BERITA COVID–19   Wanita B40 raih pendapatan mampan di sebalik penularan pandemik | Polis siasat dakwaan KP Pendidikan Tinggi langgar SOP PKP | Penafian berita palsu tular 15 Mei - KKMM | MRSM Pengkalan Hulu nafi isu tular berkaitan makanan pelajar | Video tular mengenai Stadium Malawati tidak benar | 
RENCANA

Memperkayakan Ilmu Pengetahuan Menerusi Karya Terjemahan

22/04/2021 03:07 PM

Oleh Soon Li Wei

Artikel ini sempena Hari Buku Sedunia yang disambut pada 23 April setiap tahun. 

KUALA LUMPUR (Bernama) -- 'Membaca jambatan ilmu'. Itulah ungkapan yang sering dikaitkan dengan budaya membaca yang perlu disemai dan dipertingkatkan bagi membentuk masyarakat celik ilmu pengetahuan.

Tambahan pada masa ini, ekosistem pencarian maklumat menawarkan pelbagai pilihan yang mengubah realiti pembacaan masyarakat, dengan perkembangan teknologi digital pula mempelbagaikan cara untuk membaca dan persembahan bahan bacaan pada masa kini. 

Dari buku fizikal ke buku elektronik, memperlihatkan bahan bacaan mengalami satu revolusi dalam pelbagai genre, sama ada dalam bentuk ilmiah ataupun santai. 

Namun demikian, apabila sesuatu bahan bacaan menarik hanya diterbitkan dalam bahasa tertentu sahaja, sudah pasti ia menjadi cabaran bagi memahami isi kandungannya meskipun dibantu dengan aplikasi penterjemahan dalam talian. 

"Aplikasi penterjemahan dalam talian mempunyai fungsi terhad, dan ada kalanya ia tidak memberi hasil yang memuaskan, di situlah bahan bacaan bahasa asing ini memerlukan penterjemahan profesional yang dapat menyampaikan maklumat tepat kepada pembaca. 

"Selain itu, proses pemindahan ilmu pengetahuan akan berlaku dengan pantas sekiranya buku ilmiah serta bahan bacaan diberi penterjemahan tepat ke bahasa yang difahami," kata Ketua Pegawai Eksekutif Institut Terjemahan dan Buku Negara (ITBM), Sakri Abdullah dalam wawancara khas dengan Bernama sempena Sambutan Hari Buku Sedunia 2021, baru-baru ini.  

 

ILMU BAHARU DALAM BUKU TERJEMAHAN


Sakri Abdullah (kanan) dalam wawancara khas dengan Bernama sempena Sambutan Hari Buku Sedunia 2021. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Menurut Sakri, banyak buku ilmiah dalam bidang Sains dan Teknologi seperti perubatan, kejuruteraan dan automotif yang berasal dari negara maju seperti Jerman, Sepanyol, Russia dan Jepun hanya diterbitkan dalam bahasa mereka sahaja. 

Beliau berkata, memandangkan mereka mempunyai kepakaran dalam bidang tertentu di negara masing-masing, jadi proses ‘membawa masuk’ buku-buku tersebut ke Malaysia memerlukan penterjemahan ke Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu terlebih dahulu. 

"Di situlah kami memerlukan penterjemah profesional untuk menterjemahkan buku tersebut untuk dijadikan bahan rujukan oleh pelajar dan golongan profesional, sekali gus memperbanyakkan koleksi dalam perpustakaan untuk kemudahan semua," katanya.  

Beliau menambah, selain memperluaskan capaian buku kepada pelbagai khalayak, penterjemahan juga dapat membantu mengangkat kembali karya lama serta berharga untuk dibahaskan kembali oleh masyarakat. 

"Dari segi membawa keluar buku karya penulis tempatan, kami banyak fokus kepada genre Malaysian dan kesusasteraan yang berkaitan dengan seni dan budaya kerana mahu mengangkat karya tempatan ke peringkat antarabangsa. 


Kampung Boy.

"Antara karya-karya terjemahan ke pelbagai bahasa dunia seperti Bahasa Sepanyol, Jerman dan Jepun seperti buku 'Salina' karya Sasterawan Negara, Prof Madya Dr Muhammad Salleh dan 'Kampung Boy' oleh Lat (Datuk Mohammad Nor bin Mohammad Khalid). 

"Karya ini juga berjaya mendapat sambutan menggalakkan di negara luar, terutamanya 'Kampung Boy' kerana ia jelas menggambarkan budaya, keharmonian dan perpaduan masyarakat Malaysia sehinggakan komik Kampung Boy versi Jepun pernah meraih anugerah antarabangsa (Anugerah Gaiman Jepun 2014)," katanya. 

Sakri menambah, kepelbagaian bahan bacaan menerusi penterjemahan secara tidak langsung dapat memberi lebih banyak pilihan kepada pembaca untuk memilih genre buku yang digemari bagi memulakan pembacaan.  

ITBM, kata beliau, sejak ditubuhkan pada tahun 1993, berjaya menterjemahkan lebih 3,000 bahan bacaan dalam 39 bahasa, antaranya, Jepun, China, Jerman, Korea Selatan, Rusia dan banyak lagi dengan kerjasama duta besar negara berkenaan di Malaysia di samping pertubuhan bukan kerajaan (NGO). 

"Selain itu, kami turut bekerjasama dengan institut pengajian tinggi awam (IPTA) seperti Universiti Sains Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, serta persatuan bahasa asing dan penulis seperti Persatuan Kebudayaan Han, GAPENA (Gabungan Persatuan Penulis Nasional), serta persatuan penulis negeri. 

"Dari segi karya tempatan, hasil daripada kerjasama berkenaan, lebih 30 judul buku terjemahan Mandarin dan 15 buku Tamil dihasilkan, serta buku dan dokumen dalam bahasa suku kaum Sabah dan Sarawak serta Orang Asli, turut kami hasilkan," katanya.

 

CABARAN PENTERJEMAHAN


Sakri Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Terjemahan dan Buku Negara (ITBM).

Mengakui kerja penterjemahan banyak cabaran, Sakri berkata ia tidak terhad hanya dari Bahasa Melayu ke Bahasa Inggeris dan sebaliknya, tetapi juga melibatkan bahasa antarabangsa bertaraf dunia dan bahasa pelbagai etnik di Malaysia. 

Beliau menjelaskan, bagi membawa masuk buku tersebut dari negara tertentu, ia memerlukan kos penterjemahan dan hak cipta yang sangat tinggi. 

"Pengalaman kami menterjemah 10 judul buku automotif dari Bahasa Jerman ke Bahasa Inggeris dan Melayu beberapa tahun lalu menelan kos begitu besar, contohnya satu buku sahaja kos royaltinya mencecah sehingga RM60,000. Itu belum lagi termasuk kos penterjemahan dan gambar rajah. 

"Persoalan dana selalu menjadi faktor menyekat, selain isu kekurangan penterjemah bahasa tertentu. Bagi memperkayakan lebih banyak bahan rujukan di pasaran, ia memerlukan dana khas daripada kerajaan untuk memperkasakan usaha penterjemahan," katanya.


Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM)

Menurut beliau, walaupun penterjemah yang berdaftar dengan ITBM adalah kira-kira 3,000 orang, namun kurang daripada separuh yang aktif. 

"Ramai dalam kalangan mereka mengikuti kursus penterjemah selama 60 jam dan berkelayakan sebagai penterjemah dan berdaftar dengan ITBM, namun kebanyakannya bergerak sebagai pekerja bebas dan tidak melakukan penterjemahan secara tetap. 

"Oleh itu, kami sangat menggalakkan agar graduan lepasan universiti luar negara memanfaatkan kemahiran berbahasa asing mereka untuk menyumbang kepada industri penterjemahan sebelum melangkah ke dunia pekerjaan. 

"Ia sebagai bonus kepada mereka untuk mengisi masa sementara mencari pekerjaan baharu, di samping memperolehi duit poket tambahan apabila mereka terlibat dalam projek penterjemahan. 

"Penterjemahan membolehkan kita mengenal dunia orang lain dan tidaklah terhad dalam dunia kita sahaja. Kita boleh belajar daripada ilmu orang lain," katanya.

 

PERTUKARAN BUDAYA


Datuk Goh Hin San, Pengerusi Persatuan Penterjemahan dan Penulisan Kreatif Malaysia (Perspektif). --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penterjemahan dan Penulisan Kreatif Malaysia (Perspektif), Datuk Goh Hin San berkata, usaha penterjemahan adalah tunjang penting dalam pembangunan negara kerana ia mudah menyerapkan ilmu luar menjadi khazanah milik negara ini. 

"Kesusasteraan merupakan minda ciptaan manusia yang murni dan jika diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu, sudah pasti akan memperkayakan dunia kesusasteraan tanah air kita. 

"Penterjemahan pelbagai ilmu menjadikan Jepun sebuah negara yang kuat, bukan sahaja daripada segi ekonomi tetapi juga jaya diri dalam kalangan masyarakatnya apabila mereka disemaikan dengan dengan tabiat membaca di mana-mana sahaja," katanya, yang menyandang jawatan Pengerusi Perspektif sejak tahun 1985. 

Beliau juga pernah menjadi guru Bahasa Melayu di sekolah  persendirian Cina selama 17 tahun dan juga Pengerusi Persatuan Kebudayaan Han Malaysia sejak tahun 2009.

Menurut Goh, Perspektif berjuang selama 35 tahun untuk menjadikan bidang penterjemahan sebagai tunjang menyemarakkan perpaduan melalui karya terjemahan sastera. 

"Kami melahirkan bukan sahaja penterjemah pelbagai bahasa, tetapi juga pejuang budaya kerana apabila menterjemah sesuatu karya, seseorang itu bukan sahaja harus mahir dalam kedua-dua bahasa tetapi juga budaya. 

"Seseorang penterjemah haruslah mahir dalam menggunakan kata-kata yang sesuai ketika menterjemahkan sesuatu karya ke bahasa tertentu, berdasarkan geobudaya dan geopolitik sesebuah negara itu.

"Ada kalanya sesetengah perkataan biasa digunakan di negara tertentu namun kurang sesuai digunakan dalam bahasa Melayu kerana mungkin akan menyentuh sensitiviti masyarakat di negara ini," katanya. 

Beliau menambah, penterjemahan ialah satu wadah yang penting untuk menggalakkan pertukaran silang budaya dan pengukuhan ilmu dalam pelbagai aspek termasuk bidang sastera. 

"Teks terjemahan sastera membuka pintu dunia dan budaya asing yang tidak dapat kita terokai tanpa terjemahan, oleh itu azam kami di Perspektif adalah untuk mempromosikan perpaduan dan keharmonian di samping memperkasakan nilai murni dalam kesusasteraan tempatan," katanya. 

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA 

 

 

 

 


 

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan