BERITA TERGEMPAR   Former inspector general of police (IGP) Tun Mohammed Hanif Omar died at 2.15 am today - Son | Bekas Ketua Polis Negara (KPN) Tun Mohammed Hanif Omar meninggal dunia pada 2.15 pagi tadi - Anak | 
RENCANA

PERJANJIAN MARRAKESH: TINGKAT AKSES MAKLUMAT OKU PENGLIHATAN

04/01/2021 03:59 PM

Oleh Erda Khursyiah Basir

Artikel ini sempena sambutan Hari Braille Sedunia yang disambut pada 4 Januari setiap tahun. 

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Malaysia perlu bertindak segera menandatangani Perjanjian Marrakesh atau ‘Marrakesh Treaty’ bagi memberi kemudahan akses kepada pelbagai bahan bacaan untuk Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan sekali gus memperkasa golongan itu. 

Ketika negara seperti Kemboja, Indonesia, Thailand, Singapura dan 67 buah negara lain telah menjadi ahli dengan menandatangani perjanjian berkenaan, Malaysia sehingga kini masih belum ada ‘kata putus’ ke arah merealisasikan perkara itu.

Negara-negara yang menandatangani Perjanjian Marrakesh akan menikmati keistimewaan akses maklumat bagi karya seperti braille, audio, large print dan format digital tanpa sempadan serta mengurangkan jurang akses pendidikan untuk OKU.

Ia antara lain turut memperbanyak jumlah koleksi buku di dunia bagi kegunaan OKU penglihatan, menerbitkan bahan bacaan boleh akses tanpa melanggar undang-undang hak cipta serta mewujudkan kerjasama strategik antara empunya, penerbit, pengguna dan pengendali perkhidmatan karya hak cipta.

 

PERKONGSIAN RENTAS SEMPADAN


Dr Ahmad Shamsuri Muhamad, Pensyarah Kanan, Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya / Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Modal Insan, Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA/ Erda Khursyiah Basir

Pensyarah Kanan, Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Modal Insan, Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia Dr Ahmad Shamsuri Muhamad berkata sudah tiba masanya Malaysia mengambil langkah kehadapan dalam menangani isu ‘kehausan’ maklumat OKU penglihatan di negara ini. 

Kesatuan Orang Buta Dunia (WBU) pada 2013 menyatakan berjuta-juta buku diterbitkan di seluruh dunia setiap tahun namun hanya antara satu hingga tujuh peratus daripada buku-buku itu disediakan untuk 285 juta orang yang buta sepenuhnya, penglihatan terhad dan mereka yang mempunyai masalah membaca tulisan bercetak.

“Isu Perjanjian Marrakesh adalah yang paling relevan sempena sambutan Hari Braille Sedunia 2021 bahkan WBU dalam laman sesawangnya https://worldblindunion.org/ turut menggesa semua negara untuk meratifikasi dan melaksanakan Perjanjian Marrakesh yang memungkinkan pengedaran braille dan bahan bacaan lain yang dapat diakses tanpa ancaman pelanggaran hak cipta.

“Ini adalah kaedah terbaik untuk memastikan bahawa braille tetap relevan seiring teknologi baharu. Ia juga amat penting memandangkan di negara-negara yang kurang maju, pengeluaran braille memerlukan kos yang tinggi sehingga membataskan ketersediaan bahan bacaan untuk OKU penglihatan,” katanya kepada Bernama merujuk kepada perkongsian di laman sesawang berkenaan. 

WBU dan Pertubuhan Harta Intelek Sedunia (WIPO) telah menandatangani Perjanjian Marrakesh pada 27 Jun 2013 dan perjanjian ini telah berkuatkuasa pada 30 September 2016.

Perjanjian ini berteraskan prinsip hak asasi manusia yang dianjurkan dalam Deklarasi Universal Hak Asasi Manusia dan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai hak-hak OKU.

Ahmad Shamsuri menambah, badan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili OKU penglihatan telah terlibat dalam sesi dialog bagi membincangkan persediaan kemasukan Malaysia sebagai ahli di dalam Perjanjian Marrakesh pada 12 April 2018 anjuran Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

“Rentetan daripada itu, MyiPO bersama WIPO dan Persekutuan Antarabangsa dan Persatuan Institusi Perpustakaan (IFLA) telah menganjurkan ‘Seminar Kebangsaan Trity Marrakesh’ di Malaysia pada 28 Ogos 2018 untuk memberi penerangan kepada pihak berkepentingan bagi memastikan penyertaan Malaysia ke dalam perjanjian itu dapat dilaksanakan dalam jangka masa yang ditetapkan.

“Meskipun beberapa langkah telah dipersetujui hasil daripada seminar itu namun sehingga hari ini masih tiada perkembangan positif berhubung pelaksanaannya,” katanya. 

 

PENGALAMAN SENDIRI


Louis Braille, Pengasas sistem tulisan berasaskan sentuhan. dcmp.org

Mengambil contoh kekangan beliau sendiri yang merupakan OKU penglihatan buta sepenuhnya, Ahmad Shamsuri berkata bahan bacaan dalam bentuk braille merupakan ‘aset’ penting beliau sehingga berjaya ke peringkat seperti hari ini. 

“Bahan bacaan dalam bentuk tulisan braille sememangnya banyak membantu saya sejak kecil sehingga ke peringkat bergelar Doktor Falsafah. Melalui pengalaman sendiri tidak dinafikan apabila terdapat kekangan mendapatkan bahan bacaan, ia memang menjadi halangan untuk mengakses maklumat dan ilmu pengetahuan seperti orang lain.

“Sama juga apabila saya mengajar penuntut yang normal. Mereka menggunakan buku teks dalam bentuk cetakan dan saya terlebih dahulu perlu ‘khatam’ isi kandungan buku itu. Apa yang berbeza saya perlu mendapatkan buku teks itu dalam bentuk tulisan braille bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran dapat berjalan lancar. 

“Dalam hal ini jika kita menandatangani Perjanjian Marrakesh, sekiranya buku tulisan braille yang diperlukan ada di mana-mana negara sebagai contoh di Amerika Syarikat, kita boleh mengimport buku berkenaan bagi tujuan pinjaman,” jelasnya. 

Menjelaskan perlu adanya pindaaan terhadap beberapa perkara dalam Akta Hak Cipta 1987 bagi merealiasikan hasrat menyertai Perjanjian Marrakesh, Ahmad Shamsuri berkata ia terutamanya berkaitan bahan bacaan yang diimport dan dieksport serta yang mahu dipindahkan ke dalam bentuk tulisan braille. 

Katanya tiada masalah bagi memindahkan bahan bacaan domestik ke dalam bentuk tulisan braille namun bagi bahan bacaan yang diimport dan juga yang dieksport ke negara luar, akta itu mungkin perlu diperhalusi bagi tujuan penambahbaikan serta memberi manfaat kepada OKU penglihatan di negara ini. 

 

LAMAN SESAWANG MESRA OKU


Silatul Rahim Dahman, Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Orang Buta Malaysia. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA/ Erda Khursyiah Basir

Sementara itu, Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Orang Buta Malaysia Silatul Rahim Dahman berkata kewujudan pelbagai bahan bacaan dalam bentuk braille banyak membantu komuniti OKU penglihatan dalam bidang pendidikan, pekerjaan dan sosio-ekonomi.

Berharap agar lebih banyak agensi khususnya penyedia perkhidmatan tidak memandang remeh akan perkara itu, beliau berkata usaha perlu dipergiat bagi menyediakan maklumat yang lebih mesra OKU penglihatan dalam format abjad braille atau format lain yang boleh diakses golongan itu.

“Ini dapat membantu meringankan bebanan OKU penglihatan yang dianggarkan seramai 50 ribu orang untuk mengakses kepada maklumat lebih-lebih lagi ketika negara berhadapan krisis pandemik COVID-19 dan hampir majoriti maklumat beralih kepada digital atau secara dalam talian. 

 “Kami juga berharap agar agensi-agensi penyedia perkhidmatan dapat membangunkan laman sesawang yang mesra OKU penglihatan berlandaskan garis panduan yang telah ditetapkan oleh World Web Consortium sebagai contoh menyediakan penerangan dalam bentuk teks dan audio bagi semua imej dan infografik kerana perisian pembaca skrin tidak dapat membaca imej dan infografik secara sepenuhnya.

“Di samping itu, perkhidmatan dalam talian seperti permohonan bantuan, kemasukan ke pusat pengajian, transaksi kewangan, aktiviti perniagaan serta segala bentuk permohonan dan semakan dalam talian perlu mengambil kira kekangan yang dihadapi oleh pengguna yang tidak dapat melihat dan tidak dapat mendengar,” katanya.

Beliau pada masa sama mencadangkan agar satu sistem sokongan alternatif dibangunkan bagi semua perkhidmatan dalam talian yang masih belum mesra OKU. 

 “Antaranya termasuklah menyediakan pusat panggilan telefon yang membolehkan warga OKU penglihatan berhubung terus dengan pusat ini untuk mendapatkan bantuan perkhidmatan bagi isu yang sewajarnya,” katanya. 

 

RUANGAN SISI

HARI BRAILLE SEDUNIA


Papan kekunci khas komputer yang membantu warga OKU penglihatan. omnicommander.com

Braille merupakan sistem tulisan berasaskan sentuhan yang digunakan secara meluas oleh masyarakat dunia khususnya bagi OKU penglihatan.

Ianya telah dicipta oleh seorang lelaki Perancis bernama Louis Braille, yang lahir pada 4 Januari 1809 dan hilang penglihatan disebabkan kemalangan semasa kecil.

Sistem tulisan braille terdiri daripada sel yang mempunyai enam titik timbul yang mana gabungan-antara titik-titik berkenaan akan menghasilkan abjad, nombor, tanda baca dan simbol-simbol bagi bidang tertentu seperti matematik dan muzik.

PBB telah mengisytiharkan bahawa 4 Januari setiap tahun adalah Hari Braille Sedunia bersempena tarikh kelahiran Louis Braille.

 

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan