RENCANA

PDPR: GURU SABAH REDAH SUNGAI KINABATANGAN HANTAR MODUL, DEKATI MURID TERCICIR PEDALAMAN

23/02/2021 11:54 AM

Oleh Rohana Nasrah

Bahagian kedua rencana empat bahagian ini mengenai pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran dari rumah di Sabah yang menceritakan pengalaman sekumpulan guru dari sekolah pedalaman yang berusaha bagi memastikan pelajar tanpa kemudahan dan alat internet tidak ketinggalan dalam pelajaran.

KOTA KINABALU (Bernama) -- Jam menunjukkan pukul 7.00 pagi dengan penampilan Mohd Mahdzir Mahzan kelihatan kemas dan segak, bukan hendak pergi ke kelas untuk mengajar murid seperti tahun-tahun sebelumnya, tetapi sebaliknya bersiap sedia menuju ke jeti berhampiran sekolah.

Tanpa melengahkan masa, guru Sains dan Bahasa Inggeris di Sekolah Kebangsaan (SK) Sangau, Kinabatangan itu bergegas ke sekolah terlebih dahulu yang terletak tidak jauh dari tempat tinggalnya untuk bertemu seorang guru yang ingin menemaninya menghantar modul ke rumah murid di kampung seberang.

Sampai di sekolah, ternyata bukan mereka berdua sahaja yang teruja merasai pengalaman baharu sebagai pendidik di era mencabar ini, apabila beberapa guru lain termasuk Guru Besar Mazari Kapar turut hadir untuk bersama-sama melaksanakan tugas hakiki memastikan tiada seorang pun murid tercicir daripada pelajaran.

Pastinya, persekitaran sekolah yang terletak di tepi Sungai Kinabatangan pada 29 Jan lepas itu penuh dengan semangat kebersamaan para guru yang kekal komited dalam merapatkan jurang komunikasi pembelajaran dalam tempoh mencabar ini susulan pandemik COVID-19 yang belum reda.

Bagi guru, ketiadaan peranti dan jaringan internet dalam kalangan murid terutama daripada keluarga kurang berkemampuan bukanlah alasan untuk mereka tidak dapat mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) seperti dijadualkan.

 

REDAH KEDIAMAN ‘SANG BEDAL’


Guru-guru SK Sangau, Kinabatangan memakai jaket keselamatan semasa manaiki bot untuk ke Kampung Kulu-Kulu. -- Gambar ihsan Guru SK Sangau

Setelah lengkap memakai jaket keselamatan disediakan Kementerian Pendidikan Malaysia untuk kegunaan sekolah, mereka kemudian bergerak ke jeti sambil membimbit buku-buku modul berwarna-warni untuk diserahkan kepada murid Tahun 1 hingga 6 yang tinggal di Kampung Kulu-Kulu.

Ada tiga bot digunakan untuk ke kampung itu yang letaknya kira-kira lima kilometer dari sekolah dan mengambil masa kira-kira 10 minit untuk sampai ke sana.

Tepat pukul 9.00 pagi, mereka bergerak menghantar modul PdPR dengan menyusuri Sungai Kinabatangan tanpa sama sekali menghiraukan ia “kediaman sang bedal”.

Bunyi enjin bot, yang dipandu oleh penduduk kampung, memecah kesunyian di sepanjang perjalanan menyusuri sungai kedua terpanjang di Malaysia itu dengan keadaan langit cerah serta disajikan estetika panorama alam semulajadi yang cukup indah.

Dalam perjalanan, timbul rasa simpati dalam diri Mohd Mahdzir ketika membayangkan betapa cekal hati anak muridnya dari kampung itu yang terpaksa meredah sungai dan menyabung nyawa untuk ke sekolah setiap hari semata-mata ingin menuntut ilmu demi masa hadapan mereka.

“Mereka sememangnya sangat mendahagakan ilmu dan berusaha menguasai 3M (Membaca, Menulis dan Mengira). Ada antara mereka masih belum menguasainya. Atas sebab itu, kami mengambil keputusan untuk menghantar sendiri modul PdPR ke rumah mereka supaya masing-masing boleh belajar seperti biasa.

“Kami tolak tepi dahulu soal bahaya keberadaan buaya di sungai. Bukan tidak fikir soal keselamatan, tetapi niat kami baik untuk memastikan murid-murid di kampung itu tidak tercicir malah boleh seiring dengan rakan lain yang ada kelebihan memiliki peranti elektronik mahupun jaringan internet,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Mohd Madhzir, 35, graduan Institut Pendidikan Guru Kampus Datuk Razali Ismail, Kuala Terengganu itu berasal dari Kuala Lumpur dan telah bertugas mendidik anak Sabah di pedalaman selama 11 tahun.

 

TERHARU


Cikgu Mohd Mahdzir Mahzan menyusuri Sungai Kinabatangan dalam misi menghantar modul PdPr kepada murid-murid SK Sangau. -- Gambar ihsan Guru SK Sangau

Berkongsi lanjut ceritanya menghantar modul PdPR, Mohd Madzhir yang sudah begitu fasih bercakap menggunakan loghat Sabah berkata, selepas tiba di jeti Kampung Kulu-Kulu, mereka perlu lagi mengambil masa kira-kira 20 minit berjalan kaki sejauh satu kilometer untuk sampai ke kawasan rumah murid.

Mohd Madhzir terharu apabila ketibaan mereka dalam ‘lawatan mengejut’ ke rumah murid disajikan dengan pemandangan di mana mereka sedang belajar dan mengulang kaji kerja-kerja sekolah yang  diberikan sebelum ini.

“Kami bangga kerana mereka tetap belajar walaupun tidak di sekolah. Jika diikutkan tempat mereka belajar di rumah juga tidak begitu kondusif kerana keadaan rumah yang serba kekurangan. Tetapi, semangat tinggi mereka untuk menuntut ilmu membuat saya sangat terharu,” katanya.

Beliau, yang juga Penolong Kanan I SK Sangau berkata, sekolah rendah itu pula terletak jauh di pedalaman Kinabatangan, kira-kira 370 kilometer dari Kota Kinabalu, yang menggunakan dua mod pengangkutan iaitu bot dan kenderaan pacuan empat roda untuk sampai ke situ.

Perjalanan menggunakan bot mengambil masa kira-kira satu jam 30 minit dari jeti pangkalan Bukit Garam, manakala jalan darat pula dua jam 30 minit dari Pejabat Pendidikan Daerah Kinabatangan, dengan keadaan jalan tanah merah kerana perlu melalui jalan ladang.

SK Sangau juga dikategori sebagai Sekolah Kurang Murid kerana hanya mempunyai 60 murid dan 15 daripadanya datang dari Kampung Kulu-Kulu manakala selebihnya dari kampung berhampiran serta ladang, dengan pelbagai latar belakang pendapatan keluarga.

 

TIADA PERANTI ELEKTRONIK, DATA MUDAH ALIH


Guru-guru SK Sangau membuat persiapan menyediakan modul PdPR yang bakal diagaihkan kepada pelajar. -- Gambar ihsan Guru SK Sangau

Mohd Mahdzir berkata, cabaran PdPR sepanjang tahun lepas tetap dirasai pada tahun ini kerana masih ada murid khususnya dari Kampung Kulu-Kulu yang tidak memiliki peranti elektronik mahupun data mudah alih bagi membolehkan mereka mengakses internet meskipun liputan tidak begitu stabil.

Ada juga murid terpaksa berkongsi satu peranti dengan adik beradik lain yang turut sama mengikuti PdPR, selain terpaksa menunggu ibu bapa pulang kerja kerana bergantung sepenuhnya kepada telefon bimbit mereka sebagai medium mengetahui tugasan diberikan guru, katanya.

Mahu tidak mahu, guru terpaksa mengambil alternatif lain iaitu menjalankan PdPR luar talian, apatah lagi maklum balas murid dari kampung itu agak kurang pada minggu pertama PdPR, Januari lepas.

“Ramai murid tidak dapat mengikuti PdPR. Saya menghubungi ibu bapa untuk bertanya masalah mereka dan ada antaranya memberitahu kurang berkemampuan untuk membeli data. Data yang ada disediakan tidak mencukupi kerana ramai anak menggunakannya untuk PdPR,” jelasnya.

Prihatin akan hal itu, para guru SK Sangau kemudian menyingsing lengan menyediakan bahan modul PdPR mengikut jadual mata pelajaran untuk tempoh dua minggu, sebelum dibukukan beserta arahan bagi memudahkan murid menyelesaikan tugasan.

“Kami sediakan modul lengkap bersama tarikh dan masa PdPR. Kami membimbing dan memberi arahan menerusi telefon ibu bapa mereka. Jika ada data itu satu kelebihan, tetapi sekiranya tiada, ia bukan masalah kerana mereka masih boleh membuat modul dengan bantuan ibu bapa atau adik beradik,” katanya.

 

KELAS OFF-SITE


Seorang guru SK Sangau menyerahkan modul PdPR kepada seorang ibu pelajar di Kampung Kulu-Kulu. -- Gambar ihsan Guru SK Sangau

Mohd Mahdzir berkata, pendekatan menghantar sendiri modul PdPR ke rumah murid itu baharu sahaja dilakukan pada tahun ini memandangkan sebelum ini guru meminta ibu bapa masing-masing untuk datang mengambil modul berkenaan di sekolah.

“Tahun lepas, ada juga wakil datang mengambil modul-modul itu tetapi adakalanya maklumat diberikan tidak sampai kepada murid atau ibu bapa,” katanya.

Beliau berkata, para guru akan terus komited untuk menambahbaik kaedah penyampaian PdPR sama ada secara dalam talian atau luar talian dari semasa ke semasa, kerana menurutnya, ia penting bukan sahaja untuk perkembangan murid tetapi juga prestasi sekolah.

Ini termasuk menggunakan kaedah ‘off-site’ dengan membuka kelas di kampung itu supaya murid boleh mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran seperti biasa tanpa memikirkan soal internet, peranti elektronik atau data mudah alih.


Salah seorang ibu kepada pelajar SK Sangau di Kampung Kulu-Kulu menerima modul PdPR dari seorang guru. -- Gambar ihsan Guru SK Sangau

“Kami fikir ia alternatif terbaik kerana ramai murid dari kampung ini tercicir. Murid pemulihan yang tidak menguasai 3M. Ini kerana mereka ke sekolah menaiki bot. Kadang-kadang bot ada, tetapi minyak tiada, atau bot hanya ada satu sahaja yang menyebabkan mereka tidak dapat ke sekolah,” katanya.

Beliau juga berharap agar ada pihak tampil menyediakan asrama desa berhampiran sekolah sebagai kemudahan tempat tinggal untuk murid sekali gus inisiatif menjamin keselamatan mereka supaya tidak perlu berulang-alik dari rumah ke sekolah dengan hanya menaiki bot.

 

KEPERLUAN PENDIDIKAN DIGITAL


Guru-guru SK Sangau bergambar di Kampung Kulu-Kulu selepas selesai menyerahkan modul PdPR kepada semua pelajar. -- Gambar ihsan Guru SK Sangau

Mengulas usaha memperkasa penyampaian PdPR dalam talian khususnya di sekolah luar bandar dan pedalaman Sabah, Mohd Mahdzir berkata penyelesaian komprehensif adalah perlu bagi memastikan keperluan pendidikan digital disediakan di negeri ini bergerak seiring.

Ini merangkumi liputan internet, data mudah alih dan pemilikan peranti elektronik dalam kalangan murid bagi mewujudkan suasana sesi PdPR dalam talian yang lebih kondusif dan efektif.

Justeru, kerajaan harus menambahbaik infrastruktur internet, selain melihat keperluan untuk menyediakan data mudah alih terutama kepada murid daripada keluarga kurang berkemampuan, katanya.

Pengagihan peranti elektronik seperti tablet kepada setiap keluarga juga perlu dipertimbangkan  mengikut kiraan per kapita sama ada satu keluarga satu peranti elektronik atau satu keluarga dua peranti elektronik bagi menangani kekangan pemilikan peralatan itu yang masih berlaku sehingga kini.

Beliau juga berpendapat kerajaan negeri boleh menjalin kerjasama dengan syarikat-syarikat swasta besar yang beroperasi di Sabah untuk menyediakan keperluan itu sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial mereka kepada masyarakat.

“Keperluan pendidikan digital mesti seiring kerana ia saling berkait rapat antara satu sama lain untuk memastikan PdPR dalam talian berjalan lancar pada masa akan datang,” katanya.

 

Disunting oleh Cik Rashidah Abd Ghani

BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan