RENCANA

'JAMBATAN REZEKI' BAHARU BUAT HASSRI SELEPAS DIBERHENTIKAN KERJA

26/01/2021 04:03 PM

Oleh Nur Fadhliana Shaari

JOHOR BAHRU (Bernama) -- Sama sekali tidak terlintas di fikiran Hassri Abd Kadir, beliau akan menjadi tukang perabot untuk kelangsungan kehidupan beliau dan keluarga setelah diberhentikan kerja semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun 2020.

Berkongsi kisah dengan Bernama, bapa kepada tiga orang anak ini bersyukur kerana bakat pertukangan yang diwarisi daripada arwah bapanya kini menjadi ‘Jambatan Rezeki’ baharu beliau.

Sebelum menceburi bidang pertukangan perabot ini, Hassri bekerja sebagai operator mesin di sebuah kilang di Taman Teknologi Senai (dekat Johor Bahru) selama empat tahun. Beliau juga pernah memegang jawatan yang sama dengan sebuah syarikat lain selama 26 tahun.

Di peringkat awal selepas kehilangan mata pencarian, beliau yang berusia 53 tahun mengakui begitu tertekan, namun berkat sokongan keluarga dan sahabat handai, mampu bangkit untuk menjadikan bidang pertukangan perabot sebagai sumber utama menjana pendapatan.


Hassri Abd Kadir sedang menyiapkan rumah kucing daripada kayu pallet yang ditempah pelanggan. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Bermula dengan hanya membuat meja Jepun kecil dan beberapa perabot lain secara suka-suka,  akhirnya usaha gigih itu membuahkan hasil apabila ramai rakan dan pencinta kayu berminat dan tertarik dengan hasil pertukangan beliau.

"Memang pada peringkat awal diberhentikan kerja, macam-macam perasaan ada, marah, kecewa sebab kita ada tanggungan, rumah, kereta yang perlu di bayar dengan ada anak yang masih belajar.

“Namun bila saya fikir balik secara rasional, rezeki milik Allah SWT, di mana sahaja ada rezeki asalkan kita berusaha cari serta kena bersangka baik atas semua ujian," katanya kepada Bernama ketika diwawancara di rumahnya di Kampung Bendahara, Johor Bahru, baru-baru ini,

 

BELAJAR DARI YOUTUBE


Ketepatan dan kekemasan.. Hassri Abd Kadir melakukan tugas mengukur sebelum memotong kayu pallet. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Selain daripada bakat yang dikurniakan tuhan, Hassri yang turut mempelajari seni pertukangan menerusi laman sosial Youtube dan rakan-rakannya, kini bertekad untuk menjadikan pertukangan kayu sebagai pekerjaan utama selain membuat kerja-kerja pendawaian elektrik, jika ada permintaan.

Beliau kini banyak menerima tempahan termasuk membuat set perabot untuk industri inap desa selain mendapat permintaan terutamanya membuat set almari, rak televisyen, meja, kerusi, rak kasut dan kabinet dapur daripada pelbagai pihak.

Untuk memastikan perabot yang dihasilkan seiring dengan peredaran zaman, beliau menimba kemahiran daripada Youtuber dalam dan luar negara.’

Bagi melancarkan kerja pertukangan selaras dengan peredaran masa, Hassri menggunakan peralatan yang dibeli sendiri seperti tukul, gergaji, pita pengukur, ketam dan mesin penggerudi.

Untuk kayu pallet bagi pembuatan perabot, beliau mendapat bekalan daripada rakannya yang tinggal di Senai dan kos memulakan perniagaan ini adalah hasil wang pampasan yang diperolehi ketika diberhentikan kerja.

"Saya memang tidak pergi mana-mana sekolah kemahiran sejak di bangku sekolah tetapi mungkin bakat arwah bapa saya 'turun'  pada anak-anaknya dan kemudiannya dengan teknologi masa kini saya belajar sikit-sikit jadi kemahiran itu makin bertambah.

"Satu produk untuk disiapkan bergantung kepada jenis. Kalau yang mudah seperti meja Jepun, santai dalam dua tiga hari sudah boleh disiapkan. Kebiasaannya saya akan mulakan kerja pada pukul 9.30 pagi sampailah pukul 6 petang, bergantung pada keadaan," katanya, sambil menambah, isterinya, Sharifah Abdullah banyak membantu dalam perniagaan tersebut, yang dijalankan di perkarangan rumah mereka.

 

HIKMAH KETENANGAN  DALAM 'KEGELAPAN'


Hassri Abd Kadir, Tukang Perabot. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Menurut Hassri, meskipun pendapatannya kini tidak tetap dan tidak banyak seperti waktu beliau bekerja dahulu, namun ketenangan yang dirasai kerana bekerja sendiri adalah sesuatu yang amat indah.

Beliau kini boleh menetapkan 'jadual kerjanya' sendiri mengikut jumlah dan kuantiti produk yang perlu di hasilkan mengikut permintaan pelanggan berbanding dahulu terikat dengan jadual padat di kilang.

"Memang jauhlah berbeza daripada pendapatan saya sebelum ini. Tetapi daripada segi tekanan kerja dan emosi, sekarang saya lagi gembira kerana tidak perlu terkejar-kejar. Lebih santai.

"Walau gaji tak besar, tetapi cukup dan memadai untuk saya dan keluarga. Alhamdulillah permintaan produk sentiasa ada dan tidak putus," katanya.

 

PROMOSI HASIL PRODUK DI INSTAGRAM


Hassri Abd Kadir dan anaknya Muhammad Hazim Hassri (kiri) bersama perabot dan sofa kayu pallet yang ditempah pelanggan siap untuk di hantar. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Ketika ini, Hassri  menggunakan laman sosial peribadinya "hsrr67" sebagai platform untuk mempromosikan produk buatannya.

Dalam masa, beliau juga merancang untuk mempamerkan hasil kerjanya menerusi laman sosial lain termasuk menghasilkan katalog pada masa hadapan.

Sambil melahirkan rasa bersyukur atas permintaan yang tidak putus-putus, beliau berkata,  'gerobok baju' merupakan yang paling banyak ditempah selain rumah untuk haiwan seperti hamster dan kucing.

"Dari bulan Jun 2020 sampai sekarang, lebih 50 jenis perabot pelbagai jenis telah saya hasilkan, pelbagai bentuk dan saiz berbeza mengikut permintaan pelanggan. Dalam sebulan, paling sikit dua permintaan saya terima tetapi Alhamdulillah pesanan baru sentiasa ada.

"Barangan yang ditempah biasanya saya minta pelanggan ambil gambar reka bentuk yang mereka mahukan serta bagi ukuran untuk lebih selamat. 

“Banyak yang minta dan mahukan hasil yang telah siap diletakkan dalam katalog agar senang untuk mereka lihat dan pilih. Saya tak berkesempatan lagi tetapi insya-Allah saya sedang mengusahakannya," kata beliau yang turut aktif melakukan kerja pendawaian jika ada permintaaan.

"Hasil pertukangan saya ini adalah mengikut permintaan pelanggan, jadi harga juga mengikut bentuk dan jenis yang diminta. Setakat ini harga kebiasaanya bermula serendah RM200 hinggalah RM1,800.

Mempunyai impian untuk memiliki bengkel pertukangan persendirian suatu hari nanti, Hassri berkata beliau akan terus mendalami ilmu pertukangan daripada pelbagai pihak untuk mempelbagaikan lagi jenis produk kayu pada masa akan datang.

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan