RENCANA

SEMANGAT KERJA BERPASUKAN BANTU PETUGAS KKM SEPANJANG PKPD SIMPANG RENGGAM

05/05/2021 05:30 PM

Oleh Nor Baizura Basri

Perintah Kawalan Pergerakan DiPerketatkan (PKPD) yang pertama dikuatkuasakan di Malaysia adalah ke atas Simpang Renggam, Johor (27 Mac 2020) berikutan kes positif COVID-19 yang banyak dikesan di kawasan tersebut.

Meskipun sudah lebih setahun berlalu, namun bagi pasukan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang bertugas di Simpang Renggam ketika itu, semangat kental kerja berpasukan menjadi benteng ketahanan.

Wartawan Bernama, Nor Baizura Basri menjejak kembali PKPD pertama serta berkongsi kisah "komander" yang mengetuai pasukan ‘mass sampling’ KKM  di kawasan PKPD itu. Ini bahagian satu daripada tiga bahagian.

KLUANG (Bernama) -- "Team are you ok?". Begitu jeritan Dr Hanihaselah Mohd Saleh setiap kali beliau mahu memeriksa tahap semangat anak buahnya ketika bertugas tanpa henti di Sekolah Kebangsaan Dato' Ibrahim Majid untuk mengambil sampel ujian saringan bagi mengesan COVID-19. 

Bertindak sebagai "komander" di pusat persampelan itu, rutin harian itu adalah penting untuk sentiasa memastikan anak buahnya berada dalam keadaan yang baik memandangkan tugas begitu mencabar yang perlu mereka hadapi.


Petugas KKM mengambil sampel untuk saringan COVID-19 ke atas penduduk Kampung Dato' Ibrahim Majid. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Dr Hanihaselah adalah Pakar Perunding Perubatan Keluarga di Klinik Kesihatan Mengkibol (dekat Kluang), bersama pasukan petugasnya "menggalas tanggungjawab yang berat" apabila ditugaskan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Simpang Renggam.

Kawasan berkenaan adalah PKPD pertama, selepas Kerajaan Malaysia mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac 2020.

PKPD berkenaan yang bermula tengah malam 27 Mac hingga 28 April 2020 itu dikuatkuasakan berikutan 61 daripada 83 kes positif COVID-19 di daerah berkenaan dikesan di Kampung Dato' Ibrahim Majid dan Bandar Baru Ibrahim Majid di Simpang Renggam.

PKPD  melibatkan seramai 2,599 orang penduduk tempatan dari Bandar Baru Ibrahim Majid (BBIM) dan Kampung Dato' Ibrahim Majid serta beberapa kampung berhampiran yang terletak dalam zon penampan iaitu seluas 20 kilometer.

 

KRONOLOGI PROSES PERSAMPELAN COVID-19 DI PKPD SIMPANG RENGGAM


Masjid Sri Petaling ditutup pada pada 6 dan 8 Mac 2020 berikutan beberapa kes COVID-19 dikaitkan dengan perhimpunan tabligh yang diadakan. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Berkongsi kisah bagaimana tugasnya bermula di PKPD berkenaan, Dr Hanihaselah atau lebih mesra dipanggil Dr Hani, berkata kes pertama dari BBIM disahkan pada 13 Mac 2020, melibatkan seorang peserta Ijtimak Tabligh dari perhimpunan di Masjid Sri Petaling, dekat Selangor, yang berlangsung pada 28 Februari hingga 2 Mac, tahun 2020.

Daripada kes indeks itu, penularan dikesan dalam kalangan komuniti sehingga menjangkiti seramai 193 individu serta mengorbankan empat yang lain. 

Pada masa itu, pasukannya perlu mengambil 300 hingga 500 sampel daripada penduduk dalam masa tiga jam setiap hari selain membuat pengesanan aktif dalam kalangan penduduk yang terlibat di kawasan PKPD itu.

Seramai 2,599 penduduk di dua kampung berkenaan dan penduduk sekitar (dari zon penampan) dipanggil untuk menjalani sebanyak 4,150 ujian saringan COVID-19 mass sampling sebelum pusat persampelan di sekolah berkenaan akhirnya ditutup pada 23 April, 2020.

 

CABARAN HADAPI WABAK BARU BAGAIKAN PEPERANGAN


Anggota PDRM dan ATM mengawal ketat pergerakan kenderaan yang keluar dan masuk dari jalan utama menuju ke Kampung Dato' Ibrahim Majid dan Bandar Baru Ibrahim Majid, di Simpang Renggam pada 28 April 2020. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Memandangkan ini kali pertama kakitangan KKM menghadapi cabaran wabak COVID1-9, acap kali mereka berdepan dengan kesukaran daripada segi mencari prosedur operasi standard (SOP) yang sesuai dalam usaha mengumpul sampel dalam keadaan yang lebih sistematik.

Antara cabaran ialah untuk membina satu tatacara kerja yang lebih tersusun dan sistematik termasuk mengurangkan risiko pencemaran silang antara petugas kesihatan dan penduduk dan bagaimana pentingnya menyuntik semangat juang pada team sampling yang ada.

Terdapat 80 hingga 100 orang dalam pasukan Dr Hanihaselah, kesemuanya berasal dari Johor dan mereka bertugas secara bergilir-gilir.

“Kalau nak dikira satu peperangan, memang betullah. Bila diisytiharkan PKPD, kawasan terlibat ditutup sepenuhnya. Setiap jalan raya ada polis dan askar yang menjaga. Setiap kali memandu memasuki kawasan ini, toleh kiri dan kanan, semuanya askar. Masa tu rasa, yalah, kita ni masuk nak berperang cuma musuh kita adalah musuh yang kita tak nampak.


Dr Hanihaselah Mohd Saleh, Pakar Perunding Perubatan Keluarga di Klinik Kesihatan Mengkibol, Kluang. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

“Ketika itu, menyedari akan mengetuai pasukan yang ketika itu tatacara sangat sukar sebab bukan tatacara yang biasa, saya rasakan..saya dulu yang perlu ada semangat, kena tanamkan semangat positif untuk mengetuai supaya boleh jadi contoh pada ahli pasukan yang lain,” katanya yang berasal dari Pontian, Johor dan sudah berkhidmat selama 29 tahun dengan KKM.

Selain itu, pengalaman memakai peralatan perlindungan diri (PPE) dalam tempoh yang sangat lama, agak mencabar bagi mereka selain PPE yang tidak mencukupi.

“PPE tak cukup, balut kaki dengan getahlah, pakai plastik sampahlah, itu semua pengalaman yang tak boleh lupa. Hanya sebab nak pastikan diri kita sendiri dilindungi. Pada masa itu, kami sudah buat yang terbaik untuk menjaga diri sendiri,” kata Dr Hani.

 

1 RAMADAN TARIKH KEMENANGAN


Anggota pasukan barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia kelihatan gembira dan ceria selepas berakhirnya kerja-kerja mengambil sempel saringan COVID-19 penduduk Kampung Dato' Ibrahim Majid. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Bagi Dr Hani, Ramadan tahun 2020 sangat bermakna buat beliau dan pasukannya kerana akhirnya berjaya menyelesaikan tugasan sukar itu beberapa hari sebelum ketibaan bulan Ramadan yang bermula pada 24 April 2020.

Ia dianggap bukan sahaja kejayaan untuk pasukan persampelan, agensi dan penduduk yang terlibat  tetapi juga kejayaan awal KKM dalam memerangi wabak COVID-19. PKPD di Simpang Renggam kemudian diisytihar tamat pada 28 April 2020.

“Impian saya ketika di Kampung Dato' Ibrahim Majid adalah untuk membawa keseluruhan team sampling keluar dari kampung berkenaan tanpa seorang pun terkena jangkitan. Alhamdulillah, Allah SWT kabulkan. Setiap hari impian kita menjadikan 1 Ramadan titik kemenangan di kampung berkenaan. Itu juga menyumbang kepada kejayaan awal KKM, alhamdulillah Allah SWT kabulkan.

“Semuanya itu adalah berkat kerjasama semua dan yang paling penting, apabila kita dah letakkan sasaran, mereka (ahli pasukan) faham dan mereka beri kerjasama yang sangat baik untuk menyelesaikan tugasan besar di PKPD pertama di Malaysia,” katanya yang mempunyai tiga orang anak, dua orang lelaki dan seorang perempuan. Anak perempuan beliau bakal mengikut jejak langkahnya sebagai doktor apabila tamat pengajian.

 

TRAGEDI IBRAHIM MAJID DIBUKUKAN

Berkongsi seterusnya pengalaman getir itu, menurut Dr Hani, adalah penting bagi beliau untuk terus bersemangat waja sebagai "komander" untuk mengepalai sebuah pasukan yang turut disertai mereka yang baharu sahaja bertugas dan kurang berpengalaman.

"Kalau tak kuat mental, susah nak harungi hari bertugas kerana risiko kerja yang tinggi. Saya sentiasa pastikan yang anak buah berada dalam keadaan baik apatah lagi terpaksa bekerja dalam keadaan baharu dalam mendepani wabak ini," katanya yang turut berkongsi pengalamannya setiap hari di pusat persampelan PKPD di laman sosial peribadinya.


e-buku Tragedi Ibrahim Majid: Diari Seorang Frontliner (siri pertama). qasehhani.com

Beliau berkata, ramai juga yang memberi komen dan memberi semangat kepadanya sehingga terpanggil akhirnya menulis buku (e-buku) Tragedi Ibrahim Majid: Diari Seorang Frontliner (siri pertama) berdasarkan pengalamannya. E-buku ini siap pada 22 Februari 2021.

“Saya sangat berharap pengumpulan keseluruhan cerita mengenai Tragedi Ibrahim Majid ni secara tidak langsung dapat mengabadikan keseluruhan peristiwa yang berlaku di dua buah kampung berkenaan untuk digunapakai generasi akan datang dan begitu juga penduduk di sini.

“Banyak (hikmah) yang mereka boleh ambil. Bagaimana penduduk dan barisan hadapan guna kekuatan fizikal, mental dan jiwa mereka untuk melalui pelbagai episod suka duka dan sebagainya tetapi kami mampu melaluinya dengan pengajaran yang banyak kami kongsikan,” katanya yang sedang menyiapkan siri 2 e-buku berkenaan.

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan