RENCANA

DPN 2020-2030: KEMBALI BANGKIT, KUKUH INDUSTRI PELANCONGAN NEGARA

29/12/2020 12:57 PM

Oleh Muhammad Basir Roslan

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Tiada siapa menyangka ‘serangan’ pandemik COVID-19 yang bermula sekitar Disember 2019 turut membawa kepada ‘kelumpuhan’ industri pelancongan kebanyakan negara termasuklah Malaysia.

Industri pelancongan yang merupakan antara penyumbang penting kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia, merekodkan sumbangan 15.9 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dengan nilai RM240.2 bilion pada 2019.

Pada tahun lepas juga, perbelanjaan pelancong asing turut meningkat sebanyak 2.4 peratus kepada RM86.1 billion dengan ketibaan pelancong sebanyak 26.1 juta orang, manakala perbelanjaan pelancongan domestik telah menyumbang sebanyak RM103.2 billion, iaitu peningkatan sebanyak 11.5 peratus.


Keadaan lengang dapat dilihat di kawasan yang kebiasaannya menjadi tumpuan para pelancong samada tempatan atau luar negara di Pasar Seni ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Krisis COVID-19 mengakibatkan kebanyakan negara termasuk Malaysia sendiri terpaksa mengambil langkah menutup pintu sempadan negara bagi tujuan mengekang penularan pandemik.

Dengan anggaran jumlah kerugian industri pelancongan negara pada tahun ini adalah melebihi RM100 bilion, situasi ini pastinya tempoh paling sukar dan mencabar terutama kepada pemain industri yang terlibat.

Pertubuhan Pelancongan Dunia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNWTO) meramalkan bahawa pemulihan sektor pelancongan global dijangka akan mengambil masa selama dua hingga empat tahun.

 

DPN PULIH INDUSTRI

Langkah-langkah proaktif perlu dilaksanakan segera apabila kerajaan melancarkan Dasar Pelancongan Negara (DPN) 2020-2030 pada 23 Disember lepas yang bermatlamat menjamin kelangsungan industri pelancongan negara serta kembali menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan terpilih di peringkat global.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika berucap melancarkan dasar berkenaan secara dalam talian berkata, matlamat itu akan dicapai melalui pendekatan utama yang merangkumi pengukuhan daya saing, pembangunan sektor pelancongan secara lestari dan inklusif  serta kesediaan mengharungi bencana pada masa akan datang.


Sherene Azli, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC). --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Menyifatkan DPN sebagai inisiatif terbaik bagi memulihkan semula industri pelancongan negara secara dinamik dan strategik, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC) Sherene Azli berkata masa depan industri pelancongan serta pelancongan kesihatan negara diharap akan lebih terjamin selepas ini.

Beliau berkata Malaysia akan terus menjadi destinasi pelancongan utama di peringkat global seiring usaha MHTC memperkasakan imej Malaysia sebagai World’s Healthcare Marvel dan mencapai unjuran pelancongan kesihatan sekurangnya sebanyak RM1 bilion pada tahun 2022.

“MHTC akan meneruskan kerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bagi memastikan Malaysia sentiasa menjadi pilihan bagi destinasi pelancongan kesihatan yang selamat dan didukung prosedur operasi standard (SOP) demi menjamin keselamatan dan kesejahteraan pelancong yang datang,” katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.

Berpendapat cadangan kerajaan mewujudkan zon pelaburan untuk projek pelancongan dengan menerapkan nilai penjagaan kesihatan mampu meningkatkan ruang menjana pendapatan yang progresif kepada negara, beliau berkata destinasi pelancongan yang merangkumi aspek rawatan kesihatan dan kesejahteraan berpotensi menjadi sebahagian daripada destinasi eko-pelancongan secara holistik.

“Ini termasuklah penjagaan warga tua sebagai suatu perkhidmatan yang berbeza yang belum berkembang luas. Perkhidmatan ini sesuai untuk dijadikan sebagai segmen destinasi pelancongan jangka pendek atau panjang kerana lengkap dengan perkhidmatan dan kemudahan perubatan,” jelasnya.

 

PELAN TIGA INISIATIF


Pusat Perkhidmatan Pesakit Antarabangsa (IPC) Pantai Hospital Kuala Lumpur (PHKL) ditubuhkan khusus untuk memenuhi permintaan pelancong kesihatan di hospital berkenaan. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

MHTC sentiasa mempelbagaikan usaha bagi merancakkan kembali sektor pelancongan kesihatan ketika fasa COVID-19 antaranya dengan mengadakan sesi perbincangan berterusan dengan pihak kerajaan, pemimpin industri dari sektor awam dan swasta serta ahli-ahli hospital MHTC untuk merancang aktiviti dalam menghadapi cabaran semasa.

“Kaedah yang telah dikenalpasti ialah dengan meningkatkan penggunaan perkhidmatan digital untuk menaik taraf cara penyampaian perkhidmatan penjagaan kesihatan. Potensi platform digital perlu dimaksimakan menerusi kerjasama erat dengan ahli-ahli hospital MHTC untuk melaksanakan perkhidmatan seperti telehealth yang membolehkan komunikasi secara terus dengan pesakit untuk kesinambungan rawatan,” katanya.

Berkongsi perancangan MHTC untuk tempoh lima tahun akan datang, Sherene berkata pihaknya akan melaksanakan sebuah pelan dengan tiga inisiatif yang memberi fokus membangunkan Malaysia sebagai World’s Healthcare Marvel dan membina sebuah platform kukuh untuk menganjurkan kempen Tahun Pelancongan Kesihatan Malaysia apabila tiba masa yang sesuai.

“MHTC turut bercadang mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai Hab Kesuburan dan Kardiologi Asia serta Pusat Kecemerlangan Onkologi di samping memajukan hospital-hospital terpilih di bawah program Flagship Medical Tourism Hospital yang akan menjadi mercu tanda antarabangsa untuk perkhidmatan penjagaan kesihatan berkualiti bertaraf dunia,” katanya.

 

WUJUD STRATEGI BARU


Datuk Tan Kok Liang, Presiden Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA). -- Gambar ihsan MATTA

Presiden Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Datuk Tan Kok Liang pula melihat wujudnya keperluan untuk mencipta strategi pelancongan baharu bagi memenuhi permintaan pelancongan berikutan tuntutan keadaan semasa.

Beberapa faktor yang perlu dipertimbangkan ialah isu keselamatan dan kesihatan dalam mengenalpasti situasi semasa secara menyeluruh selain ketidakpastian pembukaan semula sempadan negara dalam tempoh terdekat.

 “Antara lain yang perlu diberi perhatian untuk tempoh akan datang ialah strategi pemasaran destinasi pelancongan, penjenamaan destinasi, digitalisasi, pengembangan produk dan infrastruktur, corak dan pilihan perjalanan, jaminan kesihatan dan keselamatan, pakej percutian dan insentif permintaan perjalanan yang tertangguh bagi dalam dan luar negara,” katanya.

Tambahnya, bagi digitalisasi, kerajaan diharap dapat mempertimbangkan penglibatan pelbagai pihak yang berkepentingan untuk tujuan pengembangan aset dan produk pelancongan.

“Untuk segmen domestik, kami mempunyai kemampuan sewajarnya namun berharap agar kerajaan akan meneliti dan mendorong penggunaan platform tempatan dan memberi lebih banyak peluang berbanding bergantung pada platform asing. Kami sudah dilengkapi dengan instrumen yang tepat untuk memulakan strategi dengan cara tersendiri.

“MATTA sebelum ini telah memperkenalkan inisiatif pameran MATTA Fair secara dalam talian bagi tujuan memenuhi kehendak pelancong Malaysia yang mencari percutian menarik seperti pengembaraan unik atau percutian keluarga melalui lebih 1,000 pakej percutian dan pelancongan menarik yang ditawarkan,” katanya. 

Beliau turut mencadangkan peruntukan Belanjawan 2021 bagi industri pelancongan digunakan untuk komponen penting industri itu sebagai contoh meningkatkan kualiti hubungan udara, mempromosi Malaysia sebagai destinasi pelancongan selamat, memperbaiki sistem kesihatan dan polisi insurans dalam negara serta menyediakan insentif bagi pelabur asing untuk membantu mempromosi Malaysia.

 

PROMOSI KAMPUNG BUDAYA, BANGUNAN IKONIK


Uzaidi Udanis, Presiden Majlis Pelancongan Malaysia (MTC). --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Sementara itu, Presiden Majlis Pelancongan Malaysia (MTC) Uzaidi Udanis berharap kerjasama antara pemain industri pelancongan dengan pengusaha produk Kampung Budaya di seluruh negara terus diperkukuh bagi mempromosi, meningkatkan keyakinan pelancong terhadap produk tempatan sekaligus memantapkan industri pelancongan domestik.

Katanya, menerusi Belanjawan 2021, peruntukan sebanyak RM20 juta telah diberikan kepada MOTAC bagi menambah baik infrastruktur dan mempergiat aktiviti promosi produk Kampung Budaya terutama di Terengganu, Melaka, Sarawak dan Negeri Sembilan.


Perkampungan Adat Melayu Seri Banian menawarkan suasana kehidupan Melayu lama kepada para pengunjung yang ingin merasai pengalaman berada pada zaman silam di Kampung Bendang Bukit, Pendang. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

“Kerjasama pelbagai pihak dapat membantu pengusaha produk Kampung Budaya supaya lebih fokus menyediakan pelbagai program pelancongan menarik... Jika kita pernah pergi ke Bali, Indonesia, kita dapat lihat betapa berbangganya penduduk tempatan dan pemain industri di sana mempromosi adat kebudayaan mereka contohnya Tarian Pandet, namun kita di sini agak kurang mempromosi adat tradisi kita sendiri.

“Usaha mempromosi bangunan bersejarah dan ikonik seperti Carcosa Seri Negara, Bangunan Sultan Abdul Samad dan pelbagai lagi perlu digerakkan biarpun ketika ini jutaan bakal pelancong masih lagi ‘terkandas’ namun berhajat mengunjungi Malaysia,” katanya.

 

Disunting oleh Erda Khursyiah Basir

BERNAMA

 

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan