RENCANA

PKPD SIMPANG RENGGAM: TRAGEDI COVID-19 SATUKAN PENDUDUK

06/05/2021 09:03 AM

Oleh Nor Baizura Basri

PKPD Simpang Renggam meninggalkan pelbagai kenangan buat bekas pesakit COVID-19.

Wartawan Bernama, Nor Baizura Basri menemubual beberapa orang bekas pesakit koronavirus maut itu dalam bahagian kedua daripada tiga bahagian ini.

Ikuti kisah pahit getir mereka daripada mula dijangkiti sehingga kembali sembuh.

KLUANG (Bernama) -- Meskipun setahun telah berlalu, rata-rata penduduk di Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baru Ibrahim Majid (BBIM) serta kawasan lain yang terlibat tidak dapat melupakan bagaimana kritikalnya keadaan COVID-19 di kawasan mereka sehingga menjadi komuniti pertama “yang terkurung” dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Pada masa itu, barisan hadapan daripada kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bertungkus lumus menjalankan pengesanan aktif dan mass sampling melibatkan seramai 2,599 orang penduduk kampung dan kawasan sekitar.

 Apa yang lebih menyedihkan, pelbagai persepsi negatif dari “luar” yang seolah-olah menyalahkan komuniti berkenaan turut mengcengkam emosi penduduk, apatah lagi mereka terpaksa berhadapan dengan ‘musuh’ yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar, yang sedang merebak dalam lingkungan mereka sendiri.

Sewaktu PKPD Simpang Renggam itu, seramai 181 orang disahkan positif dengan empat kematian daripada 2,599 orang dari dua kampung berkenaan dan sekitar.

Berikut adalah pengalaman getir yang dikongsi oleh bekas pesakit COVID-19 terdiri daripada seorang ibu muda dan bayi perempuannya berusia 25 hari, seorang sukarelawan dan seorang bapa yang tabah, yang pasti meruntun sesiapa sahaja yang membacanya.

 

BAYI 25 HARI JADI PESAKIT TERMUDA DIJANGKITI COVID-19


Pasangan suami isteri, Shahizwan Sahlan dan Azeila Selamat bersama anak mereka Nur Aishah Zahra Shahizwan. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Bagi Azeila Selamat, menimang cahayamata sulungnya adalah saat bahagia yang sangat dinantikan, selepas beliau dan suaminya, Shahizwan Sahlan menanti selama dua tahun.

Namun, tidak sampai pun sebulan menikmati kegembiraan itu, pasangan ini diuji pabila puterinya, Nur Aishah Zahra Shahizwan, yang baru sahaja berusia 25 hari disahkan positif COVID-19 sekaligus menjadi pesakit termuda di Bandar Baru Ibrahim Majid.

Mengimbau kenangan itu, Azeila masih ingat bagaimana dia hanya berkain batik ke Sekolah Kebangsaan Kampung Dato’ Ibrahim Majid bersama bayi dan suaminya kerana masih berpantang sekaligus menyertai ribuan masyarakat BBIM dan Kampung Dato’ Ibrahim Majid yang turut diminta membuat ujian saringan COVID-19.

“Selalunya keputusan keluar ambil masa 48 jam, jadi bila dah lepas tempoh tu, kami ingat dah tiada apa-apalah. Seminggu lepas buat ujian itu, kami dapat ada jiran positif. Dia ambil ujian pun saing dengan kami. Masa tu dah kami dah mula risau.

“Masa waktu solat Maghrib (hari yang sama), selepas saya keluar dari tandas, saya nampak suami tengah tengok anak kami, jadi saya tanya kenapa. Dia cakap ada orang telefon nak sahkan alamat. Saya rasa tak sedap hati. Tak lama kemudian, ada panggilan telefon masuk lagi dan beritahu anak saya positif,” kata wanita berusia 27 tahun itu ketika temubual eksklusif dengan Bernama, baru-baru ini.

Meskipun takut dan sedih dengan berita yang diterimanya, Azeila berasa sedikit lega apabila dibenarkan untuk menjaga Nur Aishah di hospital meskipun dirinya disahkan negatif.

 

KESEDIHAN IBU TIDAK TERBENDUNG


Gambar hiasan. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Sepanjang lapan hari berada di hospital, Azeila mengakui berasa tertekan, apatah lagi masih melalui proses berpantang dan emosinya sering terganggu berikutan sangat sedih sambil menjaga anaknya yang baru lahir tanpa suami di sisi.

“Bermula saya dapat tahu anak saya dijangkiti, emosi saya tidak terbendung dan tak terkawal. Saya asyik menangis di hospital. Hari-hari hubungi keluarga dan suami menerusi panggilan video.

“Selain itu, saya juga ada seorang kawan yang positif dan tinggal di hospital yang sama. Hari-hari kami saling berhubung menerusi whatsapp dan dia pun terpaksa tinggalkan anaknya yang berusia tiga bulan dan masih menyusu badan dan tidak dapat menyimpan susu untuk anaknya serta turut meninggalkan anak berusia tiga tahun. Saya banyak ambil kekuatan daripadanya,” kata Azeila.

Meskipun tidak berpengalaman dalam menjaga anak dengan kurangnya peralatan untuk menjaga bayi di hospital, Azeila tetap tabah dan bersabar bagi memastikan anaknya sembuh semula.

Baginya, peristiwa yang bersejarah itu akan diceritakan kepada anaknya bila dia besar nanti bagaimana detik kelahirannya merupakan satu anugerah yang berharga tatkala negara dilanda satu ujian yang besar.

“Bila kita dengar COVID-19, semua orang takut. Bila tahu bayi sendiri dijangkiti, dengan umurnya (yang sangat kecil)..bila kena tu rasa macam...bila orang dengar virus tu, orang dah fikir mati. Jadi memang takut sangat masa tu,” katanya lagi.

 

DISERANG STROK


Masjid Al - Huda Bandar Baru Ibrahim Majid dipercayai tempat pertama penyebaran COVID-19 apabila seorang jemaahnya dikatakan baru pulang dari Perhimpunan di Masjid Seri Petaling. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Bila pertama kali mendengar ada kluster jemaah tabligh dikaitkan dengan kes COVID-19 ketika itu, Hamdan Saleh, 74, terus teringat pernah duduk di sebelah individu yang baru pulang dari Perhimpunan di Masjid Seri Petaling itu.

Ketika PKPD diisytihar beberapa hari kemudian, kesemua lapan ahli keluarganya diminta menjalani ujian saringan COVID-19. Hamdan dan isterinya serta anak bongsu lelaki mereka yang berusia 26 tahun disahkan positif. Mereka kemudiannya dimasukkan ke Hospital Kluang untuk kuarantin.

“Sebelum jalani ujian saringan itu, isteri saya masa itu batuk-batuk, anak saya pula sudah hilang deria rasa tetapi saya tiada gejala apa-apa. Masa tu tak tahu apa-apa, orang kata itu bukan COVID-19. Bila isteri, anak dan saya dah masuk hospital, mulai risau sebab ada tiga cucu di rumah, kalau terjadi apa-apa dengan anak dan menantu yang lain,” katanya.

Selama sebulan Hamdan terlantar di hospital, doktor mula mengesan beberapa masalah kesihatannya termasuk buah pinggangnya mengecut dan darahnya menjadi pekat.

“Darah pekat inilah yang membuatkan saya (diserang) strok. Dua hari saya terlantar akibat strok. Masa tu tak boleh buat apapun sendiri, pampers pun orang pakaikan, makan pun guna tiub,” katanya.

 

NAK HIDUP ATAU BERPUASA


Hamdan Saleh, penduduk Bandar Baru Ibrahim Majid. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Memandangkan ketika itu bulan Ramadan, menurut Hamdan, beliau juga pernah diberi kata dua oleh doktor bila menyatakan keinginan untuk berpuasa.

“Kalau puasa, tak dapat masuk air tiga liter sehari, jadi pakcik pilihlah mau hidup atau puasa. Puasa boleh ganti, nyawa tidak boleh ganti,” katanya ketika mengimbas kembali perbualan bersama doktor di hospital.  

Hamdan yang akhirnya dibenarkan pulang dua minggu sebelum Hari Raya Aidilfitri, berasa cukup bersyukur diberi peluang kali kedua dan masih boleh bertemu keluarga meskipun pernah berada di ambang “maut” akibat strok.

Dia yang menghidap penyakit kencing manis sehingga kini masih menerima rawatan termasuk terpaksa makan pil cair darah. 

“Nasihat saya, bila doktor suruh kuarantin di rumah, jangan buat apa-apa dan duduk di rumah. Kalau kita tak jaga, kita akan membahayakan orang lain termasuk ahli keluarga kita sendiri,” katanya, seorang pesara.

 

BANTU EDARKAN BANTUAN, TAK SANGKA JADI PESAKIT


Mohd Zin Erjam, Pengerusi Kejiranan Rukun Tetangga Bandar Baru Ibrahim Majid (BBIM). --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Bagi Mohd Zin Erjam yang merupakan Pengerusi Kejiranan Rukun Tetangga BBIM, rumahnya menjadi pusat agihan bekalan makanan apabila kawasan itu mula diisytiharkan PKPD.

“Walaupun pada ketika itu berita mengenai COVID-19 sudah mula tersebar, kita masih tiada rasa apa-apa. Pada 30 Mac 2020, saya lima sekeluarga diminta menjalani ujian saringan COVID-19.

“Masa tu, keputusan mengambil masa seminggu baru dapat. Jadi kerja rutin mengagihkan bantuan makanan terus berjalan. Semua berkumpul di rumah saya untuk urusan agihan makanan,” katanya.

Seminggu selepas itu, Mohd Zin dan isteri disahkan positif COVID-19 dan mereka dibawa ke Hospital Kluang untuk dikuarantin.

“Yang sedihnya, masa tu sudah tersebar berita kematian akibat COVID-19. Dua orang kenalan saya dan selalu berjumpa di masjid meninggal dunia kerana COVID-19.

“Itu sebab sedikit sebanyak kami berasa ngeri dan pemergian kami ditangisi anak menantu dan cucu,” kata bekas guru itu.

 

SEMANGAT KESATUAN ERATKAN MASYARAKAT


Mohd Zin Erjam (kiri) mengambil inisiatif menerbitkan Majalah Khas “COVID-19: BBIM Lockdown” dalam usaha untuk merekodkan segala peristiwa sepanjang PKPD pertama negara. Turut hadir Dr Hanihaselah Mohd Saleh (tengah depan). --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Di sebalik apa yang berlaku, Mohd Zin berkata, beliau berbangga kerana masyarakat di kampungnya itu menunjukkan semangat kesatuan yang luar biasa meskipun turut menerima kritikan serta persepsi negatif masyarakat luar yang tidak jelas dengan situasi PKPD di kawasan berkenaan.

“Dari segi kesatuan, dalam kita menghadapi saat genting itu, memang terbukti. Itu yang jelas. Kita punya kesatuan, kerjasama memang sangat terserlah pada ketika itu,” katanya.

Menurut beliau, meskipun sedar mengenai punca penularan pada ketika itu, tidak ada siapa yang menuding jari, sebaliknya semua penduduk di situ menganggap ia adalah suratan takdir dan ketentuan Allah SWT.

Bagi mengabadikan kenangan, dia mengambil inisiatif menerbitkan Majalah Khas “COVID-19: BBIM Lockdown”, antaranya untuk diedarkan kepada penduduk tempatan.

Ia sebagai usaha untuk merekodkan segala peristiwa ketika PKPD pertama negara itu untuk tatapan generasi masa hadapan.

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan