RENCANA

STRATEGI BAIK DAN SEMANGAT JUANG TINGGI PASTIKAN PENIAGA KECIL BERTAHAN HARUNGI COVID

28/07/2021 12:30 PM

Oleh Samantha Tan

PUTRAJAYA  (Bernama) -- Tatkala sebilangan besar peniaga terpaksa “tunduk” kepada pandemik COVID-19, segelintir usahawan kecil di sini masih mampu bertahan selepas mengubah strategi perniagaan selain mempunyai semangat juang yang tinggi.

Seorang daripada mereka, Siti Rafitah Rakhimi, 37, yang mengusahakan trak makanan di Presint 14 di sini, sedar beliau tidak boleh lagi bergantung pada kaedah itu semata-mata jika mahu piza jenama sendiri yang dibangunkannya, Alla Piccola Italia (API), terus bertahan. 

Justeru, seperti ribuan usahawan yang lain,  beliau beralih kepada perniagaan dalam talian dengan pasaran bertumpu di sekitar daerah ini dan juga Cyberjaya.


Peniaga piza Alla Piccola Italia (API), Siti Rafitah Rakhimi (atas trak makanan) membuat piza sambil pekerjanya melayani pelanggan di Tapak Food Truck Putrajaya Presint 14. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

“Sebelum COVID-19, saya beranggapan tapak berniaga seharusnya mempunyai ramai pelanggan. Namun, pandangan itu berubah semasa PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) apabila semua tempat mengalami kesan sama akibat daripada wabak tersebut," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Katanya beliau beralih kepada perniagaan dalam talian sejurus PKP 1.0 berkuat kuasa dengan promosi dibuat menerusi edaran risalah ke rumah selain media sosial Facebook dan Instagram. 

“Saya tidak boleh biarkan perniagaan yang saya usahakan sejak 2019 ini ‘berkubur’ dan sasaran saya ialah pelanggan tetap yang menggemari piza ‘air tangan’ saya,” kata wanita kelahiran Kedah yang memiliki ijazah sarjana dalam bidang sumber manusia daripada Universiti Putra Malaysia itu.

 

HAMPIR “TERDUDUK”


Peniaga Alla Piccola Italia (API), Siti Rafitah Rakhimi menunjukkan piza durian yang juga dijual di Tapak Food Truck Putrajaya Presint 14. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Menurut Siti Rafitah, terdapat 14 peniaga trak makanan di Presint 14, namun kini hanya empat yang masih beroperasi termasuk beliau.

“Ada rakan peniaga kini terpaksa melakukan kerja lain termasuk  menjadi pemandu e-hailing. Pada ketika ini, bukan lagi isu keuntungan yang diutamakan, sebaliknya memastikan peniagaan itu mampu bertahan,” katanya yang mengakui hampir “terduduk” apabila PKP 1.0 dilaksanakan.

“Bayangkan, perniagaan belum berusia setahun dan saya masih dalam usaha menaikkan jenama API apabila tiba-tiba COVID-19 melanda,” katanya yang memulakan perniagaan itu dengan modal RM150,000 hasil bantuan Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Menurutnya, semangat juang beliau bertambah kuat apabila mengenangkan nasib dua pekerja yang bersama-sama beliau sejak awal perniagaan.


Belum sampai setahun berniaga, Siti Rafitah Rakhimi terpaksa mengharungi ujian dengan kawalan pergerakan ekoran COVID-19 di mana masyarakat tidak dibenarkan keluar rumah. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Mengulas perniagaannya, Siti Rafitah berkata sebelum PKP, beliau mampu mencatat hasil jualan RM4,000 hingga RM5,000 seminggu, namun pelaksanaan sekatan pergerakan itu menyebabkan perniagaan merudum kepada sekitar RM1,000 hingga RM2,000 sahaja.

Menurutnya, keadaan kini bertambah baik dengan tempahan diterima meningkat saban hari.

Siti Rafitah yang mempelajari cara membuat piza melalui YouTube, turut mempelbagaikan toping dan kini menawarkan 14 jenis piza yang dijual pada harga antara RM15 dan RM30 mengikut jenis dan saiz.

Menurutnya, beliau turut menggaji dua rider bagi menghantar tempahan yang lazimnya memuncak antara 5 petang dan 8 malam.

"Pandemik ini mengajar saya untuk menyesuaikan diri dengan keadaan tidak menentu. Kita harus sentiasa bersedia menghadapi apa jua keadaan walaupun dulu mungkin produk kita mendapat sambutan,” tambahnya.

Beliau juga bersyukur dengan bantuan kewangan sebanyak RM3,000 secara sekali bayar  yang disediakan kerajaan menerusi Geran Khas Prihatin kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), yang sedikit-sebanyak telah  meringankan beban kewangannya.

 

TUTUP CAWANGAN


Peniaga Sarah Satay Ampang, Muhammad Hadi Abdul Rahim membakar sate di gerainya di Dataran Duta, Presint 15, Putrajaya. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Sementara itu pengusaha Sarah Satay Ampang, Muhammad Hadi Abdul Rahim berkata setakat ini, tujuh daripada 10 cawangan kedainya di sekitar Lembah Klang terpaksa ditutup akibat PKP tahun lepas.

Beliau yang masih berusaha mempertahan perniagaan yang diusahakan sejak 1981 itu berkata sebelum COVID-19, setiap cawangan tersebut mampu menjual hingga 3,000 cucuk sate setiap hari.


Kesan pandemik COVID-19 menyebabkan peniaga kecil seperti Muhammad Hadi Abdul Rahim sukar untuk bertahan kerana aliran wang tunai semakin lembap. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

“Jualan merosot 50 peratus sejak PKP dilaksanakan pada Mac tahun lepas,” katanya yang berharap pandemik itu akan berakhir segera.

Menurutnya walaupun ada bantuan kerajaan untuk PKS, peniaga kecil masih terbeban kerana terpaksa membayar sewa tapak dan gaji pekerja yang menyebabkan pegangan tunai hampir 'kering’.


Muhammad Hadi Abdul Rahim berusaha untuk mempertahankan perniagaan sate yang diusahakan sejak 1981 selepas 7 dari 10 cawangan terpaksa ditutup kerana kesan Perintah Kawalan Pergerakan pada tahun lalu. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Katanya keadaan diburukkan lagi oleh kenaikan harga bahan mentah.

“Nasib baik sekarang dapat berniaga walaupun hanya sampai 10 malam berbanding semasa PKP tahun lalu yang langsung tidak dibenarkan berniaga,” katanya.

 

Disunting oleh Noor Hayati Muda

BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan