RENCANA

SELAMATKAH MAKANAN ANDA JIKA DIBUNGKUS GUNA DAWAI KOKOT? 

13/01/2021 10:42 PM

Oleh Soon Li Wei

Dawai kokot mungkin biasa digunakan di pejabat dan nampak tidak berbahaya tetapi penggunaannya dalam pembungkusan termasuk makanan boleh mencetuskan  bahaya jika ditelan atau dipijak.

Siri pertama daripada dua bahagian ini memberi fokus kepada bahaya dawai kokot kepada pengguna.

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Setiap kali berkunjung ke pasar malam atau gerai kuih, Tepung Pelita dan Pulut Panggang wajib buat M Fazil M Shahril, 45, untuk dibawa pulang ke rumah.

Ini kerana isteri dan anak tunggalnya yang berusia empat tahun adalah penggemar aneka jenis kuih-muih tradisional Melayu, terutamanya yang dibungkus dengan daun pisang.  

Namun sekarang, setiap kali memilih kuih-muih tradisional di gerai, beliau akan memastikan pembungkusannya tidak menggunakan dawai kokot. Trauma kejadian ngeri yang membabitkan anak lelakinya ketika bulan Ramadan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu masih menghantui dirinya.


Belilah makanan yang bungkusannya tidak diketik dengan dawai kokot untuk keselamatan. -- fotoBERNAMA HAK CIPTA TERPELIHARA

"Anak lelaki saya tertelan dawai kokot yang ada pada bungkusan pulut panggang yang saya beli di medan selera untuk juadah berbuka puasa. Sakit sampai menangis meraung-raung akibat dawai kokot itu terlekat pada tekaknya.

"Saya dan isteri membawanya ke klinik berdekatan namun dirujuk pula ke hospital kerajaan, berjam-jam doktor teliti dan akhirnya dawai kokot itu terkeluar setelah disapu sejenis ubat untuk anak saya muntah kerana sukar untuk mengeluarkannya dengan alat khas.

"Sejak daripada peristiwa itu, apa sahaja makanan yang dibungkus dengan dawai kokot, saya tidak akan membelinya. Jika ada pun, saya akan minta peniaga untuk membuka bungkusan kuih dan meletakkannya ke dalam bekas makanan," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Seorang lagi pengguna, Tiffany Lim, 26, pernah tertelan dawai kokot yang terlekat pada uncang teh ketika minum petang suatu ketika dahulu.

"Saya tidak sedar bahawa uncang teh itu diketik dengan dawai kokot. Apabila saya minum teh itu saya berasa tertelan sesuatu dan terus pergi berjumpa doktor supaya melakukan pemeriksaan x-ray.

"Saya terkejut apabila doktor memberitahu saya rupa-rupanya dawai kokot terlekat pada dinding tekak yang menyebabkan saya berasa tidak selesa.

"Sejak daripada itu, saya tidak berani lagi mengambil uncang teh yang diketik dengan dawai kokot. Saya memilih jenis serbuk ataupun beli sahaja yang siap dibancuh dari restoran," katanya. 

 

DAWAI KOKOT DIANGGAP SENANG


Ramai pengusaha kuih-muih tradisional tidak lagi menggunakan dawai kokot dalam pembungkusan makanan selepas menyedari akan kesan bahaya ke atas pengguna. -- Gambar hiasan

Pelaksanaan PKP menyaksikan ramai yang memilih untuk membawa balik makanan dari restoran atau menerusi perkhidmatan penghantaran 'e-hailing' bagi mengelakkan penularan wabak COVID-19 akibat berkumpul beramai-ramai di tempat awam.

Selain itu, sumbangan makanan kepada golongan memerlukan seperti penduduk Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), gelandangan dan rumah kebajikan dikhuatiri menggunakan dawai kokot dalam pembungkusan makanan. 

Kemungkinan permintaan tinggi terhadap tempahan makanan ketika PKP menyebabkan pengusaha restoran serta peniaga mengambil mudah terhadap pembungkusan makanan dengan hanya menggunakan dawai kokot bagi menjimatkan masa dan mengelakkan makanan daripada tertumpah keluar daripada bungkusan.

Tinjauan Bernama di sekitar restoran, medan selera, kedai runcit dan gerai sekitar Lembah Klang mendapati, penggunaan dawai kokot dalam pembungkusan makanan sudah menjadi amalan dan tiada kesedaran terhadap keselamatan makanan. 

Ramai peniaga dan penjaja menganggap penggunaan dawai kokot untuk membungkus makanan adalah menjimatkan masa, selain mudah dan boleh mengejar tempahan tepat pada masanya.

Pembantu restoran yang hanya mahu dikenali sebagai Victor berkata penggunaan dawai kokot sudah lama diamalkan dan setakat ini belum pernah lagi menerima sebarang aduan daripada pelanggannya bahawa dawai kokot itu mengundang bahaya.

"Dahulunya kami guna getah untuk ketatkan bungkusan makanan itu tetapi sekarang jika hanya beberapa biji kuih sahaja, kami akan meletakkannya ke dalam plastik dan melipatkannya dengan dawai kokot.

"Cuma apabila mahu membuka bungkusan ataupun plastik, kena berhati-hati, pastikan dawai kokot itu dibuang terlebih dahulu supaya tidak jatuh ke dalam makanan," katanya.

 

BAHAYA KEPADA KESIHATAN


Penggunaan dawai kokot dalam pembungkusan makanan dilihat mudah dan jimat masa, namun ia akan membawa kemudaratan terutamanya kepada kanak-kanak dan warga tua jika dawai kokot itu jatuh ke dalam makanan. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA/ Soon Li Wei

Terbaharu, kaedah pembungkusan makanan menggunaan dawai kokot yang terlekat pada pulut panggang kembali tular memandangkan ia didakwa mengundang bahaya kepada pengguna, terutamanya kepada kanak-kanak dan warga emas yang mempunyai penglihatan kabur.

Jika dulu pembungkus makanan menggunakan lilin untuk menutup atau pengapit bungkusan makanan yang menggunakan plastik, tetapi sekarang mereka menggunakan dawai kokot sebagai ganti. 

Kebanyakan makanan ringan yang menggunakan bungkusan plastik dan daun pisang adalah dibungkus dan diketatkan dengan dawai kokot. 

Walaupun perkara itu nampak mudah, namun ia boleh dikategorikan sebagai perkara yang merbahaya terutama sekali kepada kanak-kanak jika ibu bapa tidak peka dengan perkara tersebut.

Pada Oktober lalu, laman Facebook 'Public Health Malaysia' berkongsi satu insiden membabitkan seorang kanak-kanak perempuan dirujuk ke pakar pergigian kerana mengalami sakit dan bengkak gusi akibat tergigit dawai kokot. 

Selepas membuat pemeriksaan, keputusan menunjukkan gusi pesakit tersebut bengkak dan bernanah akibat terlekatnya dawai kokot itu.  

 

HARAMKAN PENGGUNAAN DAWAI KOKOT DALAM BUNGKUSAN


Mohd Yusof Abdul Rahman, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA). --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) hendaklah mengharamkan penggunaan dawai kokot dalam bungkusan makanan kerana ia bahaya kepada kesihatan. 

"Sama seperti penggunaan beg plastik dan bekas polisterin, walaupun dilihat penggunaan dawai kokot untuk membungkus makanan adalah sangat senang, tetapi jika tertelan ataupun terpijak akibat kecuaian juga mengundang kecederaan," katanya. 

Menurut beliau, kesedaran terhadap keselamatan makanan terutamanya dalam pembungkusan dilihat masih tidak diperluaskan kerana ada pihak yang menganggap mereka boleh mengambil langkah berhati-hati dan boleh dielakkan. 

"Namun, bagi golongan berisko seperti kanak-kanak dan warga emas, kadang-kadang mereka tidak sedar akan dawai kokot yang terlekat pada makanan itu kerana masalah penglihatan dan tidak berhati-hati,

"Sebab itulah banyak kes tertelan bendasing ketika makan yang melibatkan golongan kanak-kanak dan warga emas," katanya. 

Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) pernah mengharamkan penggunaan dawai kokot pada bungkusan makanan dari Bazar Ramadan pada tahun 2018, selain penggunaan plastik dan polisterin. 

Peniaga dan penjaja yang didapati gagal mematuhi peraturan itu boleh dikenakan denda maksimum RM250 oleh MPK. 

Mohd Yusof berkata, mengambil contoh PBT seperti MPK, peniaga dan penjaja boleh menggunakan alternatif lain bagi menggantikan penggunaan dawai kokot untuk pembungkusan makanan mereka. 

Beliau menegaskan, penguatkuasaan terhadap penggunaan dawai kokot ini sepatutnya dibuat sejak dahulu lagi. 

"Jangan pulak sudah terhantuk baru tengadah. Kita tidak mahu apabila sesuatu yang buruk berlaku barulah bertindak, sepatutnya perkara ini perlu dititikberatkan oleh PBT dan Jabatan Kesihatan, buat pemeriksaan dan ambil tindakan.

"Hal ini kerana ia melibatkan keselamatan pengguna, jika serius ia mungkin boleh mengancam nyawa," katanya. 

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan