RENCANA

DOPING ATLET MUDA MEMBIMBANGKAN MASA PANDEMIK COVID-19

09/06/2021 10:16 AM

Oleh Shanika Abdullatib dan Zuriati Zulmi

Isu doping di negara ini malah di peringkat antarabangsa dilihat tidak pernah surut dan kini mula mempengaruhi atlet muda. Siri pertama isu doping melibatkan atlet muda ini mengupas mengenai risiko mahupun impak serta sejauh mana perkara ini mendapat perhatian pihak berkenaan.

 

MELAKA, 9 Jun (Bernama) – Bagaikan tiada kesudahan. Mungkin itulah yang sesuai dikatakan apabila membicarakan mengenai industri sukan negara mahupun di peringkat antarabangsa yang sering dicemari isu doping atau pengambilan bahan terlarang dalam kalangan atlet.

Bukan sekali bahkan sudah banyak kali isu ini dibahaskan, diingatkan malah hukuman denda serta tindakan tegas seperti digantung penyertaan, juga telah dilakukan. Namun, sehingga ke hari ini, isu doping masih lagi menjadi duri yang sekali gus merencatkan perkembangan sukan khususnya dalam negara.

Paling merisaukan, gejala doping kini bukan sahaja melingkari dalam kalangan atlet senior yang berpengalaman sebaliknya telah mula merebak dalam kalangan atlet muda terutamanya di peringkat Sukan Malaysia (Sukma) dan Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT).

Keadaan tambah membimbangkan apabila tiadanya pertandingan besar sejak pandemik COVID-19 menular lebih setahun lalu sekali gus mendedahkan atlet dengan ‘lambakan’ ubat dan suplemen bagi mengekalkan tenaga dan kecergasan terutamanya yang dijual dalam talian.

 

 

GAGAL MEMAHAMI  DOPING

 

 “Sedangkan dalam pemantauan jurulatih dan persatuan yang ketat pun, masih ada yang bolos menggunakan bahan terlarang, inikan pula duduk sendiri bersama keluarga sepanjang perintah kawalan dilakukan,” jelas Pengarah Agensi Anti-Doping Malaysia (Adamas) Azura Abidin.

Dalam temu bual eksklusif bersama Bernama, beliau mengakui mengekang isu doping bukan sekadar melarang pengambilan ubat-ubatan atau suplemen yang banyak dijual secara dalam talian tetapi pemahaman mengenai bahan terlarang itu yang masih cetek bukan sahaja dalam kalangan atlet tetapi juga ibu bapa.

Terdapat ibu bapa yang memberikan suplemen atau vitamin kepada anak mereka yang terlibat dalam sukan tanpa mengetahui kandungan bahan tersebut selain tidak merujuknya kepada Institut Sukan Negara (ISN).

Keadaan ini akan menimbulkan masalah yang lebih besar apabila anak tersebut dipilih menjadi sebahagian daripada pasukan pelapis negara yang memerlukan mereka berlatih secara berpusat.

 “Sudah tentulah anak ini perlu kekalkan kecergasan dan kebiasaannya usaha yang dilakukan adalah menjurus kepada pencarian (ubat, suplemen) yang dijual dalam talian. Jika menyertai pertandingan dan ‘kantoi', sudah tentulah sia-sia segala usaha jurulatih malah mencalarkan imej pasukan, persatuan dan negara jika bertanding di peringkat antarabangsa,” katanya.

Tindakan yang dilakukan itu bukan  sahaja mampu ‘memusnahkan’ masa depan atlet serta mencalarkan integriti dan imej negara tetapi dalam masa yang sama penggunaan bahan terlarang dalam sukan ini akan turut merosakkan masyarakat.

 

 

KESAN DOMINO KEPADA MASYARAKAT

 

“Kita lihat saja di pusat kecergasan seperti gimnasium awam atau peribadi. Banyak menjual suplemen dan vitamin yang belum tentu ‘selamat’ isi kandungannya seperti steroid yang diamalkan mereka yang mahukan badan cantik atau ‘badan sado’.

“Kita bimbang perkara ini yang mulanya hanyalah satu masalah dalam sukan negara, melarat dan menjejaskan kesihatan masyarakat,” katanya.

Justeru, Adamas kini dalam perancangan untuk mengemas kini silibus pendidikan doping dengan turut melibatkan ibu bapa di samping jurulatih dan pihak pengurusan persatuan.

Tujuannya, bagi memberi gambaran yang lebih jelas mengenai suplemen dan vitamin yang boleh membuatkan seseorang atlet itu tidak layak atau digantung daripada menyertai pertandingan selain mengelakkan tindakan lebih teruk seperti ditarik pingat yang dimenangi.

Kekhuatiran isu doping turut diluahkan pakar perunding klinikal Genetik dan Metabolik Hospital Kuala Lumpur (HKL),  Dr Ngu Lock Hock yang berpendapat perkembangan pesat dalam bidang kejuruteraan genetik pada masa sekarang  membolehkan genom seseorang dimanupulasi untuk menggantikan sebarang gen yang 'rosak' dan seterusnya menghasilkan protein spesifik yang diperlukan oleh sel.

Oleh itu, agak membimbangkan sekiranya  kaedah tersebut yang juga dikenali sebagai terapi gen ini disalah gunakan untuk tujuan selain daripada perubatan  seperti  gen doping yang berpotensi meningkatkan keupayaan fizikal apabila ia dimasukkan ke  dalam genom seseorang atlet.

Secara asasnya, gen ialah unit asas pewarisan yang menentukan ciri-ciri individu dan ia wujud secara berpasangan. Gen, yang terdapat di dalam molekul panjang yang disebut DNA ini akan menentukan ciri-ciri seperti ketinggian, warna rambut dan cap cari.

Jelas Dr Ngu,  gen-gen tersebut boleh dimasukkan ke dalam badan seseorang atlet menggunakan pengangkut (carrier) seperti vektor virus dan bahan kimia tertentu seperti liposom menerusi suntikan.

Dedah beliau,  banyak senarai gen yang berpotensi dimanipulasikan dan ini termasuklah IGF1, VEGFA, GH, MSTN dan lain-lain.

"Misalnya, gen yang berpotensi dimanipulasikan menerusi kaedah terapi gen ini adalah gen EPO, iaitu gen yang mengekod hormon erythropoietin yang boleh menambah bilangan sel darah merah dan kapasiti pengangkutan oksigen ke otot seseorang.

 Selain itu, gen HIF-1, gen yang mengekod protein terlibat dalam proses hipoksia dan ia boleh meningkatkan ketahanan seseorang atlet termasuk di bawah situasi kekurangan bekalan oksigen ke otot.

Jika ini terjadi, atlet lumba lari jarak jauh atau maraton terutamanya tidak akan cepat 'penat' kerana kapasiti oksigen mereka berganda dari atlet biasa, jelasnya.

Apa pun, penggunaan gen doping  dalam bidang sukan adalah menyalahi prinsip etika serta undang-undang kerana  ia memberi kelebihan bukan semula jadi kepada seseorang atlet.

 

 

KLASIFIKASI MANIPULASI GENETIK SEPERTI UBAT ATAU BAHAN TERLARANG LAIN

 

Ujarnya, penggunaan gen doping ini  harus diklasifikasikan sama sepertimana penggunaan ubat atau bahan terlarang lain dalam bidang sukan sebagai satu tingkah laku yang dilarang.

“Pada masa sama, gen doping mungkin berisiko kepada atlet berkenaan kerana penggunaan vektor virus dan bahan kimia mungkin boleh membawa kesan sampingan.

“Di samping itu, apabila gen yang dimasukkan telah bergabung dengan genom seseorang, agak sukar untuk mengawal ekspresinya. Malah, keaslian kod genetik seseorang juga terjejas dan mungkin mendatangkan kesan-kesan tidak diingini," tegasnya.

Teknologi anti-doping sedia ada juga tidak dapat mengesan penggunaan gen doping dalam kalangan atlet.

Namun menurut Dr Ngu, banyak kajian sedang dijalankan untuk mencari teknologi baharu yang dapat mengesan pengamalan gen doping berasaskan pengesanan vektor virus, bahan kimia, protein asing, ataupun antibodi terhadap protein dalam badan seseorang.

“Oleh itu, dengan melihat ‘gene expression profiling’ dan ‘proteomic profiling’ boleh menjadi alternatif yang mungkin berpotensi untuk mengesan pengamalan gen doping," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan