RENCANA

SIFAT TELITI VAKSINATOR YAKINKAN MASYARAKAT TERIMA VAKSIN COVID-19

06/04/2021 12:44 PM

Oleh Samantha Tan Chiew Tieng

PUTRAJAYA (Bernama) -- Sifat teliti dan perancangan rapi vaksinator Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (HPUPM) sewaktu proses pemberian vaksin fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) mampu menyumbang kepada keyakinan masyarakat untuk tampil mendapatkan vaksin.

Sebagai antara Pusat Pemberian Vaksin (PPV), HPUPM menjalankan tiga hari simulasi sebelum memulakan operasi pada 8 Mac lepas bagi memastikan setiap petugas yang terlibat faham dan jelas akan peranan masing-masing di samping penerima berasa tenang dan selasa dengan suasana persekitaran.

Menurut Pengarah HPUPM Prof Madya Dr Muhammad Mohd Isa, proses pemberian vaksin di HPUPM berjalan mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM). 

“Kita turut menambahbaik perkhidmatan dengan mengadakan pemeriksaan tekanan darah dan oksigen sebanyak dua kali iaitu sebelum dan selepas suntikan vaksin dijalankan. Ia untuk dijadikan rujukan sekiranya apa-apa berlaku kepada penerima di samping HPUPM juga mementingkan penyelidikan dan kita mengumpul data penerima bagi tujuan analisis.

"Petugas-petugas terlibat juga perlu menghubungi penerima vaksin sehari selepas menerima suntikan untuk memantau perkembangan kesihatan mereka,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

 

ELAK BERITA PALSU


Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba ketika sidang media mengenai perkembangan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di Kompleks F, Putrajaya. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

PICK yang bertemakan ‘Lindung Diri, Lindung Semua’ dilaksanakan dalam tiga fasa, dengan Fasa 1 digerakkan dari Februari hingga April untuk kumpulan petugas barisan hadapan melibatkan 500,000 orang.

Fasa 2 bermula April hingga Ogos membabitkan kumpulan warga emas berumur 65 tahun ke atas, golongan berisiko tinggi serta orang kurang upaya melibatkan 9.4 juta orang, manakala Fasa 3 dari Mei hingga Februari 2022 untuk penduduk di Malaysia berumur 18 tahun ke atas termasuk warganegara dan bukan warganegara dengan sasaran lebih 13.7 juta orang.

Program itu bertujuan memastikan sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk dewasa Malaysia menerima vaksin menjelang Februari 2022.

Menyifatkan pandemik COVID-19 adalah situasi yang tidak pernah berlaku dalam sejarah sekali gus membuatkan ada pihak merasa ragu-ragu untuk mengambil vaksin, Dr Muhammad bagaimanapun berkata yang lebih memburukkan keadaan ialah penyebaran berita palsu dan maklumat yang tidak benar.

"Vaksin tidak menjamin kita akan dilindungi sepenuhnya, tetap perlu sentiasa menjaga dan patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

“Semua orang tunggu untuk divaksin sebab nak kembali kepada kehidupan sediakala namun dari satu sudut pandemik ini membawa perubahan yang positif dalam aspek penjagaan kebersihan. Kita perlu memainkan peranan dengan mengambil vaksin bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku termasuk kematian dalam kalangan orang muda,” katanya.

 

MESTI TEPAT, FOKUS


Setiap sukatan vaksin yang akan disedut ke dalam picagari tidak boleh melebihi atau kurang 0.3 ml. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Walaupun memberi vaksin dianggap sebagai sebahagian daripada bidang kerja petugas kesihatan selain proses suntikan hanya mengambil kira-kira 15 minit, namun ianya bukanlah semudah yang disangka.

Ditambah pula vaksin COVID-19 jenis Pfizer-BioNTech adalah vaksin baharu dan berbeza cara pengendaliannya dengan vaksin-vaksin yang lain.

Berkongsi pengalaman, vaksinator di HPUPM, Norihan Daud, 46, berkata setiap bebuli vaksin jenis Pfizer-BioNTech selepas dicampur dengan saline akan memberi 1.8ml dan cecair itu hanya cukup untuk diberikan kepada enam orang penerima sahaja.

Jika berlaku kekurangan dari segi sukatan, cecair tidak boleh ditambah daripada bebuli lain.

"Satu bebuli hanya untuk enam dos. Jadi sukatan cecair yang dikeluarkan mesti betul dan tepat.

“Setiap sukatan vaksin yang akan disedut ke dalam picagari tidak boleh melebihi atau kurang 0.3ml bagi mengelakkan pembaziran, kerugian jauh sekali kesilapan. Oleh yang demikian dalam bilik vaksinasi perlu ada dua atau tiga orang petugas kerana dari proses dilute sampai ke pemberian, perlu ada seorang untuk memeriksa dan memastikan ia benar-benar tepat,” katanya.

Norihan menambah selain perlu bekerja lebih masa, 14 vaksinator di HPUPM perlu sentiasa fokus dan bersedia membantu penerima vaksin sekiranya berhadapan gejala yang teruk.

“Daripada segi emosi terdapat penerima yang takut dan risau. Antara soalan yang dibangkitkan  adakah vaksin ini dilute dengan cukup, apa risiko dan kesan kepada mereka kerana setiap yang datang ke PPV mempunyai maklumat serta emosi masing-masing.

“Jadi kita sebagai vaksinator perlu menenangkan dan memberi sokongan moral serta emosi supaya penerima berasa yakin dan selamat. Penerima vaksin juga pada masa sama perlu merujuk kepada sumber yang sahih dan pakar kesihatan yang dipercayai agar tidak mudah terpedaya dengan berita palsu mengenai vaksin yang membuatkan mereka rasa gelisah dan takut.

"Saya berharap masyarakat tampil mengambil suntikan vaksin. Ini adalah kaedah terbaik untuk negara kembali bangkit daripada impak besar yang terpaksa dilalui dalam tempoh setahun berhadapan pandemik COVID-19. Mengambil vaksin adalah cara untuk mengekang penularan COVID-19 di samping memberi perlindungan kerana tiada siapa tahu apa akan berlaku kepada virus ini pada masa hadapan," katanya.

 

KEKAL PATUH SOP 


Klinik Pakar Perubatan Keluarga di Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (HPUPM) dijadikan pusat pemberian vaksin COVID-19. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Seorang lagi vaksinator, Azni Abdul Latif, 40, berkata kerja berpasukan dalam kalangan vaksinator amat penting bagi menjayakan PICK yang secara tidak langsung mewujudkan suasana santai dan tenang. 

Ini kerana terdapat dalam kalangan petugas barisan hadapan yang menangis dan menjerit kerana takut jarum.

Beliau pada masa sama mengingatkan penerima vaksin agar kekal mematuhi SOP, kerap mencuci tangan dan menggunakan cecair pembasmi kuman bukan sahaja bagi mengekang COVID-19 tetapi juga menghindari sebarang virus dan penyakit lain seperti tibi, penyakit tangan, kaki dan mulut dan sebagainya. 

Sementara itu, bagi penerima vaksin yang juga Pakar Perubatan Keluarga dan Pensyarah Perubatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Navin Kumar Devaraj, 43, masyarakat perlu bersedia mengambil vaksin bagi mengurangkan risiko jangkitan di samping memperoleh 80 peratus kebaikan daripadanya.

"Saya melihat ia mempunyai banyak manfaat berbanding risiko. Seperti yang kita lihat trend penurunan kes jangkitan di negara lain yang telah memulakan program vaksinasi, ini menunjukkan vaksin adalah ‘penyelamat’ untuk melawan COVID-19.

“Setakat ini petugas kesihatan merupakan penerima vaksin dan kita lihat tiada sebarang komplikasi yang teruk. Justeru orang ramai perlu yakin, jangan takut kerana keseluruhan proses dilakukan dengan kaedah terbaik dan berkesan,” katanya.

Bagi jururawat, Nazhirah Azmi, 38, pula, masyarakat perlu bersikap positif untuk menerima suntian vaksin kerana jika penularan pandemik COVID-19 berterusan ia akan memberi kesan kepada aktiviti harian apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

"Kalau berfikiran negatif macam mana kita nak capai imuniti kawanan (herd immunity). Kalau diri sendiri tidak tampil mengambil vaksin tiada siapa boleh membantu. Orang ramai tidak perlu terlalu risau kerana vaksin ini tidak memudaratkan,” katanya sambil menambah bayi yang baru lahir turut diberi vaksin demi kesihatan dan melindungi mereka daripada terdedah kepada sebarang jangkitan penyakit.

 

Disunting oleh Erda Khursyiah Basir

BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan