RENCANA

COVID-19: KES HARIAN BAHARU BOLEH MELONJAK 10 RIBU?

10/07/2021 07:32 AM

Oleh Melati Mohd Ariff

Berikut adalah Rangkuman TERKINI Mingguan Bernama mengenai COVID-19 dan perkara yang berkaitan di Malaysia serta di peringkat dunia dari 3 Julai hingga pukul 8:30mlm 9 Julai 2021.

Kes kumulatif COVID-19 di Malaysia melepasi 817 ribu. Di peringkat global, lebih 186 juta kes dilaporkan dengan kes kematian sekitar 4 juta. Lebih 170 juta pesakit COVID-19 dilaporkan sembuh. Pandemik COVID-19 sudah merebak ke 216 buah negara dan wilayah.

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Kes harian baharu COVID-19 tidak mustahil boleh menjangkau 10 ribu melihatkan kepada trend peningkatan kes yang mendadak sepanjang Rangkuman Mingguan Bernama (3 Julai hingga 9 Julai).

Kemungkinan ini juga berdasarkan kebiasaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjalankan aktiviti saringan kesihatan awam dan bersasar di negeri yang dikenakan Perintah Kawalan Diperketatkan (PKPD).

Dua negeri yang mencatat kes harian terbanyak kebelakangan ini iaitu Selangor dan Wilayah Persekutuan (WP Kuala Lumpur) diletakkan di bawah PKPD bermula 3 Julai hingga 16 Julai 2021. PKPD di Selangor melibatkan 34 mukim sementara WP Kuala Lumpur, membabitkan 14 lokaliti.

Malaysia hari ini (9 Julai) mencipta sejarah kes harian baharu tertinggi sebanyak 9,180 kes, sejak tiga kes pertama COVID-19 dikesan di negara ini pada 25 Januari 2020.

Angka tertinggi kes harian baharu COVID-19 sebelum ini adalah pada 29 Mei iaitu 9,020 kes.

Kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 kini melonjak kepada 80,665 kes sementara kes kumulatif sebanyak 817,838 kes.

Angka kes harian baharu COVID-19 sebelum ini berlegar dalam lingkungan enam ribu pada 3, 4 dan 5 Julai, sebelum merekod 7,654 kes pada 6 Julai dan 7,097 kes pada 7 Julai.

Selangor yang konsisten melaporkan kes harian COVID-19 empat angka merekod sebanyak 4,400 kes berbanding semalam, 4,152 kes. Daripada jumlah 4,400 kes itu, sebanyak 2,766 atau 63 peratus adalah daripada kontak rapat.

WP Kuala Lumpur hari ini melaporkan 1,271 kes berbanding semalam 1,133 kes, 1,550 kes pada 6 Julai dan 1,005 kes pada 7 julai.


Anggota keselamatan polis, tentera dan RELA bertugas mengawasi sekatan jalan raya (SJR) kawat berduri di lorong masuk Skim Penempatan Masyarakat Pelarian (SPMP) Kampung Muslim, Labuan. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Sepanjang Rangkuman Mingguan ini, angka kes harian baharu dalam negara adalah seperti berikut:-

3 Julai (6,658 kes), 4 Julai (6,045 kes), 5 Julai (6,387 kes), 6 Julai (7,654 kes), 7 Julai (7,097 kes), 8 Julai (8,868 kes) dan 9 Julai (9,180 kes).

Malaysia juga setakat 9 Julai dibebani sebanyak 865 kluster aktif, sementara jumlah kluster yang direkod di negara ini sebanyak 3,029 dan 2,164 daripadanya, ditamatkan.

Rangkuman Mingguan ini yang berdasarkan data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekod sebanyak 147 kluster baharu dan sebanyak 95 atau 65 peratus daripadanya adalah kluster tempat kerja.

Dua kluster tempat kerja yang dilaporkan pada 6 Julai melibatkan kes positif COVID-19 yang banyak iaitu Kluster Industri Lorong Senawang Empat (Seremban dan Port Dickson, Negeri Sembilan), melibatkan pekerja kilang dan setakat 6 Julai, 324 kes positif dikesan; Kluster Tapak Bina Damanlela (Kepong, Selangor) melibatkan pekerja tapak binaan, setakat 6 Julai sebanyak 630 kes positif dikesan.

Sementara itu, daripada 30 kluster baharu yang dilaporkan hari ini, sebanyak 21 adalah kluster tempat kerja, 4 kluster komuniti, 1 kluster pendidikan, 1 kluster kumpulan berisiko tinggi dan 3 kluster pusat tahanan.

Keadaan cemas juga menyelubungi Unit Rawatan Rapi (ICU) kerana kemasukan kes yang turut meningkat. Setakat hari ini (9 Julai) sebanyak 959 kes dirujuk ke ICU dan 465 kes daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Sebanyak 77 kematian dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kematian setakat ini sebanyak 5,980 kes (0.73 peratus). Angka kematian tertinggi dicatat semalam iaitu 135 kes, dan tertinggi sebelum ini pada 2 Jun 2021 iaitu 126 kes.


Anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mempergiat kawalan keselamatan pada sekatan jalan raya di laluan Plaza Tol Seremban - Port Dickson. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Malahan, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan akhbar pada 7 Julai mengenai Situasi Semasa Jangkitan Penyakit Coronavirus 2019 (COVID-19) di Malaysia bimbang "petugas barisan hadapan (Perubatan dan Kesihatan) mengalami gelaja burnout kerana terpaksa berjuang menangani begitu banyak kes COVID-19 untuk tempoh yang kian berlarutan".

Menurut beliau, jumlah purata kes baharu harian selama tujuh (7) hari (30 Jun 2021 hingga 6 Julai 2021) adalah sebanyak 6,539 kes.

"Ini didapati masih tinggi berbanding nilai ambang PPN iaitu kurang daripada 4,000 kes sehari (atau 12.2 kes baharu harian bagi setiap 100,000 penduduk). Nilai ambang 4,000 kes baharu harian ini adalah ditetapkan berdasarkan kapasiti hospital menghadapi situasi luar jangka, kadar kemasukan kes ke wad dan kadar discaj kes semasa. Lebih membimbangkan lagi, tren kemasukan kes-kes COVID-19 ke Unit Rawatan Rapi (ICU) masih berada pada tahap yang tinggi. Ianya tidak menunjukkan penurunan yang ketara sejak dari Minggu Epidemiologi (ME) ke-23 (6 Jun 2021 hingga 12 Jun 2021) hingga kini, di mana jumlah penggunaan katil ICU masih melebihi 90 peratus."

Dengan 817,838 kes kumulatif, Malaysia kini di tangga 33 (tangga 35 rangkuman mingguan lepas) dalam senarai 216 buah negara yang dilanda pandemik COVID-19. Di hadapan Malaysia ialah Israel (845,123 kes) dan Portugal (899,295 kes).

 

PERKEMBANGAN LAIN DALAM NEGARA


Pasukan keselamatan mengiringi para petugas kesihatan melalui titian menuju ke kawasan perkampungan setinggan atas air Kampung Muslim berikutan kemunculan kluster baharu COVID-19. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Enam buah negeri iaitu Perlis, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Pulau Pinang sudah beralih ke fasa dua, Sekatan Pergerakan Perjalanan (SPP) di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN). Sabah diumumkan beralih ke fasa dua mulai esok 10 Julai.

Untuk beralih ke fasa dua, jumlah kes harian baharu COVID-19 perlu mencapai nilai ambang di bawah 4,000. Dua lagi faktor yang diambil kira ialah kadar penggunaan katil di ICU pulih ke paras sederhana dan 10 peratus populasi Malaysia sudah menerima dua dos suntikan vaksin.

Fasa pertama SPP yang bermula 1 Jun 2021 sehingga 14 Jun 2021 dan disambung sehingga 28 Jun 2021 mungkin berlangsung sehingga pertengahan Julai 2021. PPN yang terbahagi kepada empat fasa diharap dapat mengembalikan kehidupan harian biasa di negara ini.

Berdasarkan perincian KKM untuk 9,180 kes harian baharu COVID-19 yang dilaporkan pada Jumaat 9 Julai 2021, dua negeri mencatat kes empat angka iaitu Selangor 4,400 kes dan WP Kuala Lumpur, 1,271 kes.

Rekod kes harian baharu Selangor sepanjang tempoh Rangkuman Mingguan ini, seperti berikut:-

3 Julai (3,047 kes), 4 Julai (2,262 kes), 5 Julai (2,610 kes), 6 Julai (3,260 kes), 7 Julai (3,119 kes), 8 Julai (4,152 kes) dan 9 Julai (4,400 kes).

Sementara itu, negeri yang mencatat kes harian baharu tiga angka - Negeri Sembilan 899 kes, Kedah 417 kes, Sarawak 406 kes, Sabah 323 kes, Johor 315 kes, Perak 241 kes, Melaka 222 kes, Pahang 214 kes, Kelantan 151 kes dan Pulau Pinang 142 kes.

Kes harian baharu dua angka - Terengganu 82 kes, WP Labuan 80 kes dan WP Putrajaya 16 kes.

Kes harian baharu satu angka - Perlis 1 kes.


Petugas Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjalankan proses nyahkuman atau disinfeksi di kawasan perumahan Seksyen 1 Wangsa Maju. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Sementara itu, Dr Noor Hisham dalam catatan di Facebook peribadinya pada 9 Julai 2021 mengumumkan, kadar kebolehjangkitan COVID-19 atau Ro/Rt pada jangkaan mengikut kes seharian pada 9 Julai 2021 untuk seluruh negara kekal 1.11.

Negeri yang mencatat Ro/Rt tertinggi adalah WP Putrajaya 1.19, Perak 1.17, WP Kuala Lumpur 1.16 dan Selangor 1.16.

R-Naught (Ro/Rt) ialah kebolehjangkitan satu kes positif COVID-19 kepada orang lain dalam tempoh kebolehjangkitan. Sebelum ini, kadar Ro 0.5 diperlukan untuk melandaikan lekuk jangkitan koronavirus maut ini.

 

SENARIO WABAK COVID-19 DI MALAYSIA (3 Julai - 9 Julai 2021)


Senario Mingguan Wabak COVID-19 di Malaysia (3 Julai - 9 Julai 2021). Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)

Rekod kes sembuh:-

3 Julai (5,677 kes), 4 Julai (5,271 kes), 5 Julai (4,532 kes), 6 Julai (4,797 kes), 7 Julai (4,863 kes), 8 Julai (5,802 kes) dan 9 Julai (5,713 kes).

 

Rekod kes baharu, penularan tempatan dan yang berkaitan:-

3 Julai - Kes baharu : 6,658 kes (772,607 kes kumulatif); Kes tempatan : 6,647 kes [5,061 warganegara (76.1%); 1,586 bukan warganegara (23.9%)]; Kes import : 11 kes (4 warganegara, 7 bukan warganegara);

4 Julai - Kes baharu : 6,045 kes (778,652 kes kumulatif); Kes tempatan : 6,025 kes [4,647 warganegara (77.1%); 1,378 bukan warganegara (22.9%)]; Kes import : 20 kes (13 warganegara, 7 bukan warganegara);

5 Julai - Kes baharu : 6,387 kes (785,039 kes kumulatif); Kes tempatan : 6,361 kes [4,864 warganegara (76.5%); 1,497 bukan warganegara (23.5%)]; Kes import : 26 kes (13 warganegara, 13 bukan warganegara);

6 Julai - Kes baharu : 7,654 kes (792,693 kes kumulatif); Kes tempatan : 7,643 kes [5,486 warganegara (71.8%); 2,157 bukan warganegara (28.2%)]; Kes import : 11 kes (5 warganegara, 6 bukan warganegara);

7 Julai - Kes baharu : 7,097 kes (799,790 kes kumulatif); Kes tempatan : 7,071 kes [5,521 warganegara (78.1%); 1,550 bukan warganegara (21.9%)]; Kes import : 26 kes (15 warganegara, 11 bukan warganegara);

8 Julai - Kes baharu : 8,868 kes (808,658 kes kumulatif); Kes tempatan : 8,858 kes [6,867 warganegara (77.5%); 1,991 bukan warganegara (22.5%)]; Kes import : 10 kes (5 warganegara, 5 bukan warganegara);

9 Julai - Kes baharu : 9,180 kes (817,838 kes kumulatif); Kes tempatan : 9,180 kes [7,122 warganegara (77.6%); 2,051 bukan warganegara (22.4%)]; Kes import : 7 kes (2 warganegara, 5 bukan warganegara).

 

Rekod kes kematian:-

3 Julai - Kes kematian : 107 kes (5,434 kes kumulatif, 0.70%; 98 warganegara, 9 bukan warganegara); BID 14;

4 Julai - Kes kematian : 63 kes (5,497 kes kumulatif, 0.71%; 54 warganegara, 9 bukan warganegara); BID 7;

5 Julai - Kes kematian : 77 kes (5,574 kes kumulatif, 0.71%; 73 warganegara, 4 bukan warganegara); BID 13;

6 Julai - Kes kematian : 103 kes (5,677 kes kumulatif, 0.72%; 94 warganegara, 9 bukan warganegara); BID 12;

7 Julai - Kes kematian : 91 kes (5,768 kes kumulatif, 0.72%; 79 warganegara, 12 bukan warganegara); BID 10;

8 Julai - Kes kematian : 135 kes (5,903 kes kumulatif, 0.73%; 119 warganegara, 16 bukan warganegara); BID 20.

9 Julai - Kes kematian : 77 kes (5,980 kes kumulatif, 0.73%; 73 warganegara, 4 bukan warganegara);

*WN = warganegara *BWN = bukan warganegara

*BID = kes kematian di luar fasiliti kesihatan (iaitu hospital) dan dibawa ke Jabatan Forensik hospital; disahkan positif COVID-19 selepas ujian makmal PT PCr dijalankan.

 

Rekod kluster baharu dan kluster yang berkaitan:-

3 Julai - 19 kluster baharu (kluster tempat kerja 16, kluster komuniti, 2 dan kluster pusat tahanan 1);

4 Julai - 17 kluster baharu (kluster tempat kerja 11, kluster komuniti 5 dan kluster kumpulan berisiko tinggi 1);

5 Julai - 13 kluster baharu (kluster tempat kerja 11 dan kluster komuniti 2);

6 Julai - 21 kluster baharu (kluster tempat kerja 11, kluster komuniti 9 dan kluster pusat tahanan 1);

7 Julai - 18 kluster baharu (kluster tempat kerja 6, kluster komuniti 9, kluster pendidikan 1 dan kluster kumpulan berisiko tinggi 1);

8 Julai - 29 kluster baharu (kluster tempat kerja 19, kluster komuniti 8, kluster pendidikan 1 dan kluster kumpulan berisiko tinggi 1);

9 Julai - 30 kluster baharu (kluster tempat kerja 21, kluster komuniti 4, kluster pendidikan 1, kluster pusat tahanan 3 dan kluster kumpulan berisiko tinggi 1).

 

STATISTIK GLOBAL COVID-19


Statistik terkini COVID-19 di seluruh dunia dan ringkasan kes COVID-19 di Malaysia. worldometers.info/coronavirus

Jumlah kes COVID-19 global terkini (worldometer) adalah 186,460,702 kes (Rangkuman Mingguan lalu 183,512,215 kes) dengan 4,028,902 kematian (minggu lalu 3,973,393 kematian). Jumlah pesakit sembuh seramai 170,574,603 orang (minggu lalu 167,995,947 orang).

Sebanyak 216 negara dilanda pandemik COVID-19 dan 10 buah negara teratas dalam kedudukan senarai ini adalah Amerika Syarikat, India, Brazil, Perancis, Rusia, Turki, United Kingdom, Argentina, Colombia dan Itali.

Pecahan kes COVID-19 dan jumlah kematian adalah seperti berikut:-

Amerika Syarikat 34,676,896 kes (622,213 kematian);

India 30,752,950 kes (405,967 kematian);

Brazil 18,962,786 kes (530,344 kematian);

Perancis 5,799,107 kes (111,284 kematian);

Rusia 5,733,218 kes (141,501 kematian);

Turki 5,465,094 kes (50,096 kematian)

United Kingdom 5,022,893 kes (128,336 kematian);

Argentina 4,613,019 kes (97,904 kematian);

Colombia 4,450,086 kes (111,155 kematian);

Itali 4,267,105 kes (127,731 kematian).

Negara China, di mana bermulanya wabak COVID-19 pada penghujung Disember 2019 di tempat 101 dengan 91,989 kes. Angka kematian kekal 4,636.

Di samping Malaysia, dalam kalangan negara di Asia Tenggara, Indonesia, Filipina dan Myanmar turut menyertai senarai 98 buah negara yang mencatat lebih 100 ribu kes COVID-19.

Indonesia di tangga 16 - 2,455,912 kes (64,631 kematian);

Filipina di tangga 23 - 1,461,455 kes (25,720 kematian);

Thailand di tangga 62 - 317,506 kes (2,534 kematian);

Myanmar di tangga 83 - 180,055 kes (3,621 kematian);

Singapura di tangga 110 - 62,678 kes (36 kematian);

Kampuchea di tangga 112 - 59,045 kes (855 kematian);

Vietnam di tangga 130 - 24,810 kes (104 kematian);

Laos di tangga 185 - 2,537 kes (3 kematian);

Brunei di tangga 204 - 266 kes (3 kematian).

--------------------------------------------------------------------------------------------------------------

RUANGAN SISI

LATAR BELAKANG COVID-19

-- Penularan wabak COVID-19 yang pada awalnya dipanggil virus Wuhan berlaku ketika masyarakat Cina di seluruh dunia termasuk di China membuat persiapan untuk menyambut perayaan Tahun Baru Cina.

-- Virus dikesan di Wuhan, ibu negeri wilayah Hubei, China pada 31 Dis 2019 selepas WHO dimaklumkan terdapat beberapa kes radang paru-paru di bandar tersebut.

-- Menurut WHO, pihak berkuasa China pada 7 Jan lalu mengesahkan koronavirus yang baru dikenal pasti itu boleh tersebar daripada manusia kepada manusia.

-- WHO memberi nama rasmi virus "2019-nCoV" iaitu COVID-19, singkatan untuk Corona Virus Disease 19. Virus ini dilaporkan mempunyai komponen genetik yang paling serupa yang terdapat pada ular dan kelawar.

-- Pegawai kesihatan China mengenal pasti Pasar Huanan Seafood di pusat bandar Wuhan sebagai lokasi bermulanya penyebaran wabak ini kerana terdapat jualan membabitkan daging haiwan eksotik di pasar tersebut seperti musang, serigala, buaya, ular, tikus, burung merak, landak dan unta.

-- Laporan dari Wuhan pada Selasa 11 Feb menyebut data terbaharu berdasarkan penyelidikan membabitkan lebih 1,000 pesakit COVID-19 di China mendapati tempoh inkubasi virus itu boleh mencecah 24 hari, bukannya 14 hari seperti yang dipercayai sebelum ini.

-- Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 11 Mac akhirnya melabelkan wabak penyakit COVID-19 sebagai pandemik.

-- WHO menyifatkan wabak penyakit COVID-19 sebagai 10 kali ganda lebih berbahaya daripada Influenza A H1N1atau lebih dikenali sebagai Selesema Babi (Swine Flu).

-- Wabak Selesema Babi berlaku antara Januari 2009 dan Ogos 2010 menyaksikan lebih 1.6 juta kes dikesan dengan 18,449 kematian. Ia mula dikesan di Mexico dan kemudiannya di Amerika Syarikat pada Mac 2009.

-- Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) memberi amaran pandemik COVID-19 akan mengheret ekonomi global kepada penguncupan ekonomi paling teruk sejak Zaman Kemelesetan The Great Depression.

-- Kes pertama 2019-nCoV di Malaysia disahkan pada 25 Jan membabitkan tiga (3) warga China yang masuk ke Malaysia melalui Johor dari Singapura pada 23 Jan.

-- Khamis 30 Julai genap enam bulan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), mengisytiharkan Darurat Kesihatan Awam berikutan kebimbangan dunia terhadap jangkitan 2019 novel koronavirus yang dikenali kemudian sebagai COVID-19.

-- Pengumuman yang dibuat itu adalah yang ke-enam dibuat oleh Pertubuhan itu tetapi yang terburuk. Untuk rekod, pengumuman lalu ialah bersabit H1N1 (2009), Polio dan Ebola di Afrika Barat (2014), Zika (2016) dan Ebola di Republik Congo (2019).

-- Di UK, varian baru COVID-19 yang dikenali sebagai B117 dilaporkan 70 peratus lebih mudah merebak. Mula dikesan pada September 2020.

-- Afrika Selatan juga mengenalpasti varian baharu novel coronavirus, dirujuk sebagai "501Y.V2". pada awal Oktober 2020.

- Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menetapkan empat VOC sebagai kebimbangan global iaitu United Kingdom (B.117), Afrika Selatan (B.1.351), Brazil (P.1) dan India (B.1.617).

WHO berikutnya mengumumkan varian COVID-19 akan dikenali menggunakan huruf Greek bagi mengelakkan mana-mana negara dikaitkan dengan stigma pandemik itu.

Variant of Concern (VOC) seperti berikut:- *varian Beta (B.1.351); *varian Alpha (B.1.1.7); dan *varian Delta (B.1.617.2).

Variant of Interest (VOI) seperti berikut:- *varian Theta (P.3); *varian Eta (B.1.525); dan *varian Kappa (B.1.617.1)

 

BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan