RENCANA

MENDAKI BUKIT BENDERA PAKAI JEANS DAN SANDAL

27/01/2021 07:01 PM

Oleh Noorazlina Jindeh

BEAUFORT (Bernama) -- Sebut nama Bukit Bendera pastinya ramai akan membayangkan ia terletak di Pulau Pinang, namun tidak ramai yang mengetahui bahawa di daerah Beaufort juga mempunyai nama tempat yang sama, terletak kira-kira 75 kilometer dari Kota Kinabalu.

Bukit Bendera setinggi 1,399 meter dari aras laut itu menjadi kawasan pilihan bagi penggemar aktiviti lasak terutamanya penduduk sekitar daerah Beaufort termasuk Membakut untuk mendaki.

Penulis baru-baru ini buat pertama kali berpeluang mendaki bukit berkenaan yang hanya terletak kira-kira lima minit perjalanan dari Pekan Beaufort dengan melalui jalan raya berturap.

Pada awalnya penulis tidak berniat untuk mendaki tetapi apabila melalui kawasan berkenaan dan melihat papan tanda Bukit Bendera, lantas penulis memberhentikan kereta di tepi jalan dan menyelusuri laluan berkenaan.


Bukit Bendera, Beaufort terletak kira-kira 75 kilometer dari Kota Kinabalu. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA/ Noorazlina Jindeh

Di pintu masuk ke kaki bukit itu terletak papan tanda 'Selamat Datang, Bukit Bendera, Beaufort' dan sepanjang 300 meter pertama laluan itu perlu melalui batuan kerikil dan bagi mengelak tersesat, pendaki perlu melihat denai yang menjadi laluan ke puncak bukit.

Di laluan itu, terdapat sebatang anak sungai kecil dan air terjun setinggi kira-kira tiga meter dan selepas melalui sungai itu pendaki perlu mendaki kawasan tanah berbukit yang dilitupi pokok tumbuh meliar.

Akar kayu di sepanjang laluan itu juga amat membantu sebagai tangga untuk dipijak kerana tanah di laluan itu agak licin terutama selepas hujan.

 

MENDAKI DENGAN JEANS DAN SANDAL


Laluan pendakian... Bukit Bendera menjadi pilihan pendaki menjalankan aktiviti lasak bersama ahli keluarga pada setiap hujung minggu. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA/ Noorazlina Jindeh

Ketika penulis mendaki, keadaan laluan berlumpur apabila hujan pada malam sebelum pendakian dan beberapa laluan juga curam namun dengan adanya tali yang diikat pada batang pokok memudahkan pendaki untuk berpaut.

Dalam perjalanan pendakian, penulis bertemu dengan tiga pendaki tempatan termasuk seorang wanita dan sempat berbual dengan mereka,  dan apabila melihat pakaian penulis yang tidak berpakaian seperti pendaki, mereka menasihatkan penulis supaya tidak meneruskan pendakian.

"Kamu pakai begini bahaya (untuk mendaki), pakai seluar jeans dan sandal tidak boleh naik… licin," kata seorang daripada pendaki itu kepada penulis.


Noorazlina Jindeh, Wartawan. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA/ Noorazlina Jindeh

Bagi penulis, dengan berseluar jeans dan memakai sandal bukan halangan untuk mendaki bak kata pepatah "hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih" dan untuk tidak menghampakan hati, penulis perlahan-lahan mengorak langkah di belakang pendaki itu sehingga mereka hilang di pandangan.

Pada masa sama rakan penulis juga memberi keyakinan bahawa kawasan itu selamat jika mendaki berseorangan apabila penulis bertanya kepadanya melalui aplikasi Whatsapp.

 

LALUAN DIPAGARI POKOK HUTAN


Pemandangan indah di sekitar Beaufort dari puncak Bukit Bendera. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA/ Noorazlina Jindeh

Sepanjang perjalanan pendakian itu, di kiri dan kanan laluan dipagari dengan pokok kayu, pakis hutan dan bunyi cengkerik yang bersahut-sahutan.

Di laluan itu juga terdapat beberapa plastik tergantung yang pada fahaman penulis digunakan sebagai tong sampah kerana laluan itu kelihatan bersih daripada sampah.

Papan tanda sebagai petunjuk jarak ke puncak juga turut dibina di beberapa lokasi dan dengan berbekalkan pengalaman mendaki Gunung Kinabalu sebanyak empat kali, bagi penulis pendakian ke puncak Bukit Bendera itu amat sesuai bagi mereka yang mahu berjinak-jinak dengan aktiviti lasak.

Hampir 40 minit pendakian, penulis akhirnya sampai di puncak kira-kira pukul 4.30 petang dan pemandangannya mampu menghilangkan rasa letih apabila melihat alur Sungai Padas dan kawasan sekitar Beaufort dari puncak Bukit Bendera.

Di puncak itu, turut disediakan pondok untuk pendaki berehat sambil menikmati suasana dan pemandangan sekeliling yang dilitupi kehijauan hutan serta bunyi hidupan liar.

Di situ juga diletakkan papan tanda 'Selamat Datang ke puncak Bukit Bendera Beaufort' namun kawasan puncak bukit itu agak terhad untuk menampung ramai pendaki pada satu-satu masa. 

 

PILIHAN PENDUDUK SETEMPAT

Memandangkan waktu telah hampir senja, penulis hanya berada kira-kira 30 minit di situ dan dalam tempoh itu beberapa remaja juga baru tiba malah ketika dalam perjalanan turun masih ada penduduk tempatan yang mendaki.


Siti Saheri Jamlan, Pendaki. -- Gambar ihsan Siti Saheri Jamlan

Bagi Siti Saheri Jamlan, 40, dari Membakut mengakui Bukit Bendera adalah kawasan pilihan bagi dirinya untuk menjalankan aktiviti lasak bersama ahli keluarga pada hujung minggu.

Ibu kepada dua cahaya mata itu berkata, perjalanan hanya mengambil masa kira-kira 20 minit dari Pekan Membakut ke pintu masuk Bukit Bendera dan beliau lebih gemar mendaki ketika waktu hujan kerana laluan lebih mencabar.

"Biasanya hujung minggu saya datang ke Bukit Bendera dengan ahli keluarga lain kerana saya memang suka 'hiking' selain dapat menyihatkan tubuh badan," katanya yang telah mendaki sebanyak sembilan kali.

Seorang pendaki Ryadome Ramos, 16, dari Kampung Bakalau pula berkata, ia adalah pendakian kali keduanya ke puncak Bukit Bendera dan pengalaman mendaki itu membuatkannya rasa ingin mendaki lagi.

Katanya, selain kawasan itu selamat untuk didaki ia juga berhampiran dengan kawasan perkampungannya dan beliau hanya perlu berjoging untuk sampai ke Bukit Bendera.

Sementara itu, Ahli Parlimen Beaufort Datuk Azizah Mohd Dun ketika dihubungi Bernama berkata, beberapa perancangan telah dibuat bagi menambahbaik laluan ke puncak Bukit Bendera.

"Insya Allah, sudah ada perancangan untuk membuat jambatan baharu dan papan tanda di sepanjang laluan itu," katanya.

 

Disunting oleh Cik Rashidah Abd Ghani

BERNAMA

 

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan