RENCANA

MEMPERKASA WANITA DALAM BIDANG KESELAMATAN DAN KESIHATAN PEKERJAAN

08/03/2021 12:26 PM

Oleh Erda Khursyiah Basir

Artikel ini sempena Hari Wanita Sedunia yang disambut pada 8 Mac setiap tahun. Tema sambutan Hari Wanita peringkat kebangsaan pada tahun ini ialah ‘Wanita Bangkit Mendepani Cabaran’. 

KUALA LUMPUR (Bernama) -- “Di samping urusan kerja seharian di kelilingi kaum lelaki termasuklah perlu kerja ke luar daerah dan luar negara, kerjaya ini turut menuntut jiwa yang kental apabila perlu melakukan aktiviti lasak seperti memanjat tempat yang tinggi, memasuki ruang sempit dan terkurung serta melakukan pemeriksaan dan audit di tempat berisiko tinggi dan merbahaya.

“Sebagai contoh ketika bertugas mengendalikan siasatan kemalangan di Projek Hidro Elektrik Bakun, Sarawak, saya merupakan pegawai keselamatan dan kesihatan (SHO) wanita yang terlibat. Program siasatan sangat mencabar ketika di Empangan Bakun di mana kami perlu melalui terowong gelap dan memanjat tangga pada ketinggian 200 meter serta tidur di kabin selama seminggu.

“Satu lagi pengalaman yang tidak dapat dilupakan ialah apabila ditugaskan membuat audit dan siasatan kemalangan di Lapangan Terbang Hyderabad, India. Bukan sahaja perlu melalui pemeriksaan keselamatan yang sangat ketat di lapangan terbang dan hotel, beg dan kereta yang kami naiki turut diperiksa dengan alat pengesan bom. Kerja-kerja audit pula terpaksa disegerakan kerana berlaku rusuhan di sana dan kami perlu segera pulang ke tanah air atas faktor keselamatan,” demikian menurut Pengamal Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH), Norwani Ahmat kepada Bernama baru-baru ini. 

 

KEPENTINGAN BIDANG OSH 


Norwani Ahmat, Pengamal Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH). -- Gambar ihsan Norwani Ahmat

Itu antara cabaran terbesar yang perlu dilalui Norwani sepanjang lebih 20 tahun berkecimpung dalam bidang OSH bagi menempat dan menyesuaikan diri dalam persekitaran bos, rakan dan pekerja-pekerja lelaki.

Beliau yang kini berkhidmat sebagai Pengurus Kecemerlangan Operasi di Lynas, sebelum ini pernah bertugas sebagai ahli kimia, jurutera proses, pengurus dan ketua jabatan keselamatan, kesihatan dan persekitaran di beberapa buah syarikat yang mempunyai nama besar antaranya Sime Darby Berhad, Faber Group Berhad, Nestle Manufacturing (M) Sdn Bhd, MMC-Gamuda KVMRT (PDP) Sdn Bhd dan Proton Holdings Berhad. 

Mengulas lanjut mengenai bidang kerjaya OSH, beliau berkata ia merujuk kepada isu berkaitan pengurusan keselamatan, kesihatan, dan kebajikan pekerja di mana matlamatnya adalah untuk memastikan persekitaran tempat kerja adalah selamat dan sihat bagi pekerja, majikan termasuklah pelawat, juruaudit dan sebagainya. 

Bidang kerjaya ini mempunyai peruntukan perundangan yang memerlukan majikan dalam sesetengah sektor industri mempunyai pekerja yang mempunyai kepakaran khusus dalam OSH seperti SHO, penyelia keselamatan dan kesihatan tapak bina, doktor kesihatan pekerjaan, koordinator OSH, perunding dan juruaudit keselamatan dan kesihatan, pensyarah OSH di institusi pengajian tinggi dan lain-lain. 

Mereka ini turut disebut sebagai Orang Yang Kompeten (OYK), istilah yang diberikan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) di bawah peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 dan peraturan-peraturannya.

Antara industri yang wajib menyediakan SHO ialah pembinaan kejuruteraan, perkapalan dan industri petrokimia yang mana sektor-sektor ini memang sinonim dimonopoli oleh kaum lelaki malah sering dikaitkan dengan istilah ‘pekerjaan 3D’ - kotor, bahaya dan sukar.  


Norwani Ahmat mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam bidang OSH dan pernah bertugas sebagai ahli kimia, jurutera proses, pengurus dan ketua jabatan keselamatan, kesihatan dan persekitaran di beberapa buah syarikat yang terkemuka. -- Gambar ihsan Norwani Ahmat

Norwani berkata, pada sekitar awal 90-an kerjaya SHO banyak tertumpu di tapak-tapak binaan manakala bagi peringkat industri pula penguatkuasaan SHO hanya bermula pada penghujung 90-an. 

“Memang diakui kerjaya sebagai SHO kurang penyertaan daripada kaum wanita. Ketika menghadiri kelas SHO di Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH) pada awal 2000, daripada jumlah hampir 30 orang pelajar, saya seorang sahaja wanita.

“Antara sebabnya mungkin kerana ia memerlukan ketahanan diri bukan setakat tahan lasak fizikal tetapi jiwa juga perlu tahan diasak. Pendek kata seseorang itu perlu bersedia untuk menghadapi cabaran dan kesukaran seperti berjemur di bawah panas matahari, diarah ke sana sini walaupun ke tempat yang berisiko dan berbahaya… jika terlalu lemah lembut dan mementingkan penampilan diri ia mungkin agak sukar bagi mereka.

“Selain itu juga, ramai pihak melihat kerjaya bidang OSH ini tidak sesuai dengan kaum wanita atas faktor sifat semulajadi wanita itu sendiri dan wanita juga dianggap lebih beremosi,” katanya. 

 

‘SENTUHAN’ WANITA DIPERLUKAN

Berkongsi senarai OYK di bawah JKKP, beliau berkata jumlah SHO yang berdaftar adalah kira-kira 2000 lebih dan daripada jumlah itu, SHO wanita tidak sampai lima peratus. 

Namun begitu, bagi kerjaya sebagai doktor kesihatan pekerjaan, juruteknik higien dan pengapit (CHRA) penyertaan golongan wanita dilihat semakin meningkat termasuklah di peringkat pengajian tinggi yang mana bidang ini semakin mendapat tempat dalam kalangan generasi muda. 

Berpendapat lebih ramai wanita perlu menceburi bidang berkenaan bagi memperkasa golongan itu dalam OSH beliau berkata sifat wanita yang lebih teliti amat diperlukan apabila melibatkan pemeriksaan dan audit, di samping rasa prihatin, kasih sayang dan jiwa pendidik yang ada dalam diri wanita yang turut membuatkan mereka lebih mudah mendekati, menasihati dan mengajar dan menegur pekerja-pekerja. 

“Sifat semulajadi dan ‘sentuhan’ wanita akan membantu menguatkan lagi bidang OSH negara. Lebih ramai wanita yang menceburinya, lebih banyak isu-isu OSH di tempat kerja akan dapat ditangani. Sesebuah organisasi juga akan lebih mantap apabila wanita diposisikan sebaiknya untuk mengisi kekosongan jawatan dalam bidang ini,” katanya.


Haslayati Hashim (dua dari kanan), perunding yang juga konsultan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH) ketika mengetuai delegasi Malaysia sebagai pakar teknikal bagi Jawatankuasa Teknikal 283 ISO untuk disiplin OSH di Rwanda pada 2019. -- Gambar ihsan Haslayati Hashim

Sementara itu bagi perunding yang juga konsultan OSH Haslayati Hashim, pemahaman berkaitan perbezaan keperluan dan kemampuan antara kaum lelaki dan wanita dalam kerjaya OSH memerlukan anjakan paradigma baharu.

Tanggapan lelaki lebih kuat dari segi mental berbanding wanita tidak wajar dijadikan alasan ditambah dengan perkembangan dan transformasi semasa yang dialami oleh kaum wanita di negara ini dalam pelbagai aspek.

Generalisasi bahawa wanita lebih bagus dalam tugas pelaporan dan dokumentasi OSH juga tidak boleh dijadikan halangan untuk menidakkan kemampuan pekerja OSH wanita melakukan pemeriksaan tapak dan ‘turun padang’ ke lokasi.

“Lelaki dan wanita masing-masing mempunyai kekuatan dan kelemahan yang tersendiri, dipengaruhi oleh faktor individu dan persekitaran kerja. Organisasi perlu mempunyai dasar-dasar tertentu yang lebih relevan bagi mengarusperdanakan jantina dan mengelakkan pemilihan pekerja dan pemberian jawatan mengikut stereotaip jantina dan faktor fizikal.

“Dasar ini perlu diterjemah dan diselaraskan dalam prosedur pengambilan dan penilaian prestasi pekerja.  Sikap majikan yang membezakan kualiti kerja antara pekerja wanita dengan lelaki serta berpendapat pekerja OSH lelaki layak mendapat gaji yang lebih tinggi kerana lebih banyak melakukan kerja-kerja berat perlu dihapuskan.


Para perajurit muda melafazkan ikrar kesatria ketika mengikuti acara Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki Siri 192/20 dan Wanita Siri 46/20 di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA). (gambar hiasan) --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

“Isu pengurusan OSH yang banyak mengambil kira pandangan pekerja kaum lelaki kerana tanggapan kerja berisiko banyak dilakukan oleh kaum itu juga perlu dikaji semula. Hari ini, terdapat peningkatan tenaga kerja wanita di pelbagai sektor terutamanya sektor perkhidmatan, kewangan dan perkilangan. Peningkatan trend kemalangan dan penyakit pekerjaan dalam kalangan pekerja wanita turut menuntut pengurusan OSH berkesan di tempat kerja termasuk menitikberatkan pengambilan pakar OSH wanita,” katanya yang mempunyai pengalaman selama 16 tahun dalam bidang itu.

 

SOKONGAN, PROSPEK LUAS

Haslayati yang sebelum ini mengetuai delegasi Malaysia sebagai pakar teknikal bagi Jawatankuasa Teknikal 283 ISO untuk disiplin OSH di Rwanda, turut mendapat pengiktirafan profesional dari Institusi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di United Kingdom dan Institute of Certified Sustainability Practitioners di Indonesia serta menjadi wakil industri dalam Jawatankuasa Standard Kebangsaan OSH di Jabatan Standard Malaysia.


Jururawat Institut Kanser Negara (IKN), Emilia Sinda anak Dunstan Mandau ketika menerima suntikan vaksin COVID-19. (gambar hiasan) --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Berpendapat organisasi perlu lebih fokus kepada aspek sokongan untuk pekerja wanita, beliau berkata syarikat-syarikat terlibat perlu melaksanakan penambahbaikan dari segi dasar, proses dan prosedur yang menyekat pekerja wanita meningkatkan kepakaran teknikal mereka untuk memegang jawatan selayaknya. 

Pada 2019, NIOSH mendapati daripada keseluruhan peserta kursus dan latihan di NIOSH Bangi,  hanya 10,577 (8.9%) adalah wanita.

“Saya agak terkejut apabila mengetahui statistik ini dan saya pasti lebih banyak yang boleh dilakukan untuk memudahkan pekerja OSH wanita untuk mendapatkan kemahiran dan kepakaran teknikal.

“Bidang OSH ini luas dalam pelbagai sektor industri sama ada bekerja sendiri, di sektor korporat atau sebagai penjawat awam. Jurang antara kaum lelaki dan wanita dalam bidang OSH akan mengecil dengan adanya pembaharuan dalam dasar pembangunan sumber manusia, pendidikan dan rangkaian sokongan yang lebih besar untuk kaum wanita mendapatkan peluang kerjaya dalam bidang ini,” katanya.


Prof Madya Dr Irniza Rasdi, Pensyarah Kanan yang juga Ketua Unit Kesihatan Pekerjaan, Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM). -- Gambar ihsan Prof Madya Dr Irniza Rasdi

Berkongsi pandangan, Pensyarah Kanan yang juga Ketua Unit Kesihatan Pekerjaan, Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Irniza Rasdi berkata bidang kerja beliau sebagai penyelidik dan konsultan melibatkan aspek kesihatan mental, pengenalpastian hazard dan penilaian risiko di tempat kerja.

“Saya pernah pergi ke offshore, tapak pembinaan untuk menjalankan kajian dan adakalanya hanya saya seorang wanita di premis itu. Saya juga perlu meyakinkan pihak atasan berkenaan hasil kajian saya termasuklah mengesyorkan kaedah-kaedah terbaik untuk meningkatkan keselamatan dan kesihatan pekerja sesebuah syarikat atau institusi yang rata-ratanya dimonopoli oleh kaum lelaki,” katanya.

Menyifatkan prospek kerjaya bidang ini luas berikutan pelbagai sektor baik kerajaan mahupun syarikat swasta diwajibkan oleh badan-badan antarabangsa seperti Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk memainkan peranan penting bagi menjamin keselamatan dan kesihatan pekerjaan, kaum wanita katanya perlu kehadapan dan menceburi bidang ini kerana masih banyak ruang dalam OSH yang memerlukan kepakaran dan kelebihan wanita seperti kesihatan psikologi pekerja, pengurusan tingkahlaku dan sebagainya.

BERNAMA

 


 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan