis IIR atau ASTM Tahap 3 dengan penapisan yang baik.

 

KENAL PASTI PELITUP MUKA TIRUAN


Seorang pekerja am kilang memeriksa penghasilan pelitup muka dari salah satu mesin demi memastikan kekemasan serta kualiti produk terjamin. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Dr Mogana berkata respirator yang diluluskan oleh NIOSH AS sepatutnya mempunyai label kelulusan bermula dengan TC-XXX-XXXX yang boleh disemak melalui laman web www.cdc.gov/niosh/nppt/topics/respirators/disp_part/default.html.

"Orang ramai juga boleh mengenal pasti pelitup muka tiruan melalui ketiadaan logo NIOSH bagi respirator, maklumat peruncit yang samar-samar serta harganya terlalu murah.

"Malah, NIOSH tidak meluluskan mana-mana pelitup muka untuk kanak-kanak, justeru sebarang kenyataan mendakwa respirator itu diluluskan untuk kanak-kanak adalah palsu,” katanya.

Beliau berkata pengeluar pelitup muka perubatan atau pembedahan di Malaysia disyaratkan mempunyai pensijilan ISO 13485 dan berdaftar dengan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA).

“MDA membantu memantau peranan pengeluar peranti perubatan dan kesemua pengilang terbabit perlu mendaftarkan kilang serta produk mereka.

“Orang awam perlu pastikan pelitup muka dikawal selia menurut piawaian antarabangsa seperti EN atau ASTM oleh badan berwajib seperti SIRIM Berhad, SGS Malaysia dan lain-lain.

“Malangnya, ramai pengeluar dan pengedar tidak berdaftar dan menjual pelitup muka yang tidak dikawal selia dengan baik,” katanya.

Dr Mogana berkata sekalipun sesetengah pengilang mengeluarkan pelitup muka dalam pelbagai warna dan corak, tidak ada pengkodan warna bagi pelitup muka pembedahan.

“Warna atau tulisan atau cetakan pada pelitup muka harus dielakkan sepertimana yang disyorkan oleh kajian. Pewarna harus dipilih berdasarkan piawaian industri yang diterima antarabangsa bagi melindungi kesihatan kita dan persekitaran.

“Justeru, satu konsensus antarabangsa berkaitan warna pelitup muka berasaskan kesannya ke atas kesihatan perlu diselidiki dan ditentukan.

“Sesetengah pewarna adalah toksik dan mempunyai kesan jangka pendek serta panjang ke atas kesihatan manusia, binatang dan tumbuhan,” katanya.

Bagi memilih pelitup muka yang dapat menyediakan perlindungan secukupnya daripada COVID-19, Dr Mogana mengesyorkan pelitup muka yang dikeluarkan oleh syarikat yang mempunyai sijil Sistem Pengurusan Kualiti Peranti Perubatan ISO 13485:2016.

Satu daripadanya ialah Careline Manufacturing Sdn Bhd yang mengkhususkan dalam pembuatan pelitup muka pembedahan dan perubatan untuk orang dewasa dan kanak-kanak. Kesemua produknya diuji dalam makmal oleh SIRIM selain turut berdaftar di bawah Pensijilan Produk SIRIM.

“Satu daripada kriteria pada Careline Face Mask ialah bahan lapisan dalamnya tidak menyebabkan alahan kulit. Bahannya juga mempunyai ciri antikabus.

“Pelitup muka sedemikian adalah mesra pengguna yang mengalami masalah alahan kulit disebabkan pemakaian pelitup muka untuk tempoh yang lama dan mereka yang berkaca mata,” kata Dr Mogana, menambah semua produk Careline termasuk Careline Kids Face Surgical Face Mask mematuhi penarafan ASTM Tahap 3 dan EN Jenis IIR.

 

PEMAKAIAN DUA LAPIS PELITUP MUKA CEGAH JANGKITAN


Seorang pekerja menyusun pelitup muka mengikut nisbah yang ditetapkan sebelum dibungkus. -fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Kebelakangan ini, pakar kesihatan mengesyorkan pemakaian dua lapis pelitup muka, iaitu memakai dua helai pelitup muka pada satu-satu masa bagi melindungi orang ramai daripada varian COVID-19 yang lebih agresif serta sangat mudah berjangkit.

Pemakaian dua lapis pelitup muka bermakna memakai pelitup fabrik di atas pelitup muka perubatan yang mana menurut pakar dapat menapis lebih banyak zarah berbanding pemakaian selapis.

Prof Madya Dr Kyu Kyu Win, pensyarah mikrobiologi di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UCSI University, berkata gabungan pelitup muka fabrik dan perubatan boleh mengemaskan lagi pemakaian selain meningkatkan kadar penapisan zarah.

"Pakai satu pelitup muka perubatan pakai buang dan di atasnya pelitup muka fabrik bagi memastikan pelitup muka terletak dengan kemas selain memberikan lebih perlindungan. Pelitup fabrik itu juga boleh digabungkan dengan pendakap.

"Simpul dan selitkan gelung telinga pelitup muka tiga lapis di bahagian tepi serta lipat dan selitkan lebihan yang tidak diperlukan di bawah bahagian tepinya.

“Bagaimanapun, pelitup muka perubatan atau pembedahan tidak harus dilapisi oleh pelitup muka jenis sama kerana gabungan ini tidak menambah baik kekemasan pemakaian, manakala N95 pula perlu dipakai begitu sahaja tanpa dilapisi oleh pelitup lain,” katanya.

Beliau berkata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan jangka hayat empat jam bagi pelitup muka pembedahan iaitu perlu diganti selepas dipakai selama empat jam.

Naib Pengarah Pusat Antarabangsa Hospital Universiti Perubatan China Dr Hean Ooi pula berkata pemakaian pelindung muka semata-mata bukan sahaja bertentangan dengan prosedur operasi standard tetapi juga tidak menawarkan perlindungan yang mencukupi.

 

PELITUP MUKA PERUBATAN, PEMBEDAHAN UNTUK KEGUNAAN HARIAN


Pekerja memeriksa setiap helai pelitup muka sebelum proses pembungkusan dilakukan. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Dr Ooi berkata prestasi pelitup muka diuji dengan menilai kecekapan penapisan bakteria (bagi bakteria bersaiz lebih besar daripada tiga mikron), kecekapan penapisan zarah (bagi zarah bersaiz kurang daripada 0.1 mikron) dan sebagainya.

"COVID-19 lazimnya merebak melalui titisan dan saiz virus SARS-CoV-2 (penyebab COVID-19) ialah kira-kira 0.1 mikron,” katanya.

Beliau berkata piawaian pelitup muka pembedahan mempunyai keperluan lebih tinggi bagi memerangkap zarah bersaiz virus (0.1 mikron) pada kadar 98 peratus.

“Bagi respirator seperti N95 dan KN95, ia guna banyak lapisan bahan sintetik untuk melindungi diri anda daripada zarah di luar.

“Seperti nama produk tersebut, kedua-duanya mesti menapis 95 peratus zarah yang bersaiz 0.3 mikron atau lebih besar,” katanya.

Dr Ooi turut menasihati orang awam agar mendapatkan pelitup muka perubatan atau pembedahan yang mematuhi piawaian EN atau ASTM.

“Pelitup muka yang bagus seharusnya dibuat dengan tiga lapisan bukan seperti pelitup muka murah yang hanya mempunyai satu lapisan,” katanya.

Beliau berkata respirator seperti N95 dan KN95 atau KF 94 tidak digalakkan untuk kegunaan harian kerana boleh menyebabkan kesukaran bernafas sekiranya dipakai selama lapan jam sehari.

“Untuk orang awam, CDC dan WHO mengesyorkan mereka memakai pelitup muka perubatan atau pembedahan bagi melindungi diri mereka dan orang lain.

“Justeru, untuk kegunaan harian, pemakaian pelitup muka pembedahan atau perubatan sudah memadai dan boleh melindungi orang ramai daripada dijangkiti,” katanya.

 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan