RENCANA

COVID-19: PROGRAM IMUNISASI BERMULA, KES HARIAN BAHARU DI BAWAH DUA RIBU

26/02/2021 01:31 PM

Oleh Melati Mohd Ariff

Berikut adalah rangkuman mingguan mengenai COVID-19 dan perkara yang berkaitan di Malaysia serta di peringkat dunia dari 20 Feb hingga pukul 12:00 tgh 26 Feb 2021.

Jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia melebihi 293 ribu. Di peringkat global, lebih 113 juta kes dilaporkan dengan lebih 2.5 juta kematian.  Lebih 89 juta pesakit COVID-19 dilaporkan sembuh. Pandemik COVID-19 sudah merebak ke 216 buah negara dan wilayah.

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Bermulanya Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dua hari lepas serta catatan kes harian baharu di bawah angka dua ribu semalam (25 Feb), pastinya melegakan serta menyakinkan bahawa situasi pandemik dalam negara akan bertambah baik.

Sehingga pukul 12:00 tengah hari Khamis 25 Februari 2021, negara mencatat jumlah kes harian baharu COVID-19 sebanyak 1,924 kes.

Kali terakhir Malaysia merekod kes harian baharu di bawah dua angka ialah pada 3 Januari 2021 iaitu sebanyak 1,704 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan akhbar mengenai situasi semasa jangkitan penyakit COVID-19 di Malaysia semalam (25 Feb) berkata, daripada jumlah 1,924 kes itu, sebanyak 1,918 kes adalah penularan tempatan sementara enam (6) lagi adalah kes import.

Daripada 1,918 kes penularan tempatan, sebanyak 1,543 kes (80.4 peratus) melibatkan warganegara dan 375 (19.6 peratus) bukan warganegara.


Sebanyak 312,390 dos vaksin jenis Pfizer-BioNTech pertama tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 21 Februari 2021. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Rekod kes harian baharu sepanjang tempoh rangkuman mingguan Bernama (20 Feb-25 Feb) bagaimanapun tercalar dengan Kluster Tempat Kerja (KTK), masing-masing satu di Perak dan Negeri Sembilan yang mencetuskan kes empat angka.

KTK Kluster Jalan Changkat Jong di Perak (kilang pembuatan produk kayu) yang dilaporkan pada Ahad 21 Februari, mencatat 1,046 kes dan meletakkan negeri itu di tempat teratas dalam senarai jumlah kes pada hari itu, dengan 1,215 kes.

KTK, Kluster Industri Sungai Gadut di Negeri Sembilan yang dilaporkan pada Rabu 24 Februari, melibatkan sebanyak 1,338 kes. Pada hari itu, negeri ini mencuri tempat teratas, mendahului Selangor dengan 1,392 kes baharu COVID-19 dengan Selangor mencatat kes baharu tiga angka iaitu 581 kes.

Dengan kes empat angka kedua-dua KTK ini, jumlah kes harian baharu Malaysia pada 21 Februari dan 24 Februari, melonjak, masing-masing  3,297 kes dan 3,545 kes.

Jumlah kes kumulatif COVID-19 di Malaysia kini menghampiri 300 ribu iaitu 293,698 kes, sementara kes aktif dengan kebolehjangkitan pula menurun di bawah 30 ribu iaitu 28,837 kes.

Untuk rekod, kes harian baharu sepanjang rangkuman mingguan 20 Feb hingga 25 Feb 2021 adalah 2,461 kes (20 Feb),  3,297 kes (21 Feb), 2,192 kes (22 Feb), 2,468 kes (23 Feb), 3,545 kes (24 Feb) dan 1,924 kes (25 Feb).

Semalam, 25 Februari, kes sembuh yang direkod adalah sebanyak 3,752 kes, menjadikan jumlah kumulatif kes pesakit yang pulih daripada COVID-19 kini sebanyak 263,761 kes (89.8 peratus).

Rekod kes sembuh harian sepanjang rangkuman mingguan 20 Feb hingga 25 Feb 2021 adalah 4,782 kes (20 Feb), 4,456 kes (21 Feb), 3,414 kes (22 Feb), 4,055 kes (23 Feb), 3,331 kes (24 Feb) dan 3,752 kes (25 Feb).

Sehingga 25 Februari 2021, empat (4) daerah di Semenanjung kembali kepada zon hijau iatu Langkawi, Padang Terap di Kedah dan Cameron Highlands dan Lipis di Pahang.

 

PROGRAM IMUNISASI BERMULA


Kenderaan DHL Express yang membawa vaksin COVID-19 jenis Pfizer-BioNTech diiringi pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika melalui Jalan Kuala Kangsar untuk dibawa ke Pusat Penyimpanan Vaksin di Hospital Raja Permaisuri Bainun. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

“Lindung Diri, Lindung Semua”.  Ungkapan yang mengiringi harapan sudah tentunya semua rakyat Malaysia dengan bermulanya Program Pelan Imunisasi COVID-19 Kebangsaan bermula Rabu (24 Feb) lepas.

Setelah lebih setahun slogan #kitajagakita dan #kitapastimenang, menjadi pendorong untuk masyarakat negara ini cekal berhadapan dengan pandemik COVID-19 , sudah tentunya ketibaan ketibaan bekalan vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Ahad 21 Februari 2021, disambut dengan penuh rasa syukur.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah adalah antara penerima pertama suntikan vaksin COVID-19 yang berlangsung pada Rabu lepas (24 Feb).

Dr Noor Hisham Abdullah dalam paparan di Facebook peribadinya pada 24 Februari menyifatkan Pelan Imunisasi COVID-19 Kebangsaan sebagai “satu sinar harapan, satu titik permulaan penamatan penularan jangkitan Covid-19 dalam negara kita.”

Beliau turut mengungkap, sejurus selepas menerima suntikan vaksin COVID-19 pada Rabu 24 Februari 2021 : “Satu langkah tepat suntikan vaksin Covid-19 memberi pelindungan dalaman dari jangkitan Covid-19. Pun begitu langkah pencegahan dan kawalan kesihatan awam mesti diteruskan dengan pematuhan kepada SOPs untuk pelindungan luaran.”

Untuk rekod, Program menyeluruh Pelan Imunisasi COVID-19 Kebangsaan ini dibuat dalam tiga fasa ini untuk memastikan imuniti kelompok dapat dibentuk dalam masyarakat tempatan supaya dapat memutuskan rantaian penularan jangkitan koronavirus maut ini.

Ia dibahagi kepada tiga fasa yang akan memberi manfaat kepada 80 peratus atau 26.5 juta rakyat Malaysia di mana vaksin COVID-19 akan diberikan secara percuma.

Fasa pertama (Februari-April 2021) ; Fasa kedua (April hingga Ogos 2021) dan Fasa ketiga (Mei 2021 hingga Februari 2022).

 

MALAYSIA KEKAL DI TANGGA 45


Petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berehat sejenak selepas menjalankan persiapan akhir di Pusat Pemberian Vaksin COVID-19 Daerah Kuantan di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Dengan rekod kes kumulatif 293,698 kes, Malaysia kekal di tangga 45 dalam senarai 216 buah negara yang dilanda pandemik COVID-19. Di hadapan Malaysia adalah Slovakia dengan 300,775 kes.

Negara China yang melaporkan kes awal koronavirus maut ini pada penghujung tahun 2019, masih di tangga 84 dengan 89,877 kes, sementara negara jiran Singapura di tangga 95 dengan 59,900 kes.

Dr Noor Hisham dalam catatan di Facebook peribadinya pada 25 Februari berkata, kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro/Rt pada jangkaan mengikut kes seharian pada 25 Februari 2021 untuk seluruh negara adalah 0.94.

Selangor yang mencatat kes harian baharu tiga angka (666 kes) pada 25 Februari merekod Ro/Rt 0.88. 

Malaysia masih berada di bawah Pengisytiharan Darurat bermula 12 Januari sehingga bulan Ogos 2021.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang dijadualkan berakhir pada 4 Februari dan disambung sehingga 18 Februari 2021, disambung lagi dari 19 Februari hingga 4 Mac untuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Pulau Pinang.

PKP Bersyarat (PKPB) berkuatkuasa 19 Februari hingga 4 Mac dikenakan ke atas Sabah, Pahang, Negeri Sembilan, Terengganu, Kelantan, Perak, Melaka, Kedah, Wilayah Persekutuan Labuan dan Wilaya Persekutuan Putrajaya.

Negeri Perlis diletakkan di bawah PKP Pemulihan (PKPP) berkuatkuasa 19 Februari hingga 4 Mac 2021.

 

LAPORAN KLUSTER KKM


Petugas kesihatan sedang melakukan persiapan untuk program fasa pertama pemvaksinan COVID-19 di Stadium Perpaduan Negeri Petra Jaya, Kuching. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Sehingga Khamis 25 Februari 2021, jumlah kluster COVID-19 dalam negara adalah sebanyak 1,111 kluster dan 612 kluster daripadanya dilaporkan tamat.

Jumlah kluster yang masih aktif adalah sebanyak 499 kluster dan 93 daripadanya menambah kes baharu.

Tiga kluster merekod pertambahan kes baharu yang tinggi adalah Kluster Perindustrian Pelepas, Johor, dilaporkan pada 12 Februari 2021 (55 kes), Kluster Tanjung Suria, Selangor mula dilaporkan pada 13 Disember 2020 (47 kes) dan Kluster Tembok Tapah, pusat tahanan di Perak dilaporkan pada 15 Februari 2021 (41 kes).

Setakat 25 Februari, Kluster Perindustrian Pelepas merekodkan 377 kes, Kluster Tanjung Suria 2,787 kes dan Kluster Tembok Tapah 303 kes.

Kluster Tempat Kerja (KTK) terus menguasai senarai kluster baharu sepanjang tempoh rangkuman mingguan ini ( 20 Feb-25 Feb).

Kluster ini, antaranya, sama ada hasil saringan bersasar, hasil saringan kontak rapat, hasil saringan individu bergejala dan hasil saringan sebelum pulang ke negara asal. Program saringan besar-besaran dilakukan ke atas pekerja khususnya warga asing di kilang dan tapak binam bermula 1 Disember 2020.

Berdasarkan perangkaan KKM, Selangor dan Johor masih melaporan KTK yang banyak, melibatkan kilang dan tapak binaan.

Untuk rekod, jumlah kluster baharu sepanjang 20 Feb-25 Feb 2021 adalah seperti berikut:-

Sabtu 20 Feb -  10 (10 KTK); Ahad 21 Feb -  6 (6 KTK); Isnin 22 Feb - 8 (7 KTK); Selasa 23 Feb - 13 - 11  (KTK); Rabu 24 Feb  8 -  (7 KTK) dan Khamis 25 Feb 8 -  (5 KTK).

 

PERINCIAN KES COVID-19 DI MALAYSIA


Aplikasi MySejahtera merupakan langkah yang paling cepat untuk mendaftar untuk menerima suntikan vaksin COVID-19 berbanding empat cara lain yang disediakan. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Menurut perincian KKM terhadap 1,924 kes baharu, Selangor di tempat teratas tetapi merekod kes baharu tiga angka, iaitu 666 kes dan tiga (3) kluster baharu KTK (Kluster Industri 19, Kluster Industri Jalan Empat dan Kluster SS Lapan) dan dua (2) kes import; Johor 257 kes; Sarawak 219 kes dan satu (1) kluster baharu, Kluster Jalan Ho Pin (kluster komuniti) dan satu (1) kes import.

Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 218 kes dan satu kluster baharu, Kluster Jalan Putra Silang (KTK) dan tiga (3) kes import; Pulau Pinang 162 kes dan satu (1) kluster baharu, Kluster Lorong Murni (Kumpulan Berisiko Tinggi); Perak 120 kes dan satu (1) kluster baharu, Kluster Kampung Mak Teh (Komuniti).

Sabah 93 kes; Negeri Sembilan 62 kes; Kelantan 44 kes; Kedah 29 kes; Melaka 22 kes; Pahang 19 kes dan satu (1) kluster baharu KTK, Kluster Tapak Bina Indera Mahkota; Terengganu enam (6) kes; Wilayah Persekutuan Labuan empat (4) kes; Wilayah Persekutuan Putrajaya dua (2) kes dan Perlis satu (1) kes.

Sementara itu, sebanyak 205 kes di tempatkan di Unit Rawatan Rapi dan 91 kes daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Hari ini, 25 Feb, sebanyak 12 kes kematian dilaporkan, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 1,100 kes (0.37 peratus). 

Daripada 12 kes tersebut, sembilan (9) dilaporkan di Selangor, dua (2) kes di Sarawak dan satu (1) kes di Pulau Pinang. Umur pesakit yang meninggal dunia adalah dari 52 tahun hingga 91 tahun.

 Kebanyakan kes pesakit yang meninggal dunia akibat COVID-19 seperti dilaporkan KKM mempunyai komplikasi kesihatan, iaitu strok, darah tinggi, buah pinggang kronik, kencing manis dan jantung. Terdapat juga kes penyakit dislipidemia, gout, batuk kering, dementia dan obesiti. 

Untuk rekod, kes kematian sepanjang tempoh rangkuman 20 Feb - 25 Feb adalah 8 kes (20 Feb), 5 kes (21 Feb), 6 kes (22 Feb), 14 kes (23 Feb), 12 kes (24 Feb) dan 12 kes (25 Feb).

 

STATISTIK GLOBAL COVID-19


Statistik terkini COVID-19 di seluruh dunia dan ringkasan kes COVID-19 di Malaysia. www.worldometers.info/coronavirus

Pengarah Serantau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk Eropah, Hans Kluge disebut sebagai berkata beliau percaya pandemik COVID-19 akan berakhir pada awal 2022, lapor Agensi Berita Anadolu.

Menurut beliau, COVID-19 dijangka terus merebak pada 2021, namun dapat dikawal dengan lebih baik berbanding pada tahun 2020.

Kluge memberitahu saluran penyiaran Denmark, DR pada Ahad lepas, keadaan pandemik yang teruk kini berakhir dan lebih banyak maklumat mengenai virus tersebut boleh diperolehi sekarang berbanding pada tahun 2020, ketika ia mula merebak.

Sementara itu, jumlah kes COVID-19 global terkini (worldometer) sebanyak 113,543,453 kes (rangkuman minggu lalu 110,931,110 kes) dengan 2,519,255 kematian (minggu lalu 2,454,529 kematian). Jumlah pesakit sembuh 89,128,252 kes (minggu lalu 85,875,681 kes).

 Terdapat 216 negara dilanda pandemik COVID-19 dan 10 buah negara teratas dalam kedudukan senarai ini adalah Amerika Syarikat, India, Brazil, Rusia, United Kingdom, Perancis, Sepanyol, Itali, Turki dan Jerman.

Pecahan kes COVID-19 dan jumlah kematian adalah seperti berikut:-

Amerika Syarikat 29,052,262 kes (520,785 kematian),  

India 11,063,038 (156,861 kematian), 

Brazil 10,393,886 kes (251,661 kematian),  

Rusia 4,212,100 kes (84,876 kematian), 

United Kingdom 4,154,562 kes (122,070 kematian),

Perancis 3,686,813 kes (85,582 kematian), 

Sepanyol 3,180,212 kes (68,813 kematian), 

Itali 2,868,435 kes (96,974 kematian), 

Turki 2,674,766 kes (28,358 kematian) dan 

Jerman 2,426,819 kes (70,003 kematian).

Negara China, di mana bermulanya wabak COVID-19 pada penghujung Disember 2019 masih di tempat 84 dengan 89,877 kes. Angka kematian kekal 4,636.

Di samping Malaysia, dalam kalangan negara di Asia Tenggara, Indonesia, Filipina dan Myanmar turut menyertai senarai 83 buah negara yang mencatat lebih 100 ribu kes COVID-19.

Indonesia di tangga 18 dengan 1,314,634 kes dengan 35,518 kematian; Filipina di tangga 31 dengan 568,680 kes dan 12,201 kematian.

Myanmar minggu ini melaporkan 141,841 kes dengan 3,198 kematian di tangga 74 sementara Singapura melaporkan sebanyak 59,900 kes di tangga 95 dan angka kematian kekal 29.

Thailand di tangga 114 dengan 25,764 kes dan 83 kematian; Vietnam di tangga 173 dengan 2,421 kes dan angka kematian kekal 35; Kampuchea di tangga 187 dengan 741 kes.

Brunei kekal 185 kes dengan 3 kematian di tangga 198 sementara kes COVID-19 di Laos kekal 45 kes dan sifar kematian di tangga 207.

--------------------------------------------------------------------------------------------------------------

RUANGAN SISI

LATAR BELAKANG COVID-19

-- Penularan wabak COVID-19 yang pada awalnya dipanggil virus Wuhan berlaku ketika masyarakat Cina di seluruh dunia termasuk di China membuat persiapan untuk menyambut perayaan Tahun Baru Cina.

-- Virus dikesan di Wuhan, ibu negeri wilayah Hubei, China pada 31 Dis 2019 selepas WHO dimaklumkan terdapat beberapa kes radang paru-paru di bandar tersebut. 

-- Menurut WHO, pihak berkuasa China pada 7 Jan lalu mengesahkan koronavirus yang baru dikenal pasti itu boleh tersebar daripada manusia kepada manusia.

-- WHO memberi nama rasmi virus "2019-nCoV" iaitu COVID-19, singkatan untuk Corona Virus Disease 19. Virus ini dilaporkan mempunyai komponen genetik yang paling serupa yang terdapat pada ular dan kelawar.

-- Pegawai kesihatan China mengenal pasti Pasar Huanan Seafood di pusat bandar Wuhan sebagai lokasi bermulanya penyebaran wabak ini kerana terdapat jualan membabitkan daging haiwan eksotik di pasar tersebut seperti musang, serigala, buaya, ular, tikus, burung merak, landak dan unta.

-- Laporan dari Wuhan pada Selasa 11 Feb menyebut data terbaharu berdasarkan penyelidikan membabitkan lebih 1,000 pesakit COVID-19 di China mendapati tempoh inkubasi virus itu boleh mencecah 24 hari, bukannya 14 hari seperti yang dipercayai sebelum ini.

-- Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 11 Mac akhirnya melabelkan wabak penyakit COVID-19 sebagai pandemik.

-- WHO menyifatkan wabak penyakit COVID-19 sebagai 10 kali ganda lebih berbahaya daripada Influenza A H1N1atau lebih dikenali sebagai Selesema Babi (Swine Flu).

-- Wabak Selesema Babi berlaku antara Januari 2009 dan Ogos 2010 menyaksikan lebih 1.6 juta kes dikesan dengan 18,449 kematian. Ia mula dikesan di Mexico dan kemudiannya di Amerika Syarikat pada Mac 2009.

-- Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) memberi amaran pandemik COVID-19 akan mengheret ekonomi global kepada penguncupan ekonomi paling teruk sejak Zaman Kemelesetan The Great Depression.  

-- Kes pertama 2019-nCoV di Malaysia disahkan pada 25 Jan membabitkan tiga (3) warga China yang masuk ke Malaysia melalui Johor dari Singapura pada 23 Jan.

-- Khamis 30 Julai genap enam bulan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), mengisytiharkan Darurat Kesihatan Awam berikutan kebimbangan dunia terhadap jangkitan 2019 novel koronavirus yang dikenali kemudian sebagai COVID-19.

-- Pengumuman yang dibuat itu adalah yang ke-enam dibuat oleh Pertubuhan itu tetapi yang terburuk. Untuk rekod, pengumuman lalu ialah bersabit H1N1 (2009), Polio dan Ebola di Afrika Barat (2014), Zika (2016) dan Ebola di Republik Congo (2019).

-- Di UK, varian baru COVID-19 yang dikenali sebagai B117 dilaporkan  70 peratus lebih mudah merebak. Mula dikesan pada September 2020.

-- Afrika Selatan juga mengenalpasti varian baharu novel coronavirus, dirujuk sebagai "501Y.V2". pada awal Oktober 2020.

-- BERNAMA

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan