RENCANA

PDPR: MEKANISME HOLISTIK PERLU UNTUK MEMPERSIAPKAN SABAH KE ARAH PENDIDIKAN MAYA

25/02/2021 01:28 PM

Oleh Rohana Nasrah

Bahagian keempat dan terakhir daripada rencana empat bahagian ini memaparkan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di rumah di Sabah yang tertumpu kepada bagaimana negeri ini melaksanakan persediaan bagi menghadapi transformasi yang berlaku dalam sektor pendidikan.

KOTA KINABALU (Bernama) -- Belum selesai isu sekolah daif dan kemudahan prasarana sekolah tidak lengkap, sektor pendidikan Sabah diuji pula dengan cabaran baharu iaitu kelemahan capaian internet dan pemilikan peranti elektronik dalam kalangan pelajar bagi menyokong Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) secara dalam talian.

Itulah hakikat terpaksa ditempuhi oleh guru serta pelajar khususnya di luar bandar dan pedalaman Sabah sepanjang sesi persekolahan ditutup berikutan pandemik COVID-19 yang belum reda.

Suka atau tidak, virus itu jelas memberi impak kepada struktur pengajaran dan pembelajaran ketika ini yang memaksa guru dan pelajar, bahkan ibu bapa untuk turut sama mengadaptasi norma baharu pendidikan.

Meskipun sesi persekolahan 2021 secara bersemuka akan dibuka semula pada 1 Mac ini melibatkan murid prasekolah, Tahun Satu dan Tahun Dua diikuti Tahun Tiga hingga Tahun Enam pada 8 Mac, namun, persediaan komprehensif perlu dilakukan bagi memastikan Sabah berupaya memacu pendidikan maya seiring dengan perkembangan teknologi terkini dan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).

Hal ini demikian kerana sesi PdPR dalam talian tidak mustahil akan digunakan sebagai antara alternatif menggantikan sesi pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka sekiranya berlaku krisis atau situasi luar jangka pada masa hadapan.

 

1001 KISAH


Pelajar di Kampung Gana, Papar terpaksa berjalan kaki mendaki bukit sejauh 500 meter dari rumah mereka bagi mendapat liputan internet yang baik untuk mengikuti sesi PdPR. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Jika diikuti terlalu banyak kekangan dan cabaran dihadapi oleh sistem pendidikan khususnya di Sabah dalam melaksanakan PdPR dalam talian sepanjang tahun lepas yang menyaksikan para pelajar berusaha bersungguh-sungguh bagai air mencari jenisnya bagi memastikan mereka dapat mengikuti pembelajaran seperti biasa dalam tempoh mencabar ini.

Daripada memanjat pokok sehingga mendaki bukit, semua ditempuhi dengan cekal semata-mata ingin mengakses internet agar PdPR dapat diteruskan walaupun dalam keadaan serba kekurangan termasuk berkongsi peranti elektronik dengan adik beradik, dan lebih menyedihkan ada yang tidak memiliki peralatan itu.

Ada juga kisah pelajar cedera selepas jambatan gantung yang menjadi “stesen internet” mereka terputus ketika mengikuti pembelajaran secara maya.

Lebih mencuri tumpuan, cerita pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) Veveonah Mosibin, 18, yang terpaksa memanjat pokok bagi mendapatkan internet untuk mengikuti peperiksaan dalam talian.

Veveonah seolah-olah menjadi ‘wakil’ memaparkan realiti sebenar kesukaran dilalui anak-anak Sabah dalam menuntut ilmu apabila kisah dikongsikan menerusi saluran Youtube miliknya tular dalam media sosial.

Anak kelahiran Pitas itu diangkat sebagai ‘hero’ kerana kisahnya mengejutkan ramai pihak untuk menyaksikan bahawa tidak semua pelajar di Sabah mempunyai akses mudah kepada pembelajaran dalam talian.

Mungkin itu hanya sebahagian daripada 1001 kisah pelajar di “Negeri Bawah Bayu” mengharungi cabaran PdPR dan tidak mustahil ramai lagi mengalami kekangan sama.

Tidak kurang juga pengorbanan para guru bertungkus lumus menyiapkan modul sehingga ada yang sanggup meredah sungai dan melalui jalan tanah merah tanpa mengira cuaca hujan dan panas untuk menghantar bahan pembelajaran ke rumah pelajar, selain bekerja sehingga waktu malam.

 

STRATEGI


Datuk Dr Mistirine Radin, Pengarah Pendidikan Negeri.

Penulis teringat ketika menemurah secara eksklusif Pengarah Pendidikan negeri Datuk Dr Mistirine Radin pada tahun lepas apabila beliau memberitahu bahawa 52 peratus pelajar di Sabah tidak mempunyai akses internet dan telefon pintar, komputer atau peranti mudah alih lain untuk mengikuti PdPR.

Sebanyak 70 peratus sekolah di Sabah terletak di luar bandar dan pedalaman, selebihnya di bandar.

Keadaan itu mendorong Jabatan Pendidikan Sabah dibantu guru besar, pengetua dan Pejabat Pendidikan Daerah mengambil inisiatif menghantar bahan pembelajaran seperti buku teks dan lembaran kerja ke rumah pelajar atau ke pusat transit seperti rumah ketua kampung.

Komitmen para guru Sabah diteruskan pada tahun ini apabila lebih 70 peratus pelajar sekolah menengah di negeri ini mengikuti PdPR dalam talian, setakat 27 Jan lepas.

Baki 20 peratus pelajar mengikuti PdPR luar talian dan lima peratus mengikuti gabungan kedua-dua kaedah mengikut kesesuaian pembelajaran masing-masing yang dijalankan di 211 sekolah menengah.

Bagi sekolah rendah pula, 46 peratus murid mengikuti PdPR dalam talian dan 45 peratus luar talian serta sembilan peratus menggunakan kedua-dua kaedah setiap hari melibatkan 1,075 sekolah rendah di Sabah.

Dalam hal ini, sektor pendidikan Sabah dilihat cukup berstrategi dalam mendepani liku-liku norma baharu pendidikan tanpa mengenal erti penat dan putus asa untuk memastikan setiap pelajar dapat mengikuti pembelajaran seperti biasa.

 

MEKANISME HOLISTIK


Prof Madya Dr Sabariah Sharif, Dekan Fakulti Psikologi dan Pendidikan UMS.

Dekan Fakulti Psikologi dan Pendidikan UMS, Prof Madya Dr Sabariah Sharif kepada Bernama menggesa agar mekanisme lebih holistik diterapkan bagi mempersiapkan Sabah ke arah transisi dan transformasi pendidikan era kini.

Ini bagi membolehkan proses pengajaran dan pembelajaran yang bergantung sepenuhnya kepada dunia maya atau dikenali sebagai cybergogy, dilaksanakan dengan lebih cekap serta kondusif antara guru dan pelajar, katanya.

Sabariah berkata, infrastruktur pendidikan di Sabah memerlukan persediaan lebih lengkap, berstruktur dan terancang untuk melaksanakan pendekatan itu.

“Dengan banyak lagi kekurangan dari segi pengetahuan, pengalaman, infrastruktur, sokongan ibu bapa, masyarakat, kewangan dan kesediaan semua pihak untuk berubah, adalah amat sukar untuk  melaksanakan cybergogy, walaupun ia tidak mustahil.

“Namun sekarang, pendidikan di Sabah terutamanya masih belum bersedia ke arah cybergogy kerana ia adalah pembelajaran dijalankan sepenuhnya secara maya,” katanya.


Prof Madya Dr Abdul Said Ambotang, Ketua Program Pendidikan dengan Ekonomi, Fakulti Psikologi dan Pendidikan UMS.

Sementara itu, Ketua Program Pendidikan dengan Ekonomi, Fakulti Psikologi dan Pendidikan UMS, Prof Madya Dr Abdul Said Ambotang berkata pendekatan pendidikan berasaskan prinsip cybergogy sememangnya sudah lama dijalankan, namun, tidak secara menyeluruh dan tertumpu kepada sekolah tertentu sahaja.

 

PRAKTIKAL

Mengenai pengendalian PdPR pada masa sekarang, Sabariah berkata adalah lebih praktikal tiga pendekatan digunakan iaitu dalam talian, luar talian dan off-site bagi memastikan semua pelajar mampu mengikuti proses pembelajaran.

Tentunya, peranan guru di Sabah sangat diperlukan bagi mewujudkan suasana PdPR lebih komprehensif, konstruktif dan berkesan untuk pelajar.

Selain kreatif dan inovatif dalam menyediakan bahan pembelajaran, guru juga perlu menganalisis pelajar dari segi kemampuan, kekangan, keperluan, pengetahuan dan minat mereka berdasarkan konsep “no one size fits all.”

“Peranan guru sebagai pereka bentuk pengajaran dan pembelajaran akan menjadi lebih  penting dan kritikal bagi memastikan PdPR berjaya.

“Keputusan yang perlu diambil adalah dari segi jenis pendekatan PdPR yang perlu dilaksanakan. Apakah kaedah sesuai bagi memastikan pengalaman pembelajaran pelajar bermakna dan menarik seperti menggunakan modul atau kaedah berasaskan projek, masalah atau inkuiri,” jelasnya.

Mengenai standard penilaian terbaik untuk menguji dan mengukur tahap penguasaan pelajar menerusi PdPR, Sabariah berkata, ia bergantung kepada apakah domain yang hendak dinilai sama ada kognitif, efektif atau psikomotor.

Bagaimanapun, penilaian sesuai adalah berasaskan kepada projek kerana ketiga-tiga  domain  boleh diukur menggunakan rubric, ujian, soal selidik atau temubual.

 

BAHAN MENGAJAR BERTEKNOLOGI


Membina dan menaik taraf menara pemancar merupakan sebahagian Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 iaitu memanfaatkan teknologi maklumat dan komunikasi bagi meningkatkan kualiti pembelajaran di Malaysia. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Mengulas antara langkah perlu diambil untuk memastikan keberkesanan PdPR pada masa akan datang, Sabariah berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) boleh menjalin kerjasama erat dengan pihak universiti untuk membangunkan modul serta bahan bantuan mengajar menggunakan teknologi terkini.

Guru melalui Professional Learning Community juga perlu bekerjasama membangunkan modul berteknologi terkini seperti Augmented Reality (AR) untuk mewujudkan suasana pembelajaran lebih bermakna, menarik dan interaktif, katanya.

AR atau diterjemahkan sebagai realiti berperantara adalah teknologi menggabungkan elemen dunia maya dan realiti dengan memaparkan visual interaktif menerusi peranti elektronik seperti telefon bimbit, tablet dan komputer secara masa nyata.

Beliau berkata, kepakaran daripada KPM dan universiti amat diperlukan bagi membangunkan modul-modul pembelajaran interaktif berkenaan.

Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan tidak dinafikan pada masa ini meletakkan komitmen tinggi bagi mengatasi jurang digital di Sabah agar rakyat di negeri ini dapat bersama-sama menikmati pengalaman melayari internet lebih baik setanding dengan negeri lain di Malaysia.


Projek pembangunan Jalinan Digital Negara (JENDELA). Infografik BERNAMA - bernama.com/bm/infografik

Ia dapat dilihat menerusi projek pembangunan di bawah Jalinan Digital Negara (JENDELA) dengan Sabah adalah penerima terbesar projek itu yang dianggarkan melibatkan kos RM2.4 bilion.

Menerusi JENDELA, terdapat 419 menara baharu akan dibina di Sabah, manakala 1,972 pemancar sedia ada akan dinaik taraf kepada 4G, yang diharap akan dapat meningkatkan tahap kesalinghubungan dan kualiti perkhidmatan jalur lebar di negeri itu.

Selain itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia juga begitu responsif dalam menangani isu capaian internet di Sabah apabila agensi itu tidak duduk diam, sebaliknya berusaha menaiktaraf rangkaian internet di beberapa kawasan termasuk Pitas dan Ranau.

Apa yang pasti, semua pihak terutama dalam sistem pendidikan ketika ini saling berganding bahu mencari titik penyelesaian menangani isu ini sekali gus ke arah merealisasikan antara anjakan digariskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 iaitu memanfaatkan teknologi maklumat dan komunikasi bagi meningkatkan kualiti pembelajaran di Malaysia.

 

Disunting oleh Cik Rashidah Abd Ghani

BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan