RENCANA

STIGMA TERHADAP PENGHIDAP HIV/AIDS MASIH MENEBAL DALAM KALANGAN MASYARAKAT?

30/11/2020 05:45 PM

Oleh Muhammad Basir Roslan

Artikel ini bersempena Sambutan Hari AIDS Sedunia yang disambut setiap 1 Dis.

KUALA LUMPUR (Bernama) – “Saat suami meninggal dahulu (11 Mei 2020), dunia saya terasa begitu gelap gelita kerana kami berdua adalah pesakit hidup dengan HIV (PLHIV) dan sama-sama memahami situasi kehidupan kami, namun saya perlu terus kuat untuk anak.”

Itulah luahan hati Kak Yati (bukan nama sebenar) apabila menceritakan kisah hidupnya sebagai  seorang PLHIV, dan penulis dapat melihat betapa beliau menahan air matanya saat berkongsi pahit maung kehidupannya.

Bagaimanapun, wanita berumur 44 tahun itu tetap tabah menghadapi ujian hidup, dan berkata biarpun suami sudah tiada di sisi, beliau bersedia menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga mencari rezeki untuk ketiga-tiga anaknya.

Ketika diminta bercerita bagaimana beliau didiagnosa virus HIV, Kak Yati berkata beliau mengetahuinya pada 2008, dan pada ketika itu beliau masih menyusukan anak ketiganya yang berumur satu tahun setengah.

“Saya dan suami disahkan positif HIV ketika kami menjalani ujian saringan di hospital, kami berdua pasrah dengan ketentuan Allah, namun saya tetap risau sekiranya anak yang saya susui terkena jangkitan virus HIV.

“Namun rezeki dari Allah, Allah kurniakan kesihatan kepada bayi saya apabila ujian HIV yang dilakukan doktor menunjukkan keputusan negatif, dan saya bersyukur anak saya semuanya selamat dan bebas daripada jangkitan virus berbahaya ini, ia juga satu anugerah terindah,” jelas beliau ketika dihubungi menerusi panggilan video Zoom, baru-baru ini.

 

KELUARGA MASIH MEMAHAMI

Kak Yati bagaimanapun mengakui, pada asalnya beliau risau untuk menceritakan situasi kehidupannya walau kepada ibu bapa dan saudara mara terdekatnya kerana bimbang akan dipinggirkan mereka, namun ternyata jangkaannya meleset sama sekali.

“Setelah bertahun saya rahsiakan, barulah saya berani membuka rahsia mengenai situasi saya baru-baru ini, saya bersyukur kerana mereka amat memahami dan tetap memberi dorongan.

“Bagaimanapun di tempat kerja, tidaklah saya dedahkan rahsia ini dengan majikan dan rakan-rakan sekerja, kerana bimbang dengan tahap stigma masyarakat umum yang saya kira mungkin masih agak tinggi dan menebal,” jelasnya.

Sebagai seorang peniaga baju secara kecil-kecilan di pasar raya sekitar Lembah Klang Kak Yati turut mengakui, pandemik COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sedikit sebanyak memberi kesan terhadap perniagaannya, dan berharap agar keadaan ekonomi negara segera pulih.

“Sejak kematian suami, saya terpaksa uruskan perniagaan berseorangan, dan perlu menjaga anak bongsu yang kini bersekolah menengah. Sebagai seorang PLHIV, saya perlu sentiasa memakan ubat setiap hari dan perlu terus kekal aktif dan sihat untuk menyara keluarga. Inilah cabaran yang perlu saya hadapi,” kongsinya.

Mengikut laporan dari Kementerian Kesihatan, untuk tahun 2019 jumlah keseluruhan yang dijangkiti dianggarkan 87,581 orang. Yang telah dikesan seramai 77,903 orang, dengan kemungkinan lebih 10,000 orang tidak tahu mereka dijangkiti HIV. Daripada jumlah yang telah dikesan, 85 peratus adalah lelaki dan 75 peratus berumur antara 20-39 tahun.

Tidak semua yang dijangkiti HIV akan mencapai peringkat AIDS. Jika mereka yang hidup dengan HIV (PLHIV) mendapat diagnosis awal dan memulakan ubat dengan segera, peringkat AIDS boleh dielakkan dan boleh hidup seperti orang biasa.

 

RAWATAN INTENSIF


Dr Rosnida Mohd Noh, Pakar Penyakit Berjangkit UiTM Sungai Buloh.

Sementara itu, Pakar Penyakit Berjangkit UiTM Sungai Buloh, Dr Rosnida Mohd Noh pula menjelaskan ubat untuk merawat HIV sudah ada sejak 1987 dan sejak dari itu sudah ada banyak perkembangan dalam bidang rawatan HIV, dengan peningkatan jenis dan kualiti ubat yang dihasilkan.

“Ubat yang ada sekarang jauh lebih berkesan, dengan kesan sampingan yang sangat minimum. Menggunakan ubat-ubat terkini PLHIV boleh hidup sihat seperti orang biasa dengan jangka hayat yang normal. Jika PLHIV memakan ubat dengan betul, dia tidak akan menjangkitkan virus kepada orang lain kerana ubat boleh menurunkan bilangan virus sehingga tidak dapat dikesan dalam darah.

“Ubat yang ada sekarang walaupun boleh menurunkan bilangan virus ke tahap bawah kesan dan membenarkan mereka yang hidup dengan HIV dapat menjalani hidup yang normal, namun ia tidak boleh menghapuskan virus sepenuhnya. Buat masa sekarang, masih perlu memakan ubat seumur hidup,” katanya ketika dihubungi.

Dr Rosnida menjelas lanjut, perkembangan dalam bidang HIV bukan hanya bertumpu kepada rawatan, tetapi juga pada pencegahan dengan kajian-kajian terbaru membuktikan ada beberapa kaedah yang berkesan untuk mengelakkan jangkitan HIV.

Jika kaedah-kaedah ini dapat dilaksanakan dengan sepenuhnya ada kebarangkalian kita dapat menurunkan jangkitan HIV kepada sifar, jelasnya.

Paling penting ialah usaha menambah pengetahuan umum mengenai HIV juga perlu melibatkan pengetahuan pencegahan, sama ada jangkitan melalui seks tanpa perlindungan atau perkongsian jarum, Dr Rosnida menegaskan.

“Dalam beberapa tahun ini, kajian membuktikan terdapat kaedah-kaedah mengelakkan jangkitan HIV secara berkesan dan mudah dilakukan. Contohnya, Pre-exposure Prophylaxis (PrEP) dan Post-exposure Prophylaxis (PEP) yang boleh mengelakkan jangkitan HIV sebelum dan selepas aktiviti berisiko. Informasi ini perlu disampaikan kepada masyarakat umum.


The Malaysian Society of HIV Medicine (MASHM) dan Yayasan AIDS Malaysia (MAF).

“Pada masa yang sama inisiatif seperti HIV Connect yang dilakukan dengan usahasama The Malaysian Society of HIV Medicine (MASHM) dan Yayasan AIDS Malaysia (MAF) berusaha untuk menambahkan bilangan doktor am yang berkepakaran untuk menyediakan PrEP dan PEP bagi memudahkan golongan berisiko mendapat rawatan pencegahan,” katanya.

 

HAPUSKAN STIGMA


-- Gambar hiasan. metro.co.uk/ Getty

Dr Rosnida melontarkan pandangannya bahawa stigma buruk terhadap PLHIV dan penghidap AIDS tidak sepatutnya wujud kerana di tahap manapun kehadiran stigma itu berada, ia tetap dirasakan oleh setiap orang yang hidup dengan HIV.

“Masalah utama yang saya lihat dari segi stigma, bukan sahaja ia melanggar hak asasi PLHIV, tetapi ia juga memberi kesan negatif kepada kesediaan PLHIV untuk hadir ke fasiliti kesihatan untuk diagnosis dan rawatan awal seterusnya memberi kesan negatif kepada PLHIV dan keluarga mereka serta usaha  pencegahan jangkitan. Sekiranya PLHIV menerima diagnosis awal dan makan ubat dengan betul ia tidak akan menjangkiti orang lain,” katanya.

Beliau mencadangkan agar semua agensi bekerjasama untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan umum mengenai HIV dan AIDS serta membangkang mitos-mitos yang tidak tepat mengenainya.

“Dengan cara ini kita dapat mengurangkan stigma dan diskriminasi. Kita perlukan masyarakat yang faham bahawa langkah terbaik untuk mengurangkan jangkitan HIV adalah bermula dengan pengurangan stigma dan diskriminasi supaya lebih ramai orang yang berisiko datang untuk diuji dan jika didapati positif mendapatkan rawatan sebaiknya, dan ini akan meneruskan kitaran mengurangkan jangkitan kehadapan,” ujarnya.

 

Disunting oleh Cik Rashidah Abd Ghani

BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan