RENCANA

BAHAYA DAWAI KOKOT DALAM PEMBUNGKUSAN MAKANAN

14/01/2021 03:20 PM

Oleh Soon Li Wei

Dawai kokot mungkin biasa digunakan di pejabat dan nampak tidak berbahaya tetapi penggunaannya dalam pembungkusan termasuk makanan boleh mencetuskan bahaya jika ditelan atau dipijak.

Ini siri akhir daripada dua bahagian.

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Bayangkan ketika anda sedang enak mengunyah kuih kegemaran anda, gigi anda menggigit satu benda yang keras dan bila dikeluarkan dari mulut, anda dapati ianya dawai kokot!

Terus hilang selera untuk menghabiskan kuih yang walaupun adalah kegemaran anda. Betul tak?

Dawai kokot ini terlalu kecil untuk dikesan sekiranya termasuk dalam makanan dan sekiranya ditelan, mungkin buruk padahnya, terutamanya bagi kanak-kanak.

"Tertelan sesuatu bendasing adalah masalah besar terutamanya untuk kanak-kanak. Mujurlah dalam kebanyakan kes dawai kokot ini tidak menimbulkan komplikasi dan mudah keluar menerusi najis.

"Meskipun kes seperti ini jarang berlaku,  ia memerlukan pemeriksaan perubatan dan sebarang kelewatan boleh mencetuskan risiko serius ke atas kesihatan, “ demikian kata Dr Ho Hon Lian, Perunding Hidung, Tekak dan Leher (ENT), Pusat Perubatan Plaza Kajang kepada Bernama baru-baru ini.

Menurut beliau, bendasing kebiasaannya secara spontan melalui saluran gastrousus, tetapi objek yang sangat tajam mungkin menyebabkan luka sepanjang saluran gastrousus.

"Sebagai tambahan, bendasing yang tidak keluar mungkin menyebabkan kecalaran dalam saluran gastrousus, dan mengakibatkan pendarahan, “ katanya.

Dalam sesetengah kes, kata beliau, boleh menyebabkan pendarahan gusi, dan mungkin menyebabkan kecederaan kepada saluran makanan.

"Ada yang mungkin perlu berjumpa doktor gigi kerana kesakitan dan gusi bengkak (kerana kesan bendasing), dan mungkin juga menyebabkan jangkitan dan nanah berkumpul dalam gusi kanak-kanak, “ katanya.

 

LANGKAH BERJAGA-JAGA

Apa yang akan berlaku sekiranya seseorang itu tertelan dawai kokot ketika sedang makan?

"Sama ada ia satu kecemasan atau tidak bergantung di mana bendasing itu berada. Lazimnya dawai kokot tidak serta-merta menyebabkan masalah dan ianya kecil. 


Dr Ho Hon Lian, Perunding Hidung, Tekak dan Leher (ENT). --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

"Kebiasaannya sekiranya ia terletak di tonsil atau tekak, bergantung jika dawai kokot terbuka atau tertutup. Jika tertutup, biasanya tidak akan menyebabkan sebarang masalah dan ia akan terus jatuh ke dalam esofagus, perut dan dikeluarkan melalui najis, " Dr Ho said.   

Bagaimanapun, menelan dawai kokot yang terbuka satu atau kedua-dua hujungnya boleh menimbulkan masalah, kerana bahagian yang terbuka boleh memotong atau menyebabkan kecalaran di kawasan tekak meskipun tidak melekat di situ.

Atau mungkin terlekat dan memberi impak kepada tisu akibat infeksi atau nanah yang terkumpul.

"Dalam kes ini, seseorang itu mungkin berasa tekak sakit ketika menelan. Ia boleh menyebabkan batuk yang berterusan dan ada kalanya boleh berdarah.

"Jika orang yang batuk, ada darah dan dapat pastikan dawai kokot terlekat di tekak, dia perlu segera ke hospital dan mendapatkan rawatan kecemasan," katanya. 

Dr Ho berkata, ada beberapa kaedah yang boleh dilakukan di rumah untuk mengeluarkan bendasing, seperti pin, tanpa bantuan perubatan.

"Jika ada masalah, berhenti makan dan minum sedikit air. Tunggu sama ada minum air atau kadang kala batuk boleh mengeluarkan dawai kokot secara spontan dari tekak. Jika tak boleh juga, segera berjumpa doktor, " katanya.


-- Gambar hiasan. everydayhealth.com

Beliau berkata, sesetengah pesakit mungkin berasa seolah-olah dawai kokot itu terletak di tekak, tetapi hakikatnya dawai kokot itu sudah melalui esofagus. Rasa sakit di tekak mungkin akibat ada kecalaran atau luka dan biasanya boleh sembuh sendiri.

"Kebanyakan objek yang tidak menyebabkan gejala akan melalui saluran gastrousus dalam masa sehari dua tanpa menyebabkan bahaya.

"Bagaimanapun, sekiranya seseorang itu berasa kesakitan di dada, di tekak atau bermasalah untuk makan atau minum, segera dapatkan pemeriksaan perubatan.

Menurut beliau, doktor boleh mengeluarkan dawai kokot itu dengan segera untuk mencegah komplikasi.

“Ketika melakukan endoskopi, doktor menggunakan tiub kecil yang panjang dengan kamera di hujungnya untuk memeriksa tekak.

“Dalam kes yang jarang berlaku, doktor menggunakan x-ray untuk mengesan bendasing," katanya.

 

CARA BETUL PEMBUNGKUSAN

Pada tahun 2017, direktorat Food and Drugs Administration (FDA), Amerika Syarikat, mengarahkan semua pengendali perniagaan makanan menghentikan dengan segera penggunaan dawai kokot untuk pembungkusan makanan.

FDA menerima beberapa aduan daripada pengguna berhubung amalan penjaja makanan menggunakan dawai kokot untuk membungkus makanan dalam beg plastik dan kertas, bukan pita pelekat atau alat termal.

FDA bertanggungjawab melindungi kesihatan awam dengan menjamin, antaranya keselamatan ubat-ubatan untuk kegunaan manusia dan veterinar, produk biologikal serta peralatan perubatan. Ianya juga termasuk bekalan makanan, kosmetik serta produk yang mengeluarkan radiasi.

Bagaimanapun, di Malaysia, dawai kokot masih digunakan secara meluas dalam pembungkusan makanan dan tidak ada penguatkuasan untuk mengharamkan penggunaannya oleh penjaja dan peniaga.

Prof Dr Jinap Selamat, Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Makanan IFOSREC), Universiti Putra Malaysia (UPM), bagaimanapun berkata, langkah pengharaman tidak perlu memandangkan ada akta serta peraturan.

"Bagaimanapun, dawai kokot dikategorikan sebagai bendasing, dalam bentuk bahaya fizikal untuk pembungkusan makanan. Ia tertakluk kepada Seksyen 13A Akta Makanan 1983, Peraturan 37 (Juzuk Kebetulan) Peraturan-peraturan Makanan 1985, dan Peraturan 36 (Penyediaan, Pembungkusan dan Penghidangan Makanan) Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009. 

“Sebagai contoh, menurut Seksyen 13A Akta Makanan 1983, mana-mana orang yang menyediakan atau menjual apa-apa makanan yang mengandungi atau terdapat apa-apa jirim yang asing kepada sifat makanan itu, apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM30,000 atau dipenjarakan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya," beliau memberitahu Bernama menerusi emel, baru-baru ini.

Pensyarah Keselamatan Makanan, Fakulti Sains Makanan dan Teknologi, UPM berkata, makanan yang menggunakan pembungkusan plastik perlu dilaminat.

"Kami cadangkan gam yang boleh dimakan pilihan terbaik untuk melekatkan pembungkusan jenis lain seperti daun pisang.

"Bagaimanapun, ini akan melibatkan kos, serta penyelidikan mengenai penggunaannya mungkin perlu bagi menentukan keberkesanan gam berbanding pembungkusan jenis lain, " katanya. 

Dr Jinap berkata mana-mana pengilang makanan, restoran dan peniaga yang berhasrat mengadakan penyelidikan sendiri mengenai gam yang boleh dimakan, boleh merujuk kepada video Youtube 'Bioplastic: Water-resistant Casein Glue. Milk glue' diterbitkan oleh GEO sustainable berpangkalan di Amerika Syarikat. 

"Ini bagi memastikan keselamatan pengguna serta mengelakkan insiden yang tidak diingini  terutamanya dalam kalangan kanak-kanak," katanya. 

 

Diterjemah oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan