RENCANA

TINGKATKAN AMALAN DENGAN 'AL-QURAN TULISANKU' SEPANJANG RAMADAN

21/04/2021 09:28 AM

Oleh Muhammad Basir bin Roslan

KUALA LUMPUR (Bernama) – Setiap tahun, umat Islam menunggu ketibaan bulan Ramadan, bukan sahaja untuk menunaikan ibadah puasa namun melakukan pelbagai ibadah lain termasuk tadarus Al Quran.

Ramadan juga adalah bulan Al-Quran diturunkan dan peristiwa itu disebut sebagai hari Nuzul Al-Quran yang jatuh pada tanggal 17 Ramadan. Namun umat Islam dianjurkan membaca kitab suci ini bukan sahaja sepanjang Ramadan, tetapi juga sepanjang hayat mereka.


-- Gambar hiasan. profkrg.com

Di samping membaca Al-Quran, kini ada satu lagi pilihan untuk umat Islam beramal iaitu ‘Al-Quran Tulisanku’, seperti yang dikongsikan oleh Nurnaziera Behrin.

Usahawan muda ini adalah stokis pertama (sejak Oktober 2020) untuk ‘Al-Quran Tulisanku’ di Malaysia. Sejak kedatangan bulan Ramadan tahun ini, beliau berjaya menjual sebanyak 180 naskah, iaitu peningkatan dua kali ganda berbanding jualan bulanan sebelum ini, iaitu sekitar 90 naskah sahaja.

Setakat ini, beliau telah menjual sebanyak 1,000 naskah ‘Al-Quran Tulisanku’.


Satu set ‘Al-Quran Tulisanku’ berharga RM125, terdiri daripada 3 naskhah yang berbeza dan dipecahkan mengikut 10 juzuk. fb.com/QuAmbassador

“Al-Quran Tulisanku diasaskan oleh Yayasan Fajar Shodiq berpangkalan di Kota Mojokerto, Wilayah Jawa Tmur, Indonesia. Yayasan ini menghasilkan Al-Quran Tulisanku untuk memudahkan pelajarnya memiliki naskah berkenaan untuk membantu hafazan mereka.

"Nampaknya dengan adanya ‘Al-Quran Tulisanku’, mereka dapat menghafaz dengan lebih baik,” jelas Nurnaziera, yang juga seorang guru sebuah sekolah rendah di Rembau, Negeri Sembilan, dalam wawancara dengan Bernama menerusi telefon baru-baru ini.

 

SEMAKIN MENDAPAT SAMBUTAN


Nurnaziera Behrin, Stokis Al-Quran Tulisanku. -- Gambar ihsan Nurnaziera Behrin

Menurut Nurnaziera, permintaan yang tinggi untuk ‘Al-Quran Tulisanku’ pada bulan Ramadan menunjukkan masyarakat orang Islam sentiasa mahu meningkatkan amalan baik sepanjang Ramadan.

Beliau menjelaskan, dengan ‘Al-Quran Tulisanku’ pemiliknya boleh menebalkan semula ayat-ayat Al-quran yang sengaja dipudarkan

"Mereka hanya perlu mengambil pen berwarna biru atau hitam, yang sesuai dan menulisnya kembali. Hal ini secara tidak langsung akan membuatkan penulis membaca setiap huruf di dalam Al-Quran. 

"Satu set ‘Al-Quran Tulisanku’ ini terdiri daripada 3 naskhah yang berbeza dan dipecahkan mengikut 10 juzuk. Set 1 ialah juzuk 1 hingga 10, manakala set 2 juzuk 11 hingga 20 dan set 3 juzuk 21 hingga 30," tambahnya.


'Al-Quran Tulisanku’ dapat membantu pelajar menghafaz dengan lebih baik. -- Gambar ihsan Nurnaziera Behrin

Menurut beliau, sehingga kini, pembeli ‘Al-Quran Tulisanku’ bukan sahaja di Malaysia tetapi juga dari Singapura dan Taiwan. 

Untuk memperluaskan pasaran, ‘Al-Quran Tulisanku’, beliau mempunyai sekitar 32 orang dropship employees di seluruh negara.

Nurnaziera berkata, pihaknya juga menerima banyak permintaan daripada pelbagai sekolah Tahfiz di negara ini untuk menggunakan ‘Al-Quran Tulisanku’. Di samping itu, ada juga yang menjadikannya sebagai hantaran perkahwinan atau cenderahati.

 

BANYAK MANFAAT


Fatimah Fawziyah Mohd Nazir. -- Gambar ihsan Fatimah Fawziyah Mohd Nazir

Salah seorang pembeli ‘Al-Quran Tulisanku’ adalah Fatimah Fawziyah Mohd Nazir yang menyifatkan ia amat memberi manfaat kepada diri beliau.

"Bagi saya secara automatik kita akan membaca Al-Quran dan pada masa yang sama, ia menjadi terapi diri terutamanya untuk meningkatkan kesabaran.

"Di samping ada ganjaran pahala membaca serta menulis ayat-ayat Al-Quran, ia boleh dilakukan dengan anggota keluarga yang lain. Selain tadarus, kita boleh melakukan aktiviti ini, tambahan dalam keadaan pandemik ini, kita tak digalakkan berkumpul beramai-ramai untuk bertadarus kerana SOP COVID-19, " katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Menjelaskan lebih lanjut, Fatimah Fawziyah berkata, beliau membeli ‘Al-Quran Tulisanku’ untuk membantu beliau menghafaz ayat-ayat Al-Quran. Setakat ini beliau sudah menghafaz tujuh juzuk  Al-Quran termasuk juzuk 30.

 

NUZUL QURAN


Dr Khairul Azhar, Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Islam, UiTM Melaka. -- Gambar ihsan Dr Khairul Azhar

Sementara itu, pensyarah kanan Fakulti Pengajian Islam, UiTM Melaka, Dr Khairul Azhar Meerangani berkongsi hikmah Nuzul Quran.

"Al-Quran diturunkan oleh Allah SWT", melalui malaikat Jibrail, kepada junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W pada 17 Ramadan ketika baginda sedang beribadat di Gua Hira.

"Peristiwa itu juga disebut Malam Qadar dan sesungguhnya Al-Quran itu adalah setinggi-tingginya mukjizat Nabi Muhammad S.A.W. dan untuk menjadi pedoman umat baginda sehingga hari kiamat," kata beliau.

Menurut beliau, anugerah kitab suci Al-Quran kepada umat Nabi Muhamamd S.A.W. menjadi pedoman untuk kehidupan yang lebih baik di dunia membawa kepada kebahagian hidup di akhirat. 

Beliau menambah, dalam keadaan pandemik COVID-19 yang masih melanda negara ini, umat Islam seharusnya tidak menjadikan keadaan itu sebagai alasan untuk mengurangkan amal ibadat mereka.

Sebaliknya, kata Khairul Azhar, mereka boleh menggunakan kesempatan untuk meningkatkan amal ibadat dengan menggunakan semua platform yang ada, di samping bersabar dengan ujian yang menimpa.

Beliau turut menasihatkan agar umat Islam di Malaysia menjaga adab termasuk ketika berkomunikasi dalam media sosial.

"Al-Quran menyediakan pelbagai garis panduan serta etika yang baik serta komunikasi yang luhur dalam menyemai nilai murni serta perwatakan yang mulia dalam kehidupan harian."

"Bulan Ramadan memberi kita kesempatan untuk meningkatkan nilai murni dalam diri kita," katanya.

 

Disunting dan diterjemah oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA  

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan