RENCANA

FIKIRLAH: #KITAJAGAKITA KETIKA SAMBUT TAHUN 'LEMBU EMAS' 

10/02/2021 09:35 AM

Oleh Soon Li Wei

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Suasana Tahun Baharu Cina pada 12 Februari ini sudah tentunya berbeza dengan sambutan pada tahun-tahun sebelumnya kerana negara masih berhadapan dengan pandemik COVID-19 dan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0), kecuali Sarawak.

Mengimbau kembali sambutan pada tahun 2020, ketika dalam kemeriahan masyarakat Cina menyambut hari pertama Tahun Tikus, Malaysia dikejutkan dengan kes pertama COVID-19 yang diumumkan oleh Menteri Kesihatan ketika itu, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad. 

Menerusi sidang media tergempar, beliau memaklumkan COVID-19 yang ketika itu masih dikenali sebagai 2019-nCOV sudah dikesan di negara ini, melibatkan tiga orang warganegara China yang masuk ke negara ini melalui Johor dari Singapura pada 23 Jan 2020. 


Warga emas berusia 100 tahun, Lim Seng menyiapkan pokok limau sebagai hiasan bagi menyambut perayaan Tahun Baru Cina, meskipun tanpa kehadiran semua anak, cucu dan cicitnya pada kali ini ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kampung Cina, Kuala Terengganu. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Sidang media itu disiarkan secara langsung menerusi saluran televisyen, dan penulis ketika itu sedang menikmati kuih raya dan limau mandarin di rumah sanak saudara di kampung halaman di Kuala Krai, Kelantan. Makanya, sepanjang perayaan itu, topik hangat perbualan sudah semestinya tentang Covid-19.

Walaupun ramai bimbang dengan penularan COVID-19, namun pada masa itu wabak itu dilihat masih lagi terkawal apabila jumlah kes pada ketika itu hanyalah dalam lingkungan satu hingga dua  angka sahaja. 

Namun, siapa sangka dalam tempoh singkat, virus COVID-19 merebak luas ke seluruh dunia, sehinggakan Pertubuhan Kesihatan Sedunia pada 11 Mac 2020 mengklasifikasikannya sebagai pandemik dunia. 

Penularan meluas koronavirus maut itu turut memaksa kebanyakan negara melaksanakan perintah berkurung sekitar Mac 2020 dan setakat ini kira-kira 2.28 juta kematian dilaporkan di seluruh dunia akibat jangkitan COVID-19. 

 


Peniaga gerai buah-buahan Siow Jian Ming menyusun buah limau bali yang dijual di gerainya di Kampung Baru, Pekan Titi, Kuala Klawang. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Sememangnya kebanyakan perayaan yang disambut oleh masyarakat berbilang kaum di negara ini menitikberatkan amalan kunjung-mengunjung, ikatan kekeluargaan, amalan tradisi secara turun-temurun selain berkunjung ke rumah ibadah. 

Apatah lagi tradisi perayaan masyarakat Cina sering dikaitkan dengan suasana meriah seperti tarian singa dan naga, pertunjukan bunga api dan membakar mercun. Ramai juga akan berkumpul bersama anggota keluarga serta saudara-mara serta jiran tetangga.

Berikutan penularan wabak COVID-19 yang masih berleluasa, mahu tidak mahu kita terpaksa melupakan suasana kemeriahan itu pada tahun ini, satu pengorbanan yang perlu kita lakukan demi memastikan wabak penyakit ini dapat dibendung.

Meskipun kebanyakan tradisi turun-temurun tidak boleh dilakukan secara beramai-ramai pada tahun ini, namun makna di sebalik sambutan itu masih kekal jika dilakukan hanya dalam kalangan anggota keluarga sahaja. 


Walaupun cuma akan menyambut ketibaan Tahun Baru Cina bersama isterinya di rumah tanpa kepulangan anak dan cucu pada tahun ini, Khau Kee Lian tetap ceria sambil membeli perhiasan rumah seperti tanglung hiasan di sekitar Bandar Kangar. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Contohnya, upacara sembahyang bagi menyambut kedatangan Dewa Tuah dan nenek moyang pada hari pertama Tahun Baharu Cina, serta Bai Tian Gong (Upacara penyembahan Dewa Langit) pada hari kesembilan masih boleh dilakukan secara kecil-kecilan dalam kalangan anggota keluarga yang tinggal sebumbung. 

Sambutan pada tahun ini dijangka agak 'tenang' tanpa diserikan dengan tarian singa, pertunjukan bunga api dan pembakaran colok secara besar-besaran, namun ia merupakan hikmah apabila dapat mengurangkan risiko penularan COVID-19 ketika musim perayaan. 

Selain itu juga, pemberian 'angpau' oleh golongan yang telah berkeluarga kepada golongan bujang dan kanak-kanak masih boleh dilakukan menerusi 'E-angpau' melalui aplikasi 'E-Wallet' tanpa perlu menggunakan sampul merah.

 


Pengusaha Owi Kiu Chu menjual kuih bakul yang diusahakan secara tradisional di Tumpat, Kelantan menggunakan beras pulut Siam yang dikukus selama 12 hingga 18 jam. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Majlis Keselamatan Negara (MKN) juga membenarkan acara makan besar keluarga pada malam Tahun Baharu Cina, dengan tidak melebihi 15 orang anggota keluarga terdekat, yang tinggal dalam lingkungan 10 kilometer radius tanpa rentas daerah dan negeri. 

Sudah pasti pengumuman itu melegakan hampir kesemua masyarakat Cina yang mengharapkan tradisi ini dapat diteruskan di tengah-tengah musim pandemik dan PKP 2.0. 

Sebelum ini, penetapan MKN yang hanya membenarkan anggota keluarga dalam satu rumah mengadakan makan besar menggusarkan ramai pihak, terutamanya mereka yang tinggal berasingan dengan anggota keluarga lain. 

Sering kali kita leka dengan SOP apabila teruja dapat berkumpul bersama anggota keluarga untuk acara makan besar ataupun sebarang upacara sembahyang seperti Sambut Dewa Tuah, Bai Tian Gong dan nenek moyang saban tahun. 


Lu Tshun Yaw membaik pulih dan mewarnakan semula kostum kepala singa di kedainya di Tanah Merah, Kelantan. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Namun, jangan lupa, ada dalam kalangan anggota keluarga kita tergolong dalam golongan berisiko tinggi yang lebih rentan jangkitan COVID-19 seperti warga emas, ibu mengandung, pesakit NCD (penyakit tidak berjangkit), dan kanak-kanak.

Secara tradisinya makan malam beramai-ramai diadakan menjelang malam sebelum Tahun Baharu Cina dan lazimnya semua akan duduk di satu meja besar dengan hidangan pelbagai lauk-pauk untuk dinikmati bersama. 

Sedar atau tidak bahawa apabila makan beramai-ramai, penyebaran virus adalah mudah kerana ada dalam kalangan mereka menggunakan sudu garpu ataupun penyepit yang sama untuk mengambil lauk pauk dan kemudiannya makan begitu sahaja.

Ketika makan besar juga, sudah tentu ramai yang akan leka berborak sambil makan, ada yang mungkin sekian lama tidak berjumpa, namun kita tidak sedar bahawa ketika itu, titisan cecair yang terhasil daripada percikan air liur ketika bercakap, mengakibatkan virus mudah tersebar antara satu sama lain. 

 


Mahaguru Kaligrafi Cina, Cheng Ho Chung, 83, menghasilkan tulisan kaligrafi cina dengan pelbagai maksud antaranya kemakmuran, kesihatan dan kekayaan di kedainya di Jalan Raya Kulai Besar, Kulai. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Sebaik-baiknya sebelum kita menyertai mana-mana upacara sepanjang Tahun Baharu Cina, lebih-lebih lagi melibatkan golongan berisiko, jalanilah ujian calit COVID-19 di mana-mana klinik kesihatan dan pastikan diri negatif sebelum itu. 

Jika boleh, elakkan menggunakan sudu, garpu serta penyepit yang sama untuk mengambil lauk-pauk ketika acara makan besar. Seelokkanya sediakan sudu garpu berasingan untuk digunakan dan untuk mengambil lauk-pauk sahaja. 

Itulah sebabnya mengapa kerajaan menekankan slogan #kitajagakita, iaitu apabila kita sendiri menjaga SOP dengan memakai pelitup muka, menjaga kebersihan diri, tidak berjambat tangan dan bersentuhan, maka ia akan menurunkan risiko untuk menjangkiti atau dijangkiti COVID-19. 

Walaupun kerajaan memberi sedikit kelonggaran untuk menyambut Tahun Lembu Emas pada tahun ini, janganlah sewenang-wenangnya mengabaikan SOP ketika keterujaan menyambut perayaan dan berasa begitu gembira dapat beraya dengan orang-orang yang disayang. 

Jika semua orang dapat mengikuti SOP dengan baik, nescaya pandemik ini akan berakhir dengan pantas, kehidupan akan kembali seperti sedia kala dan tidak perlu lagi berkorban masa akibat terkongkong dengan SOP ketat. 

Oleh itu, jika anda sayang akan keluarga anda, silalah patuhi SOP tidak kira masa dan di mana jua anda berada.

Selamat Tahun Baharu, Gong Xi Fa Chai.

 

(Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis).

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan