RENCANA

ALAM SEKITAR NADI PERJUANGAN PENDUDUK KUALA LANGAT

22/12/2020 10:52 AM

Oleh Kurniawati Kamarudin & Noor Shamsiah Mohamed

(Aktiviti industri dan perkilangan yang semakin drastik di Kuala Langat menjadikannya antara daerah di Selangor yang sering dihimpit dengan isu pencemaran alam sekitar.

Rencana tiga bahagian ini mendalami isu pencemaran di daerah Kuala Langat serta tindakan yang telah diambil pihak berkuasa.

Bahagian kedua ini mengupas mengenai kepesatan aktiviti industri dan pencemaran alam sekitar di Kuala Langat.)

KUALA LANGAT (Bernama) -- Pendedahan demi pendedahan isu alam sekitar di Kuala Langat yang dibongkar penduduk menunjukkan kesedaran dan keprihatinan masyarakat setempat semakin meningkat.

Ini disebabkan rasa bimbang terhadap kualiti persekitaran dan kesejahteraan hidup mereka yang semakin merosot kesan daripada sumber alam dan sumber air yang semakin terjejas dan terancam.

Sungai Rambai di Jenjarom yang mengalir ke lembangan Sungai Langat, contohnya, kini diklasifikasikan sebagai sungai paling tercemar daripada 672 sungai yang diawasi Jabatan Alam Sekitar (JAS) .

Keadaan ini antara lain berpunca daripada kadar Keperluan Oksigen Biokimia (BOD) yang tinggi dan  dikaitkan daripada pemprosesan sisa kumbahan yang tidak berkesan dan pelepasan tidak terkawal influen daripada industri pengilangan dan berasaskan pertanian.

Kepesatan aktiviti industri dan kilang sejak lima tahun kebelakangan ini yang menyumbang kepada pencemaran alam sekitar telah membawa kepada penubuhan Persatuan Tindakan Alam Sekitar Kuala Langat (PTASKL) sejak 2018.

 

MUDAH SANGAT BINA KILANG HARAM DI KUALA LANGAT

Pengerusinya Tan Ching Hin, 64, membawa Bernama meninjau sekitar Jenjarom dan Teluk Panglima Garang baru-baru ini untuk melihat sendiri kepesatan industri di Kuala Langat terutama bangunan yang dibina secara haram untuk dijadikan kilang.

Kilang yang beroperasi tanpa lesen ini mudah dikenalpasti kerana biasanya tidak membina infrastruktur yang lengkap seperti jalan raya selain menutup kawasan kilang menggunakan penghadang daripada zink yang tinggi bagi mengaburi pihak berkuasa dan orang ramai.

Kebanyakan kilang dibina di atas tanah sewa yang masih tidak ditukar syarat daripada tanah pertanian kepada industri dan ada juga yang dibina di atas tanah yang salah zon, katanya.

"Tidak susah hendak bina bangunan kilang di sini…. sebulan sudah siap dah boleh operasi. Kita risau kalau kilang-kilang ini akan sebabkan pencemaran dan ganggu kehidupan penduduk di sini," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Terdapat kira-kira 187 kilang yang masih belum melakukan pemutihan bagi mendapatkan kelulusan lesen operasi.

Maklumat itu diperoleh daripada Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) yang telah melakukan tinjauan pada bulan September lepas meliputi kawasan di Teluk Panglima Garang, Batu 13 Sungai Rambai,  Jenjarom,  Batu 9 dan Batu 10 Teluk Mengkuang, Batu 11, Banting, Jalan Pulau Carey  Lama dan Jalan Klang-Banting.

“Kita harap kilang yang masih beroperasi selepas tamat tempoh pemutihan akan diambil tindakan tegas oleh pihak MPKL dan kerajaan negeri.

"Pemilik tanah juga perlu mengambil tanggungjawab kerana mereka yang membenarkan kilang haram dibina di atas tanah mereka," katanya.

Kerajaan Negeri Selangor memberi tempoh sehingga akhir tahun ini kepada pemilik tanah dan kilang yang beroperasi tanpa kebenaran untuk membuat proses pemutihan.

 

PENUBUHAN PTASKL

Tan berkata, penubuhan PTASKL dua tahun lepas juga disebabkan kilang haram yang telah memberi kesan kepada alam sekitar hingga menjejaskan kesihatan orang ramai.

Ia bermula pada Febuari  2018 apabila penduduk di Kampung Baru Jenjarom  mengadu merasa tidak selesa kerana terpaksa menghidu bau yang busuk hampir setiap hari.

Beliau, yang juga Ketua Kampung Jenjarom ketika itu, telah mengadakan mesyuarat untuk mencari jalan bagi mengatasi isu berkenaan dengan menghantar surat rasmi kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan  MPKL.

“Selepas penduduk membuat siasatan, punca bau itu datangnya dari sebuah kilang memproses sisa plastik yang diimport dari luar negara yang beroperasi secara haram.

“Namun apabila kita hantar aduan awal kepada MPKL, langsung tidak dilayan dan tiada tindakan yang diambil ketika itu,” katanya.

Pembongkaran pihak media telah membantu penduduk kampung apabila pihak berkuasa akhirnya mengambil tindakan ke atas kilang haram itu hingga operasi mereka yang mencemarkan alam sekitar dihentikan serta merta.

Kerajaan selepas itu menutup 33 kilang haram sisa plastik di Jenjarom dan Malaysia hanya membenarkan import sisa plastik bersih yang  boleh dikitar semula menjadi resin.

Daripada kejayaan pendedahan itu, beliau dan beberapa penduduk kampung mencadangkan penubuhan sebuah persatuan yang khusus memperjuangkan isu-isu alam sekitar di Kuala Langat.

Pada 17 Julai 2018, PTASKL ditubuhkan dan terus bekerja membongkar isu-isu alam sekitar yang menganggu kesejahteraan penduduk di Kuala Langat, katanya.

“Sebaik ditubuhkan kami terus bekerja mengesan kilang haram dan kilang yang  melanggar Akta Alam Sekitar dan ketika itu kami menghantar aduan kira-kira 12 buah kilang yang menyalahi undang-undang  kepada Jabatan Alam Sekitar .

“Kami ketika itu seramai tujuh orang dalam PTASKL mula belajar sedikit demi sedikit mengenai  peraturan dan undang-undang yang ada kaitan dengan alam sekitar dan bidang kuasa yang berkaitan dengannya,” katanya.

 

KEJAYAAN MEMBONGKAR KES PENCEMARAN

Satu daripada kes besar yang berjaya dibongkar pada tahun April 2019 melibatkan operasi kilang bateri di Jenjarom yang telah menyebabkan pencemaran asid dan plumbum.

Kilang yang beroperasi menggunakan lesen sementara yang dikeluarkan Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) ketika itu meresahkan penduduk kerana kesannya yang bukan sahaja kepada alam sekitar malah  boleh menjejaskan kesihatan.

Walaupun pada peringkat awal aduan tidak mendapat maklum balas namun ia sedikitpun tidak mematahkan semangat sehingga kes itu akhirnya diambil tindakan.

“Antara langkah yang diambil ketika itu dengan membuat ujian makmal ke atas contoh darah termasuk pekerja kilang dan penduduk sekitar bagi menentukan punca pencemaran asid dan plumbum.

“Memang terbukti terdapat kesan plumpum dan akhirnya kilang itu ditutup dan dikenakan tindakan undang-undang,” kata Tan.

Namun kebelakangan ini penduduk Jenjarom kembali resah apabila kilang bateri yang terletak di Jalan Sukepi, yang diarahkan tutup dilihat kembali aktif menjalankan perniagaan mereka.


Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sijangkang. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Tidak mahu pisang berbuah dua kali, surat bantahan yang diwakili dan ditandatangani oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sijangkang, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi, pengerusi taman-taman perumahan dan pemimpin kampung telah dihantar  kepada Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Langat Datuk Amirul Azizan, Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr Xavier Jayakumar, Exco Alam Sekitar Selangor, Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian meminta pemantauan dilakukan ke atas kilang berkenaan.

“Penduduk tidak mahu sebarang perniagaan perkilangan industri berat di Jenjarom dan apa-apa aktiviti perkilangan atau pembuatan berasaskan industri berat yang bahaya kepada penduduk dan alam sekitar di sini,” katanya.

 

TERUS MEMBUAT ADUAN

Tan, anak jati Jenjarom berkata, sejak dua tahun penubuhan PTASKL banyak aduan dibawa ke Jabatan Alam Sekitar Selangor dan MPKL untuk tindakan.

 Antara yang terbaru, pencemaran bau yang dikesan dari sebuah kilang penyembur cat yang beroperasi tanpa lesen di Batu 15, Jenjarom hingga menimbulkan ketidakselesaan penduduk sekitar.

Beliau berkata, kilang yang telah beroperasi kira-kira 10 tahun itu mengeluarkan bau yang tengik terutama apabila mereka melakukan semburan cat dan membakar sisa pepejal.

Persatuan telah menghantar surat aduan kepada JAS Selangor pada 21 Okt lepas untuk siasatan dan tindakan lanjut.

“JAS Selangor telah menjalankan siasatan dan mendapati aduan yang kami (persatuan) hantar adalah berasas dan tindakan undang-undang akan diambil ke atas kilang berkenaan.

“Kita mengharapkan MPKL juga mengambil langkah yang tegas untuk memastikan kilang ini beroperasi secara sah dan mengikut undang-undang,” katanya dan menambah PTASKL kini mempunyai keanggotaan seramai 80 orang.

Beliau berkata, ketidaksepaduan agensi dalam menguatkuasakan undang-undang menyebabkan usaha menangani isu alam sekitar di Kuala Langat menjadi sukar.

Untuk setiap aduan yang diterima, persatuan akan ke lokasi bagi menjalankan siasatan termasuk mengambil Google location dan gambar sebagai bukti.

Langkah seterusnya mengetahui status tanah pada kilang itu dengan Pejabat Tanah Kuala Langat.

“Seperti kilang bateri sebelum ini, untuk memastikan kilang itu tidak dapat lagi beroperasi, siasatan lengkap perlu dilakukan termasuk mengetahui status tanah itu industri berat atau sederhana.

“Kegunaan dalam geran dan jenis zon industri kilang bateri sebelum ini adalah industri sederhana dan mereka tidak boleh melakukan peleburan plumbum dan ini membawa kejayaan pembongkaran yang dilakukan,” katanya.


Pembakaran sisa (E-waste) secara terbuka di Kuala Langat yang menyebabkan pencemaran udara dan bau. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

PERLU PENGUATKUASAAN BERSEPADU

Sementara itu, Adun Sijangkang  Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berpendapat kelemahan penguatkuasaan antara punca sukarnya untuk mengatasi isu alam sekitar di Kuala Langat.

Penguatkuasaan secara bersepadu antara agensi dan jabatan dalam menguatkuasakan peraturan dan undang-undang perlu diperkemaskan lagi untuk memastikan kilang dan indusrtri yang tidak mematuhi syarat diambil tindakan, katanya.

Beliau sendiri pernah melihat bagaimana sebuah kilang di kawasannya yang diarah tutup kerana beropersi tanpa kebenaran masih lagi menjalankan aktiviti mereka seperti biasa.

Ada juga kilang yang dipercayai beroperasi secara tidak sah cuba menyembunyikan aktiviti mereka dengan membina penghadang zink tinggi hingga menimbulkan kecurigaan.

"Saya pernah buat aduan kepada MPKL kerana selepas dua minggu kilang itu diarah tutup atas pelbagai kesalahan, kita nampak sendiri masih beroperasi waktu malam dengan kontena keluar masuk ke kawasan kilang.

"Bila keadaan begini berlaku, penduduk mesti tertanya-tanya adakah betul pihak berkuasa mengambil tindakan atau terdapat kelemahan integriti di situ," katanya.

Jelasnya, apabila arahan menghentikan operasi diambil pihak berkuasa tempatan (PBT) tindakan  serta merta memotong bekalan air oleh Air Selangor dan elektrik oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) perlu dilakukan bagi memastikan kilang tidak dapat lagi beroperasi.

 

Disunting oleh Cik Rashidah Abd Ghani

BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan