RENCANA

COVID-19: PROGRAM IMUNISASI KEBANGSAAN DAPAT KAWAL PANDEMIK DALAM NEGARA

27/02/2021 12:13 AM

Oleh Melati Mohd Ariff

Berikut adalah rangkuman TERKINI mingguan mengenai COVID-19 dan perkara yang berkaitan di Malaysia serta di peringkat dunia dari 20 Feb hingga pukul 8:30mlm 26 Feb 2021.

Jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia melebihi 295 ribu. Di peringkat global, lebih 113 juta kes dilaporkan dengan lebih 2.5 juta kematian. Lebih 89 juta pesakit COVID-19 dilaporkan sembuh. Pandemik COVID-19 sudah merebak ke 216 buah negara dan wilayah.

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang sedang dilaksanakan semestinya memberi keyakinan dan kelegaan bahawa situasi pandemik dalam negara akan dapat dikawal dengan baik.

Sehingga pukul 12:00 tengah hari Jumaat 26 Februari 2021, negara mencatat jumlah kes harian baharu COVID-19 bawah tiga ribu, iaitu sebanyak 2,253 kes.

Semalam (25 Feb), kes harian baharu direkod bawah dua ribu iaitu 1,924 kes. Kali terakhir Malaysia merekod kes harian baharu di bawah dua angka ialah pada 3 Januari 2021 iaitu sebanyak 1,704 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan akhbar mengenai situasi semasa jangkitan penyakit COVID-19 di Malaysia hari ini (26 Feb) berkata, daripada 2,253 kes itu, 2,246 kes adalah penularan tempatan sementara tujuh (7) lagi adalah kes import.

Daripada 2,246 kes penularan tempatan, 1,324 kes (58.9 peratus) melibatkan warganegara dan 922 kes (41.1 peratus) bukan warganegara.

Rekod kes harian baharu sepanjang tempoh rangkuman mingguan Bernama (20 Feb-26 Feb) bagaimanapun tercalar dengan Kluster Tempat Kerja (KTK), masing-masing satu di Perak dan Negeri Sembilan yang mencetuskan kes empat angka.

KTK Kluster Jalan Changkat Jong di Perak (kilang pembuatan produk kayu) yang dilaporkan pada Ahad 21 Februari, mencatat 1,046 kes dan meletakkan negeri itu di tempat teratas dalam senarai jumlah kes pada hari itu, dengan 1,215 kes.

KTK, Kluster Industri Sungai Gadut di Negeri Sembilan yang dilaporkan pada Rabu 24 Februari, melibatkan sebanyak 1,338 kes. Pada hari itu, negeri ini mencuri tempat teratas, mendahului Selangor dengan 1,392 kes baharu COVID-19 dengan Selangor mencatat kes baharu tiga angka iaitu 581 kes.


Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia melakukan proses sanitasi di Sekolah Kebangsaan Pandan Perdana sebagai persediaan pembukaan sesi persekolahan secara bersemuka untuk murid prasekolah, Tahun Satu dan Tahun Dua pada 1 Mac 2021. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Dengan kes empat angka kedua-dua KTK ini, jumlah kes harian baharu Malaysia pada 21 Februari dan 24 Februari, melonjak, masing-masing  3,297 kes dan 3,545 kes.

Jumlah kes kumulatif COVID-19 di Malaysia kini menghampiri 300 ribu iaitu 295,951 kes sementara kes aktif dengan kebolehjangkitan pula menurun di bawah 30 ribu iaitu 27,994 kes.

Untuk rekod, kes harian baharu sepanjang rangkuman mingguan 20 Feb hingga 26 Feb 2021 adalah 2,461 kes (20 Feb), 3,297 kes (21 Feb), 2,192 kes (22 Feb), 2,468 kes (23 Feb), 3,545 kes (24 Feb), 1,924 kes (25 Feb) dan 2,253 kes (26 Feb).

Hari ini, 26  Februari, kes sembuh yang direkod adalah sebanyak 3,085 kes, menjadikan jumlah kumulatif kes pesakit yang pulih daripada COVID-19 kini sebanyak 266,846 kes (90.2 peratus).

Rekod kes sembuh harian sepanjang rangkuman mingguan 20 Feb hingga 26 Feb 2021 adalah 4,782 kes (20 Feb), 4,456 kes (21 Feb), 3,414 kes (22 Feb), 4,055 kes (23 Feb), 3,331 kes (24 Feb), 3,752 kes (25 Feb) dan 3,085 kes (26 Feb).

Sehingga 26 Februari 2021, enam (6) daerah di Semenanjung kembali kepada zon hijau iatu Langkawi, Padang Terap di Kedah, Gua Musang di Kelantan, Kampar di Perak dan Cameron Highlands dan Lipis di Pahang.

 

PROGRAM IMUNISASI BERMULA


Petugas Kementerian Kesihatan (KKM) menunggu giliran untuk menerima suntikan vaksin COVID-19 jenis Pfizer-BioNTech di Institut Kanser Negara (IKN), Kuala Lumpur. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Lindung Diri, Lindung Semua”. Ungkapan yang mengiringi harapan sudah tentunya semua rakyat Malaysia dengan bermulanya Program Pelan Imunisasi COVID-19 Kebangsaan bermula Rabu (24 Feb) lepas.

Setelah lebih setahun slogan #kitajagakita dan #kitapastimenang, menjadi pendorong untuk masyarakat negara ini cekal berhadapan dengan pandemik COVID-19, sudah tentunya ketibaan ketibaan bekalan vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Ahad 21 Februari 2021, disambut dengan penuh rasa syukur.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah adalah antara penerima pertama suntikan vaksin COVID-19 yang berlangsung pada Rabu lepas (24 Feb).

Dr Noor Hisham Abdullah dalam paparan di Facebook peribadinya pada 24 Februari menyifatkan Pelan Imunisasi COVID-19 Kebangsaan sebagai “satu sinar harapan, satu titik permulaan penamatan penularan jangkitan Covid-19 dalam negara kita.”

Beliau turut mengungkap, sejurus selepas menerima suntikan vaksin COVID-19 pada Rabu 24 Februari 2021 : “Satu langkah tepat suntikan vaksin Covid-19 memberi pelindungan dalaman dari jangkitan Covid-19. Pun begitu langkah pencegahan dan kawalan kesihatan awam mesti diteruskan dengan pematuhan kepada SOPs untuk pelindungan luaran.”

Untuk rekod, Program menyeluruh Pelan Imunisasi COVID-19 Kebangsaan ini dibuat dalam tiga fasa ini untuk memastikan imuniti kelompok dapat dibentuk dalam masyarakat tempatan supaya dapat memutuskan rantaian penularan jangkitan koronavirus maut ini.

Ia dibahagi kepada tiga fasa yang akan memberi manfaat kepada 80 peratus atau 26.5 juta rakyat Malaysia di mana vaksin COVID-19 akan diberikan secara percuma.

Fasa pertama (Februari-April 2021); Fasa kedua (April hingga Ogos 2021) dan Fasa ketiga (Mei 2021 hingga Februari 2022).

 

MALAYSIA KEKAL DI TANGGA 45


Suasana sibuk di Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan pada Program Vaksinasi COVID-19 Peringkat Kementerian Pertahanan. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Dengan rekod kes kumulatif 295,951 kes, Malaysia kekal di tangga 45 dalam senarai 216 buah negara yang dilanda pandemik COVID-19. Di hadapan Malaysia adalah Slovakia dengan 303,420 kes.

Negara China yang melaporkan kes awal koronavirus maut ini pada penghujung tahun 2019, masih di tangga 84 dengan 89,877 kes, sementara negara jiran Singapura di tangga 95 dengan 59,913 kes.

Dr Noor Hisham dalam catatan di Facebook peribadinya pada 25 Februari berkata, kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro/Rt pada jangkaan mengikut kes seharian pada 25 Februari 2021 untuk seluruh negara adalah 0.94.

Malaysia masih berada di bawah Pengisytiharan Darurat bermula 12 Januari sehingga bulan Ogos 2021.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang dijadualkan berakhir pada 4 Februari dan disambung sehingga 18 Februari 2021, disambung lagi dari 19 Februari hingga 4 Mac untuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Pulau Pinang.

PKP Bersyarat (PKPB) berkuatkuasa 19 Februari hingga 4 Mac dikenakan ke atas Sabah, Pahang, Negeri Sembilan, Terengganu, Kelantan, Perak, Melaka, Kedah, Wilayah Persekutuan Labuan dan Wilaya Persekutuan Putrajaya.

Negeri Perlis diletakkan di bawah PKP Pemulihan (PKPP) berkuatkuasa 19 Februari hingga 4 Mac 2021.

 

LAPORAN KLUSTER KKM


Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dilaksanakan dalam tiga fasa bermula hari ini dengan fasa pertama dari Februari hingga April 2021 untuk kumpulan petugas barisan hadapan melibatkan 500,000 orang. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Sehingga Jumaat 26 Februari 2021, jumlah kluster COVID-19 dalam negara adalah sebanyak 1,121 kluster dan 628 kluster daripadanya dilaporkan tamat.

Jumlah kluster yang masih aktif adalah sebanyak 493 kluster dan 91 daripadanya menambah kes baharu.

Tiga kluster merekod pertambahan kes baharu yang tinggi adalah Kluster Jalan Changkat Jong (474 kes), Kluster Simpang Tiga Muar (55 kes) dan Kluster Tembok Tapah (54 kes).

Kluster Tempat Kerja (KTK) terus menguasai senarai kluster baharu sepanjang tempoh rangkuman mingguan ini ( 20 Feb-26 Feb).

Hari ini, daripada 10 kluster baharu, lapan (8) adalah KTK sementara dua lagi, kluster Komuniti. Daripada 8 KTK, empat (4) di Selangor, dua (2) di Johor, masing-masing satu (1) di Sabah dan Pulau Pinang.

Kluster ini, antaranya, sama ada hasil saringan bersasar, hasil saringan kontak rapat, hasil saringan individu bergejala dan hasil saringan sebelum pulang ke negara asal. Program saringan besar-besaran dilakukan ke atas pekerja khususnya warga asing di kilang dan tapak binam bermula 1 Disember 2020.

Berdasarkan perangkaan KKM, Selangor dan Johor masih melaporan KTK yang banyak, melibatkan kilang dan tapak binaan.

Untuk rekod, jumlah kluster baharu sepanjang 20 Feb-26 Feb 2021 adalah seperti berikut:-

Sabtu 20 Feb - 10 (10 KTK); Ahad 21 Feb - 6 (6 KTK); Isnin 22 Feb - 8 (7 KTK); Selasa 23 Feb - 13 - (11 KTK); Rabu 24 Feb 8 - (7 KTK), Khamis 25 Feb 8 - (5 KTK) dan Jumaat 26 Feb - 10 (8 KTK).

 

PERINCIAN KES COVID-19 DI MALAYSIA


Suasana di sekitar bangunan penginapan sebuah kilang di Sungai Gadut, Negeri Sembilan yang menempatkan 1,500 pekerja asing. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Menurut perincian KKM terhadap 2,253 kes baharu, Selangor menyumbang 633 kes termasuk dua (2) kes import dan melaporkan empat (4) kluster baharu, iaitu  Kluster Tapak Bina Persiaran Freesia, Kluster Teknologi Emas, Kluster Jalan Jenjarum, dan Kluster Bukit Putra.

Perak 545 kes dan satu kluster baharu, Kluster Kampung Columbia (kluster Komuniti); Johor 276 kes termasuk satu (1) kes import dan dua kluster baharu, Kluster Simpang Tiga Muar dan Kuster Jalan Mega Satu; Sarawak 250 kes; Sabah 129 kes dan satu kluster baharu, Kluster Merotai Besar.

Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 122 kes termasuk empat (4) kes import; Pulau Pinang 93 kes dan satu (1) kluster baharu, Kluster Genting Terang; Kelantan 73 kes dan satu kluster baharu, Kluster Kampung Telekong (kluster Komuniti).

Negeri Sembilan 68 kes; Kedah 25 kes; Pahang 21 kes; Melaka 13 kes; Perlis empat (4) kes dan Terengganu satu(1) kes.

Sementara itu, sebanyak 201 kes di tempatkan di Unit Rawatan Rapi dan 93 kes daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Hari ini, 26 Feb, sebanyak 11 kes kematian dilaporkan, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 1,111 kes (0.38 peratus).

Selangor melaporkan empat (4) kes, tiga (3) kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, dua (2) kes di Sarawak, dan masing-masing satu (1) kes di  Sabah dan Johor. Sebanyak lapan (8) kes melibatkan warganegara dan tiga (3) kes bukan warganegara. 

Umur pesakit adalah antara 36 tahun hingga 78 tahun. Terdapat empat pesakit yang tidak dilaporkan latar belakang penyakit.

Bagaimanapun, kebanyakan kes pesakit yang meninggal dunia akibat COVID-19 seperti dilaporkan KKM mempunyai komplikasi kesihatan, iaitu strok, darah tinggi, buah pinggang kronik, kencing manis dan jantung. Terdapat juga kes penyakit dislipidemia, gout, batuk kering, dementia dan obesiti. 

Untuk rekod, kes kematian sepanjang tempoh rangkuman 20 Feb - 26 Feb adalah  8 kes  (20 Feb),  5 kes  (21 Feb), 6 kes (22 Feb), 14 kes (23 Feb), 12 kes (24 Feb), 12 kes (25 Feb) dan 11 kes (26 Feb).

 

STATISTIK GLOBAL COVID-19


Statistik terkini COVID-19 di seluruh dunia dan ringkasan kes COVID-19 di Malaysia. www.worldometers.info/coronavirus

Pengarah Serantau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk Eropah, Hans Kluge disebut sebagai berkata beliau percaya pandemik COVID-19 akan berakhir pada awal 2022, lapor Agensi Berita Anadolu.

Menurut beliau, COVID-19 dijangka terus merebak pada 2021, namun dapat dikawal dengan lebih baik berbanding pada tahun 2020.

Kluge memberitahu saluran penyiaran Denmark, DR pada Ahad lepas, keadaan pandemik yang teruk kini berakhir dan lebih banyak maklumat mengenai virus tersebut boleh diperolehi sekarang berbanding pada tahun 2020, ketika ia mula merebak.

Sementara itu, jumlah kes COVID-19 global terkini (worldometer) sebanyak 113,663,976 kes (rangkuman minggu lalu 110,931,110 kes) dengan 2,521,467 kematian (minggu lalu 2,454,529 kematian). Jumlah pesakit sembuh 89,230,442 kes (minggu lalu 85,875,681 kes).

Terdapat 216 negara dilanda pandemik COVID-19 dan 10 buah negara teratas dalam kedudukan senarai ini adalah Amerika Syarikat, India, Brazil, Rusia, United Kingdom, Perancis, Sepanyol, Itali, Turki dan Jerman.

Pecahan kes COVID-19 dan jumlah kematian adalah seperti berikut:-

Amerika Syarikat 29,052,262 kes (520,785 kematian), India 11,063,038 (156,861 kematian), Brazil 10,393,886 kes (251,661 kematian), Rusia 4,2123,186 kes (85,304 kematian), United Kingdom 4,154,562 kes (122,070 kematian), Perancis 3,686,813 kes (85,582 kematian), Sepanyol 3,180,212 kes (68,813 kematian), Itali 2,868,435 kes (96,974 kematian), Turki 2,674,766 kes (28,358 kematian) dan Jerman 2,426,819 kes (70,003 kematian).

Negara China, di mana bermulanya wabak COVID-19 pada penghujung Disember 2019 masih di tempat 84 dengan 89,877 kes. Angka kematian kekal 4,636.

Di samping Malaysia, dalam kalangan negara di Asia Tenggara, Indonesia, Filipina dan Myanmar turut menyertai senarai 83 buah negara yang mencatat lebih 100 ribu kes COVID-19.

Indonesia di tangga 18 dengan 1,322,866 kes dengan 35,786 kematian; Filipina di tangga 31 dengan 571,327 kes dan 12,247 kematian.

Myanmar minggu ini melaporkan 141,841 kes dengan 3,198 kematian di tangga 74 sementara Singapura melaporkan sebanyak 59,913 kes di tangga 95 dan angka kematian kekal 29.

Thailand di tangga 114 dengan 25,809 kes dan 83 kematian;  Vietnam di tangga 173 dengan 2,426 kes dan angka kematian kekal 35; Kampuchea di tangga 187 dengan 741 kes.

Brunei kekal 185 kes dengan 3 kematian di tangga 198 sementara kes COVID-19 di Laos kekal 45 kes dan sifar kematian di tangga 207.

--------------------------------------------------------------------------------------------------------------

RUANGAN SISI

LATAR BELAKANG COVID-19

-- Penularan wabak COVID-19 yang pada awalnya dipanggil virus Wuhan berlaku ketika masyarakat Cina di seluruh dunia termasuk di China membuat persiapan untuk menyambut perayaan Tahun Baru Cina.

-- Virus dikesan di Wuhan, ibu negeri wilayah Hubei, China pada 31 Dis 2019 selepas WHO dimaklumkan terdapat beberapa kes radang paru-paru di bandar tersebut. 

-- Menurut WHO, pihak berkuasa China pada 7 Jan lalu mengesahkan koronavirus yang baru dikenal pasti itu boleh tersebar daripada manusia kepada manusia.

-- WHO memberi nama rasmi virus "2019-nCoV" iaitu COVID-19, singkatan untuk Corona Virus Disease 19. Virus ini dilaporkan mempunyai komponen genetik yang paling serupa yang terdapat pada ular dan kelawar.

-- Pegawai kesihatan China mengenal pasti Pasar Huanan Seafood di pusat bandar Wuhan sebagai lokasi bermulanya penyebaran wabak ini kerana terdapat jualan membabitkan daging haiwan eksotik di pasar tersebut seperti musang, serigala, buaya, ular, tikus, burung merak, landak dan unta.

-- Laporan dari Wuhan pada Selasa 11 Feb menyebut data terbaharu berdasarkan penyelidikan membabitkan lebih 1,000 pesakit COVID-19 di China mendapati tempoh inkubasi virus itu boleh mencecah 24 hari, bukannya 14 hari seperti yang dipercayai sebelum ini.

-- Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 11 Mac akhirnya melabelkan wabak penyakit COVID-19 sebagai pandemik.

-- WHO menyifatkan wabak penyakit COVID-19 sebagai 10 kali ganda lebih berbahaya daripada Influenza A H1N1atau lebih dikenali sebagai Selesema Babi (Swine Flu).

-- Wabak Selesema Babi berlaku antara Januari 2009 dan Ogos 2010 menyaksikan lebih 1.6 juta kes dikesan dengan 18,449 kematian. Ia mula dikesan di Mexico dan kemudiannya di Amerika Syarikat pada Mac 2009.

-- Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) memberi amaran pandemik COVID-19 akan mengheret ekonomi global kepada penguncupan ekonomi paling teruk sejak Zaman Kemelesetan The Great Depression.  

-- Kes pertama 2019-nCoV di Malaysia disahkan pada 25 Jan membabitkan tiga (3) warga China yang masuk ke Malaysia melalui Johor dari Singapura pada 23 Jan.

-- Khamis 30 Julai genap enam bulan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), mengisytiharkan Darurat Kesihatan Awam berikutan kebimbangan dunia terhadap jangkitan 2019 novel koronavirus yang dikenali kemudian sebagai COVID-19.

-- Pengumuman yang dibuat itu adalah yang ke-enam dibuat oleh Pertubuhan itu tetapi yang terburuk. Untuk rekod, pengumuman lalu ialah bersabit H1N1 (2009), Polio dan Ebola di Afrika Barat (2014), Zika (2016) dan Ebola di Republik Congo (2019).

-- Di UK, varian baru COVID-19 yang dikenali sebagai B117 dilaporkan  70 peratus lebih mudah merebak. Mula dikesan pada September 2020.

-- Afrika Selatan juga mengenalpasti varian baharu novel coronavirus, dirujuk sebagai "501Y.V2". pada awal Oktober 2020.

 

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan